Seperti yang kita sedia maklum, Perang Vietnam merupakan antara babak paling menyakitkan dalam sejarah Amerika Syarikat. Di pihak mereka saja, Amerika kehilangan lebih 60,000 di medan perang. Sementara bilangan korban warga Vietnam, Kemboja dan Laos walaupun tidak dinyatakan bilangannya dan pihak mana yang disertai mereka, pasti bilangan korban amat tinggi. Kebanyakan korban konflik ini bukan saja berlaku di Vietnam tetapi ia berlaku di kawasan pergunungan Laos. Perang rahsia ini berlaku atas satu sebab, memaksa Laos memilih pihak semasa Perang Dingin sama ada blok Barat pimpinan Amerika Syarikat atau blok komunis yang dipimpin Kesatuan Soviet dan China.

Agenda Eisenhower

Pada tahun 1950-an lagi, aktiviti gerila di Indochina terutama di Vietnam semakin menjadi-jadi dan ini disedari Agensi Perisikan Pusat (CIA) yang berpangkalan di Saigon (kini Ho Chi Minh City), Vietnam Selatan. Kebanyakan gerila ini mendapat bantuan melalui laluan bekalan merentasi kawasan pergunungan Laos dan Kemboja. Laluan ini memainkan peranan penting kepada operasi gerila di Vietnam Utara dan ia dikenali sebagai Laluan Ho Chi Minh. Untuk mengelak laluan tersebut terus berada di bawah kawalan komunis dan elemen komunisme masuk ke Laos dan utara Thailand, kerajaan Amerika Syarikat melalui CIA merekrut askar-askar tempatan dari puak Hmong untuk memerangi aktiviti komunisme di kawasan berkenaan.

Tetapi ada satu yang buat Washington menggaru kepala. Secara teknikal, Washington bukan dalam situasi perang dengan Laos atau Kemboja. Sebarang pembabitan negara Uncle Sam itu perlu dirahsiakan untuk mengelak bantahan orang ramai. Namun pada masa sama, ia sebenarnya memberi peluang kepada pentadbiran Dwight Eisenhower untuk bereksperimen dengan polisi mereka di Asia Tenggara dan lebih spesifik, Indochina. Eisenhower melihat pembabitan rahsia mereka di Laos satu keperluan kerana tidak mahu melihat teori domino komunisme berlaku di Asia Tenggara. Ini kerana bila sesebuah negara dikuasai rejim komunis, ia akan membawa kepada kemunculan rejim-rejim komunis lain di negara-negara jiran. Atas sebab itu untuk aturan logistik, ia diatur oleh Air America, sebuah syarikat penerbangan awam yang dimiliki CIA secara rahsia atau beberapa subsidiari mereka. Dan bagi operasi lapangan pula, CIA menghantar sekumpulan anggota Green Berets untuk merekrut orang Hmong, melatih mereka dengan latihan taktikal, penggunaan senjata dan objektif taktikal serta meminta bantuan serangan udara jika diperlukan.

Vang Pao & Orang Hmong

Jadi, apa sebab Washington memilih orang Hmong sebagai pejuang? Mereka dipilih kerana tradisi kepahlawanan yang panjang. Semasa tahun-tahun akhir Perang Indochina, Perancis merekrut orang-orang Hmong sebagai tentera melawan pemberontak Vietminh sehinggakan mereka digelar Montagnard atau orang gunung. Selain diketahui mahir dengan selok-belok hutan, orang Hmong juga dikenali sebagai orang yang berani dan lasak di medan perang.

Salah seorang yang bakal memimpin kumpulan pejuang Hmong ini ialah Vang Pao. Pada tahun 1945 atau lebih tepat pada bulan-bulan terakhir Perang Dunia Kedua (WWII), beliau memulakan kariernya sebagai penterjemah pasukan tentera payung terjun Perancis yang cuba membentuk penentangan terhadap tentera Jepun di Lembah Bekas (Plain of Jars). Pao kemudiannya menjadi leftenan dalam tentera Laos yang baru dibentuk dan bertanggungjawab mengetuai sebuah unit komando dalam cubaan membantu tentera Perancis yang terperangkap di Dien Bien Phu pada tahun 1954. Selepas tamat Perang Indochina, beliau mendapat pangkat mejar dan mengetuai gerila Hmong di Lembah Bekas.

CIA memilih Pao kerana karisma dan kemahiran kepimpinannya, sesuatu yang digilap menerusi pengalamannya bersama tentera Perancis tidak lama dahulu. Dengan bantuan Langley, Pao berjaya merekrut 60,000 tentera Hmong di mana peranan mereka ialah mempertahankan utara Laos memandangkan kawasan tersebut menempatkan lapangan terbang rahsia CIA. Selain diberi tugas mempertahankan kawasan berkenaan, mereka juga berperanan menyelamatkan juruterbang tentera Amerika yang ditembak jatuh Tentera Vietnam Utara (NVA) dan menyerang hendap konvoi NVA yang melalui Laluan Ho Chi Minh. Ada juga yang menyusup secara rahsia ke China untuk memotong talian telefon atau memerhati pergerakan tentera. Tetapi satu perkara yang pasti, ramai mati dalam hutan dan ini memaksa mereka meninggalkan kampung halaman dan berlindung di kawasan pergunungan.

Dan ini juga menunjukkan realiti perang kejam yang diuruskan CIA. Memandangkan ramai orang Hmong menjadi pelarian, Air America akan menggugurkan bantuan berupa beras tetapi ada syarat di sebalik ini. Beras akan diberi tetapi setiap kampung perlu membekalkan tentera untuk berperang bagi pihak Amerika. Jika mereka enggan berbuat demikian, maka mereka akan dilabel sebagai pengkhianat atau didedahkan kepada rejim Pathet Lao.

Namun bila bilangan orang Hmong semakin berkurangan, Pao terpaksa merekrut anggota puak pergunungan yang lain dan menjelang tahun 1971, kebanyakan tenteranya terdiri daripada kanak-kanak. Seorang penasihat CIA mendedahkan pada tahun 1968, “Tak lama dahulu, kita berjaya mendapat 300 rekrut baru. 30% daripadanya berumur 14 tahun ke bawah dan 10% lagi berumur 10 tahun. 30% rekrut lagi terdiri daripada anggota berumur 15 dan 16 tahun serta bakinya berumur 35 tahun dan ke atas.

Ke mana pergi semua anggota dari kumpulan umur 20 hingga 30 tahun ke atas? Saya akan beritahu anda, mereka sudah mati dan dalam tempoh beberapa minggu, 90% daripada rekrut ini akan mati.” Bagi Bou Than, bekas tentera Hmong menceritakan dia direkrut oleh seorang lelaki Amerika dan seorang lelaki Thai ketika mereka datang ke sekolahnya. Pada usia 13 tahun, dia dilatih menggunakan senjata api dan berperang bagi pihak Amerika. Than menambah, “Saya melihat ramai rakan sekolah saya mati di hutan demi perjuangan Amerika. Ada di antaranya berumur lapan tahun ke bawah.”

Antara Perang & Duit

Seperti mana operasi mereka melatih pejuang-pejuang asing untuk berperang bagi pihak America, CIA hanya membekalkan wang, senjata api dan latihan kepada orang-orang Laos. Untuk memastikan semuanya tersusun, Langley melantik beberapa orang tempatan sebagai ketua puak yang menguruskan aspek pengkaderan, mengetuai mereka dalam peperangan dan dibayar dengan sejumlah wang yang lumayan.

Sesetengah daripada mereka ini berevolusi menjadi panglima perang yang digeruni di mana mereka hanya memperjuangkan agenda sendiri dan menyalahguna wang dan senjata dibekalkan CIA. Satu aspek perang ini di mana panglima-panglima perang dapat mengaut wang dalam jumlah yang lumayan ialah penyeludupan candu.

Orang Hmong memang dikenali sebagai penanam candu tetapi di bawah bimbingan panglima-panglima perang ini, ia mencapai ke satu tahap yang tidak disangka-sangka. Dengan bantuan infrastruktur dan perlindungan dari Langley, Pao dan jeneral-jeneral lain mendapat laba yang banyak dan ini juga menghentikan sebarang niat untuk menarik diri dari operasi rahsia CIA ini. Pada mulanya, operasi penyeludupan ini menggunakan Air America di mana dadah dihantar ke pasaran di Saigon, Manila dan Bangkok.

CIA langsung tidak berminat menghentikan aktiviti ini walaupun ia menyumbang kepada kejatuhan tentera Amerika di Vietnam Selatan. Menurut Ahli Kongres Connecticut merangkap bekas perisik CIA, Robert Steele menyatakan salah seorang pemain industri dadah di negara berkenaan ketika itu ialah Mejar Jeneral Ngo Zhu yang mengetuai Tentera Kedua Vietnam Selatan. Ini menyebabkan ada sesetengah juruterbang Air America secara bergurau menggelar syarikat mereka Air Opium.

Untuk mengelak aktiviti sebegitu dihidu oleh kerajaan, CIA menyerahkan operasi penerbangan Penerbangan Xieng Kuoang kepada Pao dan orang-orangnya sebagai kompromi kepada tuntutan mereka yang mahukan pesawat-pesawat Air America. Bagi orang Hmong, mereka melihat keuntungan jualan dan penyeludupan dadah satu-satunya cara membiayai kempen perang mereka. Jika mereka tidak lagi meneruskan aktiviti sebegitu, maka mereka sudah tiada wang untuk membayar wang kepada penduduk kampung. Jika itu berlaku, sudah pasti penduduk kampung akan berpaling tadah dan tidak lagi menyokong perang rahsia Langley kerana tidak mahu kehilangan penduduk hanya untuk mati katak dalam perjuangan yang bersifat sia-sia.

Walau bagaimanapun, usaha mereka tetap tidak berhasil dan pihak komunis semakin menghampiri kedudukan mereka. Ini memaksa pihak Amerika melancarkan kempen pengeboman menerusi Operasi Menu. Antara tahun 1964 hingga 1973 menyaksikan bom digugurkan setiap lapan minit semasa Perang Vietnam, lebih dari jumlah keseluruhan bom yang digunakan pihak Bersekutu semasa WWII. Washington melancarkan lebih 500,000 misi pengeboman dan mengugurkan 260 juta bom di selatan dan utara dengan tujuan mengasingkan pihak NVA.

Tetapi itu langsung tidak menjejaskan NVA dan sedar misi mereka di Indochina bersifat sia-sia, Washington menarik balik tenteranya dari Indochina termasuk Vietnam dan Laos. Pao dan beratus-ratus pelarian dan tentera yang terselamat berjaya dibawa keluar tapi bagi sebahagian besar tentera Hmong yang masih kekal di Laos, ia merupakan permulaan kepada neraka dunia mereka. Selepas kerajaan baru dibentuk oleh Parti Kebangsaan Lao (Pathet Lao), mereka menggerakkan kempen ketenteraan untuk menghapuskan saki-baki orang Lao yang disyaki bersubahat dengan CIA. Walaupun ramai mati dalam operasi berkenaan, sesetengah berjaya melarikan diri ke Thailand tetapi sebahagian lagi memilih bersembunyi dalam hutan dan mengharapkan pihak Amerika membawa mereka keluar dari situasi ini.

Legasi

Nak mengharapkan Amerika bertanggungjawab atas semua ini, jangan haraplah. Ini kerana Washington dilihat berlepas tangan berkenaan peranan mereka dalam perang rahsia ini dan tiada minat mengeluarkan ganti rugi setimpal bukan saja terhadap orang Hmong tetapi juga terhadap Laos. Walaupun diberi status pelarian oleh Thailand, semua itu berubah pada tahun 2008 menerusi perjanjian Vientiane-Bangkok. Menerusi perjanjian itu, Laos sedia menerima semula semua pelarian Hmong ini. Tetapi tidak ramai tahu, wujud laporan pelarian-pelarian ini menerima layanan buruk dari rejim berkenaan termasuk dibunuh. Ini menyebabkan para aktivis mendesak Bangkok mengeluarkan status perlindungan terhadap pelarian ini tetapi ianya tidak dilayan.

Di Amerika pula, perang rahsia ini terus dirahsiakan sehinggalah tahun 1997 apabila mereka mengakui peranannya dalam perang berkenaan. Pada tahun 2004 pula, selepas menerima tekanan pertubuhan hak asasi manusia Amerika, pentadbiran Washington diketuai Presiden George W. Bush mengubah dasar menghalang imigrasi orang Hmong yang melarikan diri dari Laos untuk berlindung di kem pelarian di Thailand. Pentadbiran Amerika Syarikat juga bersetuju mengiktiraf 15,000 orang Hmong sebagai pelarian politik dan diberi hak-hak imigrasi Amerika. Dan sebagai membantu usaha membersihkan Laos dari bom-bom berangkai yang digugurkan semasa Perang Vietnam, Presiden Barack Obama mengumumkan akan memberi dana sebanyak $90 juta untuk tempoh tiga tahun semasa lawatan beliau ke Laos pada tahun 2016. Bagaimanapun, tiada sebarang permohonan maaf secara rasmi dikeluarkan berkenaan kempen pengeboman Amerika di Laos semasa Perang Vietnam.

SUMBER

  1. BBC. (2016). Laos: Barack Obama regrets ‘biggest bombing in history’. https://www.bbc.com/news/world-asia-37286520
  2. Lloyd-George, William. (2011). TheDiplomat.com. The CIA’s ‘Secret War’. https://thediplomat.com/2011/02/the-cias-secret-war/
  3. Prados, John. (2018). Historynet.com. Laos: The Road to Vietnam. http://www.historynet.com/laos-road-vietnam.htm
  4. Soldiers of Misfortune. The man who was ‘Colonel Kurtz’. http://www.soldiers-of-misfortune.com/history/apocalypse-now.htm 

Sejak kebelakangan ini, kos operasi untuk menguruskan laman page dan portal The Patriots semakin meningkat. BANTU KAMI KEKAL MENULIS DI ATAS TALIAN dengan membeli buku-buku kami. Untuk keluaran Ogos, kami mempertaruhkan NAZI DI HUJUNG JARI dan DISEBALIK TIRAI LAYAR. Untuk pembelian, bolehlah ke pautan di bawah.

http://bit.ly/pratempah

ataupun

Nazi Di Hujung Jari – http://bit.ly/nazidihujungjari
Di Sebalik Layar – http://bit.ly/disebaliktirailayar


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.