Pertempuran Pelusium merupakan sebuah pertempuran bersejarah yang sangat penting. Ia berlangsung pada abad ke-6 SM dan memperlihatkan pasukan tentera Mesir dikalahkan oleh ketumbukan Parsi sekaligus mengangkat kuasa Parsi di wilayah tersebut. Pertempuran ini merupakan salah satu contoh awal perang psikologi.
Dengan mengetahui bahawa masyarakat Mesir menyembah kucing sebagai simbol kepada Dewi Bastet, maka Cambyses II pun mengarahkan perajurit-perajuritnya agar melukis gambar dewi kucing di perisai masing-masing.
Bahkan semasa pertempuran sedang berlangsung, pasukan tentera Parsi dikatakan mara di belakang sekumpulan kucing. Tentera-tentera Mesir yang tidak sanggup mengapa-apakan haiwan suci itu terpaksa menyerahkan kota mereka kepada Parsi.
Pelusium merupakan sebuah kota Mesir yang sangat penting dan terletak di penghujung timur Delta Sungai Nil. Pada zaman purba, kota ini dianggap sebagai pintu masuk ke Mesir dari dunia timur. Makanya, Pelusium memegang signifikasi yang sangat besar jika dilihat dari sudut ketenteraan. Mana-mana kuasa dari dunia timur yang berimpian mahu menakluk Mesir perlu terlebih dahulu menakluk kota ini.
SERANGAN ASSYRIAN KE ATAS PELUSIUM
Pertempuran Pelusium bukanlah cubaan pertama dari dunia timur dalam mencerobohi wilayah Mesir. Pada abad ke-8 SM, raja Assyria yang bernama Sennacherib pernah cuba menyerang Mesir dan memberangkatkan bala tenteranya ke Pelusium.
Menurut sejarahwan Greek yang bernama Herodotus, pemerintah Mesir yang bernama Sethos telah mengundang kemarahan golongan berkelas pahlawan di wilayahnya itu. Akibatnya, mereka enggan menghulurkan bantuan dalam mempertahankan Mesir semasa Assyria datang menyerang.
Sebelum menaiki takhta, Sethos merupakan seorang “paderi Hephaestus” dan makanya beliau adukan permasalahan yang dihadapinya itu kepada dewa. Dewa kemudian muncul dalam mimpi Sethos dan memaklumkan padanya agar tak usah gusar kerana bala bantuan akan dihantar kelak. Sethos lantas menghimpunkan seramai mungkin sukarelawan dan menubuhkan pangkalan tentera berhampiran kota Pelusium.
Tidak lama kemudian, bala tentera Assyria pun sampai. Namun pada waktu malam, segerombolan tikus “mengunggis bekas anak panah, busur panah dan pemegang perisai tentera-tentera Assyria”. Akibatnya, ketumbukan Assyria yang kini tidak bersenjata terpaksa berundur. Malahan, mereka kehilangan ramai tentera di tangan ketumbukan Mesir.
SERANGAN PARSI KE ATAS PELUSIUM
Kekuatan Mesir tidak meraih tuah sedemikian dalam Pertempuran Pelusium pada tahun 525SM. Kali ini, giliran Achaemenid-Parsi pula untuk menyerang Mesir. Serangan ini dipimpin oleh Cambyses II, iaitu pemerintah kedua dalam Empayar Achaemenid.
Menurut Herodotus (yang catatannya ini berdasarkan “apa yang dikatakan oleh masyarakat Parsi”), faktor yang mendorong Cambyses II untuk menyerang Mesir adalah kerana beliau naik murka setelah menyedari tipu-helah yang dilakukan oleh Amasis si pemerintah Mesir.
Sebelum itu, Cambyses II telah melamar puteri Amasis untuk dikahwini. Namun, Amasis menganggap bahawa perkahwinan tersebut akan menjatuhkan martabat puterinya itu sebagai gundik kepada Cambyses II dan bukannya sebagai ratu Parsi. Makanya, beliau berasa berat hati untuk memenuhi permintaan pemerintah dari Parsi itu. Pada masa yang sama, beliau juga berasa takut terhadap kekuatan yang dimiliki oleh Empayar Achaemenid.
Oleh kerana itu, beliau mengambil keputusan untuk mengarahkan Nitetis, puteri kepada Apries si pemerintah Mesir yang sebelumnya agar menyamar sebagai puterinya. Nitetis kemudian dihantar dan dikahwinkan dengan Cambyses II. Namun, Nitetis kemudiannya membocorkan helas Amasis itu dan Cambyses II yang naik berang pun mengambil keputusan untuk menyerang Mesir.
PERANG PSIKOLOGI DILANCARKAN OLEH CAMBYSES
Tatkala Cambyses dan pasukan tenteranya tiba di sempadan timur Mesir, Amasis pun mangkat. Puteranya yang bernama Psammeritus (Psamtek III) naik takhta sebagai pemerintah baru Mesir. Herodotus tidak banyak menulis tentang Pertempuran Pelusium ini, melainkan kenyataan bahawa “pertempuran itu berlangsung hangat dan jumlah kehilangan di kedua belah pihak sangat tinggi, namun pada akhirnya tentera Mesir berjaya ditewaskan.”
Catatan lain berkenaan pertempuran ini juga boleh ditemui di dalam penulisan Polyaenus, seorang penulis abad ke-2 Masihi dari Macedonia. Dalam karyanya yang berjudul Stratagems, Polyaenus mendakwa bahawa kelicikan Cambyses merupakan faktor yang meraihkan kemenangan bagi pihak Parsi.
Untuk menghadapi bedilan yang dilontarkan dari kem pertahanan Mesir, Cambyses menyusun barisan hadapannya dengan meletakkan sejumlah haiwan yang dianggap suci oleh masyarakat Mesir. Antara haiwan tersebut termasuklah kucing, anjing, burung bangau dan kambing.
Oleh kerana berasa khuatir akan mencederakan haiwan-haiwan suci itu, tentera-tentera Mesir pun menghentikan serangan sekaligus mengakibatkan ketumbangan Pelusium ke tangan Cambyses.
Satu sumber moden mendakwa bahawa Cambyses turut mengarahkan agar gambar Bastet (dewi Mesir yang sering digambarkan sebagai seekor kucing) dilukiskan pada perisai tentera-tenteranya. Sumber lain pula menyebutkan bahawa kucing-kucing itu bukannya dilukis, sebaliknya dilekatkan pada perisai tentera Parsi dengan tujuan untuk melemahkan psikologi pasukan tentera Mesir.
Walau bagaimanapun, apa yang sebenarnya berlaku pada hari pertempuran itu tidak dapat kita pastikan dengan jelas.
Cambyses II dari Parsi menangkap firaun Psamtik III. Gambar pada mohor Parsi yang bertarikh abad ke-6 SM
Herodotus juga menghadirkan sebuah lagi hikayat berkenaan Pertempuran Pelusium. Semasa beliau melawat medan pertempuran itu, Herodotus ditunjukkan dengan tulang-belulang tentera-tentera yang terkorban dalam pertempuran tersebut. Jasad tentera-tentera Mesir terletak di satu sisi medan sambil sisi yang lain pula menempatkan jasad tentera-tentera Parsi.
Satu kaedah untuk mengenal-pasti sama ada jasad tersebut milik tentera Mesir ataupun Parsi adalah dengan melontarkan batu padanya. Jika batu tersebut mengakibatkan lubang terhasil pada tengkorak tersebut, maka ianya bermaksud bahawa jasad tersebut adalah milik tentera Parsi; jika tidak, maka ia adalah milik tentera Mesir.
Menurut sejarahwan Greek itu, hal ini kerana sejak kecil lagi masyarakat Mesir telah “mencukur kepala mereka dan tulang mereka telah mengeras akibat disinari matahari”, sementara tentera Parsi pula “memakai mahkota (penutup kepala) sejak lahir dan menutup kepala mereka dari sinaran matahari”. Sekali lagi, kita tidak dapat memastikan dengan jelas kebenaran dakwaan tersebut.
DIOLAH DAN DITERJEMAHKAN DARI:
DHWTY. (6 Julai 2015). The Battle of Pelusium: Psychological warfare leads Persians to victory. Ancient Origins.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih