Khamis, 22 Oktober 202622 Okt 2026
Lembaran Malaysia

Ketika LRT Hampir Menjunam Keluar Dari Landasan di Sentul?

Mesti ramai yang akan ingat babak tren dalam Spider-Man 2, Spider-Man pula terpaksa guna seluruh kudrat untuk menghentikan tren itu daripada terbabas.

Tapi pada tahun 2006, Kuala Lumpur pernah menyaksikan satu kejadian yang hampir kelihatan seperti babak filem itu.

Bezanya, ini benar-benar berlaku di Sentul Timur.

Kisah ini kembali disebut selepas insiden terbaru pada 28 Mei 2026, apabila sebuah tren LRT laluan Ampang/Sri Petaling tergelincir ketika melalui kawasan suis landasan di Stesen Chan Sow Lin.

Nasib baik, 25 penumpang yang berada dalam tren berjaya dipindahkan dengan selamat dan tiada kecederaan dilaporkan.

Tetapi sebenarnya, hampir 20 tahun sebelum kejadian itu, sistem LRT kita pernah berdepan satu insiden yang jauh lebih dramatik.

Pada pagi 27 Oktober 2006, sekitar jam 7.11 pagi, sebuah tren STAR-LRT laluan Ampang tiba di Stesen Sentul Timur iaitu stesen terakhir untuk laluan tersebut. Ketika itu, sistem ini masih lebih dikenali sebagai STAR-LRT sebelum kemudian berada di bawah jenama Rapid KL.

Semua penumpang sudah turun di Stesen Sentul Timur. Yang tinggal di dalam tren enam koc itu hanyalah pemandu.

Selepas menurunkan penumpang, tren tersebut bergerak ke kawasan penyimpanan atau stabling area yang terletak antara stesen dan hujung landasan. Kawasan ini biasanya digunakan untuk tren berhenti, menunggu giliran operasi atau disusun semula selepas tamat perjalanan.

Sepatutnya, tren itu berhenti dengan selamat. Tetapi pagi itu, sesuatu yang sangat menakutkan berlaku.

Tren tersebut gagal berhenti seperti biasa. Ia terus bergerak ke hadapan sehingga melepasi hujung landasan. Bahagian hadapan tren merempuh penahan konkrit dan dinding parapet di laluan bertingkat itu.

Hentaman itu cukup kuat sehingga struktur penahan di hujung trek rosak. Bahagian depan koc pertama pula terjulur keluar dari landasan dan tergantung di udara kira-kira 25 meter dari paras tanah.

Bayangkan sebuah tren LRT sebenar seberat puluhan tan berada di hujung landasan dalam keadaan separuh tergantung. Bukannya tayar keluar sedikit dah ni. Bahagian depannya memang dah melepasi batas laluan konkrit.

Kalau tren itu bergerak sedikit lagi atau struktur di bawahnya gagal menahan berat, tidak mustahil koc tersebut boleh jatuh terus ke bawah.

Lebih mencemaskan, kawasan bawah laluan itu terdapat pencawang elektrik TNB. Seorang pekerja TNB yang berada di lokasi cakap jika tren itu jatuh dan terkena pencawang tersebut, keadaan mungkin menjadi jauh lebih buruk.

Nasib baik. Itu perkataan yang paling sesuai untuk menggambarkan kejadian ini.

Tetapi walaupun tiada kecederaan, kejadian ini tetap mengejutkan orang ramai. Penduduk flat berhampiran antara yang paling awal menyedari sesuatu telah berlaku. Ada yang terdengar bunyi kuat seperti geseran dan hentaman. Apabila mereka melihat ke arah stesen, barulah jelas sebuah tren LRT sedang tergantung di hujung landasan.

Stesen Sentul Timur dilaporkan ditutup kira-kira 20 minit selepas kejadian. Namun perkhidmatan LRT secara keseluruhan tidak begitu terjejas kerana insiden berlaku selepas penumpang turun dan tren sedang bergerak ke kawasan penyimpanan.

Masalah paling besar ketika itu ialah bagaimana mahu mengalihkan tren yang tergantung itu.

Tren tidak boleh ditarik secara sembarangan kerana kedudukannya sudah tidak stabil. Kalau tersilap tarik, struktur boleh rosak lebih teruk. Kalau berat tidak dikawal, koc boleh terjatuh. Akhirnya, dua kren berat digunakan untuk mengangkat dan menurunkan tren tersebut dari kedudukan berbahaya itu.

Selepas insiden itu, banyak persoalan yang muncul.

Apa sebenarnya punca tren itu melepasi hujung landasan?

Adakah pemandu gagal membrek? Sistem brek bermasalah? Berlaku kerosakan teknikal?

Rapid KL ketika itu menyatakan masih terlalu awal untuk menentukan punca sebenar. Siasatan perlu dilakukan terlebih dahulu bagi mengenal pasti sama ada kejadian itu berpunca daripada kesilapan manusia atau masalah teknikal.

Menteri Pengangkutan ketika itu, Datuk Seri Chan Kong Choy turut mengarahkan Rapid KL menyediakan laporan lengkap. Beliau mahu laporan itu menyatakan punca kejadian secara jelas dan mengenal pasti siapa yang patut dipertanggungjawabkan.

Tan Sri Lee Lam Thye yang ketika itu merupakan Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara atau NIOSH pula meminta dapatan siasatan dibuat secara terbuka kepada orang ramai. Pada beliau, kejadian seperti ini bukan isu kecil kerana LRT digunakan oleh ribuan penumpang setiap hari. Orang ramai berhak tahu apa sebenarnya berlaku.

Laporan teknikal hilang daripada perhatian. Isu tenggelam selepas beberapa minggu. Media beralih kepada berita lain. Orang ramai pun perlahan-lahan lupa.

Sedangkan dalam kes seperti ini, punca kejadian sangat penting untuk diketahui. Bukan semata-mata untuk mencari siapa salah, tetapi untuk memastikan perkara sama tidak berulang.

Kejadian Sentul Timur 2006 berlaku dalam tempoh sistem LRT Kuala Lumpur sedang berdepan beberapa masalah teknikal lain. Pada 24 Julai 2006, gangguan komputer pernah menyebabkan tren di laluan Kelana Jaya tergendala.

Kemudian, perkhidmatan juga pernah terganggu akibat banjir di kawasan Stesen Seri Rampai yang ketika itu belum digunakan. Pada 6 Oktober 2006 pula, perkhidmatan antara Masjid Jamek dan Terminal Putra terganggu hampir 10 jam selepas sebuah tren rosak berhampiran Stesen Damai.

Hari ini, ramai anak muda mungkin tidak tahu bahawa pernah ada LRT tergantung di Sentul Timur. Bagi mereka, kisah itu seperti cerita lama yang hanya wujud dalam gambar kabur di internet. Tetapi bagi mereka yang mengikuti berita ketika itu, gambar tren tergantung di hujung landasan memang sukar dilupakan.

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet