Dilahirkan pada 579 Masihi, siapa sangka detik itu adalah kelahiran kepada seorang raja yang menjadi penakluk kepada dan pemilik sebuah empayar yang menundukkan Rom di kanannya serta Parsi di kirinya.

Umar Al-Khattab merupakan seorang pemuda arab yang dilahirkan dalam Bani Adi. Ayahnya Khattab bin Nufayl serta ibunya Hantama binti Hisam datang daripada Bani Makhzum. Sejak muda, Umar memang terkenal dengan peribadi yang garang dan tegas serta seorang yang sangat hebat dalam ilmu pertahanan diri. Umar sangat digeruni di kota Mekah dan telah membina reputasi secara perlahan-lahan.

UMAR MEMELUK ISLAM

Ketika Nabi Muhammad S.A.W mula menyebarkan Islam di Mekah, orang yang paling menentang Islam ketika itu pastinya Umar Al-Khattab. Dia begitu lantang sehingga mahu mengugut bunuh kepada Nabi Muhammad S.A.W dan mempertahankan dengan hebatnya amalan menyembah berhala di kalangan bangsa arab ketika itu.

Sampai satu masa, Umar merasakan Islam memecah belahkan masyarakat Arab Quraisy ketika itu lantas Umar sendiri berfikiran biarlah dia pergi memenggal kepala Muhammad. Lantas ketika dalam perjalanan ke rumah Rasulullah, Umar telah tersempak dengan Nuaim ketika dalam perjalanan dan Nuaim mendengar niat Umar mahu membunuh Muhammad. Ketika itu, Umar belum mengetahui bahawa lelaki dihadapannya sudah memeluk Islam.

Lantas mahu menyelamatkan nyawa Rasulullah, Nuaim mengatakan bahawa adik Umar sendiri telah memeluk Islam dan lebih baik Umar mengambil kisah hal keluarganya. Mendengarkan sahaja berita dari Nuaim itu, amarah Umar lantas bergolak, lalu Umar pun menukar arah.

Sampai sahaja di rumah, Umar terdengar bacaan Al-Quran daripada adiknya yang sedang mendedangkan surah Taha. Ketika itu, Umar sedang bergaduh dengan suami adiknya sehinggakan memaksa adik Umar keluar untuk mempertahankan suaminya. Akibatnya, adik Umar telah ditampar sehingga terbaring di atas tanah.

Selepas seketika, Umar menyedari bahawa dia agak melampau dan mula menyuruh adiknya kembali menyerahkan bacaan yang dibaca. Adik Umar menegah lalu menyuruh Umar mengambil air sembahyang kalau mahu memegang kalam Tuhan itu. Selepas itu, Umar mula menghayati setiap bait-bait ayat yang dituturkan oleh adiknya. Tidak semena-mena, air mata Umar tumpah.

“Kata-kata ini bukannya kata biasa, tetapi sesungguhnya ia datang daripada tuhan. Aku naik saksi bahawa Muhammad itu persuruh ALLAH.”

Umar terus kembali ke rumah Nabi Muhammad, tetapi bukan untuk membunuh tetapi memaklumkan keIslamannya. Doa Rasullulah telah dimakbulkan oleh ALLAH. Antara Abu Jahal dan Umar, Rasulullah meminta agar salah seorang daripadanya memeluk agama Islam.

UMAR SANG PERKASA

Kalau mendengar kisah Umar, kita pasti akan kagum dengan keberanian dan jiwa seorang pendekar yang tertanam dalam dirinya. Antara kisah yang menarik perhatian umat Islam ialah bagaimana Umar Al-Khattab berhijrah. Berbeza dengan umat Islam yang lain, hijrahnya Umar ke Madinah secara terang-terangan. Diceritakan ketika Umar mahu berhijrah. Ditunggangnya seekor kuda ke Kaabah, lalu berteriak kepada masyarakat yang disekitarnya.

“Aku adalah UMAR. Dan aku mahu berhijrah. Siapa yang mahu melihat anak-anaknya menjadi yatim piatu, maka halanglah aku berhijrah.”

Seisi kota Mekah diam membisu lantas Umar melakukan satu tawaf di Kaabah lalu sekali lagi Umar berteriak.

“Aku adalah UMAR. Aku mahu berhijrah. Siapa yang mahu melihat isterinya menjadi balu, maka halanglah aku berhijrah.”

Seperti biasa, kebisuan masih menjangkiti seluruh penduduk Makkah maka buat kali kedua, Umar pun melakukan tawaf buat kali kedua dan mengulangi apa yang dijeritkannya. Namun seperti biasa. Tiada yang berani untuk menghentikan Umar dan apa yang dilakukan oleh Umar dilakukan sebanyak 7 kali.

KEWAFATAN RASULULLAH

Detik 8 Jun 632 menyaksikan bagaimana figura yang paling disayangi oleh Umat Islam iaitu Nabi Muhamamad S,A.W wafat dan menghembuskan nafasnya yang terakhir. Sebaik sahaja berita itu hinggap di telinga Umar, lantas Umar pun mengangkat pedangnya seakaan-akan tidak dapat menerima kenyataan itu kerana perasaan terlalu sayang dan cinta kepada Rasulullah.

“Siapa yang berani mengatakan bahawa Muhammad itu sudah mati, bersiap-sedia untuk hilang kepalanya.”

Mujurlah ketika itu ada Abu Bakar yang menenangkan keadaan. Dia datang berhadapan dengan Umar lalu mengatakan:

“Sesiapa yang menyembah Muhammad, ketahuilah bahawa Muhammad itu sudah tiada. Siapa yang menyembah ALLAH, sesungguhnya ALLAH itu kekal selama-lamanya.”

Abu Bakar kemudian membacakan ayat daripada Al-Quran mengenai teguran ALLAH sekiranya Rasulullah telah wafat, apakah para pengganut Islam akan kekal di jalan ALLAH atau berpaling tadah daripada baginda?

UMAR, SANG GENIUS

Sebaik sahaja Abu Bakar wafat, nama Umar terus naik sebagai pengganti Abu Bakar. Siapa tahu keputusan Abu Bakar ini sebenarnya adalah sinar kepada Islam di mana Islam di bawah pimpinan Islam menjadi semakin tersebar ke seluruh pelusuk dunia.

Umar, sang genius dalam bidang politik dan juga ketenteraan. Sepanjang 10 tahun pemerintahan Umar, pelbagai kejayaan berjaya dicipta oleh seorang pemimpin bernama Umar Al-Khattab, sang genius yang tersenarai dalam 100 orang yang paling berpengaruh dalam sejarah dunia. Ekonomi, politik dan ketenteraan, semuanya Umar serba boleh.

Antara reformasi yang dilaksanakan oleh Umar adalah kewujudan jawatan Amir yang akan menjadi gabenor kepada setiap jajahan di bawah kerajaan Islam. Amir ini dipertanggungjawabkan untuk memimpin setiap bahagian atau daerah di bawah empayarnya.

Apa yang menariknya, setiap pegawai kerajaan yang dikirimkan menjadi gabenor harus melakukan baiah di mana isi baiahnya adalah di bawah:

1. Mereka tidak boleh menaiki kuda mewah.
2. Mereka tidak boleh memakai pakaian yang mahal.
3. Mereka tidak boleh memakan tepung yang dianyak.
4. Mereka akan sentiasa membuka pintu mereka untuk rakyat.

Umar juga telah mengasaskan sebuah jabatan yang tugasnya khas untuk menyiasat setiap aduan yang dilontarkan kepada setiap gabenor yang dilantik oleh Umar untuk berkidmat kepada rakyat. Di bawah pemerintahan Umar, rakyat semua hidup di dalam keadaan yang aman damai.

Dalam bidang ketenteraan pula kita mendapati bahawa Umar juga telah mengasaskan sebuah jabatan askar dan setiap askar yang berkhidmat untuk negara akan dibayar upah. Namun itu bukanlah yang mahu diperdebatkan oleh kita tetapi kita akan membincangkan kejayaan Umar yang paling besar sepanjang beliau menjadi pemimpin kerajaan Islam dan umat Islam.

Ketika zaman Abu Bakar, kerajaan Islam tidak mempunyai sumber kewangan yang kukuh kerana Abu Bakar lebih menumpukan untuk membasmi dan memerangi nabi palsu dan golongan yang murtad selepas kewafatan Rasulullah S.A.W. Umar seperti memahami bagaimana sebuah empayar mahu kekal hebat. Umar telah membina sebuah sistem cukai yang boleh dikatakan PALING KEMAS DAN SISTEMATIK di dunia.

Antara sumbangan Umar kepada ekonomi adalah Umar telah melaraskan kembali institusi baitumal yang akhirnya mengecapi zaman kegemilangan di bawah Umar. Madinah dijadikan pusat pentadbiran Baitulmal.

Umar telah berjaya menyelaraskan pentadbiran kewangan negara dan penggunaan harta awam yang bersesuai dengan perkembangan pentadbiran, social, ekonomui dan politik negara pada masa itu.

Untuk pengetahuan para pembaca semua, Umar merupakan orang pertama yang menetapkan kalendar Islam (kalendar Hijrah) dan orang pertama yang dipanggil sebagai Amirul Mukminin.

EKPEDISI KETENTERAAN UMAR

Kita sebenarnya memerlukan beberapa siri artikel yang sangat panjang untuk menceritakan mengenai ekpedisi Umar meluaskan jajahan takluk empayar Islam ketika itu. Ketika zaman Abu Bakar, Rom dan Parsi telah kalah teruk di tangan tentera Islam. Itu membuatkan Rom dan Parsi tidak senang duduk.

Umar kelihatan mahu meneruskan legasinya meluaskan sebuah empayar tetapi sayangnya ketika itu, Maharaja Heraclius daripada Rom telah menjalankan pakatan dengan Maharaja Yazdegerd daripada Parsi untuk menghancurkan kekuatan kaum Muslimin ketika itu.

Sebuah pelan strategi telah dirancang untuk menyerang tentera Islam di Syria dan Iraq. Namun, Umar lebih bijak dalam hal tersebut apabila akhirnya terbukti bahawa serangan serentak daripada dua orang ini akhirnya menyebabkan mereka kalah teruk.

Pertempuran Yarmuk pada tahun 836 dan Perang Qadisiyyah tiga bulan seterusnya membuktikan betapa mereka salah perkiraan dengan kebijaksanaan Umar dan panglima-panglima perangnya. Di bawah pemerintahan Umar juga menyebabkan tumbangnya empayar Parsi yang telah lama berdiri sejak 224 Masihi.

Empayar Parsi ini adalah warisan kepada sebuah lagi empayar yang pernah suatu masa dahulu menjadi hebat iaitu Empayar Parsi di bawah dinasti Achaemenid yang jatuh di tangan Alexander The Great. Pertempuran di Sungai Oxus menjadi saksi dan detik terakhir empayar Parsi dilihat oleh dunia. Yazdgerd III, maharaja terakhir Parsi ketika itu akhirnya lari ke China untuk mengelakkan daripada mati di tangan Umar.

Di penghujung pemerintahan Umar, negara seperti Iraq, Iran, Azerbaijan, Armenia, Georgia, Syria, Jordan, Palestine, Lebanon, Israel, Mesir, dan sebahagian daripada Afghanistan berada di bawah naungan empayarnya. Berdasarkan pengiraan sejarawan, lebih daripada 4050 buah kota telah jatuh ke tangan tentera Islam ketika EKPEDISI KETENTERAAN UMAR.

Wafatnya Umar adalah pada tahun 644, di bunuh oleh Abu Lu’lu’ah yang telah menikam tubuh Umar sebanyak 6 kali ketika solat subuh di bahagian perut.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Merupakan penulis prolifik yang kini sudah memiliki 16 buah buku (setakat Mac 2021). Merupakan pengasas bersama The Patriots, dan memegang jawatan Chief Content Officer untuk Patriots Holding Sdn Bhd. Impian terbesarnya ialah melihat sebuah Baitul Hikmah versi Tamadun Melayu, yang mengumpulkan para genius dari segala bidang, dibawah satu bumbung akademik dan mengabadikan seluruh kehidupan mereka hanya pada ilmu!

Comments are closed.