Walaupun enak dibuai kejayaan Squid Game, Hellbound dan Money Heist, Netflix tidak pernah lupa menyajikan program berkualiti dalam Bahasa Inggeris. Salah satu daripadanya ialah Cowboy Bebop menampilkan John Cho (Star Trek), Mustafa Shakir (Luke Cage) dan Danielle Pineda (Jurassic World: Fallen Kingdom). Tetapi tidak ramai tahu usaha membawa versi animasi untuk disiarkan bukan sesuatu yang mudah.

Sekitar tahun 90-an, syarikat pembuat permainan dan hiburan Bandai meminta bantuan pengarah Shinichirō Watanabe untuk menghasilkan sebuah anime bertemakan angkasa lepas. Perlu diingat pada ketika itu, anime masih dianggap sebagai cerita kanak-kanak di sebalik kemunculan Studio Ghibli dan filem Akira (1988). Tetapi apa yang diharapkan Bandai sebagai cerita mesra kanak-kanak meleset sama sekali.

Rajah 1: Shinichiro Watanabe

Benar, animasinya menakjubkan. Benar, plot siri yang menampilkan kumpulan pemburu ganjaran diketuai Spike dan rakan kongsinya Jet Black menentang dalang penje.na.yah kejam bernama Vi.ci.ous menarik perhatian penonton. Tetapi dengan temanya bersifat dewasa dan gelap seperti kema.ti.an, seksual dan kega.na.san, ia tidak sesuai disiarkan untuk kanak-kanak. Lantas, Bandai menghentikan projek dan ia tersadai di fasa pembangunan selama beberapa tahun.

Cowboy Bebop diberi nafas baru oleh divisyen hiburan Bandai, Bandai Entertainment selepas divisyen permainan Bandai menarik diri. Tidak seperti rakan sejawat mereka di divisyen permainan, Bandai Entertainment memberi kebebasan berkarya kepada Watanabe dan studio Sunrise untuk pembikinan Bebop.

Dan hasilnya, ia merupakan anime yang bersifat lain dari yang lain. Anime berstatus arus perdana biasanya diadaptasi daripada kisah-kisah sukan dan pengembaraan fantasi seperti Gundam Wing dan Dragon Ball Z – fokus penontonnya terdiri daripada kanak-kanak dan remaja. Dan anime yang paling popular ialah anime yang mempunyai bilangan episod yang panjang.

Tetapi Bebop pula memang fokus untuk satu musim saja dengan fokus kepada watak orang dewasa. Selain itu, Sunrise dan Watanabe turut menekankan aspek estetika kepada siri berkenaan selain perjalanan plot membabitkan watak-watak siri tersebut.

Siri ini mendapat sentuhan komposer terkenal Yoko Kanno dengan setiap episod merujuk ikon atau muzik berbeza. Misalnya, nama episod Sympathy for the Devil diambil daripada nama sama lagu Rolling Stone. Yang pasti, gabungan genre jazz dan rock yang digunakan Kanno amat sesuai untuk aksi anime berkenaan.

Selain itu, Watanabe juga berani menggabungkan pelbagai genre filem seperti spaghetti Barat, noir dan thriller sekaligus menghasilkan anime yang segar untuk tatapan penonton dewasa. Beliau juga turut meletakkan elemen budaya pop dalam setiap episod seperti Star Trek, Flash Gordon, Alien dan Babe Ruth. Contohnya, pergaduhan Spike dengan antagonis episod kedua, Abdul Karim diinspirasikan daripada adegan pertarungan Bruce Lee dalam Game of De.a.th.

Rajah 2: Pertarungan Spike-Abdul Hakim dalam Cowboy Bebop diinspirasikan daripada perlawanan Bruce Lee-Kareem-Abdul Jabbar dalam filem Game of De.a.th.

Dengan Bebop telah siap dan menunggu masa untuk disiarkan, Sunrise mencari stesen televisyen yang bersedia menyiarkannya. Pada awalnya, hanya 12 daripada 26 buah episod yang dapat disiarkan di TV Tokyo pada 1998 berikutan sebahagian besar isi Bebop yang terlalu ga.n.as kepada kanak-kanak dan remaja.

Tetapi semua itu berubah beberapa bulan selepas kegagalan siaran di TV Tokyo. Sebuah saluran kabel lewat malam bersetuju menyiarkan semua episod Bebop tanpa sebarang suntingan. Hasilnya, ia bukan sekadar menggamit minat penonton anime dalam kalangan orang dewasa Jepun. Malah, ia turut mengundang minat Cartoon Network untuk membawa anime tersebut ke Amerika Syarikat.

Selepas tahun 2000, minat orang Barat terhadap anime berlaku secara mendadak terima kasih kepada internet. Tetapi malangnya, terjemahan dan suntingan untuk sesetengah manga dan anime bersifat cacat-marba oleh sesetengah peminat ketika itu merosakkan elemen asal manga dan anime yang dinyatakan. Begitupun, itu juga bertanggungjawab menyebarkan budaya pop Jepun ke pentas global dan mendorong stesen-stesen televisyen AS mengambil serius tentang hal ini.

Cartoon Network merupakan antara yang terawal menyiarkan anime di AS pada 90-an menerusi blok program Toonami. Tetapi untuk Bebop, saluran tersebut merancang mahu menyiarkannya blok program orang dewasa Adult Swim. Bebop mula disiarkan pada 2 September 2001 tetapi terpaksa disunting susulan insiden 11 September. Tetapi sejak itu, ia merupakan antara program yang diminati ramai di Cartoon Network dan disiarkan secara berterusan.

Menariknya, peningkatan minat Bebop di AS turut dibantu dengan kemunculan drama bersiri angkasa lepas ciptaan Joss Whedon, Firefly pada 2002. Firefly yang disiarkan di Sci-Fi dilihat amat mirip dengan Bebop terutama persamaan keperibadian watak Malcolm ‘Mal’ Reynolds dengan Spike. Ini mengundang perdebatan dalam kalangan peminat sama ada persamaan kedua-dua siri bersifat kebetulan atau disentuh semasa Firefly menjalani proses pra-produksi.

Rajah 3: Persamaan drama Firefly dengan Bebop mencetuskan perdebatan persamaan ini bersifat kebetulan atau ia memberi idea kepada penciptanya, Joss Whedon.

Perdebatan Firefly-Bebop sebenarnya secara tidak langsung mendedahkan kecenderungan media AS menghasilkan semula media atau anime dari Asia Timur. Ada yang berjaya seperti The Departed (Martin Scorsese) yang diinspirasikan daripada trilogi filem Hong Kong Infernal Affairs. Tetapi selebihnya seperti The Ring dan The Grudge langsung tidak menghormati karya asal dan tidak dikenali oleh peminat.

Dan ini membawa kepada masalah baru bernama Netflix. Apabila adaptasi lakonan hidup (live-action) Bebop diumumkan, produksi diketuai Andre Nemec memberi jaminan ia tidak lari daripada siri anime asal. Masalahnya, janji ini bukan perkara baru di Hollywood dan bukan sekali peminat dikecewakan apabila melihat adaptasi anime mereka di pawagam.

Bagi penulis, siapa tidak akan lupa apabila Paramount Pictures mengumumkan Scarlett Johansson sebagai Mejar Motoko Kusanagi untuk Ghost in the Shell (2017). Apabila ia diumumkan, ia mengundang kekecohan dalam kalangan peminat kerana mengikut trend ‘memutihkan’ semua watak utama dari Asia. Ghost in the Shell kemudiannya hanya mengutip AS$169.8 juta berbanding kos produksi AS$110 juta.

Untuk Netflix, mereka hanya perlu diingatkan dengan pengalaman pahit filem De.a.th Note. Adaptasi filem tahun 2017 itu dilihat merosakkan elemen asal yang diambil daripada manga dengan plotnya bersifat caca-marba. Ia secara tidak langsung memberi kesan kepada karier pengarah filem tersebut Adam Wingard. Wingard kemudiannya bangkit menerusi filem keempat MonsterVerse,  Godzilla vs Kong (2021).

Rajah 4: Cowboy Bebop versi Netflix dilihat mengecewakan walaupun pemilihan pelakon mendapat pujian peminat.

Dan seperti dijangka, apabila Bebop membuat kemunculan pertamanya pada 19 November, ia mendapat pelbagai kritikan. Walaupun pemilihan pelakon seperti Cho, Shakir dan Pineda mendapat pujian, aspek seperti plot, kesan khas dan aksi yang sinonim dengan Bebop dikritik keras oleh penonton.

Ini mengundang persoalan sama ada versi lakonan hidup One Piece dapat memuaskan penonton atau tidak. Ini kerana peminat tegar One Piece sudah pasti akan membandingkan versi anime dengan versi lakonan hidup yang sedang dibangunkan Netflix ketika ini. Salah resepi, peminat anime akan melabel mana-mana produksi Hollywood termasuk Netflix sebagai pembu.n.uh anime kesayangan mereka!

Ketika ini, Bebop mendapat sambutan baik dalam kalangan pelanggan Netflix. Tetapi sejujurnya bagi penulis, jika diberi pilihan sama ada versi Netflix atau anime, anime jauh lebih memuaskan.

RUJUKAN

Romano, A. (2021, 18 November). Cowboy Bebop, explained. Vox.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.