Kisah gangguan histeria terutama membabitkan makhluk alam ghaib bukanlah asing dalam kehidupan manusia. Kisah-kisah sebegini banyak direkodkan dalam sejarah tetapi masih dianggap misteri kepada komuniti saintifik.
Misteri atau tidak, ia menimbulkan kebimbangan ramai pihak terutamanya bila sudah berpotensi mengancam nyawa. Salah satunya ialah kisah gangguan histeria di Girlstown, sebuah sekolah berasrama Katolik di Chalco, Mexico pada tahun 2007.
Mengikut rekod rasmi, pelajar-pelajar dan staf-staf sekolah mengadu kaki mereka seperti dicucuk. Ada pula yang lemah akibat cirit-birit dan demam. Dan ada yang mengadu sudah berkira-kira untuk mengambil nyawa mereka sendiri.
Akibat gangguan luar biasa ini, kerajaan pusat dan negeri menghantar pakar-pakar untuk menguji tanah, makanan dan air tetapi kesemua keputusan sampel negatif. Mereka turut menguji semua pesakit untuk penyakit bruselosis, leptospirosis dan riketsiosis tetapi kesemua keputusan ujian negatif.
Dengan situasi semakin mendesak, kerajaan pusat menghantar pakar psikologi Dr. Nashyiela Loa Zavala, 32, untuk menyiasat apa sebenarnya berlaku di Girlstown. Dalam salah satu laporannya, Loa Zavala menembubual seorang pelajar yang diberi nama samaran Zitlali (nama sebenar dirahsiakan bagi melindungi identitinya).
Zitlali menceritakan dia selalu mengadu tidak mempunyai kekuatan pada bahagian lutut dan belakangnya sentiasa sakit. Dan kadang-kadang dia terjatuh kerana tidak dapat dipapah oleh rakan-rakannya. Tetapi di sini, kisahnya menjadi bertambah menakutkan: Zitlali selalu melihat bayang-bayang hitam dan bunyi-bunyi yang menakutkan.
Dia cuba berdoa seperti diajar oleh para biarawati di sekolah tetapi gangguan tersebut terus berlaku tanpa henti. Dan bila Loa Zavala mengorek lebih lanjut tentang latar belakang pelajar ini, ia mendedahkan pelbagai kisah tragis mereka.
Dalam kes Zitlali, dua bapa tirinya mempunyai reputasi buruk dengan seorang daripada mereka merupakan kaki pukul manakala seorang lagi merupakan pedofil kerana menunjukkan minat pelik terhadap dirinya. Justeru, Girlstown dilihat satu peluang untuk mengubah hidupnya.
Girlstown diuruskan oleh Sisters of Mary, sebuah pertubuhan biarawati yang berpangkalan di Korea Selatan. Matlamatnya ialah mendidik wanita-wanita Mexico yang datang dari keluarga miskin atau kawasan pedalaman agar menjadi wanita yang terhormat di sisi masyarakat. Untuk menarik pelajar, Sisters Mary menawarkan pendidikan, perumahan dan makanan percuma selama empat tahun.
Pendek kata, ia seharusnya berperanan sebagai tempat perlindungan di mana wanita-wanita ini boleh melepaskan diri daripada belenggu kemiskinan dan semakin dekat dengan Tuhan. Tetapi bagi wanita-wanita yang menyertai Girlstown, terdapat pelbagai sekatan dan peraturan yang perlu dipatuhi:
- Semasa bertolak ke Girlstown, pelajar tidak dibenarkan membawa apa-apa termasuk barang kemas atau gambar ahli keluarga.
- Rambut dipotong pendek sebelum menaiki bas ke Girlstown.
- Ahli keluarga tidak dibenarkan menyertai mereka dan perjalanan bersifat satu hala saja. Jika ada yang mahu mengucapkan selamat tinggal kepada anak-anak, maka mereka perlu membayar tiket bas sebanyak 300 peso, satu nilai yang agak besar bagi populasi miskin Mexico.
- Pelajar diarah menanggalkan pakaian dalam gimnasium bagi memudahkan biarawati-biarawati memeriksa mereka sekiranya mereka membawa barang dunia luar ke kampus. Sekiranya dikesan, barangan tersebut dirampas walaupun ia merupakan gambar ahli keluarga tercinta mereka.
- Pelajar diarah memakai pakaian uniform yang sama, makan makanan yang sama dan menyambut hari lahir mereka pada hari sama iaitu hari ulang tahun penubuhan Girlstown pada Ogos.
- Pelajar tidak dibenarkan menonton televisyen, membaca majalah atau mendengar radio.
- Pelajar hanya dibenarkan pulang ke rumah dua minggu semasa musim panas dan dua minggu menjelang Krismas.
- Panggilan kepada ahli keluarga tidak dibenarkan.
- Pelajar dibenarkan menerima surat tetapi tidak dibenarkan menulis surat. Semua surat yang diterima akan disaring dan disemak.
- Sebarang bentuk hubungan emosi tidak digalakkan langsung antara staf dengan pelajar. Jika berlaku hubungan rapat antara mereka, maka pelajar akan dipindahkan ke menara asrama yang lain. Pelajar juga tidak dibenarkan mempunyai hubungan emosi antara satu sama lain. Jika itu berlaku, maka mereka juga akan dipindahkan.
Bagi salah seorang bekas pelajar, Jovita, dia menyertai Girlstown pada tahun 2003 semasa berusia 12 tahun. Anak jati Tuxtepec bagaimanapun bernasib baik kerana perjalanannya ditemani oleh seorang lagi anak jati bandar berkenaan, Maria, 12.
Sebaik tiba, mereka dibawa ke gimnasium dan dipisahkan kepada beberapa kumpulan dengan semua diarah menanggalkan pakaian masing-masing kecuali baju dalam (coli) dan seluar dalam. Peraturan ini terpakai bukan saja kepada pelajar baru tetapi juga pelajar senior bagi memudahkan mereka diperiksa.
Jika ada tanda daripada dunia luar, silap haribulan memang kena buang dan dihantar pulang dengan bas. Dan selepas selesai, pelajar baru seperti Jovita akan disemak menerusi senarai pihak sekolah sebelum seorang biarawati menulis keterangan ini: Fasa Ketiga, Keluarga St. Bernadette Family, Tingkat Enam.
Bagi Loa Zavala, sesetengah peraturan yang dibuat pihak sekolah seolah-olah cuba memisahkan pelajar-pelajar ini daripada dunia luar termasuk keluarga. Tetapi bagi yang mengikuti kisah Girlstown dan Boystown, pasti arif dengan kisah pengasas mereka paderi Aloysius Schwartz.
Schwartz yang tiba di Korea Selatan pada tahun 1957 bertanggungjawab menubuhkan rumah anak yatim dan Boystown serta Girlstown pertama di Filipina pada tahun 80-an. Matlamatnya satu iaitu membantu pelajar-pelajar miskin. Schwartz bekerjasama dengan rangkaian Sisters of Mary dan bertanggungjawab membina rangkaian sekolah yang mendidik lebih 20,000 pelajar di 15 lokasi di seluruh dunia.
Bagi Girlstown pula, Schwartz menubuhkan sekolah tatkala dirinya bergelut dengan penyakit Amyotrophic lateral sclerosis (ALS) dan memerlukannya memakai kerusi roda pada tahun 1990. Komitmennya ini direkodkan dalam bukunya, Killing Me Softly. Tetapi dengan keadaan kesihatannya yang semakin merosot, dia tahu dia tidak akan berpeluang melihat kampus sekolah barunya itu.
Ada satu kata-katanya yang seolah-olah membayangkan tragedi bakal menimpa Girlstown, Chalco. Schwartz berkata, “Terdapat rasa ragu-ragu dan kebimbangan yang terus menghantui saya bahawa saya telah melakukan kesilapan, kesilapan terbesar dalam hidup saya.” Dia menggelar sekolah itu sebagai simfoninya yang tidak siap.
Hasil temubual Loa Zavala mendapati kebanyakan insiden Girlstown berkait balik dengan satu insiden yang berlaku membabitkan seorang pelajar setahun sebelumnya. Pada tahun 2006, salah seorang pelajar yang mengikut rombongan lawatan ke Universidad de Anáhuac menjumpai sebuah majalah yang mengajar para pembacanya bagaimana menghasilkan papan Ouija.
Ringkasnya, papan Ouija ialah satu cara bagi individu untuk berhubung dengan dunia ghaib termasuk hantu dan ia mudah dibuat. Dan salah seorang yang melakukannya ialah Maria. Untuk mengelak kegiatan mereka diketahui penjaga blok, mereka menyusup keluar melalui tingkap chapel di tingkat enam.
Jovita tidak terkejut mengapa ramai mengikut Maria. Dia sememangnya cantik dan mempunyai bakat kepimpinan. Dan salah seorang pelajar menceritakan ibu Maria ialah seorang bomoh wanita yang hebat dan merupakan pengikut setia Saint Death.
Bagi kebanyakan biarawati, mereka langsung tidak tahu tentang papan Ouija memandangkan ia jarang diketahui di Korea Selatan. Tetapi semua itu akhirnya terbongkar pada musim bunga 2006, tempoh sama kejohanan bola keranjang Girlstown diadakan.
Kejohanan ini merupakan antara acara di mana semua pelajar dapat bergaul dengan bebas dan berinteraksi antara satu sama lain. Dan paling penting, pemenang dapat menikmati hak kebanggaan dalam kalangan blok-blok pelajar dalam tempoh setahun.
Bagi Maria, hasratnya satu saja iaitu melihat rakannya Liz menang dalam kejohanan berkenaan. Selepas menggunakan papan Ouija, pasukan rakan baiknya itu berjaya muncul sebagai pemenang tetapi ia mengundang khabar angin penularan penggunaan sihir di sekolah dan Maria sebagai pengamalnya.
Dalam laporannya, Loa Zavala menulis, “Ramai remaja yang merasa terganggu dengan semua ini. Mereka sangat marah dan mengungkitnya selalu dengan beberapa biarawati sehingga ia diketahui oleh Mother Superior (ketua biarawati).” Pada awalnya, Mother Superior ketika itu iaitu Sister Margie Cheong tidak tahu tentang kisah papan Ouija.
Tetapi selepas diberitahu hakikat Ouija, larangan bermain papan Ouija di kawasan sekolah dikeluarkan. Dia juga turut mengarahkan sesiapa yang terlibat dicari dan salah seorang yang disoal ialah Maria. Maria menafikan bila disoal seorang biarawati tetapi pemeriksaan katilnya mendedahkan sebuah papan Ouija yang disembunyikan.
Semua tahu dengan penemuan papan tersebut, Maria boleh saja mengucapkan selamat tinggal kepada Girlstown. Tetapi pelajar tersebut enggan kerana merasakan dunia luar sana terlalu kejam dan dia mahu kekal menyambung pengajiannya di situ. Malah, dia juga mempersoalkan mengapa dia seorang saja dihukum sedangkan orang lain juga bermain papan sama.
Tetapi Sister Cheong tidak mengubah fikirannya dan mengarahkan Maria dikeluarkan daripada kawasan sekolah. Berdasarkan satu kisah, tiba-tiba angin bertiup kuat yang menolak pintu sehingga memotong salah satu jari Maria sekaligus mengakibatkan ia terpercik sehingga ke tangga dan dewan tatkala dia dibawa pergi.
Tatkala dia dibawa keluar, Maria bertembung dengan bekas rakan-rakan asramanya. Dan di sinilah kata-kata keramat ini terkeluar dari lisannya yang berbunyi, “Setiap orang dalam generasi aku yang menuduh aku atau memikirkan perkara buruk terhadapku akan jatuh sakit. Kau akan sakit pada bahagian kaki. Kau takkan dapat berjalan. Kau akan disumpah…”
Sejak itulah, gangguan makhluk halus dan histeria yang melanda Girlstown bermula. Selain histeria, ada yang ketakutan melihat kelibat hantu di kawasan sekolah. Salah satu hantu yang dilihat ialah hantu seorang pelajar perempuan yang m4ti akibat tuberkulosis.
Yang pasti, gangguan sebegini menarik perhatian ramai pihak termasuk pihak media. Sehingga timbul laporan ura-ura berlakunya penderaan di sekolah berkenaan, satu khabar yang dinafikan sekeras-kerasnya oleh Sisters of Mary dan Sister Cheong. Sementara ibu bapa pelajar-pelajar sanggup datang dari jauh semata-mata nak membawa mereka pulang dari tempat yang mereka anggap neraka.
Bagi Loa Zavala pula, kunci kepada isu histeria ialah mengenalpasti pengalaman pahit yang dialami pelajar-pelajar. Majoriti pelajar yang ditemubual datang dari latar belakang keluarga bermasalah termasuk isu penderaan. Salah seorang daripada mereka iaitu Soledad, 16, mendedahkan dirinya pernah dipukul oleh ibunya dengan wayar elektrik atau kasut sehingga berdarah.
Antara Oktober 2006 hingga Jun 2007, lebih 500 pelajar, seorang guru dan beberapa biarawati jatuh sakit akibat gangguan sumpahan ini. Dan 300 daripadanya dihantar pulang ke keluarga masing-masing. Pihak sekolah cuba menyelesaikan isu ini dengan pelbagai cara termasuk memanggil paderi tetapi tidak berhasil.
Akhirnya, Sister Cheong menggerakkan usaha mengesan Maria dengan harapan dapat mem4tikan sumpahan yang dikenakan bekas pelajar Girlstown itu. Tetapi malangnya, Maria sekeluarga telah berhijrah dari Tuxtupec ke Veracruz tanpa meninggalkan sebarang maklumat perhubungan. Tidak mustahil mereka mungkin sudah berhijrah ke bahagian lain Mexico atau Amerika Syarikat kerana mengelak situasi panas di negara itu.
Tetapi pada akhirnya, semua pelajar yang masih kekal di sekolah melaporkan tidak lagi mengalami simptom di kaki dan pulih sepenuhnya daripada gangguan berkenaan. Dan menerusi laporan akhir perubatan yang difailkan pakar-pakar termasuk Loa Zavala, kesemua insiden yang berlaku di Girlstown berpunca daripada gangguan pergerakan psikogenik yang konsisten dengan gangguan penukaran.
Tambah Loa Zavala dalam laporannya, “Kanak-kanak tidak seharusnya perlu menggunakan pendekatan radikal untuk menunjukkan perasaan mereka sekiranya mereka berada dalam persekitaran yang sihat. Mereka memerlukan badan mereka untuk bercakap. Jadi menerusi simptom-simptom ini, mereka cuba mengatakan sesuatu, cuba untuk membuat perubahan.”
Sehingga hari ini, Sisters of Mary atau World Villages masih enggan memberi komen tentang apa yang berlaku di Girlstown. Dan bagi Sister Cheong, selepas situasi Girlstown kembali pulih, dia diarah kembali ke Korea Selatan. Bagaimanapun, dia menganggap apa yang berlaku sebagai satu ujian dan dia tidak pernah hilang keyakinannya terhadap Tuhan.
Bagi Jovita pula, dia akhirnya meninggalkan Girlstown selepas ibunya mengajaknya pulang. Walaupun mengakui situasi di sana tidak menyenangkan, dia tidak mahu meninggalkan tempat yang menawarkan peluang untuk bebas. Tetapi ibunya menegaskan yang lebih penting ialah nyawa puteri kesayangannya dan mereka tidak mahu memperjudikan nasib terus kekal di situ.
Sehingga hari ini, dia menjalani kehidupan secara sederhana dan tidak pernah menjejakkan kaki kembali ke Girlstown. Tetapi Jovita masih ingat pesanan Sister Cheong dan itu menginspirasikan dirinya untuk tidak pernah putus harapan.
RUJUKAN:
Hernandez, Daniel. (2020). The Haunting of Girlstown. Vox. https://www.vox.com/the-highlight/21242299/outbreak-girlstown-chalco-world-villages-villa-de-las-ninas
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih