Ferdinand Magellan merupakan seorang peneroka dari Portugal yang meraih kemasyhuran lantaran kejayaan ekspedisinya mengelilingi dunia buat kali pertama sekaligus membuktikan bahawa bumi itu bulat. Walau bagaimanapun, perlayaran beliau ini dilanda nasib malang, badai ribut dan pemberontakan. Magellan sendiri tidak berpeluang menyempurnakan ekspedisinya ini.

Pada tahun 1453, Empayar Byzantine menemui pengakhiran apabila ibu kotanya, Konstantinopel, tumbang ke tangan Turki-Uthmaniyah di bawah kepimpinan Sultan Muhammad al-Fateh. Salah satu kesan susulan daripada kebangkitan Empayar Uthmaniyah ini adalah aktiviti perdagangan merentas darat oleh Eropah ke Asia kini semakin terhad.

Malahan, barang eksotik dari Timur dimonopoli oleh pedagang-pedagang Arab dan ia dijual kepada orang Eropah dengan harga yang sangat tinggi. Hal ini mendorong kepada bermulanya Zaman Penemuan (atau Penjelajahan) oleh Dunia Eropah, di mana salah satu matlamat penerokaan laut ini adalah untuk menemukan laluan alternatif ke Timur.

Pada tahun 1488, peneroka Portugis yang bernama Bartolomeu Diaz berjaya sampai ke Lautan Hindi dari Lautan Atlantik dengan berlayar di sepanjang penghujung selatan Afrika. Kira-kira 10 tahun kemudian, rakan sewarganya, iaitu Vasco da Gama pula tiba di India setelah mengikuti laluan yang dirintis oleh Diaz.

Selain Portugis, orang-orang Sepanyol juga mula menjelajahi lautan. Christopher Columbus si peneroka Itali yang berkhidmat untuk Sepanyol, misalnya, mempercayai bahawa Timur boleh diakses dengan berlayar ke barat. Walaupun Columbus kemudiannya hanya ‘menemukan’ Dunia Baru – hakikatnya, terdapat orang lain yang sampai di sana lebih awal berbanding beliau – beliau bertegas mengatakan bahawa tanah tersebut adalah sebahagian dari benua Asia.

Idea yang dipegangi Columbus bahawa Timur boleh diakses dengan berlayar ke barat ini dilihat tidak masuk akal bagi sesetengah masyarakat di zamannya. Namun, terdapat juga sebilangan pihak yang meraih motivasi daripada idea tersebut. Salah seorang daripada mereka ini ialah Ferdinand Magellan yang cuba untuk sampai ke Asia dengan berlayar ke barat, 13 tahun selepas kematian Columbus.

Potret Ferdinand Magellan

Pada mulanya, Magellan menumpahkan khidmat kepada raja Portugal. Namun, beliau kemudian meninggalkan Portugal dan bertukar kesetiaan pada Sepanyol. Pada tanggal 22 Mac 1519, beliau berjaya memujuk raja Sepanyol supaya menaja perlayarannya ke Kepulauan Rempah.

Magellan dibekalkan dengan lima buah kapal bagi melaksanakan perlayaran tersebut – iaitu kapal Trinidad, San Antonio, Conception, Victoria dan Santiago. Selain itu, Magellan juga diberikan hak ke atas satu perlima daripada keuntungan yang diperoleh hasil aktiviti penjarahan dan rampasan yang dilakukan sepanjang perlayaran tersebut.

Nao Victoria, replika kapal Magellan di Punta Arenas, Chile

Menurut catatan-catatan yang ditinggalkan oleh Antonio Pigafetta, Magellan mula berangkat dari Seville pada 10 Ogos tahun yang sama. Namun, beliau hanya berlayar dari Sanlucar de Barrameda, Sepanyol dan memasuki Lautan Atlantik pada bulan September. Dari sana, Magellan berlayar menuju ke Brazil yang pada waktu itu merupakan koloni Portugal.

Seterusnya, beliau memasuki Rio de Janeiro (sungai dan bukannya bandar, di mana bandarnya hanya ditubuhkan pada 1565) pada tanggal 13 Disember. Mereka menetap di sana sehingga 26 Disember sebelum melanjutkan perlayaran. Dari Brazil, Magellan dan angkatannya berlayar ke selatan di sepanjang pantai Amerika Selatan demi mencari laluan yang dapat membawa mereka ke Asia.

Potret yang lazim dikaitkan dengan Antonio Pigafetta

Pada Mac 1520, Magellan terpaksa melabuhkan sauh di Pelabuhan San Julian, pantai Patagonia di Argentina selatan lantaran musim sejuk. Pada masa-masa inilah berlakunya pemberontakan. Namun, Magellan berupaya menangani kemelut tersebut dengan menjatuhkan hukuman ke atas kapten pemberontak. Seorang lagi kapten pemberotan lain ditinggalkan di sebuah pulau terbiar.

Sekitar masa yang sama, Santiago dihantar untuk meninjau laluan. Namun, ia karam akibat dibadai ribut. Anak-anak kapal yang masih hidup sempat diselamatkan dan dimasukkan ke dalam kapal-kapal lain yang masih teguh. Setelah lima bulan berdiam di Pelabuhan San Julian, Magellan menyambung perlayarannya.

Pada 21 Oktober 1520, laluan untuk ke Timur akhirnya ditemui dan Magellan mengambil masa selama 38 hari untuk meredahnya sebelum benar-benar keluar dari Lautan Atlantik dan memasuki Lautan Pasifik. Pada hari-hari awal meredah laluan tersebut, anak-anak kapal San Antonio menggesa kapalnya agar mengabaikan ekspedisi dan berpatah balik ke Sepanyol.

Laluan ini pada asalnya dinamakan sebagai Straits of All Saints (atau Selat Orang-Orang Kudus), memandangkan kapal-kapal Magellan memasuki selat ini pada tanggal 1 November, iaitu hari yang dianggap sebagai ‘Hari Orang-Orang Kudus’ (All Saints’ Day) dalam agama Kristian. Kemudian, laluan ini dinamakan sebagai Selat Magellan bersempena nama individu yang menemukannya.

Peta yang menunjukkan Selat Magellan

Dalam penggal yang berikutnya, Magellan tiba di Pulau Guam. Di sana, beliau mengisi semula bekalan makanan. Magellan kemudian berlabuh di Filipina, tempat di mana belau terkorban dalam Pertempuran Mactan yang meletus pada 21 April 1521. Lapu-Lapu, seorang pembesar di Pulau Mactan, diberikan kredit lantaran berjasa memerangi dan menewaskan penceroboh dari Eropah itu.

Selepas kematian Magellan, dua orang ketua ekspedisi yang baru dilantik turut menemui nasib yang sama apabila mereka dibvnuh dalam sebuah jamuan oleh seorang raja tempatan.

Susulannya, tugas kepimpinan jatuh ke bahu Juan Sebastian Elcano di mana tugas utama beliau adalah membawa anak-anak kapalnya pulang semula ke Sepanyol melalui Lautan Hindi. Lantaran kekurangan tenaga manusia, Elcano memutuskan untuk membakar Conception agar tidak jatuh ke tangan penduduk tempatan.

Dalam perlayaran pulang, Trinidad dirampas oleh Portugis. Satu-satunya kapal yang berjaya sampai ke Sepanyol adalah Victoria. Ketika tiba di Sepanyol pada tanggal 6 September 1522, hanya 18 orang sahaja yang terselamat dari keseluruhan 270 orang anak kapal. Apapun, sejarah akan tetap mengenang ekspedisi perlayaran pasukan Magellan yang mengelilingi dunia ini.

Perlayaran Magellan-Elcano. Victoria, salah sebuah dari lima buah kapal asal, berjaya mengelilingi bumi selepas kematian Magellan

TERJEMAHAN:

Wu Mingren. (19 April 2015). Ferdinand Magellan: Defying all Odds in a Voyage around the World. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/history/ferdinand-magellan-defying-all-odds-voyage-around-world-002924


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.