Bila sebut tentang Jepun, pasti sahaja kita akan membayangkan pelbagai perkara indah yang terletak di negara Matahari Terbit itu. Meskipun negara ini pada satu masanya pernah berlaku huru-hara berpanjangan, ia tetap memiliki pelbagai keindahan yang memukau barangsiapa yang menyaksikannya.
Keindahannnya itu tidaklah sahaja tertakluk kepada keindahan alam yang sudah tentu turut dimiliki Jepun, tetapi juga keindahan ciptaan manusia terutama sekali daripada aspek senibinanya sendiri.
Di Jepun, terdapat banyak sekali Istana dan Kuil yang telah terbina di seluruh pelusuk kepulauannya itu. Seni bina istana dan kuilnya ini amatlah cantik dan unik, yang mana boleh kita katakan, hanya boleh kita amati dan hayati keindahannya dengan cara terbang ke sana.
Dalam hal ini, terdapat satu kuil Zen Buddha yang selayaknya dibawa ke hadapan. Rupa parasnya berbeza sedikit dengan kuil-kuil lain yang terdapat di Jepun. Dari kejauhan, ianya adalah satu struktur unik kerana memantulkan warna emas ke tasik di sampingnya.
Kuil Zen Buddha yang dimaksudkan ini adalah sebuah kuil di wilayah Kyoto yang bernama Kinkaku-ji yang bermaksud Kuil Emas. Nama inilah yang disebut-sebut oleh masyarakat umum kerana hal itulah yang sebenar-benarnya mencerminkan rupa paras kuil itu.
Meskipun begitu, nama sebenarnya adalah Rokuon-ji yang bermaksud Kuil Taman Rusa. Tetapi nama ini tidaklah digunakan secara komersial. Kinkaku-ji ini juga telah menerima pengiktirafan sebagai satu Tapak Warisan UNESCO pada tahun 1994, mencerminkan pula kepentingan sejarahnya.
Kinkaku-ji ini sendiri memiliki sejarah yang teramatlah panjang. Ianya dikatakan telah dibina pada sekitar penghujung abad ke-14 untuk digunakan sebagai rumah persaraan kepada Shogun pada ketika itu, Ashikaga Yoshimitsu.
Apabila Yoshimitsu meninggal dunia pada 1408, Kinkaku-ji ini diubah peranannya menjadi sebuah kuil Zen Buddha, mungkin sebagai simbolik kebersamaan pemerintahan Keshogunan dan kumpulan agama Zen Buddha itu sendiri.
Bangunan Kinkaku-ji ini diselaputi badannya dengan daun emas memberikan imej keemasan yang dimilikinya. Ditambah pula dengan tasik buatan di sampingnya yang akan memantulkan pantulannya. Hal ini sekaligus memberikan gelarannya itu sendiri, iaitu Kinkaku-ji.
Kinkaku-ji ini juga telah dibina di samping sebuah tasik buatan yang dikenali dengan nama Kyoko-chi yang maksudnya adalah seerti dengan sifatnya sendiri; Kolam Cermin. Tasik ini pada waktu yang tepat, akan memantulkan pantulan Kinkaku-ji ini.
Kinkaku-ji ini terus berdiri buat ratusan tahun lamanya sebelum ianya runtuh pada tahun 1950 akibat dibakar oleh seorang Sami yang bernama Hayashi Yoken. Yoken dikatakan memiliki masalah sakit jiwa dan telah ditahan oleh pihak berkuasa setelah itu.
Oleh itu, kerajaan Jepun telah membina semula Kinkaku-ji dan ianya siap dibina pada tahun 1955 dengan mengekalkan rekabentuk dan struktur asalnya, menggambarkan bentuk Kinkaku-ji yang betul.
Pada hari ini, Kinkaku-ji adalah satu tarikan pelancongan di Jepun, atau di Kyoto secara khususnya. Kinkaku-ji ini menunjukkan betapa kita sebenarnya mampu untuk membina dan mencipta seperkara yang indah, yang mana ianya boleh bertahan berzaman-zaman lamanya.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami untuk mempopularkan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat umum.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham bahawa tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih





