Sabtu, 24 Oktober 202624 Okt 2026
Krakatoa: Sejarah Dan Pengajaran
Falsafah Alamiah

Krakatoa: Sejarah Dan Pengajaran

Kejadian
tsunami yang melanda Indonesia beberapa hari lepas merupakan satu lagi ujian
Tuhan yang amat getir terhadap Indonesia dan warganya. Dengan angka korban
mencecah lebih 300 orang dan ramai memerlukan bantuan kemanusiaan, apa yang
berlaku di Anak Krakatoa sebenarnya boleh dikurangkan impaknya sekiranya pihak
berkuasa dan komuniti saintifik terutama pengkaji gunung berapi belajar untuk
tidak alpa dan berusaha mencari inovasi terbaru bagi membantu pihak berkuasa
dalam menangani bencana berkaitan gunung berapi.

Krakatoa 1883

Jika kita
hendak mengelakkan lebih ramai manusia terkorban dari bencana alam membabitkan
gunung berapi, maka kita perlu melihat apa yang berlaku dua abad sebelumnya.
Pada Ogos 1883, lebih 36,000 mati akibat letusan gunung berapi paling berdarah
dalam sejarah moden iaitu letusan Gunung Berapi Krakatoa. Ramai meninggal dunia
akibat kecederaan yang dialami semasa letusan atau tsunami yang tercetus akibat
runtuhan gunung yang tenggelam ke dalam kaldera di bawah paras laut. Selain
meninggalkan kesan kepada bilangan penduduknya, ia turut memberi kesan kepada
iklim cuaca dan menurunkan suhu di pelbagai tempat seluruh dunia.

Pulau
Krakatoa ini terletak di Selat Sunda yang terletak antara Sumatera dengan Jawa
dan merupakan sebahagian daripada rangkaian kepulauan Indonesia hari ini. Pulau
yang mempunyai keluasan 45 meter per segi itu mempunyai tiga puncak gunung
berapi iaitu Perboewatan, Danan dan Rakata sebelum letusan itu berlaku. Selepas
letusan gunung berapi yang berlaku pada tahun 1883, Krakatoa dan dua pulau
berdekatan iaitu Lang dan Verlatan merupakan tinggalan kepada letusan besar
yang meninggalkan kesan pada kaldera di bawah laut.

Tiga bulan
sebelumnya, seorang kapten dari kapal perang Jerman bernama Elizabeth
melaporkan melihat awan-awan debu di atas Krakatoa dengan ketinggian 9.6
kilometer. Untuk dua bulan berikutnya, pihak Belanda yang mengawal Pulau Jawa
ketika itu terus mendapat laporan dari kapal-kapal komersial dan pelancong yang
melihat aktiviti gunung berapi berkenaan termasuk bunyi yang kuat dan awan yang
berbara. Bagi penduduk tempatan pula, mereka menyangka aktiviti gunung berapi
berkenaan seolah-olah satu pertunjukan bunga api semulajadi yang menerangi
langit malam.

Tetapi semua
itu berakhir pada 27 Ogos 1883. Gunung berapi Krakatoa melepaskan muntahan
laharnya setinggi 24 kilometer ke udara di atas Perboewatan. Saintis membuat
teori serpihan-serpihan dari aktiviti letusan sebelumnya sudah menyumbat kon
lahar yang membolehkan pertambahan tekanan dalam saluran magma. Dan itulah yang
berlaku pada pagi 27 Ogos itu iaitu empat letusan gunung berapi yang kuat
sehingga boleh didengar sejauh Perth, Australia dan Sri Lanka yang
mengakibatkan kedua-dua Perboewatan dan Danan jatuh ke dalam kaldera di bawah
laut. Kekuatan letusan berkenaan 10,000 kali ganda lebih kuat berbanding
letupan bom atom di Hiroshima dan 10 kali lebih kuat berbanding letusan gunung
berapi St Helens.

Serpihan
mendapan piroklas gunung berapi yang dipanggil tefra dan gas letusan yang panas
membunuh ramai penduduk di Jawa Barat dan Sumatera Selatan. Tetapi ribuan lagi
mati akibat ombak tsunami dengan ketinggian 120 kaki yang terhasil apabila
gunung berapi itu runtuh ke dalam laut. Akibatnya, lebih 165 perkampungan
nelayan di Jawa Barat dan Sumatera ketika itu musnah sama sekali. Penduduk di
kawasan-kawasan yang terjejas berasak-asak mahu ke tempat lebih tinggi dan
sanggup bertolak-tolak untuk sampai ke situ. Selain perkampungan nelayan, ada
juga kapal yang menjadi mangsa seperti Berouw dan Loudon. Abu dari letusan
gunung berapi itu sampai hingga sejauh Antartika dan menurunkan purata suhu
global sebanyak 1.2 darjah Celsius untuk lima tahun berikutnya.

Walaupun
dianggap letusan gunung berapi paling merbahaya dalam sejarah moden, malangnya
Krakatoa bukanlah letusan gunung berapi terbesar mengikut sejarah Indonesia.
Sebaliknya, ‘penghormatan’ itu jatuh kepada letusan Gunung Tambora yang berlaku
pada 10 April 1815. Apabila Tambora memuntahkan laharnya ke udara, ia
mengakibatkan purata suhu global jatuh sebanyak lima darjah Celsius termasuk di
Amerika Syarikat. Tahun 1816 digelar tahun tanpa musim panas kerana banyak
tanaman tidak menjadi dan secara tidak langsung, menyumbang kepada penciptaan
basikal. Basikal dipilih sebagai jenis pengangkutan di Amerika Syarikat dan
Eropah kerana kos makanan untuk haiwan tunggangan amat tinggi.

Anak Krakatoa

Pada tahun
1927, beberapa nelayan Jawa terkejut selepas melihat kolum stim dan serpihan
mula keluar dari kaldera yang runtuh itu. Krakatoa kembali semula selepas 44
tahun dan dalam tempoh beberapa minggu berikutnya, ia mula membentuk kon baru
yang muncul di atas paras laut. Dalam tempoh setahun, ia membesar menjadi
sebuah pulau kecil yang dipanggil Anak Krakatoa. Sekali-sekala gunung berapi
berkenaan meletus tetapi tidaklah merbahaya sehingga mengancam keselamatan
pulau-pulau sekitarnya. Letusan terakhir sebelum insiden tsunami baru-baru ini
direkodkan pada 31 Mac 2014 dan didaftarkan dalam Indeks Letusan Gunung Berapi
(VEI) sebagai satu.

Sejak
beberapa tahun kebelakangan ini, para saintis yang memantau Anak Krakatoa
melihat kedudukannya yang tidak stabil dan berpotensi mencetuskan ancaman
kepada pulau-pulau sekitarnya. Malah, mereka turut menghasilkan model apa yang
akan berlaku sekiranya bahagian barat daya gunung berkenaan runtuh. Berdasarkan
analisis mereka, bila runtuhan tersebut berlaku, ia akan menghasilkan ombak
dengan ketinggian berbelas meter yang akan mengenai pulau-pulau seperti
Sertung, Panjang dan Rakata dalam tempoh kurang daripada seminit. Apabila ia
tersebar ke sekitar Selat Sunda, ia akan beransur-ansur hilang tetapi ia akan
melanda kawasan pesisir pantai dengan ombak setinggi satu hingga tiga meter.

Bagi sesiapa
yang melihat model berkenaan, ia dilihat hampir sama dengan apa yang berlaku
beberapa hari sebelumnya. Ini ditambah ombak besar yang dipengaruhi fasa bulan
baru direkodkan oleh alat pengesan ombak di Selat Sunda berlaku setengah jam
selepas aktiviti terbaru letusan Anak Krakatoa. Bagi Raphael Paris, salah
seorang saintis yang bertanggungjawab terhadap kajian berkenaan menyifatkan
kajian yang dibuat oleh rakan-rakannya sebagai satu senario paling buruk kerana
ombak tsunami yang melanda tidaklah sebesar mengikut simulasi mereka. Namun,
timbul keresahan para saintis berkenaan kestabilan kon gunung berapi berkenaan
dan mereka melihat senario terbaru runtuhan dan tsunami pada masa akan datang
tidak seharusnya dipandang remeh.

Jika ada
merasakan senario ini hanya berlaku di Indonesia, anda salah. Runtuhan sebegini
pernah berlaku di Greenland pada tahun 2017 yang menghasilkan ombak setinggi
100 meter selepas satu runtuhan memasuki kawasan fjord di barat negara
berkenaan. Dan tidak mustahil, insiden tsunami yang melanda Palu tidak lama
dahulu juga berpunca dari perkara sama. Insiden tsunami di Palu berlaku
berkemungkinan akibat pergerakan sedimen yang besar yang masuk ke laut dari
kawasan pesisir pantai atau masuk ke dalam cerun bawah laut di Teluk Palu.

Pengajaran pahit

Satu perkara
yang menggusarkan ramai saintis berkenaan apa yang berlaku di Selat Sunda dan
Palu ialah penduduk menjalankan kehidupan seperti biasa tanpa mengetahui bahaya
yang akan menimpa mereka berdasarkan video-video yang mereka tonton. Jika ada
gempa bumi yang mengiringi aktiviti letusan gunung berapi Anak Krakatoa,
penduduk mungkin boleh mengambil langkah menyelamatkan diri. Bagaimanapun,
aktiviti seismik yang hanya dapat dikesan oleh pengesan sensitif tidak disedari
oleh penduduk dan jika mereka hendak menyelamatkan diri, peluang untuk
melakukan perkara sedemikian amat rendah berikutan jarak mereka dari sumber
tsunami itu sendiri amat pendek.

Prof Dave
Rothery dari Open University di United Kingdom berpandangan walaupun ada boya
pengesan tsunami di Selat Sunda, ia berfungsi untuk mengesan tsunami yang
tercetus akibat aktiviti gempa bumi dan bukannya aktiviti letusan gunung berapi
seperti yang diakui ketua agensi bencana kebangsaan Indonesia, Sutopo Purwo
Nugroho. Malah dalam satu temubualnya bersama Channel News Asia, beliau
mengakui sistem boya berkenaan tidak berfungsi sejak 2012 lagi akibat masalah
teknikal, dirosakkan individu-individu tidak bertanggungjawab dan ketiadaan
dana untuk menyelia dan menambahbaik kemudahan berkenaan. Akibatnya, sistem
berkenaan gagal memberi amaran tentang tsunami yang berlaku pada malam Sabtu
lepas.

Selain itu,
ia juga merupakan satu ingatan pahit kepada komuniti saintifik antarabangsa
untuk mengembangkan lagi pengetahuan mereka berkenaan aktiviti tektonik dan
gunung berapi bawah laut. Usaha ini sudah dipergiatkan selepas insiden tsunami
Acheh yang berlaku pada tahun 2004 tetapi ia perlu dikembangkan bagi membantu
negara-negara yang terkesan dengan aktiviti sebegini mengenalpasti ancaman dan
langkah yang perlu diambil bagi membawa penduduk ke tempat yang selamat. Seruan
ini sudah dilaungkan pada awal bulan ini menerusi Mesyuarat Kesatuan Geofizik
Amerika yang menghimpunkan saintis-saintis terkemuka dari bidang geofizik dari
seluruh dunia.

SUMBER

1. Channel
News Asia. (2018). Indonesia’s tsunami buoy warning system not working since
2012: Official. https://www.channelnewsasia.com/news/asia/indonesia-tsunami-buoy-warning-system-not-working-since-2012-11059044

2. Amos,
Jonathan. (2018). BBC. Indonesia tsunami: How a volcano can be the trigger. https://www.bbc.com/news/science-environment-46666633

3. Bagley,
Mary. (2017). LiveScience.com. Krakatoa Volcano: Facts About 1883 Eruption. https://www.livescience.com/28186-krakatoa.html

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet