CERITA orang bunian atau di dalam gelaran masyarakat Iban Sebuyau dengan nama “Orang Langit” sentiasa menjadi penghias cerita legenda di nusantara. Sifat mereka yang sering membantu kala manusia di dalam kesusahan ditambahlagi mempunyai kuasa magis dan supernatural menjadikan mereka begitu popular untuk diselitkan di dalam cerita rakyat kita. Dalam pada itu apabila adanya cerita bunian, sudah tentu setiap bantuan yang diberikan mempunyai beberapa syarat yang harus dilunaskan namun seringkali di pihak manusia yang sering memungkirinya sehingga membawa kepada amarah para bunian.
Di kalangan etnik Iban Sebuyau yang mendiami kawasan sekitar Batang Kayan tidak pernah kurang dengan cerita “orang langit” malah menurut penceritaan lisan warga emasnya cukup mempercayai bahawa kejadian pertembungan manusia dengan orang langit pernah benar-benar terjadi sekitar tahun 1940an. Kejadian benar itu dialami oleh pasangan Abak Unun dan isterinya iaitu penduduk Kampung Ilir, Lundu, Sarawak.
Kisahnya bermula pada satu pagi yang cerah apabila Abak Unun dan isterinya yang juga menjalankan kerja bertani untuk menyara hidup telah keluar ke kebun yang tidak jauh dari rumah mereka seperti selalunya. Kawasan kebun mereka pula dikenali sebagai Semeluk Lundu iaitu kira-kira 15 minit perjalanan berjalan kaki sahaja.
Kawasan Semeluk Lundu di kalangan masyarakat Iban Sebuyau di Batang Kayan terkenal sebagai kawasan “keras” kerana suatu waktu dahulu di ketika etnik Iban Sebuyau terkenal dengan perang-perang kayau mereka disinilah banyak lokasi perang mengambil tempat. Dek kerana begitu banyak menyaksikan kepala terpenggal dari badan maka lokasi ini terlalu mistik dan sentiasa dibayangi dengan kejadian yang pelik-pelik sehingga kini.
Berbalik kepada cerita Abak Unun dan isterinya yang turun ke kebun untuk memetik hasil tanamannya pada pagi itu lain pula kejadiannya. Cuaca yang cerah dan baik bersama angin yang sepoi-sepoi bahasa pada mula-mulanya tiba-tiba bertukar menjadi cuaca yang buruk di dalam sekelip mata tatkala sampai ke kebun. Angin kencang mula menjengah sehingga isteri Abak Unun merasa ketakutan untuk berada di kebun lalu mendesak Abak Unun untuk membawanya segera ke Langkau iaitu pondok kecil yang didirikan di dalam kebun untuk mereka beristirehat.
Di ketika keduanya berteduh di Langkau itulah dengan tidak semena-mena terdengar seperti ada suara yang meminta mereka keluar daripada situ. Oleh kerana masih lagi dibelenggu dengan kepercayaan bahawa Semeluk Lundu itu kawasan yang “keras” biarpun kedua-duanya cukup jelas mendengar suara dari luar namun mereka memilih untuk berdiam diri sahaja sementara menunggu masa untuk pulang ke rumah mereka.
Di dalam penantian itulah secara tiba-tiba pintu langkau diketuk dengan kuat yang memaksa Abak Unun membuka pintu tersebut. Dikala itulah kedua-duanya melihat ada seorang pemuda yang mana badannya penuh dengan tatu bercorak harimau serta tegap sasa merintih kesakitan dengan badannya berlumuran darah. Perasaan simpati dan kasihan menerjah ke ruang hati Abak Unun dan isterinya lantas kedua-duanya memapah pemuda tersebut masuk ke Langkau mereka.
Cuaca masih lagi tidak membenarkan Abak Unun dan isterinya membawa pemuda itu kembali ke rumah mereka lantas mereka mengambil inisiatif sendiri untuk mengubati luka-luka pemuda tersebut dengan menggunakan daun-daunan yang ada disekeliling langkau mereka. Setelah dibersih dan dirawati luka pemuda tersebut barulah isteri Abak Unun bertanya siapakah gerangan pemuda yang kacak rupa parasnya. Ternyata pemuda itu walaupun memahami percakapan isteri Abak Unun hanya diam tertunduk dan membisu sahaja.
Oleh kerana cuaca masih lagi tidak membenarkan mereka untuk pulang ke rumah akhirnya Abak Unun dan isterinya mengambil keputusan untuk terus berehat di Langkau sambil menjaga pemuda yang cedera tersebut. Kerana suasana amat sejuk akhirnya Abak Unun dan isterinya terlena bersebelahan dengan pemuda itu. Menjelang petang barulah keduanya sedar namun sayangnya pemuda yang diselamatkan oleh mereka pula menghilang diri dan hanya meninggalkan sebilah pedang yang berlumuran darah untuk mereka.
Kehilangan yang penuh misteri pemuda tersebut menyebabkan Abak Unun dan isterinya segera ingin meninggalkan langkau mereka lalu pulang ke rumah. Dikatakan perjalanan pulang mereka juga dirasakan seolah-olah terlalu jauh biarpun hakikatnya dekat sahaja. Dan ini turut menambah perasaan getar kepada kedua-duanya sehingga akhirnya berjaya sampai ke rumah dengan selamat.
Apabila makan malam sudah terhidang, Abak Unun dan isterinya menjamah nasi dan lauk yang ala kadar sahaja namun sesuatu yang pelik berlaku kerana kedua-duanya hanya bungkam seribu bahasa tidak seperti selalunya. Sebenarnya Abak Unun dan isterinya masih lagi kurang jelas dengan peristiwa yang dialami mereka petang tadi di Langkau. Kerana keletihan usai sahaja makan malam, kedua-duanya tertidur di ruang tamu rumah mereka dengan beralaskan tikar pemberian “orang jagaan” Abak Unun ketika berburu di Gunung Gading.
Semasa di dalam lena itulah, isteri Abak Unun telah didatangi satu mimpi yang aneh. Diceritakan isteri Abak Unun telah dibawa ke satu kawasan yang penuh misteri yang mana suasana kampungnya sungguh tenang serta kedengaran bunyi-bunyian yang mengasyikkan jiwa. Dari kejauhan, isteri Abak Unun dapat melihat bagaimana penduduk perkampungan itu terdiri daripada wanita yang cantik-cantik serta lelaki yang kacak-kacak sahaja.
Sampai di satu rumah, isteri Abak Unun telah ditemukan dengan seorang wanita Iban yang lengkap mengenakan ngepan iban sebuyau bersulam kain tenun corak raja. Wanita itu cukup anggun dan dengan penuh tertib mempersilakan isteri Abak Unun masuk ke rumahnya. Isteri Abak Unun turut dihidangkannya dengan juadah pembuka selera beralaskan satu tabak atau dulang tembaga. Ketika makan itulah, wanita itu memperkenalkan dirinya sebagai isteri kepada pemuda yang diselamatkannya petang tadi di Langkau, Semeluk Lundu. Selepas memperkenalkan diri barulah seorang pemuda yang lengkap berbaju pua kumbu merah kepala yang digelar “Lelanjang Raja Ruai” memunculkan dirinya.
Saat melihat pemuda tersebut barulah isteri Abak Unun mengetahui bahawa pemuda yang dirawatinya bukanlah manusia sebaliknya orang langit yang amat dihormati di dalam kepercayaan masyarakat Iban Sebuyau. Dan tujuan isteri Abak Unun dijemput mendatangi perkampungan mereka adalah untuk mengucapkan terima kasih secara peribadi atas pertolongan beliau. Bagi menempiaskan rasa terhutang budinya, pemuda tersebut ingin memberikan hadiah kepada isteri Abak Unun.
Namun seperti kebiasaan adab masyarakat nusantara, budi yang ditabur bukanlah balasan yang dipinta. Isteri Abak Unun tidak mahu menerima apa-apa sebagai balasan sebaliknya hanya ingin bertanyakan sebab musabab mengapa pemuda itu cedera parah dan lari sehingga ke langkau mereka. Pada mulanya pemuda itu langsung tidak mahu menceritakan hal sebenar yang terjadi namun kerana tidak mahu mengecewakan isteri Abak Unun ditambahlagi ianya satu permintaan dari orang yang telah menyelamatkannya akhirnya beliau sudi menceritakan iaitu dengan bersyarat dan sekiranya dimungkiri akan mengundang padah ke atasnya.
Tiga syarat yang dikenakan ke atas isteri Abak Unun adalah:
- Perjumpaan isteri Abak Unun dengan pemuda di perkampungan orang langit tidak boleh diceritakan kepada oranglain waima kepada suaminya iaitu Abak Unun sekalipun.
- Mulai saat itu, isteri Abak Unun tidak dibenarkan memakan paku pakis yang tumbuh di hutan sekitar Batang Kayan.
- Pada setiap tujuh purnama, isteri Abak Unun harus menghidangkan tujuh jenis kuih-muih termasuk kuit tradisi Iban Sebuyau.
Kerana terlalu teruja untuk mengetahui cerita sebenar dikatakan isteri Abak Unun hanya mengiyakan sahaja setiap syarat yang dikenakan tanpa berfikir panjang. Melalui penceritaan pemuda itu barulah diketahui bahawa keberadaannya yang luka parah pada ketika itu adalah melarikan diri di dalam satu perang sehingga menghumbannya ke muka bumi. Pemuda itu turut memperkenalkan dirinya sebagai Bungsu Ribut iaitu anak bongsu kepada Lang Rantai Tujuh. Petara Iban Sebuyau yang beristerikan Puteri Intan Cintan Manis.
Usai penceritaan itu, akhirnya isteri Abak Unun terjaga dari tidur dan kebetulan sudahpun menjelang pagi. Tanpa berlengah lagi, isteri Abak Unun terus berniat untuk membuat tujuh hidangan seperti di dalam mimpinya. Keberadaan isterinya yang bergegas membuat kuih tradisional masyarakat Iban Sebuyau telah membuat rasa curiga di benak Abak Unun. Soalan demi soalan diajukan kepada isterinya yang mana akhirnya isterinya tanpa sengaja telah menceritakan kepada suaminya, Abak Unun mengenai hal yang terjadi.
Setelah siap segala hidangan, tanpa memperdulikan suaminya akhirnya isteri Abak Unun membawa sendiri hidangan tersebut ke Langkau mereka. Abak Unun yang bimbang akan keselamatan isterinya telah mengejar beliau dari belakang. Ketika tiba di Langkau itulah cuaca yang baik sekali lagi berubah menjadi buruk. Angin kencang menderu dan di satu lokasi yang mempunyai pokok besar tiba-tiba disambar halilintar pada dahannya dan kebetulan isteri Abak Unun melaluinya lantas beliau ditimpa oleh dahan yang patah lalu meninggal dunia disitu jua.
Jauh disudut hati Abak Unun mengetahui bahawa isterinya sudah dimurkai oleh Bungsu Ribut kerana melanggar syarat perjanjian. Kecewa serta rasa bersalah menyelubungi dirinya sehingga beliau bersumpah tidak akan turun ke kebun di Semeluk Lundu lagi. Diceritakan kerana kerinduan yang teramat sangat akhirnya tujuh purnama selepas kejadian, Abak Unun yang penghidupannya langsung tidak terurus meninggal dunia membawa hati yang lara. Juga turut dikatakan pedang Bungsu Ribut yang disimpan oleh Abak Unun turut ghaib.
-CD-
#KamekSayangSarawakBah!
Rujukan: Artikel ini ditulis berdasarkan pertemuan penulis yang menemuramah secara langsung beberapa orang warga emas dari kalangan etnik Iban Sebuyau yang ramai mendiami kawasan Batang Kayan, Lundu, Sarawak.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih