Alhamdulillah pada tulisan terdahulu, saya telahpun menulis sejarah Khalifah Bani Umayyah pertama dalam kalangan generasi peradaban Bani Umayyah iaitu Khalifah Al-Walid bin Abdul Malik. Pada kali ini kita akan membahaskan penerus kerajaan Bani Umayyah yang bernama Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik.
Pada era Khalifah Sulaiman ini, reformasi yang dimulakan oleh Umar bin Abdul Aziz sebenarnya bermula pada era Khalifah Sulaiman yang ketika itu bertindak sebagai penasihat kepada pentadbiran Khalifah Sulaiman. Khalifah Sulaiman merupakan salah seorang Khalifah terbaik di dalam kekhalifahan Bani Umayyah dan beliau banyak dipengaruhi oleh Umar bin Abdul Aziz. Bagaimanakah pentadbiran Khalifah Sulaiman berjalan dan apakah jasanya? Insya-Allah akan dibahas di dalam tulisan ini.
Namanya ialah Sulaiman bin Abdul Malik bin Marwan bin Al-Hakam. Beliau digelari Abu Ayyub. Ibunya bernama Wiladah bin Abbas. Beliau dilahirkan di Madinah namun dibesarkan di Syam. Beliau seperti abangnya Al-Walid diberi perhatian khusus oleh bapanya Khalifah Abdul Malik di dalam pendidikan Islam. Abu Bakar Ash-Shauli meriwayatkan di dalam Al-Bidayah wanihayah 9/177 bahawa Khalifah Abdul Malik sentiasa meminta anaknya Al-Walid, Maslamah dan Sulaiman membaca Al-Quran secara hafalan.
Di samping memiliki sifat yang taat pada agama, Khalifah Sulaiman merupakan seorang yang cinta akan kemegahan dan kemewahan di dunia. Beliau berasa bangga akan gelaran pemuda Quraisy yang diberikan olehnya bahkan sentiasa berkata “Akulah pemuda Quraisy” ketika berdiri melihat cermin. Imam Al-Dzahabi berkata di dalam Siyar A’lam Nubala “bahawa ia adalah salah seorang contoh khalifah yang menyebarkan ilmu jihad. Seorang yang taat beragama, fasih berbahasa, adil dan suka melancarkan penyerbuan.”
Beliau memiliki hubungan yang sangat rapat dengan abangnya Khalifah al-Walid. Bahkan idea pembanggunan Masjid Umawi di Damsyik turut berasal darinya. Pada zaman Khalifah Al-Walid bin Abdul Malik, terdapat dua kecenderungan politik yang berlaku, iaitu politik kekerasan di bawah Hajjaj sebagai gabenor Iraq dan politik kesederhanaan, budi pekerti, penyatuan dan keadilan bawah Umar bin Abdul Aziz The Magnificent sebagai gabenor di Madinah.
Umar bin Abdul Aziz telah mengumpulkan ulama terkemuka Madinah dan berkata ‘“pada hari ini saya serahkan pada kalian maka bantulah kami di dalamnya sehigga sesuatu berlaku dengan adil dan baik.” Hal ini menyebabkan ramai orang Iraq melarikan diri ke Madinah di bawah Umar bin Abdul Aziz. Ini membuatkan Hajjaj berasa tercabar dan mencadangkan kepada Khalifah Al-Walid untuk memecat Umar dengan tuduhan Umar menghasut orang Iraq melawan politik Hajjaj.
Maka Khalifah Al-Walid memecat Umar dan digantikan dengan Khalid bin Abdullah Al-Qasari. Namun hal ini bukanlah sesuatu yang malang bagi Umar kerana Khalifah Al Walid telah memanggil Umar ke Damsyik untuk dijadikan penasihat utamanya. Isu ini menyebabkan berlakunya persaingan politik antara Umar dan Hajjaj. Khalifah Sulaiman merupakan pendokong politik Umar.
Namun keadaan politik ketika itu sangat menguntungkan Umar apabila Hajjaj menyokong idea Khalifah Al-Walid lalu mencadangkan kedudukan putera mahkota Sulaiman dicabut dan digantikan dengan putera Al-Walid yang bernama Abdul Aziz. Namun hasrat Khalifah Al-Walid tidak berjaya apabila beliau wafat dalam keaada Sulaiman masih sebagai putera mahkota. Hal ini pasti menimbulkan kemarahan Sulaiman pada Hajjaj
Pada 96 H, hari kewafatan khalifah Al-Walid telah sampai kepada Sulaiman yang pada waktu itu merupakan gabenor Ramallah (Palestin). Hal ini menyebabkan baginda dibaiah sebagai khalifah dan mendapat dukungan utama daripada Umar bin Abdul Aziz. Khalifah memulakan pidatonya dengan mengajak rakyatnya sentiasa merujuk al-Quran sebagai kitabullah.
Pada awal pemerintahannya, Khalifah Sulaiman menjadikan Umar bin Abdul Aziz sebagai penasihat utamanya. Nasihat pertama yang diberikan oleh Umar adalah Khalifah Sulaiman harus memecat semua pegawai kerajaan yang dilantik oleh Hajjaj. Khalifah Sulaiman mendukung perkara ini lebih-lebih kebenciannya pada Hajjaj belum reda.
Kemarahnnya bertambah dengan hasutan Yazid bin Abu Mahlab bin Abu Shufrah yang sebelum ini mendapat pernah dipecat oleh Hajjaj sebagai gabenor Khurasan. Namun Hajjaj bernasib baik apabila doanya untuk meninggal sebelum berkuasanya Khalifah Sulaiman dimakbulkan oleh Allah SWT.
Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik turut memberi kekuasaan penuh kepada Umar bin Abdul Aziz apabila beliau berkata sebagaimana dinukilkan oleh sebagaimana yang diriwayatkan di dalam kitab Siyar A’lam Nubala karya Imam Dzahabi 5/125 iaitu “Wahai Abu Hafs (umar) kita telah dijadikan sebagai penjabat seperti yang kau lihat, kami tidak mempunyai ilmu mengaturnya. Kalau engkau melihat satu kemashlahatan umum maka perintahkan hal itu.”
Umar bin Abdul Aziz telah banyak mempengaruhi Khalifah Sulaiman.Umar sentiasa menasihati Khalifah Sulaiman untuk menegakkan keadilan. Hal ini dapat dilihat melalui nasihat Umar pada musim haji tahun 97 H di dalam kitab Al-Bidayah wa nihayah karya Ibn Kathir 9/179:
“Apabila melihat ramainya jemaah haji pada tahun itu maka Khalifah Sulaiman berkata kepada Umar Abdul Aziz: “tidakkah engkau melihat manusia yang jumlahnya banyak hanya dapat dihintung oleh Allah SWT dan rezeki ditanggung olehNya.”
Maka Umar menjawab, “Wahai Amirul Mukminin, mereka adalah rakyatmu hari ini tetapi esok (di akhirat) mereka akan menjadi musuhmu di hadapan Allah.” Mendengar ucapan itu Khalifah Sulaiman menangis dan berkata “kepada Allah aku mohon pertolongan.”
Maka polisi pertama yang dilakukan oleh Khalifah Sulaiman dengan menyahut nasihat Umar bin Abdul Aziz bagi menamatkan pengaruh politik Hajjaj dengan memecat kesemua pegawai kerajaan termasuk jeneral tentera yang dilantik oleh Hajjaj. Namun Khalifah Sulaiman ingin melakukan sesuatu perkara yang lebih daripada itu.
Baginda ingin memberikan hukuman yang keras kepada pegawai Hajjaj agar politik Hajjah tidak bangkit kembali. Maka panglima-panglima Islam yang berjasa menakluk wilayah Sindh (kawasan di india) seperti Muhammad Bin Qasim diracun, panglima Islam di Asia Tengah iaitu Qutaibah telah dibunuh oleh kabilah Bani Tamin setelah membuat keputusan untuk memberontak.
Terdapat juga sejarawan membela Khalifah Sulaiman dengan mengatakan tiada bukti jelas Khalifah Sulaiman mengarahkan pembunuhan itu. Adapun mengenai Musa bin Nushair tokoh islam yang menjadi kepala disebalik penaklukan Andalusia (Sepanyol) tiada bukti Khalifah Sulaiman merendahkannya bahkan catatan sejarah menunjukkan
Khalifah Sulaiman sering meminta nasihat Musa di dalam pentadbirannya. Polisi ini amatlah sesuai menurut sesetengah sejarawan kerana politik kuku besi dan keras Hajjaj Sudah tidak relevan, kerana wilayah Islam sudahpun aman dan tiada pemberontakan. Betapa masyarakat ketika itu memuji Khalifah Sulaiman dengan memanggil “Sulaiman kunci kebaikan” atau “habislah Hajjaj terbitlah Sulaiman”.
Era Khalifah Sulaiman merupakan era dominannya pengaruh Umar bin Abdul Aziz, maka Umar telah melakukan refromasi dengan membebaskan tawanan Iraq, mengembalikan sunnah solat jemaah di awal waktu kerana pemerintah Bani Umayyah sebelum ini sentiasa melambatkan waktu solat. Umar turut membaiki hubungan pemerintah dengan masyarakat serta menghukum golongan-golongan fasiq.
Era khalifah Sulaiman turut menyambung legasi peradaban cemerlang dan kemajuan pada zaman Khalifah Al-Walid . Khalifah Sulaiman gemar memakai pakaian Bordiran bahkan pegawai-pegawai kerajaan harus memakai pakaian ini. Pada zaman Khalifah Sulaiman pembanggunan pembanggunan istana di kawasan perkampungan sangat rancak. Penaklukan mega pada zaman Khalifah Al-Walid diteruskan oleh Khalifah Sulaiman apabila beliau mengarahkan gabenor Khurasan iaitu Yazid bin Mahlab bin Abu Shufrah agar menyerang Georgia dan Thabristan.
Khalifah Sulaiman turut memiliki cita-cita yang besar untuk menakluk Konstantinopel ibu kota Rom Byzantine. Maka ketika itu, kita dapat melihat Khalifah Sulaiman merancang strategi menakluk Kota Konstantinopel dengan meminta nasihat dua jeneral islam terkenal iaitu Musa bin Nushair dan Maslamah. Musa memberi cadangan agar penaklukan Konstantinople dilakukan dalam masa yang panjang dengan menguasai satu persatu benteng di Konstantinopel sehingga sampa ke ibu kota.
Namun Maslamah membangkang idea ini dengan menyatakan strategi memakan masa yang sangat lama iaitu paling singkat pun 15 tahun. Maslamah memberi idea bahawa perlu mengepung Konstantinopel secara besar-besaran di darat mahupun laut.
Khalifah Sulaiman mempersetujui idea Maslamah, maka dipersiapkan 100 ribu tentera islam di Daerah Dabiq, Syam di bawah pimpinan Maslamah untuk mengepung Konstantinopel di Darat mahupun Laut. Namun faktor cuaca yang sangat sejuk menyebabkan Rom berjaya memukul kaum Muslimin. Bahkan Maslamah dikhianati oleh seorang Kristian yang bernama Lion.
Nasihat muslihat Lion adalah agar tentera Maslamah harus menjauhi kota konstantinopel terlebih dahulu dan menjamin ia akan menyerahkan kota itu kepada kaum muslimin. Namun di saat orang Islam menjauhi kota Konstantinopel maka Lion mengarahkan penduduk Konstantinopel mengambil bekalan makanan tentera Islam. Muslihat ini menyebabkan kaum Muslimin kelaparan disamping cuaca yang ekstrem. Maka gerakkan ini mengalami kegagalan dan dipanggil pulang pada zaman Khalifah Umar bin Abdul Aziz.
Terdapat tuduhan yang dinyatakan di dalam kitab Murawwij adz-Dzahab karya al-Mas’udi bahawa Khalifah Sulaiman adalah orang yang kuat makan sehingga makan 40 ayam bakar serta berpuluh-puluh makanan lainnya namun beliau masih kelihatan lapar. Menurut Ibn Kathir di dalam Al-Bidayah wa nihayah 9/180, tuduhan ini tidak logik kerana Khalifah Sulaiman berbadan kurus dan cerita ini hanyalah hiburan bagi para Khalifah Bani Abbasiyyah.
Khalifah Sulaiman meninggal dunia pada 99 H di Marj Dabir, Syam. Beliau telah mewasiatkan Umar bin Abdul Aziz sebagai Khalifah hasil nasihat ulama yang bernama Raja’ bin haiwah. Semoga Allah SWT merahmati dan mengampuni dosa Khalifah Sulaiman.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih