Khamis, 22 Oktober 202622 Okt 2026
Lembaran Malaysia

Ketika Sultan Selangor Melepaskan Kuala Lumpur Kepada Kerajaan Persekutuan

Setiap kali tiba 1 Februari, Kuala Lumpur akan bercuti. Orang panggil Hari Wilayah. Ramai yang seronok sebab cuti, tapi tak semua tahu kenapa tarikh itu dipilih.

Hari Wilayah sebenarnya mengingati satu peristiwa besar dalam sejarah Malaysia iaitu hari Kuala Lumpur secara rasmi keluar daripada Selangor dan menjadi Wilayah Persekutuan.

Hari itu berlaku pada 1 Februari 1974.

Sebelum tarikh itu, Kuala Lumpur adalah sebahagian daripada negeri Selangor. Malah lebih besar daripada itu, Kuala Lumpur pernah menjadi ibu negeri Selangor.

Untuk faham kisah ini, kita kena undur sedikit ke belakang.

Pada zaman British lagi, Kuala Lumpur sudah menjadi pusat pentadbiran yang penting. Bandar ini berkembang pesat kerana kedudukannya yang strategik dan kepentingannya dalam ekonomi bijih timah. Lama-kelamaan, Kuala Lumpur menjadi pusat pentadbiran utama di Selangor, kemudian menjadi pusat penting bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.

Selepas Tanah Melayu merdeka pada tahun 1957, Kuala Lumpur terus memegang peranan menjadi ibu negara Persekutuan Tanah Melayu. Selepas Malaysia dibentuk pada tahun 1963, Kuala Lumpur kekal sebagai ibu negara Malaysia.

Kuala Lumpur pada masa itu adalah ibu negara Malaysia, tetapi pada masa yang sama masih berada dalam negeri Selangor. Maksudnya, bandar yang menjadi pusat pentadbiran negara masih terletak di bawah negeri. Dari sudut pentadbiran negara, keadaan ini boleh jadi rumit.

Sebab itulah pada tahun 1960, parlimen meluluskan Akta Ibukota Persekutuan 1960. Melalui akta ini, pentadbiran tempatan Kuala Lumpur mula diberi kedudukan khas. Majlis Perbandaran Kuala Lumpur yang sebelum itu berada dalam kerangka negeri Selangor berubah menjadi pentadbiran ibu kota yang lebih rapat dengan Kerajaan Persekutuan.

Jawatan Pesuruhjaya Ibu Kota Kuala Lumpur diwujudkan. Pesuruhjaya ini dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong untuk mengurus pentadbiran Kuala Lumpur. Dalam bahasa mudah, sejak tahun 1960 lagi Kuala Lumpur sudah mula bergerak ke arah pentadbiran khas walaupun secara wilayahnya masih dalam Selangor.

Kemudian datang pula tahun 1969.

Pilihan raya umum 1969 mengubah banyak perkara dalam politik Malaysia. Di Selangor, kedudukan politik menjadi lebih mencabar. Kuala Lumpur sebagai kawasan bandar mempunyai corak politik yang berbeza berbanding banyak kawasan lain di Selangor. Pada masa yang sama, negara baru sahaja melalui suasana tegang selepas peristiwa 13 Mei 1969.

Dalam keadaan begini, idea untuk memisahkan Kuala Lumpur daripada Selangor semakin kuat. Dari sudut kerajaan pusat, ibu negara perlu ditadbir secara langsung supaya pentadbiran nasional lebih lancar. Dari sudut politik pula, Kuala Lumpur sebagai kawasan bandar yang besar juga mempunyai kesan besar kepada landskap Selangor.

Namun, untuk mengeluarkan Kuala Lumpur daripada Selangor, perkara itu tidak boleh dibuat sesuka hati. Kuala Lumpur bukan tanah kosong. Ia milik negeri Selangor. Ia berada di bawah kedaulatan Sultan Selangor. Maka, perlu ada persetujuan rasmi antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor.

Pada tahun 1972, Kuala Lumpur dinaikkan taraf menjadi bandar raya. Dan akhirnya, pada tahun 1973, proses undang-undang mula dimuktamadkan. Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Selangor meluluskan undang-undang berkaitan penubuhan Wilayah Persekutuan. Perkara ini juga mendapat perkenan Majlis Raja-Raja.

Kemuncaknya berlaku pada 1 Februari 1974.

Pada pagi itu, satu istiadat bersejarah berlangsung di Istana Negara. Yang di-Pertuan Agong kelima, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah, menandatangani Perjanjian Kuala Lumpur bagi pihak Kerajaan Persekutuan. Sultan Selangor ke-8, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj pula menandatangani perjanjian itu bagi pihak Kerajaan Negeri Selangor.

Perjanjian ini disaksikan oleh Raja-Raja Melayu dan Ketua-Ketua Negeri. Perdana Menteri ketika itu ialah Tun Abdul Razak Hussein, manakala Menteri Besar Selangor ialah Dato’ Harun Idris. Upacara ini juga disiarkan melalui radio dan televisyen menjadikannya satu peristiwa nasional yang dapat disaksikan oleh rakyat.

Dengan tandatangan itu, Kuala Lumpur secara rasmi menjadi Wilayah Persekutuan.

Mungkin ramai yang tak tahu apa isi perjanjian tersebut.

Fasal I: Mulai 1 Februari 1974, Kuala Lumpur keluar daripada Selangor dan semua kuasa ke atasnya berpindah kepada Kerajaan Persekutuan.

Fasal II: Kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ditentukan berdasarkan pelan rasmi Gazette Plan No. 383.

Fasal III: Jika Kuala Lumpur tidak lagi menjadi ibu negara Persekutuan, kawasan itu hendaklah dikembalikan kepada Selangor.

Fasal IV: Satu Jawatankuasa Kewangan ditubuhkan untuk menentukan susunan kewangan dan pampasan kepada Selangor.

Fasal V: Sultan Selangor berhak mencalonkan dua wakil untuk dilantik ke dalam Lembaga Penasihat Wilayah Persekutuan.

Fasal VI: Perjanjian dibuat dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris, tetapi teks Bahasa Malaysia menjadi rujukan utama jika berlaku kekeliruan.

Dalam Perjanjian Kuala Lumpur 1974, perkara paling penting disebut dengan jelas. Mulai 1 Februari 1974, kawasan Kuala Lumpur yang ditetapkan dalam pelan warta akan menjadi Wilayah Persekutuan. Kawasan itu tidak lagi menjadi sebahagian daripada Selangor. Sultan Selangor pula melepaskan kedaulatan dan bidang kuasa baginda ke atas kawasan tersebut, kecuali perkara yang dinyatakan dalam perjanjian.

Senang cerita, Selangor melepaskan Kuala Lumpur kepada Kerajaan Persekutuan. Kerajaan Persekutuan pula mengambil alih kuasa ke atas Kuala Lumpur sebagai wilayah khas negara.

Pada hari yang sama, Tun Abdul Razak Hussein mengisytiharkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Dalam pengisytiharan itu, Kuala Lumpur diharapkan menjadi lambang perpaduan, keamanan dan keharmonian rakyat Malaysia.

Menariknya, saiz Kuala Lumpur juga berubah. Sebelum itu, kawasan Kuala Lumpur sekitar 93.24 kilometer persegi. Selepas menjadi Wilayah Persekutuan, kawasannya diperluaskan kepada 243.46 kilometer persegi.

Perjanjian 1974 ini juga mempunyai satu klausa yang selalu menjadi perhatian. Dalam Fasal III, disebut bahawa jika kawasan Kuala Lumpur tidak lagi menjadi ibu negara Persekutuan, maka kawasan itu akan kembali kepada Selangor.

Sebab itulah dari semasa ke semasa, ada perbincangan tentang kemungkinan Kuala Lumpur dikembalikan kepada Selangor terutama selepas pusat pentadbiran kerajaan berpindah ke Putrajaya. Tetapi setakat ini, Kuala Lumpur masih kekal sebagai ibu negara dan Parlimen Malaysia masih terletak di Kuala Lumpur. Jadi kedudukan Kuala Lumpur sebagai Wilayah Persekutuan masih berjalan seperti biasa.

Selepas Kuala Lumpur diserahkan, persoalan besar ialah pampasan.

Ramai orang suka sebut, “Sultan Selangor jual Kuala Lumpur.”

Sebenarnya, istilah itu tidak begitu tepat. Yang berlaku bukan jual beli, tetapi penyerahan wilayah melalui perjanjian rasmi, disertai susunan kewangan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Selangor. Pampasan diberikan kerana Selangor kehilangan hasil, aset dan kawasan penting yang sebelum itu menjadi sebahagian daripada negeri.

Pampasan pertama ialah bayaran kekal tahunan sebanyak RM18,305,637.66 kepada Kerajaan Selangor. Jumlah ini dikira berdasarkan hasil tahunan yang hilang akibat penyerahan Kuala Lumpur. Bayaran ini dibuat empat kali setahun iaitu mengikut suku tahun.

Selain itu, Kerajaan Persekutuan turut memberi pampasan bagi harta-harta yang diserahkan. Ini termasuk tanah, bangunan, peralatan dan kelengkapan yang berkaitan. Pampasan ini dikatakan telah dilunaskan oleh Kerajaan Persekutuan.

Bentuk pampasan ketiga pula lebih besar. Ia disebut sebagai pemberian kemakmuran bersama melibatkan pembahagian premium tambahan dan cukai tanah tambahan. Jumlah keseluruhannya disebut sekitar RM3.5 bilion dan dibayar secara berperingkat selama 15 tahun.

Pada tahun 1974 sahaja, Kerajaan Persekutuan membayar RM200 juta kepada Selangor. Untuk zaman itu, RM200 juta sangat besar nilainya. Wang ini digunakan untuk membantu Selangor membangunkan ibu negeri baharu.

Sebab selepas Kuala Lumpur keluar daripada Selangor, negeri itu perlu mencari pusat pentadbiran baharu.

Maka lahirlah Shah Alam.

Kawasan Batu Tiga dibangunkan untuk menjadi ibu negeri Selangor yang baharu. Nama Shah Alam diberi sempena Sultan Hisamuddin Alam Shah, ayahanda kepada Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Dari sinilah Selangor mula membina wajah baharunya selepas kehilangan Kuala Lumpur.

Bangunan kerajaan negeri dibina. Kawasan pentadbiran disusun. Jalan raya, taman tasik, kawasan perumahan, masjid negeri dan kemudahan awam dibangunkan. Shah Alam lahir daripada keperluan sejarah selepas Kuala Lumpur menjadi Wilayah Persekutuan.

Pada tahun-tahun berikutnya, pampasan daripada Kerajaan Persekutuan terus membantu pembangunan Shah Alam. Bayaran ansuran terakhir daripada jumlah RM3.5 bilion itu diterima pada tahun 1989. Antara projek yang dikaitkan dengan dana tersebut ialah pembinaan Stadium Shah Alam yang kemudian menjadi salah satu mercu tanda besar Selangor.

Kemudian pada tahun 1979, satu lagi mercu tanda penting mula dibina. Sultan Selangor menitahkan pembinaan Kota Darul Ehsan di sempadan Kuala Lumpur dan Petaling Jaya. Gerbang besar di Lebuhraya Persekutuan itu dibina untuk memperingati peristiwa Selangor menyerahkan Kuala Lumpur kepada Kerajaan Persekutuan.

Kota Darul Ehsan siap pada tahun 1981 dan dirasmikan pada tahun 1982. Sampai hari ini, sesiapa yang lalu dari Kuala Lumpur ke Petaling Jaya atau sebaliknya pasti pernah nampak gerbang itu. Tapi ramai mungkin tak sedar, gerbang itu sebenarnya adalah tanda sejarah seolah-olah menjadi pintu pemisah antara Selangor dan Kuala Lumpur, dua wilayah yang pernah berada dalam satu tubuh yang sama.

Selepas 1974, Kuala Lumpur terus berkembang pesat. Bangunan tinggi mula tumbuh satu demi satu. Pusat perdagangan berkembang. Jalan raya diperbesarkan. Kawasan perumahan, pejabat, hotel dan pusat membeli-belah semakin banyak. Kuala Lumpur menjadi wajah moden Malaysia.

Pada 28 Julai 1978, Wilayah Persekutuan diletakkan di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menjadi badan utama yang mengurus pentadbiran bandar. Kuala Lumpur kemudian dibahagikan kepada beberapa bahagian pentadbiran seperti Setapak, Kepong, Kuala Lumpur, Damansara dan Sungai Besi.

Namun, kedudukan Kuala Lumpur tetap unik. Ia bukan negeri seperti Selangor, Johor atau Perak dan tidak mempunyai Dewan Undangan Negeri. Rakyat Kuala Lumpur memilih wakil ke Parlimen, tetapi hal-hal tempatan dan pentadbiran wilayah banyak berada di bawah Kerajaan Persekutuan.

Kemudian sejarah Wilayah Persekutuan berkembang lagi. Pada tahun 1984, Labuan pula menjadi Wilayah Persekutuan. Pada tahun 2001, Putrajaya pula menjadi Wilayah Persekutuan. Tetapi Kuala Lumpur tetap yang pertama. Kuala Lumpur ialah permulaan kepada idea Wilayah Persekutuan di Malaysia.

Dan kalau ada yang tanya berapa pampasan Selangor dapat untuk penyerahan Putrajaya pula, jawapannya berbeza dengan Kuala Lumpur. Berdasarkan jawapan Dewan Negeri Selangor pada tahun 2008, melalui perjanjian penyerahan Putrajaya kepada Kerajaan Persekutuan, Selangor menerima RM200 juta daripada Kerajaan Persekutuan, selain bayaran RM7.5 juta setiap tahun untuk selama-lamanya. Selain itu, Kerajaan Persekutuan juga memberikan RM800 juta di bawah Rancangan Malaysia Kelapan untuk tujuan pembangunan kawasan-kawasan di daerah Sepang khususnya kawasan sekitar Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet