Sebelum berpindah keluar dari Tokyo selepas mendapat pekerjaan baru, Akari Shirai berharap dapat makan di restoran kegemarannya. Tetapi dia berharap dapat makan dengan aman tanpa diganggu fikiran-fikiran negatif selepas perceraiannya dimuktamadkan. Lantas, Shirai mengupah seorang lelaki bernama Shoji Morimoto atau Rental-san sebagai penemannya semasa makan tengah hari.
Makan tengah hari mereka berlangsung selama 45 minit. Dalam tempoh tersebut, interaksi antara Shirai dan Morimoto ringkas tetapi memuaskan si penyewa. Ini kerana Rental-san tidak menanyakan soalan-soalan yang bersifat peribadi. Jika ditanya soalan oleh Shirai, Morimoto akan memberi jawapan ringkas atau ketawa kecil. Baginya, ia merupakan satu kelegaan.
Di Jepun dan Korea Selatan, wujud industri di mana orang asing disewa agar menyamar menjadi ahli keluarga, rakan-rakan atau rakan sekerja bila menghadiri majlis sosial. Kononnya dengan cara ini, ia dapat mengelak mereka daripada berdepan situasi janggal di majlis-majlis sosial. Malah, perkara ini pernah disentuh dalam buku penulis, Dasar Pandang Ke Jepun.
Tetapi apa beza Morimoto dengan orang yang disewa yang lain? Bezanya ialah beliau menawarkan dirinya sebagai individu yang menyokong si penyewa dan membebaskan mereka daripada segala norma sosial yang wujud dalam masyarakat Jepun.
Kisah beliau menjadi inspirasi kepada drama People Who Do Not Rent (2020) yang menampilkan pelakon Takashisa Masuda dan tiga buah buku. Dengan sewa sekitar 10,000 yen (RM345.20), mintalah Morimoto menemani anda dalam apa jua situasi dan beliau sedia melakukannya.
Tetapi biasanya, beliau diupah bagi menemani individu yang sedang mengalami perubahan hidup, mengubah memori yang bersifat trauma (seperti kes Akari Shirai) atau mendepani memori yang sukar dikongsi dengan keluarga atau rakan-rakan. Setelah sewa dibayar, Morimoto akan menemani mereka tanpa sebarang prejudis atau bias dan membiarkan mereka melakukan perkara yang cuba ditunaikan.
Antara contoh situasi yang pernah dihadapi beliau ialah sebagai penunggu pelari maraton di garisan penamat, menemani seorang wanita memfailkan perceraian atau mengucapkan selamat tinggal kepada klien yang berpindah dari Tokyo ke Osaka.
Bagi Profesor Yasushi Fujii dari Universiti Meisei, Tokyo, khidmat yang ditawarkan Rental-san sebenarnya contoh sokongan emosi yang diperlukan ramai orang tetapi tidak berpeluang mendapatkannya. Ini ditambah dengan situasi pandemik Covid-19 yang memburukkan lagi situasi kesunyian yang dihadapi penduduk Jepun.
Jadi, apa mendorong Morimoto melakukannya? Anak jati Kansai itu memberitahu semuanya bermula selepas beliau diberitahu bahawa dirinya tidak cekap dan tidak cukup baik untuk pekerjaan lamanya. Sejak menceburkan diri sebagai orang untuk disewa, Morimoto telah menyelesaikan 4,000 permintaan dengan dua orang klien sehari. Sebelum pandemik Covid-19, beliau mempunyai tiga hingga empat orang klien sehari.
Gaya hidup sebegini amat sesuai dengan Morimoto yang tidak banyak bercakap atau menunjukkan emosi. Klien dapat mengenali dirinya yang suka memakai hoodie dan topi biru. Tetapi jika keadaan memerlukan, Morimoto akan memakai pakaian bersesuaian mengikut situasi kliennya.
Satu perkara yang dipelajarinya ialah tidak mempunyai apa-apa prejudis terhadap orang lain. Selain itu, Morimoto sentiasa ingat agar bersikap empati terhadap klien yang berdepan isu peribadi tetapi tidak tahu cara meluahkannya. Mungkin kerana dua aspek ini, ia menjadikan namanya tular di laman media sosial baik di Jepun atau luar negara.
RUJUKAN
Lee, M. Y. H. dan Inuma, J. I. (2022, 24 Januari). Meet the Japanese man paid to do nothing. The Independent.
Sumber gambar: The Washington Post




No comments yet