Kisah ini berlaku ketika Sayyidina Ali (ra), khalifah keempat dalam sejarah Islam, baju perang kesayangannya dicuri oleh seorang Nasrani dan kes tersebut dibawa ke mahkamah.
Walaupun Ali merupakan seorang khalifah, seorang pemimpin besar yang sangat dihormati, beliau tetap tunduk kepada undang-undang dan keadilan.
Kisah ini bukan sekadar mengenai pencurian, tetapi lebih kepada sifat adil dan berintegriti Sayyidina Ali, serta bagaimana keadilan Islam dipraktikkan, walaupun melibatkan pemimpin tertinggi.
Pada suatu hari, Sayyidina Ali mendapati bahawa baju perangnya yang diletakkan di luar rumah telah hilang.
Puas dicari, akhirnya beliau melihat seorang Nasrani sedang memakai baju tersebut. Tidak mahu bertindak terburu-buru, Ali menegur Nasrani itu dengan sopan, memaklumkan bahawa baju besi itu adalah miliknya.
Namun, Nasrani tersebut menafikan dakwaan Ali, malah meminta bukti bahawa baju itu benar-benar milik khalifah.
Bayangkan situasi ini, seorang pemimpin besar seperti Sayyidina Ali menghadapi cabaran sebegini. Dihadapkan dengan seorang rakyat biasa yang berani mencabarnya di hadapan undang-undang.
Tanpa rasa marah atau menggunakan kuasa untuk menekan, Ali memilih jalan yang paling adil.
Beliau membawa kes ini kepada seorang hakim terkenal di Kufah, Hakim Syuraih untuk menyelesaikan pertikaian.
Di hadapan hakim, Sayyidina Ali menyatakan bahawa baju besi yang dipakai oleh Nasrani itu miliknya, namun Ali menghadapi satu masalah.
Beliau tiada bukti fizikal untuk menyokong dakwaannya. Di sini, undang-undang tetap ditegakkan. Hakim Syuraih, walaupun berhadapan dengan seorang khalifah, tetap bersikap adil dan tidak memihak.
Disebabkan Ali tidak mempunyai bukti yang kukuh, hakim membuat keputusan memihak kepada Nasrani tersebut.
Nasrani itu yang tidak menyangka akan menang kes ini segera berlalu pergi dengan baju perang tersebut.
Tetapi selepas beberapa langkah, sesuatu yang mengejutkan berlaku. Nasrani itu berpatah balik dan terus mengucapkan dua kalimah syahadah di hadapan Sayyidina Ali dan Hakim Syuraih untuk menyatakan keislamannya.
Kenapa Nasrani ini bertindak sedemikian? Rupa-rupanya, beliau sangat terkesan dengan keadilan dan integriti yang dipamerkan oleh Sayyidina Ali.
Walaupun Sayyidina Ali mempunyai kedudukan yang tinggi, beliau tidak menggunakan kuasa untuk menindas, sebaliknya tunduk kepada prinsip keadilan.
Tindakan ini membuatkan Nasrani tersebut tersentuh dan tanpa ragu-ragu memeluk Islam. Dia mengakui bahawa dia sememangnya mencuri baju besi tersebut selepas Perang Jamal.
Namun, apa yang lebih mengagumkan baginya ialah Sayyidina Ali tetap berpegang kepada undang-undang, tidak membalas dengan dendam atau kuasa.
Sayyidina Ali tersenyum mendengar pengakuan itu dan dengan penuh baik hati menghadiahkan baju besi itu kepada Nasrani yang baru sahaja memeluk Islam.
Kisah ini tidak berakhir di situ. Nasrani tersebut kemudian menggunakan baju besi itu untuk berjuang di sisi Sayyidina Ali menegakkan agama Islam yang baru dianutinya.
Kisah ini merupakan satu pengajaran penting tentang bagaimana seorang pemimpin Islam yang sebenar harus berpegang kepada prinsip keadilan dan kebenaran, tanpa mengira pangkat atau kedudukan.
Sifat Sayyidina Ali yang penuh sabar, adil, dan sentiasa menjunjung tinggi nilai-nilai Islam ini menjadikannya contoh teladan terbaik dalam kepimpinan.
Keputusan Ali untuk tidak menggunakan kuasa sewenang-wenangnya, bahkan tunduk kepada keputusan mahkamah menunjukkan keindahan undang-undang Islam yang mementingkan keadilan sejagat.
Kisah ini juga mengingatkan kita tentang betapa pentingnya sifat rendah diri dan keadilan dalam kepimpinan, walaupun berhadapan dengan musuh atau orang yang mencabar kuasa kita.
Inilah keindahan Islam. Keadilan ditegakkan, bukan kerana siapa yang lebih berkuasa, tetapi kerana kebenaran.
___
Macam mana sahabat-sahabat Rasulullah SAW berjaya meneruskan sebuah empayar Islam yang menewaskan Rom dan Parsi? Jawapannya ada di dalam KHULAFA’ AL-RASYIDIN!
Dapatkan segera di Shopee sempena JUALAN ULANG TAHUN THE PATRIOTS!
s.shopee.com.my/2fsKWuCK6b




No comments yet