Selalunya
bila kita menonton siri lama Eropah seperti Taboo, War and Peace, Victoria dan
The Count of Monte Cristo, kita selalu bayangkan orang-orang Eropah sebagai
beradab dan bertamadun dengan bangsa-bangsa lain dianggap gasar dan ketinggalan
zaman. Tetapi tidak ramai orang tahu, bangsa Eropah ini boleh tahan juga
perangai pengotornya dan ini berlaku semasa abad ke-19, tatkala cita-cita
imperialisme mereka berada di kemuncaknya. Siapa sangka mereka yang kononnya
melaungkan diri mereka sebagai pembela tamadun sebenarnya gagal menjaga
kebersihan bandar mereka sendiri.
Anda
tidak percaya? Boleh lihat senarai di bawah:
1.
Penulis buku Dirty Old London: The Victorian Fight Against Filth, Lee Jackson
mendedahkan jalan-jalan London yang dipenuhi dengan lumpur sebenarnya merujuk
kepada tahi kuda. Ini kerana terdapat lebih puluhan ribu kuda yang digunakan
untuk pelbagai urusan seharian yang memberi kesan buruk kepada jalan-jalan.
Menjelang tahun 1890-an, terdapat 300,000 ekor kuda yang digunakan di London
dengan seribu tan kutipan tahi sehari. Pihak berkuasa cuba membersihkan jalan
sebaik mungkin dengan mengupah remaja berusia antara 12 hingga 14 tahun untuk
meredah jalan dan mengutip tahi kuda di atas jalan. Menurut Jackson, itu
merupakan antara tugas sukar semasa era Victoria ketika itu.
2.
Selain tahi kuda, tahanlah jika pada satu ketika anda merasa kaki becak semasa
berjalan di London pada abad ke-18 dan ke-19 walaupun cuacanya baik. Pada era
Victoria, itu sebenarnya air kencing sama air kencing haiwan atau orang ramai
yang membasahi jalan-jalan. Untuk mengelak situasi ini berterusan, pihak
berkuasa cuba menurap jalan-jalan dengan kayu. Tetapi selepas beberapa minggu,
aktiviti penurapan ini dihentikan kerana bau ammonia yang keluar dari laluan
pejalan kaki terlalu kuat. Dan pemilik-pemilik kedai di tempat di mana ia
diturap turut mengadu ammonia yang keluar melunturkan warna kedai mereka.
3.
Isu pencemaran udara bukan saja membelenggu dunia hari ini tetapi juga semasa abad
ke-18 dan ke-19. Setiap isi rumah menggunakan arang batu untuk keperluan dari
memanaskan badan hinggalah keperluan memasak. Jadi setiap kali arang batu
digunakan, ia menjadikan udara kelihatan gelap dan meliputi setiap permukaan
dengan kotoran jelaga. Justeru, jangan terkejut jika asap dari pembakaran ini
boleh mencapai setinggi separuh batu dan boleh dilihat sejauh 20 batu. Ini
dicatatkan dalam biografi Samuel Pepys: The Unequalled Self hasil tulisan
Claire Tomalin. Penduduk yang merasa rimas perlu membersihkan muka dan tangan
beberapa kali bagi menampakkan diri mereka kelihatan bersih. Atas sebab itu
juga, mereka enggan memakai pakaian berwarna putih kerana bimbang tidak dapat
membersihkan pakaian itu dari kesan jelaga.
4.
Isu saluran penyaliran seperti longkang tersumbat dan bau busuk menjadi mimpi
ngeri penduduk London pada abad ke-18 dan ke-19. Ini kerana air yang berada
dalam longkang-longkang bukan saja bertakung tetapi juga jadi pilihan penduduk
untuk memenuhi panggilan alam mereka (buang air kecil/besar). Jika itu saja
membuatkan sesiapa yang membaca loya, penjual-penjual daging turut mencampakkan
sisa daging mereka ke dalam longkang. Berikutan kedudukan longkang atau tandas
berhampiran dengan perigi-perigi, ia mengakibatkan pencemaran air dan
mendedahkan penduduk kepada bahaya penyakit seperti disenteri.
5.
Sungai Thames amat sinonim dengan London berikutan peranannya sebagai jalan air
untuk pelbagai urusan seharian penduduknya. Tetapi skala pencemarannya amat
buruk pada abad ke-18 dan ke-19 menerusi kenyataan wartawan dan penyelidik
Inggeris, Henry Mayhew. Beliau menyifatkan sungai itu dicemari dengan pelbagai
jenis bahan seperti bahan dari kilang bir, kilang mineral dan kilang kimia,
lepa berbau, tahi kuda, bangkai haiwan seperti kucing dan anjing serta
sampah-sarap. Bau sungai tersebut sangat menjijikkan sehinggakan pada tahun
1858, Perdana Menteri Britain ketika itu, Benjamin Disraeli terpaksa melarikan
diri dari bilik mesyuarat dengan satu tangan memegang dokumen-dokumen dengan
satu tangan lagi menutup hidung dengan kain sapu tangan. Mereka cuba menangani
bau busuk dengan merendam langsir dengan kapur klorida tetapi tidak berhasil.
6.
Isu bandar kotor ini bukan setakat berlaku di London tetapi juga di Paris. Ya,
Paris yang dikenali sebagai kota percintaan. Tidak seperti hari ini, ia juga
dihantui imej kotor yang melampau. Bonda Raja Louis XIV, Permaisuri Anne dari
Austria berkata, “Paris merupakan satu tempat yang buruk dan berbau.
Jalan-jalannya sangat kotor sehinggakan tiada siapa boleh bertahan di situ
berikutan bau daging dan ikan busuk serta kelibat orang ramai kencing di
jalanan.”
7.
Tidak ramai tahu Istana Versailles yang menjadi tempat pemeteraian Perjanjian
Versailles yang menjadi penamat Perang Dunia Pertama dikenali dengan satu nama
lain iaitu tandas/lubang najis. Bagi mana-mana delegasi luar yang bertandang ke
istana, sudah pasti akan ada kedengaran keluhan yang tidak tahan dengan bau
busuk dan kotoran di istana. Berikutan saiz istana yang besar dan bilangan
tandas yang sedikit, maka usah terkejut jika pekerja istana hinggalah kerabat
dan tetamu diraja mencari mana saja tempat yang dirasakan sesuai untuk
melepaskan hajat. Bagi yang berkemampuan dan berkuasa, bila ianya sudah
selesai, tahinya akan dibersihkan oleh orang suruhan mereka.
8.
Isu kebersihan diri sentiasa dititikberatkan oleh mana-mana masyarakat tanpa
mengira di mana saja mereka berada. Tetapi bagi masyarakat Eropah terutama yang
menetap di bandar-bandar besar, ia merupakan satu tugas sukar. Bagi penduduk
miskin terutama yang menetap di kawasan setinggan dan bersesak-sesak,
satu-satunya bekalan air yang diterima ialah paip tegak yang disediakan oleh
tuan rumah. Jika ia disediakan pun, pengguna hanya boleh mendapat bekalan air
antara dua hingga tiga jam seminggu. Justeru, apa saja air yang diraih perlu
dijimatkan bagi membolehkan ia cukup untuk satu minggu berikutnya. Tetapi
selalunya, paip tegak ini juga menjadi saksi pergaduhan antara penduduk yang
berebutkan bekalan air dan keperluan beratur panjang untuk mendapatkannya. Jika
ada yang nak mandi juga, boleh pilih untuk mandi di sungai atau tasik. Tetapi
tahankah anda jika baunya terlalu busuk?
9.
Sebelum kewujudan tandas hari ini, orang terdahulu memilih membuang air di
lubang penakung najis. Lubang ini dipastikan mempunyai liang bagi membolehkan
sebarang air sisa najis dapat diserap oleh tanah. Tetapi jika ia dibina terlalu
hampir dengan perigi, ia berpotensi untuk bocor dan mencemari sumber air
penduduk. Jika ada sisa najis dalam lubang, maka tukang angkut najis akan dipanggil
untuk mengutip dan membawa pergi najis itu. Kerja sebegini dianggap kerja
tambahan bagi sesiapa yang mahu mencari duit tambahan. Kutipan najis hanya
dibuat pada waktu malam dan bukan waktu siang kerana bimbang jika ia dibuat
pada waktu siang, ia akan mengakibatkan pencemaran bau yang menjejaskan
keselesaan penduduk. Najis-najis ini akan diangkut ke luar bandar dan dijual
kepada petani sebagai baja tanaman mereka.
10.
Penulis The Family, Sex, and Marriage in England 1500-1800, Lawrence Stone
menceritakan di kawasan tanah perkuburan, liang lahad yang menempatkan mayat
tidak akan ditutup melainkan selepas ia benar-benar penuh. Liang sebegini
merujuk kepada kubur besar khas untuk penduduk miskin di mana mayat akan
ditanam bersebelahan antara satu sama lain mengikut barisan. Selepas lubang
tersebut penuh, barulah ia ditutup. Jika tidak, tahanlah sesiapa yang melalui
kawasan tanah perkuburan dengan bau mayat yang keluar dari liang-liang ini.
11.
Ia merupakan sesuatu yang menyeksakan bagi penduduk abad ke-18 dan ke-19 yang
menetap di kawasan setinggan. Sudahlah bersesak-sesak untuk ruang kediaman,
mendapatkan akses bekalan air untuk urusan seharian juga sukar. Bagi yang
menetap di pinggir bandar, ada yang duduk bersama binatang ternakan mereka
dalam satu rumah yang sama. Yang membezakan bahagian mereka ialah satu
pembahagi yang memisahkan ruang ternakan dengan bilik yang dijadikan sebagai
dapur dan bilik tidur. Bahagian para digunakan untuk mengeringkan makanan
binatang dan ia disebarkan sepanjang lantai para. Jadi bila mereka makan di
situ, melihat biji atau lalang jatuh semasa makan merupakan satu perkara biasa.
12.
Tandas pertama dicipta oleh seorang penulis Inggeris bernama Sir John Harington
pada tahun 1596 untuk kegunaan rumah agamnya di Kelston. Tandas pam yang
dipanggil juga sebagai Ajax dinyatakan dalam buku karangannya bertajuk A New
Discourse upon a Stale Subject: The Metamorphosis of Ajax yang diterbitkan pada
tahun sama. Namun di sebalik ini, bilik air dan tandas masih dianggap satu
bentuk kemewahan oleh golongan berada walaupun selepas 200 tahun ia dicipta.
Justeru,
bila tandas awam pertama diperkenalkan semasa Ekspo Dunia Pertama di Hyde Park
pada tahun 1851, ia seharusnya menjadi satu kelegaan kepada pihak berkuasa dan
orang ramai. Ekspo tersebut menyaksikan lebih enam juta pelawat melawat ekspo
itu. Tetapi ia juga mencetuskan kontroversi sama ada ia satu keperluan atau
satu pembaziran. Ini kerana tandas sebegini dianggap sesuatu yang memalukan
terutama kaum wanita kerana mereka menganggap jika mereka masuk tandas awam di
jalanan untuk melepaskan hajat, ia akan menjatuhkan maruah mereka.
13.
Isu kekotoran bukan setakat pada kawasan bandar, jalanan dan bekalan air tetapi
juga membabitkan isu makanan. Contohnya, bagi memastikan roti yang dihasilkan
lebih putih dan lebih berat, sesetengah pembuat roti yang tidak
bertanggungjawab mencampurkan alum, sejenis bahan berasaskan aluminium dalam
adunan roti mereka. Bahan yang menjadi sebahagian daripada sabun pencuci bukan
saja mengakibatkan masalah kekurangan nutrien tetapi juga cirit-birit kronik
yang boleh membawa kepada kematian. Sementara bagi surirumah, ada yang
mencampurkan susu dengan asid borasik dengan tujuan menghilangkan bau masam
dalam susu. Masalahnya, asid ini boleh menyebabkan sesiapa yang mengambilnya
muntah-muntah, sakit perut dan cirit-birit.
Tidak
hairanlah akibat semua ini, ramai penduduk yang mati akibat penyakit berjangkit
dari disenteri hingga kolera. Di Paris, penyakit kolera menjadi mimpi ngeri
penduduk di mana ia menjadi epidemik selama enam bulan dan mengorbankan 19,000
nyawa. Doktor berhadapan kesukaran mendiagnosis penyakit ini kerana terlalu
banyak simptom dari demam panas hingga sakit kepala dan boleh menyebabkan
mangsanya terlantar atas katil dalam tempoh beberapa jam. Sementara London pula
tiga kali dilanda epidemik kolera pada tahun 1831, 1848-1849 dan 1853-1854 yang
menyaksikan 6,536 kematian (1831), 14,137 kematian (1848-1849) dan 10,738
kematian (1853-1854).
Namun,
satu peristiwa yang dipanggil The Great Stink di mana cuaca panas antara Julai
dan Ogos 1858 menguatkan lagi bau busuk yang muncul dari Sungai Thames akhirnya
memaksa pihak berkuasa bertindak. Berikutan itu, satu rangkaian saliran
longkang dibina hasil cadangan Joseph Bazalgette dari 1859 hingga 1875 dan
masih berfungsi sehingga hari ini. Hasil kerja Bazalgette bukan sekadar
mengelakkan lebih banyak sisa kumbahan disalurkan ke Sungai Thames malah
mengurangkan bilangan kematian akibat penyakit kolera. Ini bukan satu dongengan
tetapi hakikat yang pernah dilalui penduduk Eropah satu ketika dahulu dengan
menjadikan Paris dan London sebagai contoh. Tapi biasalah, manusia mudah lupa,
kan?
RUJUKAN:
1.
BBC. (2013). 10 dangerous things in Victorian/Edwardian homes. https://www.bbc.com/news/uk-25259505
2.
Furst, Elaine. (2013). 10 Reasons 19th Century Paris Was As Miserable As Les
Mis. Listverse. https://listverse.com/2013/01/19/10-reasons-19th-century-paris-was-as-miserable-as-les-mis/
3.
L. Tupy, Marian. (2019). The Industrial Revolution Was Dirty, but
Pre-Industrial Europe Was Worse. Foundation for Economic Education. https://fee.org/articles/the-industrial-revolution-was-dirty-but-pre-industrial-europe-was-worse/
4.
National Public Radio. (2015). ‘Dirty Old London’: A History Of The Victorians’
Infamous Filth. https://www.npr.org/2015/03/12/392332431/dirty-old-london-a-history-of-the-victorians-infamous-filth




No comments yet