Raja Pengayau itulah gelarannya sewaktu hidupnya untuk seorang pahlawan masyarakat Dayak ini yang bernama Patih Gumantar. Kehandalannya bertingkah serta tangkas menggunakan parang ilang menjadikan musuh-musuhnya gerun apabila berhadapan dengannya. Ditambah lagi diceritakan juga Patih Gumantar ini bukan sembarangan orangnya kerana selain tangkas di dalam ilmu perang beliau juga diceritakan memiliki ilmu kebatinan yang amat tinggi.

Patih Gumantar “Raja Pengayau” – Kisah Tengkoraknya Yang Menjadi Satu Rebutan, begitulah tajuk artikel daripada kami pada kali ini. Ianya merupakan satu cerita legenda rakyat di dalam masyarakat Dayak di Borneo yang sebenarnya kaya dengan sastera rakyat yang tidak begitu diketengahkan buat informasi seluruh generasi muda kita pada masa sekarang.

Patih Gumantar adalah pahlawan masyarakat Dayak di Borneo yang juga merupakan pengasas kepada kewujudan Kerajaan Mempawah di bumi Borneo suatu waktu dahulu. Beliaulah sebenarnya pendiri kepada Kerajaan Bangkule Rajakng, salah satu daripada kerajaan kuno yang diasaskan oleh masyarakat Dayak Borneo. Kerajaan Bangkule Rajakng ini berpusat di satu kawasan pergunungan yang dinamakan Pergunungan Sidiniang pada awal kurun ke-13 Masihi. Pada ketika itu diceritakan bahawa Kerajaan Bangkule Rajaknya merupakan satu kerajaan dibawah pengaruh hindu di dalam sistem pemerintahannya.

Dibawah kekuasaan Patih Gumantar, Kerajaan Bangkule Rajakng diceritakan berada di zaman kegemilangannya dengan seluruh jajahan takluknya makmur dari segi ekonomi dan sosial. Ditambah lagi Patih Gumantar diceritakan juga mempunyai hubungan yang baik dengan Patih Gajahmada yang merupakan penguasa empayar besar Kerajaan Majapahit yang suatu ketika dahulu merupakan satu kuasa besar yang mana empayarnya bertebaran sehingga ke bumi Borneo.

Apabila ada satu kerajaan yang maju dan makmur seperti Kerajaan Bangkule Rajakng sudah tentu jiran-jirannya akan senantiasa berasa tidak selamat dan begitulah halnya dengan satu lagi kerajaan kecil di bumi Borneo yang bernama Kerajaan Biaju yang berpusat di Sungkung. Pada satu hari diceritakan bahawa pahlawan-pahlawan Kerajaan Biaju telah menyerang hendap istana Kerajaan Bangkule Rajakng dan terjadilah satu perang yang amat dahsyat di dalam sejarah perang perluasan kuasa di bumi Borneo pada waktu itu.

Di dalam perang Ngayau ini, Patih Gumantar sendiri terkorban sehingga kepala beliau sendiri bercerai dari badan oleh pahlawan Kerajaan Biaju. Sudah menjadi tradisi setiap kepala musuh yang telah dipenggal akan dibawa pulang ke rumah panjang dan begitulah yang terjadi kepada kepala Patih Gumantar yang telah dibawa pulang sebagai “piala kemenangan” tersungkurnya Kerajaan Bangkule Rajakng di tangan Kerajaan Biaju di Sungkung. Di Sungkung, tengkorak Patih Gumantar walaupun musuh kepada Kerajaan Biaju namun beliau amat dihormati dan di rumah panjang mereka, tengkoraknya diletakkan di dalam satu tajau yang dinamakan Tajau Tarus.

Selepas kalahnya Kerajaan Bangkule Rajakng di tangan Kerajaan Biaju maka berakhirlah kewujudan kerajaan dayak ini dibumi Borneo sehingga 200 tahun kemudian barulah munculnya cikal Kerajaan Mempawah wujud di bumi Borneo. Yang pasti tengkorak Patih Gumantar itu tetap menjadi satu cerita legenda di dalam masyarakat Dayak di Borneo yang telah diperturunkan dari satu generasi ke generasi secara oral sehinggalah sekarang.

Alkisah dihikayatkan bahawa suatu waktu dahulu, Patih Gumantar mempunyai tujuh orang puteri yang masing-masing dilahirkan dengan pelbagai kepandaian. Salah seorang daripada puteri Patih Gumantar ini bernama Dara Itam atau nama sebenarnya Dayang Salimpat. Dara Itam ini diceritakan amat pandai di dalam ilmu kebatinan mengubat orang yang sakit dan kerana itulah beliau amat disayangi di dalam komoniti rumah panjangnya. Malah Dara Itam ini sendiri mempunyai perwatakan yang lemah lembut serta suka menolong orang yang susah serta cantik menjadikan beliau begitu terkenal sekali.

Hendak dijadikan cerita pada satu hari, Dara Hitam telah turun ke sungai untuk mandi manda dan diketika itulah tanpa beliau sedari, beberapa helai rambutnya yang panjang serta hitam pekat itu telah gugur dan hanyut dibawa air sungai. Pada ketika itu jauh di hulu sungai seorang raja yang bernama Raja Pulang Palih iaitu seorang raja yang mengembara dari Banten sedang melepaskan lelahnya di aliran sungai yang sama. Pada ketika itulah, Raja Pulang Palih telah terlihat beberapa gumpalan helai rambut dan beliau mengambilnya. Hanya dengan melihat rambutnya sahaja, Raja Pulang Palih pasti bahawa wanita yang mempunyai helaian rambut sekemas dan secantik ini sudah tentu bukan calang-calang wanitanya.

Raja Pulang Palih dan pengawalnya akhirnya memudiki sungai tersebut untuk melihat siapakah gerangan si pemilik rambut tersebut. Perjalanan mereka telah membawa mereka ke sebuah kampung yang terletak di Tembawang Selimpat. Disanalah beliau mendapat kepastian daripada penduduk kampung bahawa pemilik helaian rambut itu adalah Dara Hitam. Dan bukan mudah untuk bertemu dengan Dara Hitam kerana dia sering sibuk mengubati orang sakit.

Raja Pulang Palih dan pengawalnya akhirnya kembali ke Tembawang Ambator, tempat dimana mereka tinggal buat sementara waktu. Gejolak jiwa Raja Pulang Palih untuk melihat sendiri Dara Itam itu telah membawa beliau mengatur satu taktik iaitu Raja Pulang Palih berpura-pura sakit. Dan taktik ini dikongsi beliau dengan pengawal-pengawalnya. Pengawalnya yang bersekongkol telah kembali ke Tembawang Selimpat dan memohon bantuan daripada Dara Itam untuk merawati Raja Pulang Palih. Tanpa berlengah, Dara Itam pun mempersiapkan segala ramuan herba hutan dan apa yang perlu untuk merawati Raja Pulang Palih.

Apabila sampai di Tembawang Ambator, barulah Dara Itam mengetahui bahawa ini hanya satu sandiwara dan Raja Pulang Palih tidak membenarkan Dara Itam pulang ke Tembawang Selimpat kerana beliau cuba memujuk Dara Itam untuk menikahi beliau. Dara Itam mengetahui bahawa bukan satu yang mudah untuk menolak permintaan daripada seorang Raja lebih-lebih lagi beliau sendiri berada dibawah jagaan Raja Pulang Palih. Dengan penuh kelembutan bicara kerana tidak mahu mengusik ati Raja Pulang Palih, akhirnya Dara Itam mengenakan satu syarat kepada Raja Pulang Palih iaitu sekiranya ingin memperisterikannya, Raja Pulang Palih harus merebut kembali tengkorak ayahnya Patih Gumantar yang sekarang berada di Kerajaan Biaju di Sungkung.

Apabila mendengar syarat daripada Dara Itam itu telah membuatkan Raja Pulang Palih untuk berfikir seketika kerana beliau tahu bukan senang untuk mengalahkan pahlawan-pahlawan Kerajaan Biaju di Sungkung. Jika Kerajaan Bangkule Rajakng yang tersohor itu boleh dikalahkan inikan pula tentera beliau yang sedikit itu. Dari sini, Raja Pulang Palih telah terfikir untuk mengalahkan pahlawan Biaju hanya dengan tipu muslihat.

Akhirnya dengan pemuafakatan dengan penasihatnya akhirnya mereka sepakat untuk membina sebuah jong atau kapal besar. Pada ketika itulah beliau memerintahkan beberapa orang pengawalnya untuk menebang sebatang pokok kayu yang besar yang bernama pohon Melabo. Pohon Melabo sememangnya antara pohon yang kayunya adalah jenis keras dan bermutu tinggi untuk dijadikan kapal besar. Namun sesuatu yang ganjil berlaku apabila pokok itu berjaya ditebang, keesokan harinya pokok tersebut akan berdiri megah seperti tiada apa-apa berlaku.

Hal ini menjadikan Raja Pulang Palih begitu hampa kerana hanya pohon Melabo yang paling baik untuk dijadikan kapal besar di daerah itu. Peristiwa pelik yang berlaku itu telah diceritakan oleh Raja Pulang Palih kepada Dara Itam dan dengan cadangan daripada Dara Itam, Raja Pulang Palih telah memanggil seorang pemuda yang bernama Riya Sinir kerana menurut Dara Itam, hanya Riya Sinir yang mempunyai kepakaran di dalam hal menebang pohon Melabo yang sakti itu.

Kedatangan Riya Sinir ke Tembawang Ambator disambut oleh Raja Pulang Palih sendiri dan segera beliau meminta Riya Sinir untuk menebang pohon Melabo itu. Hanya dengan sekali hayunan, pohon Melabo tumbang rebah ke bumi dan hal ini amat menggembirakan Raja Pulang Palih kerana sudah tentu niatnya untuk menikahi Dara Itam akan terlaksana jua. Namun sebenarnya tanpa Raja Pulang Palih ketahui bahawa Dara Itam telah memanggil saudara keluarganya sendiri untuk membantunya keluar daripada cengkaman Raja Pulang Palih. Riya Sinir sebenarnya adalah saudara jauh kepada Dara Itam dan beliau juga dikurniakan dengan pelbagai kesaktian seperti mana-mana keturunan Patih Gumantar.

Raja Pulang Palih begitu kagum dengan kehandalan Riya Sinir telah meminta Riya Sinir untuk tinggal di Tembawang Ambatur dan bersama-sama menyiapkan kapal besar. Riya Sinir bersetuju kerana beliau juga ingin turut serta untuk mendapatkan kembali tengkorak Patih Gumantar yang juga keturunannya daripada Kerajaan Biaju. Dan setelah beberapa ketika, maka siaplah kapal besar Raja Pulang Palih ini maka bermulalah proses untuk melepaskannya ke sungai. Sekali lagi satu hal yang pelik berlaku iaitu walau seberapa ramai yang menarik/menolak kapal besar itu, ianya tetap tidak bergerak dan ini begitu memeningkan Raja Pulang Palih.

Akhirnya Riya Sinir tampil membantu Raja Pulang Palih iaitu ada beberapa syarat yang harus dipatuhi sekiranya inginkan kapal itu mencecah air. Syarat-syaratnya adalah:

1. Raja Pulang Palih harus memilih 7 wanita hamil anak pertama untuk dijadikan alas kapal itu diluncurkan ke air.
2. Raja Pulang Palih harus mencari 7 biji telor ayam yang baru pertama kali bertelur.
3. Raja Pulang Palih harus mengadakan 3 gantang wang logam iaitu campuran perak, tembaga dan timah.

Mendengar syarat-syarat yang mustahil itu membuatkan Raja Pulang Palih berasa gerun dengan kesaktian untuk menunaikan permintaan Dara Itam itu namun kerana sudah kemaruk cinta dituruti jua. Dengan segala sumber, Raja Pulang Palih telah meminta rakyatnya untuk berkorban dan segalanya berjaya juga disediakan seadanya.

Tiba harinya untuk meluncurkan kapal tersebut, ketujuh-tujuh wanita hamil anak pertama telah diarahkan untuk berbaring dibawah kapal tersebut. Selepas menjalankan upacara ritual, Riya Sinir hanya menolak buritan kapal itu seorang sendiri maka meluncurlah kapal tersebut ke gigi air dengan melalui wanita-wanita hamil. Dan alangkah terkejutnya Raja Pulang Palih apabila ketujuh-tujuh wanita hamil itu tidak tercedera walau sedikitpun. Kesaktian Riya Sinir inilah yang menjadikan Raja Pulang Palih meminta beliau untuk menjadi ketua ekspedisinya ke Kerajaan Biaju nanti.

Atas persetujuan Riya Sinir menjadi ketua ekspedisinya maka Raja Pulang Palih telah berjanji akan memberikan kurniaan atas bantuan Riya Sinir itu dan beliau akan menunaikan apa jua permintaan Riya Sinir sekiranya ada kelak. Tiba harinya maka berangkatlah rombongan Raja Pulang Palih dan Riya Sinir menuju ke Kerajaan Biaju di Sungkung. Dan sesampai di Sungkung, Raja Pulang Palih telah menghantar beberapa orang pengawalnya untuk pergi menyiasat menyamar menjadi peniaga. Ini semua dilakukan bagi mengetahui kekuatan rakyat Kerajaan Biaju yang terkenal itu dan juga dimana lokasinya Tajau Tarus Patih Gumantar diletakkan.

Hasil daripada maklumat awal itu, Raja Pulang Palih tahu bukan senang untuk menewaskan kawalan ketat pengawal Kerajaan Biaju itu dan hanya dengan tipu muslihat sahaja boleh menewaskannya. Disinilah Riya Sinir memainkan peranannya dengan mengajukan cadangan agar Raja Pulang Palih untuk menggunakan 3 gantang wang campuran emas, tembaga dan timah yang dibawanya. Cadangan itu diterima oleh Raja Pulang Palih.

Di ketika malam gelap, Riya Sinir dan beberapa tentera Raja Pulang Palih telah bergerak menuju ke satu tempat di tepi sungai yang mana ianya merupakan kawasan untuk rakyat Kerajaan Biaju menimba air. Riya Sinir sengaja melemparkan wang campuran emas, tembaga dan timah itu di dalam air dan juga diikat di beberapa kain di atas pohon yang berdekatan. Dan kemudian, Riya Sinir dan pengawal Raja Pulang Palih bersembunyi di kawasan semak yang berhampiran dengan rumah panjang Kerajaan Biaju dan apabila pagi menjelma maka riuh rendahlah rakyat Kerajaan Biaju mengatakan ada wang turun dari langit untuk mereka.

Pada ketika itulah, kesemua yang dirumah panjang termasuk pengawal-pengawal Biaju yang menjaga Tajau Tarus Patih Gumantar telah meninggalkan pos kawalan mereka. Dan kesempatan itulah digunakan oleh Riya Sinir untuk mengambil tajau tarus tersebut dan dibawa pulang ke kapal besar mereka tanpa disedari oleh mana-mana orang Biaju di rumah panjang tersebut. Setelah Tajau Tarus di dalam kapal maka segeralah mereka belayar tanpa mahu berlengah masa lagi menuju ke Tembawang Ambator. Raja Palung Palih terlalu gembira atas kejayaan itu kerana ternyata Dara Itam sudah di dalam genggamannya.

Seketika belayar akhirnya rombongan Raja Palung Palih berserta dengan Tajau Tarus Patih Gumantar akhirnya tiba di Tembawang Ambutor dan kepulangan mereka disambut dengan penuh keraian oleh rakyat Raja Palung Palih. Di ketika itulah Raja Palung Palih memberikan hadiah kepada Riya Sinir seperti yang dijanjikannya iaitu beliau akan menghadiahkan mana-mana anak gadis yang tercantik di kalangan rakyat mahupun isteri-isterinya sekiranya Riya Sinir berkenan akan dijodohkannya dengannya. Dan sekiranya Riya Sinir tidak berkenan maka mintalah apa sahaja, beliau sendiri akan menunaikannya. Riya Sinir menolak segala hadiah daripada Raja Palung Palih itu sebaliknya beliau meminta Raja Palung Palih untuk menjodohkannya dengan Dara Itam atau Dayang Selimpat.

Walaupun permintaan daripada Riya Sinir itu adalah sesuatu yang akan menghancurkan hatinya namun kerana sejak dari awal lagi beliau telah berjanji akan menunaikan apa sahaja permintaan Riya Sinir, akhirnya dengan berat hati beliau menunaikannya. Perkahwinan Dara Itam dan Riya Sinir diadakan di Tembawang Ambutor dengan penuh istiadat masyarakat dayak Borneo dan Tajau Tarus Patih Gumantar juga dijadikan syarat untuk perkahwinan Dara Itam dan Riya Sinir ini. Setelah berkahwin diceritakan Dara Itam dan Riya Sinir telah pulang membawa bersama-sama Tajau Tarus Patih Gumantar ke Tembawang Selimpat untuk disemadikan di rumah panjang dimana komuniti dayaknya berasal.

Inilah cerita legenda tentang tengkorak Patih Gumantar yang penuh kesaktian jalan ceritanya yang juga merupakan satu sastera rakyat di dalam masyarakat Dayak Borneo. Mungkin ada banyak lagi versi-versi cerita legenda tentang Patih Gumantar dan apa yang dikongsi oleh kami adalah salah satu daripadanya. Sesungguhnya banyak cerita legenda di Borneo yang sudah tentu mempunyai maksud yang tersirat di sebalik yang tersurat untuk kita sama-sama mempelajarinya.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Memartabatkan sejarah Sarawak dan Borneo agar mampu diketahui sebaik mungkin oleh masyarakat Malaysia merupakan visi dan misi yang utama di dalam penulisannya. Seorang jurutera automatif yang terjun ke dunia penulisan bagi memvariasikan kebolehan dirinya.

Leave A Reply