Peristiwa Karbala masyhur terdapat di dalam kitab-kitab Tarikh Islam. Sumber-sumber itu kelihatan saling bersamaan antara satu sama lain melainkan beberapa kisah sahaja. Sedangkan jalan kisah itu sejalan antara satu sama lain. Perawi utama yang dipakai di dalam kisah pembvnuhan Sayyidina Hussain adalah Abu Mikhnaf.
Meskipun Abu Mikhnaf adalah seorang perawi Syiah namun sejarawan Sunni masih menerima penceritaan umumnya melainkan beberapa kisah dilihat bertentangan dengan riwayat lebih shahih. Ketika Yazid sudah menjadi Khalifah Yazid telah menghantar surat kepada gabenor Madinah Al-Walid bin Uqbah yang menceritakan bapanya sudah meninggal dunia dan dia telah menjadi Khalifah.
Surat itu kemudian diselitkan dengan secari kertas sebesar telinga tikus berbunyi ‘”Kemudian mintalah Al-Hussain, Ibn Zubair dan Abdullah bin Umar bai’atnya kepadaku dengan keras dan tidak ada kelunakan dengannya sehingga mereka membai’at wassalam.’’
Dr Yusuf Isy di dalam bukunya Daulah Umawiyah mengkritik sikap Yazid berkenaan surat kecil itu kerana menunjukkan sikap sambil lewa Yazid, mengapa Yazid tidak ingin menulis perkara itu dalam surat yang besar untuk menunjukkan keseriusannya.
Al-Walid bin Utbah kelihatan tidak bersungguh-sungguh dalam melaksanakan arahan Yazid ini. Al-Walid pernah berkata: ‘’Demi Allah, aku tidak ingin membvnuh Al-Hussain sekalipun kerana itu aku boleh mempunyai segala harta dan kerajaan dunia di matahari terbit dan tenggelam di atasnya. Aku tidak akan membvnuh Hussain subhanallah, tidak akan hanya kerana Hussain berkata: ‘Aku tidak membai’at.’’ Demi Allah menurutku seseorang yang menghadap Allah dengan membawa darah al-Hussain pasti timbangan kebaikkannya akan ringan di sisi Allah di hari kiamat.’’ (Tarikh ath-Thabari 6/259). Al-Hussain telah meminta waktu daripada Walid untuk dia membuat keputusan. Lalu al-Hussain telah meninggalkan Madinah menuju Makkah.
Al-Hussain adalah anak kepada Sayyidina Ali dan cucu Rasulullah SAW yang sangat mulia. Rasulullah SAW bersabda:
‘’Sesungguhnya Al-Hasan dan Al-Hussain adalah kesayanganku dari dunia (Hadis Riwayat Imam Bukhari). Baginda juga bersabda ‘’ Al-Hasan dan Al-Hussain adalah sayyid (penghulu) para pemuda ahlul jannah.” (Hadis Riwayat Imam Tirmidzi)
Ketika Al-Hassan menyerahkan kekhalifahannya kepada Muawiyah demi persatuan umat Islam akibat pepercahan yang berlaku diantara Khalifah Ali dan Muawiyah, al-Hussain tidak bersetuju kerana menurutnya mereka berada di atas kebenaran.
Ibn Kathir berkata: ‘’Al-Hussain menyalahkan saudaranya Al-Hasan atas pendapat ini, tetapi beliau tidak mahu menerimanya. Dan kebenaran ada pada Al-Hasan sebagaimana dalil yang akan datang….” (Al-Bidayah Wa Nihayah 8/ 17).
Namun melihat abangnya masih ingin menyerahkan kekuasaan kepada Muawiyah maka Al-Hussain akur akan keinginan abangnya. Al-Hassan telah membai’at Muawiyah juga sebagai Khalifah. Dia tetap berpegang kepada bai’atnya sehingga wafatnya Muawiyah. Kini Hussain berasa berhak untuk membuat keputusannya sendiri sama ada untuk memba’at atau tidak Yazid sebagai Khalifah.
Apakah pandangan Hussain berkenaan Bani Umayyah? Hussain tegas menentang kekuasaan secara monarki yang dilakukan oleh Muawiyah. Menurut Hussain, Muawiyah telah melanggar janjinya kepada al-Hassan iaitu akan menyerahkan urusan pemerintahan ini kepada umat Islam. al-Hussain ingin menegakkan kembali dasar Musyawwarah di dalam urusan pemerintahan umat Islam. Al-Hussain juga memandang Yazid bin Muawiyah tidak layak memegang urusan Umat Islam ini.
Al-Hussain juga apabila berada di Makkah telah mendapat surat-surat daripada penduduk Kufah, Iraq. Penduduk Kufah seperti yang diketahui mereka memang tidak menyukai pemerintahan Bani Umayyah dan mendukung Ali beserta keluarganya telah mengirim surat menyatakan sokongan kepada al-Hussain. Mereka juga menyatakan kesediaan untuk membai’at al-Hussain sebagai pemerintah mereka. Surat-surat yang dihantar oleh penduduk Iraq kepada al-Hussain sangat banyak sehingga mampu memenuhi kandang unta perumpamaanya.
Maka Al-Hussain apabila mengetahui tentang keinginan orang Kufah untuk melindunginya, telah menghantar Muslim bin Aqil untuk melihat melihat apakah mereka benar-benar serius untuk menyokong al-Hussain. Apabila Muslim tiba di Kufah sebanyak 12 ribu orang Kufah telah menyatakan kesediaan untuk membai’at al-Hussain. Maka al-Hussain sudah bersedia untuk menuju ke Kufah. Hussain memaklumkan khabar berita ini serta niat beliau untuk ke Kufah kepada para sahabat serta ahli keluarga beliau bagi mendengar pandangan mereka.
Namun demikian para sahabat terkemuka serta ahli keluarganya seperti ‘Abdullah Ibnu Abbas, Muhammad bin al-Hanafiyah, ‘Abdul Rahman bin Hisyam al-Makhzumi, ‘Abdullah bin Jaafar bin Abi Talib, Abdullah bin Muti’ al-Afdawi, ‘Amru bin Sa’id, ‘Abdullah bin ‘Umar, Abu Sa’id al-Khudri dan lain-lain telah menentang niat al-Hussain tersebut.
Antara sebab mengapa mereka menghalang keberangkatan al-Hussain adalah kerana mereka tidak percaya kemampuan orang Kufah untuk mempertahankan Al-Hussain sehingga menyebabkan al-Hussain boleh dikhianati oleh mereka. Selain itu mereka juga bimbang keluarnya al-Hussain mampu menyebabkan pepercahan Umat Islam sehingga tercetusnya fitnah. Namun al-Hussain tetap dengan pendiriannya untuk tetap berangkat menuju ke Kufah.
Ahli keluarga Hussain Abdullah bin Ja’far telah berjumpa dengan gabenor Makkah iaitu Amr bin Said bin Ash untuk mendapat jaminan keamanan buat al-Hussain. Ibn Ja’far merasakan Al-Hussain menuju ke Iraq kerana takut akan nasibnya di Makkah yang dikuasai oleh Bani Umayyah. Maka Amr bersetuju dengan permintaan Abdullah bin Ja’far dan berkata: ‘’Tulislah surat apa sahaja yang engkau khendaki maka aku akan menandatangi surat tersebut.’’.
Maka Abdullah menulis surat yang berbunyi: ‘’Aku mendengar engkau sedang menuju Iraq dan aku peringatkan engkau daripada perpecahan, aku takut engkau akan binasa, aku telah mengutus Abdullah bin Ja’far dan Yahya bin Said maka datanglah kepadaku bersama mereka berdua, engkau akan mendapat keamanan di sisi ku, aku wajib menjagamu dan melindungimu.’’
Maka Al-Hussain menjawab surat itu: ‘’Sebaik-baik keamanan adalah keamanan Allah dan Allah tidak akan memberi keamanan di hari kiamat kepada orang-orang yang tidak takut padanya di dunia.’’ (Tarikh ath-Thabari 4/292).
Berdasarkan Surat ini jelas al-Hussain hanya mengharapkan perlindungan daripada Allah SWT sahaja dalam menegakkan perkara yang haq baginya. Hussain mempunyai keyakinan untuk menegakkan kembali pemerintahan berdasarkan Al-Quran dan as-Sunnah yang dianggapnya telah diselewengkan oleh orang Bani Umayyah. Orang Kufah juga menyatakan kesediaannya untuk menerima al-Hussain sebagai pemimpin mereka dan meyakini bahawa Al-Hussain akan datang membantu mereka.
Yazid menyedari dia memerlukan kekerasan dalam menghalang dan menakutkan orang Kufah daripada membantu al-Hussain. Kufah pada waktu itu berada di bawah pemerintahan Nu’man bin Basyir seorang sahabat Nabi SAW. Nu’man sangat berlembut dalam menangani isu ini bahkan dia dikenal sebagai orang yang bersimpati dengan Sayyidina Ali dan pendukungnya.
Ada yang mendakwa Nu’man sebenarnya telah mendorong orang Kufah untuk menghantar surat ini kepada Al-Hussain. Yazid kurang berpuas hati dengan prestasi Nu’man ini telah meminta nasihat penasihatnya Sarjun dalam isu ini. Sarjun mencadangkan agar Yazid mengikut sahaja wasiat Muawiyah bin Abu Sufyan untuk memberikan wilayah Kufah kepada gabenor Basrah iaitu Ubaidillah bin Ziyad.
Maka Yazid bersetuju akan nasihat ini dan menjadikan Ubaidillah sebagai penguasa di Basrah dan Iraq. Ubaidillah ini adalah anak kepada Ziyad bin Abihi yang merupakan orang kepercayaan utama Muawiyah bin Abu Sufyan untuk mengurusi wilayah Iraq. Ubaidillah ini jauh lebih keras berbanding bapanya sendiri. Dia seorang yang sangat licik, pengampu, pandai pengadu dombak dan bercita-cita besar.
Dia juga sangat keras dalam meletakkan hukuman kepada pemberontak. Sesungguhnya Ubaidillah ini adalah orang besar dan kepercayaan Yazid sama seperti Muawiyah dan Ziyad bin Abihi. Maka Ubadillah terus menuju ke Kufah dan berlakon sebagai Al-Hussain dengan memakai cadar. Maka masyarakat Kufah menyambut kedatangan orang yang disangka olehnya sebagai al-Hussain dengan berkata: ‘’Selamat datang wahai anak daripada puteri Rasulullah SAW.’’
Namun masyarakat mula sedar bahawa itu adalah Ubaidillah mula membuat kekacauan. Ubaidillah telah memasuki penjabatnya dan mengumpulkan pengawal. Pembesar-pembesar Kufah telah ditangkap dan ada yang dibvnuh. Muslim bin Aqil mengetahui perkara itu bersama pengikutnya sebanyak 4000 ribu orang datang menuju ke istana Ubadillah.
Namun secara tiba-tiba pendokong-pendokong telah ramai meninggalkan Muslim melainkan beberapa orang sahaja. Ubadillah telah berjaya mempergunakan pembesar Kufah yang takut akannya untuk menakut-nakutkan penduduk Kufah sehingga mereka berasa gerun untuk bersama Muslim bin Aqil. Akhirnya pasukan Muslim telah tewas. Muslim sempat lari ke rumah seorang wanita daripada Bani Kindah.
Namun wanita itu mengkhianatinya dan memberitahu Ubaidillah. Ubaidillah menghantar 70 orang tentera untuk menangkap Muslim. Muslim telah ditangkap oleh Ubaidillah dan dibvnuh olehnya. Sebelum dibvnuh Muslim sempat meminta Umar bin Saad bin Abi Waqash untuk memberitahu Hussain agar pulang ke Madinah dan jangan mempercayai orang Kufah yang telah mengkhianatinya.
Kepala Muslim yang dipenggal telah dikirim oleh Ubaidillah kepada Yazid. Yazid bersetuju dengan tindakan Ziyad dan mengahntar surat yang tertulis: ‘’Aku mendapat laporan Hussain bin Ali telah pergi menuju Iraq maka pasangkanlah mata-mata dan pasukan penjaga jalan raya, hati-hatilah terhadap segala kecurigaan akan tetapi janganlah engkau membvnuhnya kecuali orang yang membvnuhmu sahaja.’’ (Tarikh ath-Thabari 4/286).
Dalam perjalanan al-Hussain berjumpa dengan pasukan Ubaidillah yang dihantar berjumlah 1000 pasukan dipimpin oleh Umar bin Saad bin Abi Waqash bersama 4000 pasukan bantuan di Karbala yang berdekatan dengan selatan Baghdad. Al-Hussain mula menyedari akan nasihat Muslim bin Aqil dan melihat desakan Ubadillah bin Ziyad kepadanya untuk membai’at Yazid sehingga mengugut-ugut Umar bin Saad itu menawarkan 3 perkara kepada Umar:
1. Membiarkannya pulang ke Madinah
2. Membiarkannya pergi Ke Syam untuk berjumpa dengan Yazid
3. membiarkan dirinya pergi ke mana-mana perbatasan kaum Muslimin
Umar telah meminta Hussain memberikannya masa untuk memberitahu Ubadillah. Hussain juga ikut dengan rombongan Umar. Ubaidillah apabila mendapat khabar ini hampir sahaja setuju. Namun kemudia dia dihasut oleh seorang lelaki yang bernama Syamr bin Dzul Jausyan yang berkata:
‘’Jika ia dapat keluar daripada daerahmu maka engkau tidak menguasainya padahal engkau lebih kuat darinya maka hal ini menunjukkan kelemahanmu, janganlah engkau beri kedudukan ini. Kerana hal itu merupakan tanda kelemahan dan janganlah engkau beri kedudukan ini kerana hal itu merupakan tanda kelemahan dan menurunkan darjat kamu dalam kekuasaan kamu. Jika engkau menghukumnya maka engkau pemilik hukuman jika tidak maka ampunan terserah padamu.’’ (Tarikh ath-Thabari 4/313).
Yang menariknya berdasarkan Kitab ulama Syiah Mustadrakaat ilm Rijaalil Hadiits (4/220) karya Al-Allamah an-Namizi asy-Syahrudi menyatakan mengenai Syamr bahawa ‘’pada Perang Siffin dia berada di dalam barisan Amirul Mukminin Ali bin Abu Talib.’’
Ubaidillah yang dipengaruhi oleh Syamr telah menetapkan bahawa Al-Hussain berada di bawah keputusannya bukan pilihan yang diberi oleh al-Hussain. Maka dia menulis surat kepada Umar iaitu jika al-Hussain tidak ingin menyerah maka bvnuh sahaja dia. Jika Umar tidak ingin menurut perintah maka Syamr akan menggantinya menjadi ketua pasukan. Umar bimbang akan keselamatannya telah meminta al-Hussain untuk menyerah. Al-Hussain tetap dengan pendirian tidak ingin menyerah kepada Ubaidillah sehingga rombongannya diser4ng oleh tentera Bani Umayyah.
Orang Kufah yang takut tidak menolong al-Hussain yang rombongannya hanya berjumlah 80 orang sahaja bersama orang-orang Hurr (asalnya berada di pihak Bani Umayyah kemudia pergi ke blok Hussain) bahkan ada orang Kufah telah menyertai tentera Bani Umayyah. Maka berlangsunglah peper4ngan tidak seimbang ini. Al-Hussain disertai oleh 32 penunggang kuda dan 40 pejalan kaki.
Al-Hussain telah memberikan panji perang kepada Abbas bin Ali. Anak-anak dan isteri al-Hussain diletakkan di belakangnya dan dinyalakan api sebagai pertahanan kerana bimbang mereka diser4ng daripada belakang bertemu pasukan Umar sangat ramai berjumlah 4000 pasukan yang turut disertai pemimpin Kufah yang khianat. Walaupun berjumlah sedikit pasukan Hussain memiliki semangat juang yang tinggi di dalam mempertahankan diri. Ramai berguguran untuk mempertahankan al-Hussain.
Tentera-tentera Bani Umayyah berasa takut untuk menyentuh Al-Hussain kerana takut menanggung dosa membvnuh cucu Rasulullah SAW. Al-Hussain menunjukkan kepahlawanannya dalam melawan pasukan Bani Umayyah. Syamr risau keadaan itu akan melemahkan pasukan Bani Umayyah telah berteriak menyuruh pasukan membvnuh Al-Hussain.
Akhirnya syahidlah Hussain dalam keadaan menyayat hati dengan badannya ditombak dan kepalanya dipenggal pada tahun 10 Muharram 681M. Sebanyak 72 orang Al-Hussain terbvnuh. Antaranya ialah anak-anak Ali seperti Abu Bakar, Jaafar, Al-Abbas, Muhammad dan Uthman, anak-anak Al-Hussain iaitu Ali al-Akbar dan Abdullah dan cucu Al-Hassan Abdullah, Al-Qassim dan Abu Bakar serta anak-anak Aqil iaitu Jaafar, Abdullah, Abdurrahman dan Abdullah bin Muslim.
Kepala Al-Hussain telah diberi kepada Ubaidillah. “Aku diberitahu oleh Muhammad bin Husain bin Ibrâhîm, dia mengatakan; aku diberitahu oleh Husain bin Muhammad, kami diberitahu oleh Jarîr dari Muhammad dari Anas bin Mâlik radhiyallahu ‘anhu, dia mengatakan; ‘Kepala Husain dibawa dan didatangkan kepada ‘Ubaidullah bin Ziyâd. Kepala itu ditaruh di bejana. Lalu ‘Ubaidullah bin Ziyâd menusuk-nusuk (dengan pedangnya) seraya berkomentar sedikit tentang ketampanan Husain.
Anas radhiyallahu ‘anhu mengatakan: “Diantara Ahlul-Bait, Husain adalah orang yang paling mirip dengan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam.’ Saat itu, Husain radhiyallahu ‘anhu disemir rambutnya dengan wasmah (tumbuhan, sejenis pacar yang condong ke warna hitam).’” (Riwayat Imam Al-Bukhari). Ubaidillah telah menghantar ahli keluarga al-Hussain untuk dibawa ke Syam untuk bertemu Yazid di istananya. Diriwayatkan bahawa Yazid berlinang air mata melihat perkara ini dan berkata ‘’Aku telah memerintahkan kamu untuk tidak membvnuh Hussain, Semoga Allah melaknat Ibn Ziyad jika aku bertemu dengannya nescaya aku akan memaafkannya.’’ (Tarikh ath-Thabari 4/352).
Diriwayatkan para isteri Yazid menyambut kedatangan ahli keluarga Hussain dengan kesedihan berkabung. Yazid telah membenarkan mereka pulang ke Madinah. Ada juga berpandangan pada asalnya Yazid bergembira atas pembvnuhan Hussain namun lama kelamaan dia mula rasa bersalah kemudian melayani ahli keluarga Hussain dengan baik. Yazid juga tetap mengekalkan Ubadillah sebagai gabenor Kufah walaupun dia melaknat Ubaidillah.
Dr Yusuf Isy berpandangan Yazid mungkin bersedih namun dalam masa yang sama hatinya tenang kerana musuh besarnya di dalam kekhalifahan telahpun tumpas.
RUJUKAN:
1. Muawiyah bin Abu Sufyan Sakhsiyatahu wa asrahu al-dawlah Sufyaniyyah karya dr. Al-Shalabi (terjemahan Darul Al-Haq)
2. Muawiyah bin Abu Sufyan: Kebenaran di sebalik Fitnah Karya Sahrul Azmi Sidek
3. History Of The Arabs karya Philip K Hitti
4. The Great Arab Conquest: How the Spread Of Islam Change The World We Live In karya Hugh Kennedy.
5. Daulah Umawiyah karya Prof Yusuf al-Isy ( Terjemahan Pustaka Kauthar)
7. Al-Alam al-Islami Fi Ashr al-Umawi karya Prof Abdussyafi (terjemahan Pustaka al-Kautahar)
8. Al-Khilāfāt Al-Siyasiyah Bayna Al-Sahābah karya Dr El-Mochtar al-Syanqiti (Terjemahan Islamic Rennaisance Front)
9. Tarikh Khulafa’ karya Imam Suyuthi
10. Tarikh Ath-Thabari (Terjemahan English oleh SUNY PRESS)
11. The Caliphate Of Banu Umayyah: First Phase by Ibn Kathir
12. Fitnah Al-Kubra Taha Hussain
13. Sejarah Umat Islam karya Hamka
14. Hiqbah Minat Tarikh karya Dr Uthman Al-Khumais (Terjemahan Pustaka Imam Asy-Syafie)
15. The First Muslim karya Asma Asfaruddin
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih