Sabtu, 24 Oktober 202624 Okt 2026
Kesetiaan Kepada Maharaja Jepun Dalam Konteks Moden
Kronikel Dunia

Kesetiaan Kepada Maharaja Jepun Dalam Konteks Moden

Apabila
Tun Dr Mahathir Mohamad menggubal Dasar Pandang Ke Timur pada tahun 1980-an,
dasar ini bertujuan menggalakkan rakyat Malaysia meniru nilai-nilai murni
rakyat Jepun seperti prinsip kaizen (penambahbaikan berterusan), menepati masa,
rajin bekerja dan bersikap lemah-lembut. Tetapi ada satu nilai yang tidak
dimasukkan tetapi amat relevan dengan situasi hari ini iaitu kesetiaan yang
tidak berbelah-bahagi terhadap maharaja atau Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dalam
konteks negara hari ini.

Peranan maharaja

Mungkin ada yang menganggap nilai sebegini tidak relevan dan tak perlu dimasukkan dalam DPT versi 3.0 ini. Tetapi seperti mana YDPA dan Majlis Raja-Raja Melayu (MRRM), maharaja merupakan tunjang utama sesebuah negara pada masa senang dan susah.

Dan seperti Malaysia, Jepun turut mengamalkan sistem raja berperlembagaan. Walaupun baginda merupakan ketua negara, Maharaja Jepun bukanlah panglima besar Pasukan Mempertahankan Diri Jepun (JSDF) seperti YDPA kerana peranan itu diisi oleh Perdana Menteri berdasarkan Akta JSDF 1954.

Dan bila mempertimbang soal lantikan Perdana Menteri, maharaja tidak mempunyai hak untuk menolak siapa calon Perdana Menteri dan Ketua Hakim Mahkamah Agung yang dicalonkan oleh Diet (Parlimen Jepun) dan perlu menerima cadangan mereka.

Sejarah Jepun menyaksikan peranan baginda sebagai ketua negara berbeza-beza mengikut tempoh. Ada sesetengah masa maharaja menjalankan peranan sebagai ketua negara dengan memainkan peranan simbolik seperti yang berlaku pada hari ini. Ada juga sesetengah masa di mana baginda langsung tidak berkuasa atau terjebak dengan pertelingkahan daimyo/shogun demi memulihkan semula kuasanya sebagai pemerintah utama Jepun.

Walaupun kebanyakan cubaan ini berakhir dengan kegagalan, usaha maharaja memulihkan semula kerajaan awam dan kuasanya hanya tercapai semasa era Meiji pada pertengahan abad ke-19. Sejarah ini turut menyaksikan permulaan kaitan baginda dengan istilah ketuhanan yang bermula pada abad ketujuh Masihi. Kaitan sebegini membolehkan maharaja digelar dewa hidup dan panggilan sebegini berterusan sehinggalah tamat Perang Dunia Kedua (WWII).

Sejarah maharaja

Gelaran maharaja itu sendiri dipinjam dari perkataan Cina dan ia diaplikasikan kepada pemerintah-pemerintah yang memerintah Jepun sebelum abad ketujuh dan kelapan Masihi. Berdasarkan cerita klasik Jepun yang direkodkan dalam Nihon Shoki, Jepun ditubuhkan oleh Maharaja Jimmu pada tahun 660 Sebelum Masihi (BC).

Tetapi berdasarkan pandangan ahli akademik Jepun, mana-mana maharaja yang disebut sebelum maharaja ke-15 Ojin dianggap satu legenda dengan Maharaja Anko dipersetujui ramai sebagai pemerintah pertama yang memerintah seluruh Jepun dari segi tarikh. Tetapi maharaja yang boleh diterima secara konvensyen dan ditarikhkan sebagai tidak tradisional bermula semasa era Maharaja Kanmu dari Dinasti Yamato yang memerintah dari 737 hingga 806 Masihi.

Sepanjang
sejarah Jepun menyaksikan enam keluarga bukan diraja yang mengawal maharaja
Jepun. Keluarga-keluarga ini ialah Soga (530-an – 645), Fujiwara (850-an –
1070), Taira (1159 – 1180), Minamoto (sebahagian dari Keshogunan Kamakura)
(1192 – 1333), Ashikaga (1336 – 1565) dan Tokugawa (1603 – 1867). Bagi setiap
shogun dari Minamoto hinggalah Ashikaga dan Tokugawa, mereka masih tetap perlu
mendapatkan pengiktirafan maharaja sebagai shogun yang masih dianggap sumber
kedaulatan walaupun kuasa mereka ketika itu terhad.

Bagaimanapun,
tempoh-tempoh ini turut menyaksikan cubaan maharaja mendapatkan semula
kekuasaan mereka di mana cubaan ini digagalkan oleh shogun yang berkuasa ketika
itu. Contoh perang yang tercetus antara shogun dengan maharaja ialah Perang
Jokyu yang meletus antara bekas maharaja Go-Toba dengan Keshogunan Kamakura.
Perang yang tercetus pada tahun 1221 menyaksikan cubaan baginda menggulingkan
Keshogunan Kamakura berakhir dengan kegagalan dengan Go-Toba sendiri dibuang
negeri ke Kepulauan Oki. Shogun juga bertindak menabalkan anak saudara baginda,
Go-Horikawa sebagai pengganti Maharaja Chukyo yang turut disingkirkan oleh
keshogunan yang sama.

Sementara
Pemulihan Kenmu pula berlaku semasa era pemerintahan Maharaja Kenmu dari 1333
hingga 1336 di mana baginda mahukan semula kekuasaan asalnya dan menamatkan
pemerintahan tentera di Jepun. Namun, kesilapan Kenmu yang bersikap pilih kasih
terhadap daimyo dan pembesar istana tanpa memperuntukkan apa-apa kepada kelas
samurai menyediakan asas kepada permulaan Keshogunan Ashikaga dengan Takauji
Ashikaga menjadi shogun yang pertama pada tahun 1338. Usaha ini merupakan usaha
terakhir mana-mana maharaja untuk mendapatkan semula kuasa mereka dan pemulihan
kuasa sebenar hanya berlaku semasa era Pemulihan Meiji.

Pemulihan Meiji

Semasa
Komodor Matthew Perry berlayar ke Teluk Edo (Teluk Tokyo) pada tahun 1853 dan
mahukan akses perdagangan ke Jepun, beliau tidak sedar permintaannya itu akan
mencetuskan revolusi yang membawa kepada kehancuran Keshogunan Tokugawa dan
kebangkitan semula kuasa maharaja. Tatkala itu, kelompok elit Jepun sedar
negara-negara Barat termasuk Amerika Syarikat amat maju dari segi teknologi
peperangan sekaligus memudahkan lagi usaha perluasan mereka di sebelah Timur
Jauh termasuk Jepun. Bohonglah jika pembesar-pembesar Jepun ini tidak tahu
nasib yang menimpa Dinasti Manchu di China yang kalah dalam Perang Candu
Pertama dengan Britain 14 tahun sebelumnya. Sesetengah memilih dasar buka pintu
tetapi bagi Tokugawa, itu juga alasan tepat untuk terus menutup pintu kepada
dunia luar.

13
tahun selepas itu, puak Satsuma dan Chosu membentuk pakatan strategik
menggulingkan Keshogunan Tokugawa dan mengembalikan kedudukan maharaja sebagai
ketua negara sebenar. Mereka merasakan dengan mengembalikan kedudukan Maharaja
Komei, ia dilihat strategi terbaik dalam memerangi kuasa-kuasa luar yang
mengintai peluang bertapak di Jepun. Tetapi hasrat mereka tidak kesampaian
apabila Komei mangkat pada Januari 1867 dan digantikan oleh Mutsuhito dengan
gelaran Meiji sebulan berikutnya. Tetapi tindakan mereka ini sudah pasti dicium
Yoshinobu Tokugawa dan berpotensi menjejaskan kedudukannya sebagai shogun.

Sembilan
bulan selepas Meiji menaiki takhta, Yoshinobu secara rasmi turun dari kedudukan
sebagai shogun dan menyerahkan kuasa pemerintahan kepada baginda. Tetapi
kawalan sebenar ke atas negara masih di tangannya dan bila Meiji mengeluarkan
dekri keluarga Tokugawa perlu dibubarkan, Yoshinobu mengarahkan
pengikut-pengikutnya bangkit dan mara ke Kyoto untuk menyingkirkan baginda.
Namun, rancangan tersebut dapat dihidu pakatan Satsuma-Chosu dan mencetuskan
Pertempuran Toba-Fushimi selama empat hari yang membawa kepada penamatan
kekuasaan keluarga Tokugawa. Walaupun ramai pembesar mengisytiharkan taat setia
mereka terhadap Maharaja Meiji, masih ramai yang enggan berbuat demikian dan
terus menentang tentera diraja dalam perang dikenali sebagai Perang Boshin.
Namun dengan kelengkapan tentera yang moden, tentera diraja meneruskan kemaraan
dan menang dalam setiap kempen mereka.

Selepas
tamat Perang Boshin, perubahan radikal mula dilaksanakan seperti pembubaran
empat kelas hierarki masyarakat, penubuhan tentera kerahan dengan kelengkapan
senjata, uniform dan taktik peperangan moden serta berubah dari perdagangan
kepada perindustrian. Selain itu, Maharaja Meiji turut mengeluarkan dekri
berkenaan penggubalan Perlembagaan Meiji pada tahun 1889. Penggubalan
perlembagaan ini menjadikan Jepun sebuah negara raja berperlembagaan
berdasarkan perlembagaan Prussia. Perubahan radikal ini menjadikan Jepun
sebagai satu kuasa imperialis yang dihormati di sebelah Timur Jauh dan menarik
minat pemerintah-pemerintah lain yang mahu melindungi kedaulatan kerajaan
mereka. Antara kerajaan yang menunjukkan minat ketika itu ialah Empayar Turki
Uthmaniyyah dan Sultan Abu Bakar dari Johor.

Dengan
kemunculan Jepun sebagai kuasa imperialis moden, tidak hairanlah proses
perluasan kuasa bermula dengan menewaskan China semasa Perang China-Jepun
Pertama (1894-1895), penawanan Semenanjung Korea pada tahun 1910 dan menewaskan
tentera Rusia semasa Perang Rusia-Jepun (1904-1905). Tetapi kedudukan maharaja
ini juga dieksploitasi oleh kelompok radikal termasuk dalam tentera bagi
memastikan cita-cita imperialisme Jepun tidak terjejas. Ini termasuklah
mempergunakan status baginda sebagai dewa hidup mengikut ajaran Shinto dan
semua tindakan peperangan dibenarkan atas namanya termasuk jenayah perang dan
kemanusiaan. Maka tidak hairanlah semasa WWII, semua bentuk jenayah perang atau
tindakan radikal dihalalkan atas alasan ini. Ini tidak dibantu dengan
pembabitan beberapa anggota kerabat diraja Jepun termasuk Putera Yasuhiko Asaka
dalam jenayah perang termasuk insiden keganasan di Nanking.

Maka
atas sebab itulah, semasa pihak Bersekutu bermesyuarat di Potsdam, salah satu
keterangan yang terkandung dalam Deklarasi Potsdam ialah penghapusan figura
yang menipu rakyat Jepun sehingga terjebak dalam WWII. Tetapi selepas Jepun
menyerah kalah akibat serangan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki dan demi
menjaga kepentingan geopolitik, Jeneral Douglas MacArthur memutuskan untuk
memberi imuniti kepada keluarga diraja termasuk Maharaja Hirohito daripada
sebarang dakwaan jenayah perang. Selain itu, penggubalan Perlembagaan Jepun
berdasarkan model kerajaan berparlimen Britain turut dibuat dengan maharaja
kembali berperanan sebagai ketua negara tetapi tanpa sebarang kedaulatan dan
hanya menjalankan tugas bersifat upacara. Selain itu, apa-apa tindakan baginda
turut dibimbing oleh Kabinet dalam soal seperti pembubaran Diet dan
penganugerahan gelaran kehormat.

Tetapi
semua halangan ini tidak menghalang Hirohito dari membina semula imej Jepun
sebagai sebuah negara progresif pasca-WWII. Bersesuaian dengan keinginan rakyat
yang mahu melihat keamanan, maka itu menjadi aspirasi baginda sebagai simbol
penyatuan dan perpaduan rakyat. Atas sebab itulah, baginda menerima sambutan
positif bila mengadakan lawatan ke luar negara termasuk bertemu dengan Ratu
Elizabeth II (1971) dan Presiden Gerald Ford (1975). Dan itu juga mendorongnya
memboikot sebarang lawatan ke Kuil Yasukuni sehingga kemangkatannya pada tahun
1989 kerana murka dengan tindakan pihak kuil memasukkan abu mayat penjenayah
perang kelas A ke kuil berkenaan. Boikot itu diteruskan oleh pengganti dan
putera baginda, Maharaja Akihito sehingga ke hari ini.

Legasi dan evolusi

Namun,
satu isu yang menyelubungi keluarga diraja ialah kekurangan waris lelaki untuk
meneruskan pemerintahan monarki paling tua di dunia. Ini kerana undang-undang
di sana menyatakan hanya waris lelaki sahaja yang boleh menjadi pewaris takhta.
Sementara bagi anggota kerabat diraja wanita pula, mereka akan kehilangan
status diraja jika berkahwin dengan orang biasa berdasarkan Akta Kerabat Diraja
1947 dan ini berlaku kepada Puteri Sayako dan Puteri Mako. Keadaan ini
mengakibatkan bilangan anggota keluarga diraja berkurangan dan mencetuskan rasa
bimbang dalam kalangan rakyat Jepun.

Selain
itu, puteri kerabat diraja Jepun juga tidak layak mewarisi takhta dan ini
dijangka menimpa satu-satunya puteri bakal maharaja Naruhito, Puteri Aiko. Ini
mencetuskan persoalan mengapa politikus enggan meminda undang-undang sedia ada
untuk membolehkan keluarga diraja terus berevolusi dengan perubahan masa.
Menurut Profesor Yuji Otabe dari Shizuoka University of Welfare, mereka
sebenarnya tidak mahu bertanggungjawab tentang isu berat ini. Dan melihat
kepada sokongan orang ramai, isu penerimaan tidak seharusnya menjadi masalah.
Berdasarkan kaji selidik Yomiuri Shimbun, dua pertiga responden mahukan
undang-undang pewarisan takhta membabitkan puteri kerabat diraja dipinda.

Dan
melihat kepada sejarah Jepun sendiri, mereka pernah diperintah oleh lapan
maharani sepanjang sejarah 2,600 tahun mereka. Kali terakhir takhta Jepun diisi
oleh maharani ialah semasa pemerintahan Maharani Go-Sakuramachi yang memerintah
dari 1762 hingga 1771. Idea reformasi ini turut disokong oleh Diet semasa
mereka meluluskan usul membenarkan Maharaja Akihito turun takhta pada tahun
2017 dan mahukan kerajaan pimpinan Shinzo Abe mempertimbang idea putera-puteri
dari puteri diraja diambil sebagai pewaris takhta. Tokyo bersedia mempertimbang
usul Diet dan ia dirancang akan dibahaskan selepas Naruhito menaiki takhta
secara rasmi pada 1 Mei ini.

Bagaimanapun, agak sukar untuk Abe mempertimbang rancangan tersebut kerana ia sudah pasti menimbulkan kemarahan sekutunya dari parti politik pelampau berhaluan kanan. Ini kerana bagi mereka, jika rancangan tersebut diteruskan, mereka menganggap ia pengakhiran kepada keturunan diraja yang datang dari pewaris lelaki yang menjadikan keluarga diraja Jepun istimewa. Bagaimanapun, ada juga yang mencadangkan pemansuhan klausa undang-undang 1947 bagi mengembalikan status keluarga diraja yang terkesan daripada undang-undang itu. Jika idea itu diteruskan, keluarga diraja Jepun sekurang-kurangnya mempunyai ramai pilihan untuk memilih siapa pewaris takhta seterusnya.

Yang pasti, langkah-langkah ini mendapat sokongan popular rakyat dan kerajaan perlu mempertimbang langkah bagi membolehkan keluarga diraja terus berevolusi seiring dengan perubahan masa. Dan jika langkah ini dipilih, ini sudah pasti menjadikan rakyat semakin menghargai kelibat maharaja sebagai payung dan tunjang utama Jepun hari ini. Dan ini sesuatu yang harus dicontohi mana-mana warga Malaysia hari ini lebih-lebih lagi kepada pendukung DPT agar menghargai peranan YDPA dan MRRM sebagai payung negara.

SUMBER

1.
Szczepanski, Kallie. (2018). What Was the Meiji Restoration? ThoughtCo.com. https://www.thoughtco.com/what-was-the-meiji-restoration-195562

2.
Fogarty, Phillipa. (2017). The princess, the palace and the shrinking royal
line. BBC. https://www.bbc.com/news/world-asia-39961749

3.
Straits Times. (2019). Japan abdication stirs female succession debate. https://www.straitstimes.com/asia/east-asia/japan-abdication-stirs-female-succession-debate

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet