Kali ini saya hendak berkongsi dengan anda mengenai kisah seorang wanita Melayu yang agak istimewa. Wanita ini bolehlah dianggap sebagai salah seorang penulis wanita Melayu yang awal. Wanita ini dipercayai telah lahir di Pulau Penyengat, Riau pada tahun 1885. Namun demikian asal usulnya masih kabur dan besar kemungkinan beliau adalah orang biasa atau rakyat marhaen sahaja dan bukan wanita bangsawan atau bak kata orang dulu-dulu ‘orang berada-ada’. Hal ini lah yang menjadi salah satu sebab mengapa beliau ‘special’ berbanding tokoh wanita Melayu lain dalam sejarah yang semuanya para bangsawan ataupun kerabat diraja. Wanita ini bernama ‘Khatijah Terung’.

Pulau Penyengat, pada pinggir abad ke 19 muncul sebagai pusat budaya, sastera dan bahasa Melayu yang terulung di Alam Melayu. Kehebatan pulau ini sukar ditandingi tempat-tempat lain daripada segi bilangan penulis, jumlah karya dan kepelbagaian isi kandungan karya, lebih-lebih lagi pembaharuan yang dibawa beberapa orang penulisnya. Daripada segi jumlah terdapat lebih kurang 137 buah karya daripada kira-kira 70 orang penulis. Perkembangan ini sebenarnya ada kaitan dengan pengaruh dari keluarga bangsawan terkenal dan bapa pembaharuan kesusasteraan Melayu yang sebenar iaitu Raja Ali Haji( bukan si mamak kuli British Abdullah Munsyi), selain peranan yang dimainkan Kelab Rusydiah, payung seni dan budaya Riau dari tahun 1895 hingga 1905 .

Keadaan ini juga telah membolehkan munculnya golongan penulis-penulis wanita dan pengarang berbentuk feminis yang cuba memperjuangkan hak wanita. Dari perkembangan inilah yang mungkin telah memberikan inisiatif untuk Khatjah Terung menghasilkan karyanya yang bertajuk Himpunan Gunawan Bagi Laki-Laki dan Perempuan, sebuah karya yang memaparkan tema yang agak kontroversi pada zaman tersebut.

Namun demikian kepesatan perkembangan penulisan dan kesusasteraan di pulau ini mula berubah sekitar awal tahun 1910-an berikutan banyak bangsawan dan penulis Pulau Penyengat melarikan diri ke tempat lain, akibat pergolakan politik antara kerajaan Belanda dengan kerajaan Melayu Johor -Riau-Lingga yang berpusat di pulau itu.

Walaupun dalam dunia penulisan beliau dikenali sebagai seorang pengarang, namun bagi para penduduk di Pulau Penyengat yang sempat hidup sezaman dengannya beliau lebih dikenali sebagai seorang dukun atau bomoh. Dia adalah “ public figure” dan kerap diundang ke majlis perkahwinan.

Kehadiran beliau di majlis tersebut penting bukan sahaja untuk menyerikannya, tetapi juga dapat mendinding raja sehari daripada dikacau orang halus, polong dan hantu, maka majlis itu dapat berjalan dengan lancar. Khatijah menjadi lebih terkenal setelah berkahwin dengan Raja Haji Abdullah bin Raja Hassan, cucu kepada Raja Ali Haji (1809-1872), antara tahun 1908 dan 1911, ketika berusia antara 23 hingga 26 tahun.

Perkahwinan itu adalah kali yang kedua baginya kerana dia pernah berkahwin dengan seorang tukang gunting rambut sebelum itu. Perkahwinannya dengan Raja Haji Abdullah telah membuat orang ramai di Pulau Penyengat memberi perhatian lebih kepadanya, sekaligus mengubah kedudukan sosialnya walaupun dia hanya isteri nombor empat.

Mengapa gamaknya seorang bangsawan terpelajar dan berketurunan bangsawan seperti Raja Haji Abdullah ingin berkahwin dengan seorang bomoh wanita seperti Khatijah Terung? Al kisahnya ialah kerana, Raja Haji Abdullah juga sebenarnya seorang tabib yang pandai dalam selok belok ilmu Supranatural dan ingin mengetahui kehebatan sebenar ilmu polong, pengasih, tangkal dan lain-lain yang dipunyai Khatijah.

Sebab kedua adalah kerana, Khatijah mempunyai bakat menulis, mengarang, berpantun, bergurindam, bersyair, selain tahu bahasa Arab. Ketiga kerana, Khatijah pandai memasak, menekat dan menjahit dan pandai mengambil hati Raja Haji Abdullah, yang jauh lebih tua daripadanya. Dan yang terakhir adalah kerana, hubungan mereka sebenarnya telah berputik sejak Khatijah menjadi orang gaji di rumah Cik Yam, isteri ketiga kepada Raja Haji Abdullah lagi.

Dengan mengahwini Raja Haji Abdullah, Khatijah Terung dapat memanfaatkan bahan bacaan di perpustakaan milik suaminya sebelum ia terbakar pada malam tujuh likur bulan Ramadhan tahun 1923.

Kesempatan membaca kitab tentang ilmu dan petua, termasuk bahan bacaan tentang gender dan seksualiti dari Eropah telah memberi ilham kepada Khatijah untuk membukukan ilmunya. Penulisan petua itu juga dipengaruhi penulisan pengarang wanita yang lain, lebih-lebih lagi kebebasan dan keberanian yang ditunjukkan Raja Aisyah Sulaiman dan juga Raja Kalzum. Selain itu, mungkin Khatijah Terung telah mendapat galakan daripada suaminya untuk mengarang.

Sebelum kita teruskan mengenai Khatijah Terung , ada moleknya kita tahu serba sedikit latar belakang suaminya Raja Haji Abdullah. Beliau terkenal sebagai tabib yang pakar dalam ilmu rohani dan pukau, dan termasyur dengan nama timangan: Engku Haji Lah. Perkara lain yang menarik pada Raja Haji Abdullah ialah dia pernah dilantik sebagai hakim landard dan kadi syariah. Walaupun jawatan yang pertama itu disandangnya cuma beberapa tahun, tetapi telah membuatnya dikenali sebagai hakim. Setelah dihantar ke timur tengah untuk melanjutkan pelajaran, penguasaannya ke atas bahasa Arab membolehkannya menterjemah dan mengadaptasikan karya-karya sastera Arab ke dalam bahasa Melayu. Dia juga pandai berbahasa Perancis dan Belanda.

Pendek kata, dia mempunyai banyak bakat, maka boleh dikatakan seorang yang serba boleh malah sesuatu yang amat luar biasa bagi masyarakat Melayu pada zaman tersebut. Hal ini membuktikan bahawa jika anak Melayu itu diberi peluang yang sama rata untuk mendapatkan pendidikan yang secukupnya terutama pada zaman penjajahan British, sudah pasti ratusan atau ribuan cendekiawan Melayu yang bijak pandai dapat dilahirkan.

Ternyata ungkapan Melayu mudah lupa, pemalas dan lembab itu hanya satu propaganda busuk dari pihak penjajah untuk melemahkan semangat anak Melayu. Jika Raja Haji Abdullah yang hidup sekitar abad ke 19 boleh melakukannya mengapa tidak anak-anak Melayu sekarang?

Baiklah, mengenai nama Khatijah Terung mungkin ada yang berasa lucu dengan nama tersebut dan mungkin juga ada yang berotak kuning akan memikirkan ‘terung’ mempunyai kaitan dengan sesuatu yang bersifat seksual atau lucah. Sebenarnya menurut seorang sejarawan dari UKM, nama terung itu sebenarnya lekat pada Khatijah kerana dia dikatakan mempunyai kulit yang putih dan licin sepertimana kulit terung susu. Namun demikian sebenarnya jika anda merasakan bahawa gelaran ‘Terung’ itu ada makna yang tersirat mungki juga ada benarnya, ini kerana Khatijah memang terkenal dengan ilmu pengasih serta ilmu yang melibatkan hubungan seksual.

Hal ini terpampang jelas dalam karyanya Himpunan Gunawan Bagi Laki-Laki dan Perempuan. Diantara ilmu-ilmu yang diturunkan dalam kitab beliau yang berkaitan hubungan kelamin adalah, ilmu pengasih, ilmu menguatkan tubuh suami, ilmu membuat suami tertarik kepada isteri, ilmu membuat jimak yang menyeronokkan, petua menahan air mani supaya tidak cepat keluar, petua mengeraskan anggota suami, bagaimana membuat suami setia kepada isteri, petua memanggil suami untuk bersetubuh, petua menjamu selera pusara puki dan bagaimana wanita membuat dirinya cantik dipandang. Khatijah Terung menyatakan ilmu-ilmu itu didapatinya daripada banyak guru, termasuk Wan Mah dan apa yang tertulis hanyalah sedikit daripada segala ilmu yang ada padanya.

Walaupun secara keseluruhannya kitab itu lebih berupa panduan kepada perempuan untuk membuat lelaki atau suami merasa berahi, tetapi ia bukanlah sebuah karya lucah atau porno. Tidak kira apa juga lah pandangan kita terhadapnya, mungkin inilah kali pertama seorang pengarang wanita Melayu abad ke 19 yang meluahkan secara terus terang apa yang boleh mereka lakukan untuk membuat lelaki merasa teransang dan sayang kepada mereka.

Kelantangan dan keberanian Khathijah Terung untuk mengetepikan Taboo atau larangan masyarakat ketika itu dalam membicarakan hal-hal berkaitan hubungan kelamin, keinginan dalaman, fantasi dan rasa berahi wanita dianggap sebagai sesuatu yang mendahului zamannya dan agak luar biasa terutama bagi seorang wanita Melayu abad ke 19 yang masih terkenal dengan sifat kemelayuannya. Keberanian itu mungkin disebabkan galakan daripada suaminya sendiri, Raja Haji Abdullah, seorang tokoh yang dihormati dan mendapat pendidikan barat selain pendidikan keagamaan.

Dapat disimpulkan disini bahawa dengan penulisan karya tersebut Khatijah Terung telah menempatkan dirinya dalam suatu ruang yang tersendiri dalam kesusasteraan Melayu Riau, yang lansung berbeza dengan pengarang lelaki dan wanita Melayu yang lain, termasuk Raja Ali Haji sendiri, ini kerana karya ini dikarang khas oleh seorang wanita dan ditujukan pula kepada wanita.

Oleh sebab Khatijah Terung adalah satu-satunya pengarang wanita Melayu yang berani dan berterus terang dalam menulis mengenai perkara yang pada amnya cuba dielakkan pengarang wanita yang lain kerana taboo atau kekangan masyarakat, tidaklah keterlaluan jika dikatakan dia adalah pengarang wanita yang amat istimewa dan lain daripada yang lain.Sekian wallah hu a’lam.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Sejarah) UKM. Bukan pakar sejarah tetapi peminat seumur hidup.

Comments are closed.