Jadi orang terkenal bukan lesen untuk buat sesuka hati ya. Tak kiralah siapa daripada pendakwah bebas dan ahli politik hinggalah selebriti dan ahli sukan. Sebabnya semua tindakan sentiasa diperhatikan orang sama ada sedar atau tidak. Jadi, boleh fahamlah kenapa seorang lelaki persis bintang bola sepak Lionel Messi terkejut kerana didakwa sebagai penipu dan kasanova!
Tetapi itulah yang berlaku kepada seorang lelaki Iran bernama Reza Parastesh beberapa tahun lepas. Mempunyai wajah mirip bekas ayam tambatan Barcelona itu, Parastesh dituduh menggunakan wajahnya untuk menambat hati 23 orang wanita sebelum meniduri mereka. Dituduh ya. Dan disebabkan tuduhan ini, selebriti media sosial itu merasa takut dengan situasi dirinya.
Jika diletakkan dalam situasinya, siapa tak cuak oii. Di Iran, hubungan luar nikah merupakan satu kesalahan jenayah berat. Pelaku yang belum berkahwin boleh dikenakan hukuman rotan 100 kali. Sementara pelaku yang sudah berkahwin pula dikenakan hukuman mati. Jadi, dengan mengambil kira tuduhan yang dilemparkan dan hukuman yang menanti, siapa yang tak meloncat.
Parastesh mula dikenali sebagai pelanduk dua serupa Messi selepas bapanya mendapati wajahnya dengan legenda Argentina itu amat mirip. Sejak itu, lelaki Iran ini muncul di laman media sosial sebagai ‘kembar’ Messi dengan melakukan pelbagai gaya sama sepertinya dan menyarung jersi Barcelona. Ini mendorong ramai orang mengikutinya di pelbagai platform laman media sosial. Di Instagram misalnya, akaun peribadi Parastesh mempunyai 700,000 orang pengikut.
Sejak tuduhan tersebut muncul, ia ibarat malapetaka buat ‘kembar’ Messi itu. Ini kerana menurut Parastesh, dia diganggu oleh semua orang termasuk keluarganya sendiri selepas mendengar tuduhan yang dilemparkan. Bagaimanapun, dia menegaskan dalam satu hantaran video di Instagram bahawa tuduhan dia meniduri 23 orang wanita itu sebagai fitnah semata-mata.
Ini kerana jika dakwaan tersebut benar seperti dinyatakan, sudah pasti Parastesh akan didakwa di mahkamah dan dikenakan hukuman mengikut lunas undang-undang Iran. Malah, sehingga artikel ini ditulis, tiada seorang wanita yang didakwa menjadi mangsanya tampil dan mengesahkan tuduhan tersebut benar atau tidak. Keadaan ini bagi Parastesh cukup untuk dijadikan kekuatan untuk membersihkan semula namanya yang tercemar akibat tuduhan jijik tersebut.
Walaupun kes ini berlaku kira-kira tiga tahun lepas, ini menunjukkan betapa besarnya tuduhan zina dan impaknya kepada orang yang dituduh tanpa mengira orang awam atau figura terkenal. Ini kerana tuduhan zina membabitkan maruah manusia dan perlu dibuktikan dengan bukti yang kukuh dan saksi yang boleh dipercayai. Kalau ini pun payah nak buat bagi buktikan tuduhan betul atau tidak, maka bersedia sajalah menerima laknat Tuhan yang tidak mampu dibayangkan.
Ini berdasarkan satu hadis Rasulullah s.a.w. Pada satu hari, baginda bersabda terhadap para sahabat yang bersama dengannya, “Jauhilah tujuh perkara yang membinasakan.” Lalu para sahabat bertanya. “Apakah perkara-perkara tersebut, wahai Rasulullah?”
Lantas, baginda menjawab, “Syirik kepada Allah, sihir, membunuh jiwa yang Allah haramkan melainkan dengan adanya hak, makan riba, makan harta anak yatim, berpaling dari medan perang, dan menuduh wanita yang telah berkahwin yang beriman melakukan zina.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Binasa dah satu hal. Lepas itu, dilabel orang fasik di sisi Dia. Fasik ini apa dia? Ringkasnya, fasik merujuk kepada individu yang suka menentang apa yang diperintahkan Tuhan dan sentiasa menurut kehendak nafsunya semata-mata. Orang macam ini bukan saja tak boleh dipercayai sebagai saksi tetapi juga tidak diberi hidayah Ilahi dan dijanjikan slot khas dalam neraka seperti dinyatakan dalam ayat 2o, Surah as-Sajdah. Nak sangat ke gelaran itu kat dahi masing-masing macam tag nama Running Man?
Akhir sekali, kena hukum ikut undang-undang. Kalau ikut enakmen undang-undang syariah sesetengah negeri di Malaysia, hukumnya ialah denda RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya. Memanglah tak berat tapi kalau kena yang betul, mahunya lari tak cukup tanah. Sebab hukum untuk orang tuduh zina ikut ayat 4, Surah al-Nur ialah 80 kali sebat dengan semua persaksian ditolak atas dasar fasik. Kena macam tu, agaknya orang baru sedar diri dan tak berani main tuduh-tuduh macam sekarang.
Sebab itu, bila tuduhan macam ini timbul seperti yang menimpa Parastesh, jangan memandai berlagak jadi hakim dan tukang hukum. Itu bukan kerja kita, itu kerja pihak berkuasa. Bila dengar, siasat betul ke tidak macam yang ditegaskan dalam ayat 6, Surah al-Hujurat. Kalau ada bukti, serah dan biarkan pihak pemerintah ambil tindakan.
Tapi kalau ini pun payah nak buat, maka yang menuduh bersedia sajalah. Bersedialah menerima laknat Tuhan dan permohonan doa orang yang dianiaya. Sungguh, tiada hijab antara orang teraniaya dengan Penciptanya bila dia pohon doa. Kita ni dahlah amalan sikit, dosa bertimbun. Lepas tu, undang bala pada diri sendiri dengan kerja sia-sia macam ini. Macam mana nak menghadap Tuhan oii dalam keadaan macam tu?
Ada banyak lagi buku-buku menanti ada di pautan Shopee kami. Pelbagai jenis genre dan jenis tersedia untuk dibeli. Kalian dipelawa layari Shopee kami: https://shopee.com.my/thepatriotsasia
RUJUKAN
Farmery, T. (2019, 26 Jun). Lionel Messi look-alike denies conning 23 women into sleeping with him after allegedly using the identity of the Barcelona star. Daily Mail.
de Menezes, J. (2019, 26 Jun). Lionel Messi lookalike denies using appearance to sleep with 23 women as he calls accusations ‘fake news’. The Independent.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih