Rasulullah s.a.w memberi impak besar kepada manusiawi baik semasa hayat baginda atau selepas kemangkatan baginda. Antara impak yang dibawa baginda ialah penyebaran agama Islam dan diangkat sebagai contoh teladan sepanjang zaman. Tetapi ada manusia yang iri hati dengan kemuliaan Islam sanggup melakukan apa saja untuk mencemarkannya termasuk cubaan mencuri jasad baginda!
Cubaan pertama dibuat semasa era pemerintahan Khalifah al-Qadir dari Bani Abbasiyyah. Dalangnya tidak lain dan tidak bukan pesaing mereka dari kerajaan Fatimiyyah yang berpangkalan di Mesir, al-Hakim bi-Amr Allah. Al-Hakim mahukan jasad Rasulullah s.a.w dibawa ke Mesir bersesuaian dengan status kerajaan itu yang mendukung Ahlul Bait. Malah, baginda turut mengarahkan satu kompleks makam besar dibina bagi menempatkan jasad Rasulullah s.a.w itu.
Di samping itu, baginda melihat ini juga cara terbaik menjejaskan saki-baki prestij Khalifah Bani Abbasiyyah dan para penyokongnya berfahaman Ahli Sunnah Waljamaah[1]. Untuk mencapai matlamat itu, al-Hakim menyerahkan tugas itu kepada seorang pegawai Fatimiyyah bernama Abu al-Fateh.
Malangnya, rancangan baginda tersebar luas ke setiap pelosok Semenanjung Tanah Arab termasuk di kota Madinah al-Munawarrah. Justeru, tidak hairanlah apabila Abu al-Fateh tiba di kota yang dicintai Rasulullah s.a.w itu, ramai penduduk tempatan keluar dan menahan ekspedisi yang diketuainya. Perasaan mereka ibarat ular dikutik ekor[2] sehingga ada yang sudah berkira-kira mahu menumpahkan da-rah setiap ahli ekspedisi termasuk Abu al-Fateh.
Bimbang nyawanya akan melayang gara-gara ingin menunaikan hasrat al-Hakim itu, dia berjanji untuk tidak melakukannya walaupun itu bakal mengundang kemurkaan pemimpin Fatimiyyah itu. Pada masa sama, satu ribut besar melanda Madinah dan mengakibatkan kemus-nahan harta benda kehilangan nyawa. Musibah tersebut digunakan Abu al-Fateh sebagai peluang melarikan diri sekaligus menyelamatkan jasad baginda daripada dipergunakan lelaki yang digelar Khalifah Gila di dunia Barat.
Murka dengan kegagalan Abu al-Fateh, al-Hakim mengatur satu lagi cubaan mencuri jasad Rasulullah s.a.w. Tidak lama selepas itu, baginda menghantar sekumpulan lelaki ke Madinah dan mereka memilih menginap di sebuah rumah berhampiran dengan Masjid Nabawi. Dari situ, mereka mula menggali terowong secara rahsia agar dapat mengakses makam baginda.
Tetapi hasrat mereka punah sama sekali apabila kilat menyambar kawasan di mana mereka menggali terowong. Ini disusuli oleh satu suara kuat yang berbunyi, “Makam Rasulullah s.a.w sedang digali!” Penduduk Madinah yang terkejut segera mencari lokasi suara itu dan berhasil menemui kumpulan penggali tersebut. Kesemua mereka kemudiannya dijatuhkan hukuman ma-ti atas jena-yah yang dilakukan.
Kegilaan al-Hakim dalam mendapatkan jasad baginda mungkin turut menjelaskan kehilangannya pada malam 13 Februari 1021. Pada malam tarikh tersebut, baginda dikatakan hilang semasa berjalan di jalan-jalan Kaherah. Selepas beberapa hari mencari, keldai tunggangan baginda ditemui bersama percikan darah pada pakaiannya itu sekaligus mengesahkan al-Hakim mangkat kerana dibu-nuh.
Penulis tidak terkejut salah satu sebab baginda dibu-nuh kerana obsesi tidak hentinya terhadap jasad Rasulullah s.a.w. Bagi para pembesar dan jeneral Fatimiyyah, obsesi sebegini jika tidak dihentikan dengan segera, ia bakal mengundang sial dan kecela-kaan besar terhadap kerajaan itu. Selepas al-Hakim mangkat, Ali al-Zahir diangkat sebagai khalifah dengan tahun-tahun awalnya ditadbir oleh bonda saudaranya, Sitt al-Mulk.
Jika al-Hakim dianggap gila kerana merancang plot sebegini rupa, ten-tera Salib pula berbuat demikian bagi menamatkan anc-aman kerajaan-kerajaan Islam terhadap kedudukan mereka di Baitulmaqdis. Plot mencuri jasad Rasulullah s.a.w dikatakan dibuat semasa era Nuruddin Zengki[3] iaitu semasa baginda mengerjakan haji di Makkah pada 1162.
Mengikut rancangan, dua orang lelaki dihantar ke Madinah dengan menyamar sebagai ulama yang berasal dari Maghribi. Dari situ, mereka menginap di sebuah rumah berhampiran dengan Masjid Nabawi dan menggali terowong. Tanah yang digali akan dibawa secara senyap-senyap ke Perkuburan Baqi dan ditaburkan sekitar kawasan perkuburan.
Bagaimanapun, Allah Maha Berkuasa ke atas setiap sesuatu. Tatkala kedua-duanya sibuk menggali, Nuruddin bermimpi bertemu dengan Rasulullah s.a.w dan al-Amin memohon agar dilindungi daripada dua orang lelaki berkulit kemerah-merahan. Beliau bukan bermimpi sekali tetapi tiga kali mimpi yang sama.
Sukar melelapkan mata, Nuruddin segera memanggil penasihat Jamaluddin al-Musali dan menceritakan apa yang berlaku. Lantas, sang penasihat yang bijaksana menggesanya segera bertolak ke Madinah. Dalam tempoh lebih dua minggu, Nuruddin dan 20 perajuritnya berjaya sampai di kota tersebut.
Dari situ, beliau mengarahkan para perajuritnya mengumpulkan seluruh penduduk Madinah agar dua wajah yang dikehendakinya itu dapat dikenalpasti. Malangnya, usaha tersebut tidak berhasil dan membuatkan Nuruddin menggaru kepala seperti merasakan masih ada orang yang belum dilihat.
Telahannya benar sama sekali selepas seorang penduduk memberitahu ada dua ulama Maghribi yang datang ke Madinah dan tidak tampil menghadap. Apabila kedua-duanya dibawa menghadap, kedua-duanya jelas mempunyai kulit kemerah-merahan seperti digambarkan Rasulullah s.a.w. Selain itu, pemeriksaan ten-tera Nuruddin mendapati wujud aktiviti penggalian terowong dengan lubang terowong ditutup dengan sejadah.
Dengan semua bukti yang ada, dua lelaki itu kemudiannya dihukum ma-ti. Beliau turut mengarahkan sebuah parit digali mengelilingi makam Rasulullah s.a.w dan diisi dengan plumbum cair. Ini bagi memastikan tiada lagi cubaan menggali dan mencuri jasad baginda selepas ini.
Tindakan Nuruddin ini turut menjelaskan kempen lebih agresif terhadap tentera Salib untuk tahun-tahun berikutnya. Beliau pasti selagi mereka masih berada di Timur Tengah, ten-tera Salib akan sentiasa berusaha menjayakan plot mereka tersebut. Dan menerusi penaklukan Mesir pada tahun 1169 oleh Asaduddin Shirkuh, ia dilihat sebagai pembalasan Nuruddin terhadap plot gila al-Hakim dan Fatimiyyah.
Dan apa yang disangka Nuruddin itu ternyata benar. Ten-tera Salib masih tidak berputus asa mendapatkan jasad Rasulullah s.a.w. Begitupun, plot mereka telah diketahui lebih awal dan kapal yang membawa kumpulan as-kar untuk tujuan tersebut berjaya ditahan. Peristiwa ini dikatakan berlaku pada tahun 578 Hijrah.
Dalam satu kisah lain, Imam at-Tabari meriwayatkan kisah seorang penjaga Masjid Nabawi bernama Shamsuddin Sawab Lamti. Pada satu ketika, seorang rakan memberitahunya sekumpulan lelaki dari Halab (Aleppo moden di Syria) datang ke Madinah dengan niat mendapatkan jasad Rasulullah s.a.w, Abu Bakar as-Siddiq dan Umar bin al-Khattab. Rakan tersebut turut memberitahu gabenor Madinah tidak akan campur tangan kerana sudah makan suap[4] oleh kumpulan lelaki tersebut.
Shamsuddin berhak merasa khuatir tentang rancangan kumpulan lelaki ini. Penulis tidak menolak kumpulan lelaki ini berkemungkinan orang-orang Syiah yang mahu meneruskan plot gila al-Hakim. Walaupun sudah tahu bahana yang menimpa sesiapa yang berbuat demikian, mereka ibarat bersultan di mata, beraja di hati[5].
Gabenor Madinah kemudiannya memanggil Shamsuddin menghadap dan mengarahkan mereka dibenarkan masuk. Beliau juga turut mengarahkan penjaga masjid itu tidak menghalang mereka. Menjelang malam, 40 individu tiba di masjid sambil membawa peralatan dan obor. Shamsuddin sedar mereka ingin memusnahkan kawasan makam, mencuri jasad Rasulullah dan membakar dua jasad sahabat baginda yang mulia itu.
Tetapi sebelum sempat kumpulan itu tiba di kawasan makam, tiba-tiba tanah terbuka dan menelan mereka bersama peralatan yang dibawa. Peristiwa itu berlaku sekelip mata dan tanah kembali bersatu seolah-olah tiada apa yang berlaku. Si gabenor yang menunggu kelibat mereka kemudiannya menghampiri Shamsuddin dan bertanya apa yang berlaku.
Selepas mendengar kisah yang dinyatakan itu, dia segera membawa si gabenor masuk ke masjid dan menunjukkan di mana lokasi itu berlaku. Lantas, si gabenor memerintahkan kisah tersebut tidak didedahkan kepada sesiapa dan mengan-cam membu-nuh Shamsuddin sekiranya dia berbuat demikian.
Kisah ini turut dicatatkan dalam buku Sejarah Madinah yang dikarang Abu Mohammad Abdullah Margani. Bezanya di sini ialah terdapat 15-20 individu yang memasuki masjid dengan tujuan menggali makam dan mencuri jasad baginda. Satu lagi perbezaan ialah kesemua mereka ditelan bumi apabila mereka menghampiri kawasan makam.
RUJUKAN:
The Saudi Expat. 5 Attempts to Steal the Body of Prophet (PBUH) from Madinah.
NOTA KAKI:
[1] Satu fahaman di mana para pendukungnya sentiasa menegakkan kebenaran Islam berdasarkan al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w serta menepati akidah baginda dan para sahabat r.a. Majoriti pemerintah dan umat Islam dari dahulu hingga sekarang menjadikannya sebagai pegangan akidah mereka.
[2] Peribahasa yang bermaksud marah yang amat sangat.
[3] Ahli Dinasti Zengki yang memerintah wilayah-wilayah Syria yang menjadi sebahagian daripada Empayar Saljuk. Nuruddin menjadi pemain penting semasa kempen Per-ang Salib kedua dan menjadi duri dalam daging kepada ramai pemain Salib termasuk Raja Baldwin III dan Maharaja Manuel I Komnenos.
[4] Simpulan bahasa yang bermaksud rasuah.
[5] Peribahasa yang bermaksud menurut kehendak hati sendiri.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih