Pulau Langkawi adalah antara pulau yang terindah di negara kita. Keindahannya cukup mempersonakan kepada sesiapa yang menjejak kaki ke pulau tersebut. Saya sendiri pernah ke pulau tersebut sebanyak 2 kali, 1 kali sebagai pelancong dan 1 kali atas tugasan rasmi.

Di sebalik keindahan Pulau Langkawi, tersimpan sebuah kisah yang cukup menyayat hati. Bagaimana perasaan cemburu mengatasi keadilan.

Di penghujung abad ke-18, Pulau Langkawi yang ketika itu dikenali sebagai Langkapuri telah dikurniakan seorang jelitawan bernama Mahsuri binti Pandak Mayah. Beliau dikatakan merupakan wanita yang tercantik di gugusan kepulauan Langkawi dan kehadirannya dikatakan cukup menggugat hati ramai penduduk Langkawi.

Namun, hatinya terpaut kepada seorang pahlawan tempatan bernama Wan Derus. Mereka berkahwin.

Selepas perkahwinan mereka, muncul seorang pemuda bernama Deraman. Dia dipercayai datang dari Acheh dan merupakan seorang perantau. Keluarga Mahsuri rapat dengan pemuda tersebut.

Ketika itu, Kedah sedang berperang dengan Siam. Wan Derus dipanggil menentang Siam.

Walaupun ketika itu Mahsuri sudah berkahwin, itu tidak cukup untuk menghalang beliau menjadi sasaran fitnah. Kehadiran Deraman dipergunakan sebagai alasan bahawa Mahsuri telah berlaku curang dengan suaminya dan berzina dengan Deraman. Fitnah itu dimulakan dan disebarkan seorang wanita yang dikenali sebagai Wan Mahora, isteri ketua kampung tempat Mahsuri sekeluarga hidup.

Cerita fitnah itu menjatuhkan maruah Mahsuri. Lebih malang, apabila penduduk kampung mahukan Mahsuri dan Deraman dihukum atas sebab berzina.

Walapun Mahsuri dan Deraman mempertahankan diri mereka bahawa mereka tidak bersalah, tiada yang mempercayai mereka kerana telah termakan fitnah dan ada yang berdendam sudah.

Deraman dihukum sula dan dikatakan mayatnya ditanam di sekitar Kampung Melaka di Pulau Langkawi.

Apabila tiba giliran Mahsuri dihukum sula, tombak yang dibawa dikatakan tidak berkesan. Tubuh Mahsuri tidak lut.

Mahsuri sekali lagi meminta dilepaskan atas tuduhan fitnah itu. Tetapi tetap tidak diendah. Maka Mahsuri mendedahkan bahawa dia hanya akan boleh dibunuh dengan keris pesaka keluarganya.

Apabila keris pusaka itu dibawa keluar untuk menghukum Mahsuri, Mahsuri sempat menjenguk wajah ibu bapanya serta anak tunggalnya buat kali terakhir.

Sebelum keris pusaka keluarganya menjengah ke badan Mahsuri, beliau melafazkan sumpahan ke atas pulau Langkawi bahawa sekiranya benar Mahsuri tidak bersalah, maka Langkawi akan menjadi padang jarak padang tekukur selama 7 keturunan Mahsuri.

Apabila keris pusaka itu melukai tubuhnya, bukan darah merah yang mengalir tetapi cecair berwarna putih dan ini mengejutkan penduduk-penduduk di situ. Ada yang mula berasa risau, apatah lagi dengan sumpahan tersebut. Apakah daya, nasi sudah menjadi bubur.

Wan Derus kembali ke kampung hanya untuk mengetahui bahawa isterinya telah mati dibunuh akibat fitnah. Ketumbukan tentera yang beliau sertai ketika itu telah tewas. Sedih, beliau bersama-sama ibu bapa Mahsuri membawa diri ke Bukit di mana keturunan Mahsuri terus hidup sehingga ke hari ini. Hari ini, Bukit itu kita kenali sebagai Phuket, sebahagian daripada Thailand.

Pulau Langkawi pula diserang dan dijarah Siam. Wan Mahora yang memulakan fitnah itu turut tidak terlepas. Dia dikatakan dirogol tentera Siam sebelum dibunuh. Begitu juga ramai antara mereka yang melakukan fitnah itu.

Walaupun pulau tersebut cantik, pulau tersebut sukar dimajukan. Tanaman pula sukar tumbuh, seolah-olah mengiyakan kebenaran bahawa Mahsuri adalah tidak bersalah. Dikatakan, Langkawi mula dapat dimajukan dengan lahirnya keturunan ketujuh Mahsuri dilahirkan.

Mungkin bagi ramai antara kita, kisah sedemikian sukar dibuktikan dan benda sebegini dianggap tahyul. Malah, ada yang menganggap sains sudah cukup dalam memastikan kelangsungan hidup.

Pengajaran dalam kisah ini adalah fitnah memusnahkan hubungan. Fitnah membunuh. Walaupun fitnah itu diulang sejuta kalipun, fitnah itu hanya sekadar menjadi kebenaran di kalangan kita yang mempercayainya. Kerana kebenaran itu milik Tuhan dan Tuhan akan mendengar doa mereka yang teraniaya. Doakanlah kepada Tuhan agar kita terlepas daripada memfitnah dan menjadi mangsa fitnah.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang pemalas dari Sarawak. Royalist, Federalis, pemerhati dunia pertahanan, ekonomi dan geopolitik. Seorang pengumpul buku. Memiliki PHD (permanent head damage) selepas kepalanya jatuh terhantuk di atas jalan raya. Memegang ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Sains Malaysia serta merupakan seorang Akauntan Bertauliah dari Institut Perakaunan Malaysia.

Comments are closed.