Sejak Xi Jingping mengambil alih tampuk pemerintahan China, salah satu usaha yang digerakkan ialah cita-cita angkasa lepas negara Tembok Besar itu. Dengan negara itu semakin hampir menyaingi Amerika Syarikat dan Rusia, negara rantau Asia Timur lain sudah pasti tidak mahu ketinggalan. Salah satu daripadanya ialah negara yang dikenali dengan gelombang Hallyu, Korea Selatan.
Dan baru-baru ini, negara itu melancarkan roket buatan mereka buat kali pertama. Pelancaran roket KSLV-II Nuri dibuat di Pusat Angkasa Lepas Naro pada 21 Oktober lalu. Roket Nuri atau dunia dalam Bahasa Korea direka untuk membawa muatan seberat 1.5 tan ke orbit sekitar 600 hingga 800 km di atas permukaan bumi.
Sekiranya berjaya, Korea Selatan boleh saja melanjutkan lagi usaha mereka dalam bidang ini. Ini termasuk pelancaran satelit pengintipan, pemanduan arah dan komunikasi serta prob angkasa lepas. Tetapi malangnya, muatan dalam bentuk satelit palsu gagal dilancarkan ke orbit sekaligus tidak mencapai sebahagian daripada matlamat Nuri.
Di sebalik kegagalan itu, Presiden Moon Jae-in melihat masih ada sinar di sebalik semua ini. Ini menjadikan mereka lebih bersemangat untuk mencapai sasaran projek angkasa lepas Korea Selatan. Jae-in melihat kegagalan Nuri sebagai batu asas kepada permulaan Zaman Angkasa Lepas Korea Selatan.
Pembangunan roket Nuri dipantau oleh Institut Penyelidikan Aeroangkasa Korea Selatan (KARI) dengan proses penghasilan dibuat oleh anak syarikat konglomerat Hanwha. Roket seberat 200 tan itu mempunyai tiga peringkat iaitu pertama, kluster empat penggalak seberat 75 tan, kedua sebuah penggalak seberat 75 tan dan akhir sekali enjin roket seberat tujuh tan.
KARI merancang untuk menguji roket berkenaan sebanyak lima kali sebelum mereka boleh meneruskan kepada ujian membawa muatan sebenar. Ujian pelancaran seterusnya dijangka berlangsung pada 19 Mei tahun hadapan.
Yang pasti, isu ini dijangka bakal menarik perhatian jiran mereka Korea Utara. Pelancaran roket sememangnya satu isu sensitif di Semenanjung Korea dengan jiran mereka dikenakan sekatan kerana program peluru berpandu balistik mereka.
Korea Selatan memang mempunyai rancangan untuk melancarkan satelit ketenteraan ke angkasa lepas pada masa akan datang. Tetapi Seoul menafikan ingin mempunyai keupayaan persenjataan sama seperti Korea Utara.
Kali terakhir Korea Selatan membangunkan roket mereka ialah pada 2013 menerusi kerjasama dengan Rusia. Tetapi projek tersebut berdepan pelbagai masalah dan beberapa kali gagal dilancarkan ke angkasa lepas.
Tidak mahu pisang berbuah dua kali, Korea Selatan membangunkan sendiri program angkasa lepas mereka. Dengan keputusan ini, ia bukan sekadar membolehkan mereka menentukan jenis muatan yang mahu dihantar ke angkasa lepas. Tetapi pada masa sama, ia dapat membuka lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan kepada warga Korea Selatan sendiri.
RUJUKAN
Smith, Josh. (2021, 21 Oktober). S.Korea’s Moon vows ‘Korea space age’ after rocket test falters. Reuters.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih