Kerajaan Sukhothai merupakan sebuah kerajaan awal yang terletak di Thailand moden. Kerajaan ini ditubuhkan pada kurun ke-13. Sebelum Kerajaan Sukhothai terbentuk, kebanyakan wilayah Thailand moden ini berada di bawah pemerintahan Empayar Khmer.

Memandangkan kerajaan Khmer ini berpangkalan di Kemboja moden, maka mereka boleh dianggap sebagai sebuah kuasa asing. Sementara itu, Kerajaan Sukhothai ini pula ditubuhkan oleh seorang pemerintah tempatan Tai.

Justeru, kerajaan ini dianggap secara umum oleh masyarakat Tai (salah satu kumpulan etnik utama Tai) sebagai titik permulaan sejarah bangsa dan negara mereka. Kerajaan Sukhothai berakhir pada hujung kurun ke-15, apabila ia tumbang di tangan sebuah lagi kuasa Tai, iaitu Kerajaan Ayutthaya.

SITUASI SEBELUM TERTUBUHNYA KERAJAAN SUKHOTHAI

Pada tahun 802 Masihi, seorang pemerintah yang bernama Jayavarman II mengisytiharkan dirinya sebagai chakravartin (diterjemah sebagai raja alam) di Phnom Kulen, banjaran gunung yang terletak di barat laut Kemboja. Pengisytiharan ini secara umum dianggap sebagai permulaan Empayar Khmer, yang juga dikenali sebagai Empayar Angkor.

Pada kurun-kurun berikutnya, bangsa Khmer mendominasi kebanyakan daratan Asia Tenggara. Pada kemuncak kuasanya, yakni antara kurun ke-11 dan kurun ke-13 Masihi, kuasa Empayar Khmer ini melangkaui sempadan Kemboja. Ia memerintah atau menaungi Laos, Thailand dan Vietnam moden. Selain itu, pengimejan satelit mendapati bahawa Angkor, iaitu ibu kota Khmer pada masa itu, merupakan sebuah pusat urban pra-industri terbesar di dunia sekaligus membuktikan lagi kekayaan dan kekuasaan yang dimiliki oleh empayar berkenaan.

Peta Asia Tenggara pada tahun 900, Empayar Khmer berwarna merah

Pemerintah agung terakhir Empayar Khmer ialah Jayavarman VII, yang memerintah dari tahun 1181 hingga 1206 Masihi. Antara pencapaian Jayavarman ini termasuklah kempen ketenteraan yang berjaya ke atas Cham (yang kerajaannya, Champa, terletak di sempadan timur Empayar Khmer), penyatuan semula empayar dan pelancaran sejumlah projek pembinaan penting. Para pemerintah yang menggantikan Jayavarman tidak mewarisi kecekapan beliau, lantas empayar pun mula mengalami kemunduran secara bertahap.

Misalnya menjelang tahun 1220 Masihi, bangsa Khmer telah meninggalkan sejumlah wilayah yang sebelum ini dirampas oleh Jayavarman dari bangsa Cham. Walaupun Empayar Khmer masih merupakan sebuah kuasa yang digeruni, bangsa Tai yang merupakan jirannya di barat pada masa yang sama mengalami perkembangan kuasa.

Pada tahun 1431, Kerajaan Ayutthaya melancarkan ser4ngan ke atas Empayar Khmer dan berjaya men4kluk ibu kotanya, Angkor. Kejatuhan Angkor ini dianggap sebagai pengakhiran dominasi bangsa Khmer di Asia Tenggara.

Walaupun begitu, kebangkitan bangsa Tai pada hakikatnya berlaku jauh lebih awal daripada itu. Kerajaan Tai pertama yang bangkit menentang Khmer ialah Kerajaan Sukhothai. Menurut tradisi, kerajaan ini ditubuhkan pada tahun 1238 oleh seorang pembesar Tai tempatan yang bernama Pho Khun Bang Klang Hao (bermaksud ‘Raja Yang Memerintah Langit’).

PEMERINTAH PERTAMA KERAJAAN SUKHOTHAI

Pho Khun Bang Klang Hao merupakan pembesar Bang Yang, sebuah wilayah kecil di daerah paling barat Empayar Khmer (kini wilayah utara Thailand). Berikutan pengenaan cukai-cukai yang tinggi oleh Kerajaan Khmer, Pho Khun Bang Klang Hao pun memutuskan untuk melancarkan pemberontakan terhadap pemerintah atasannya itu sekaligus mengisytiharkan kemerdekaan. Beliau dibantu oleh seorang lagi pembesar Tai, iaitu Khun Pha Mueang.

Pihak penentang ini men4kluk Sawankhalok dan menewaskan gabenor Sukhothai yang mewakili pemerintah Khmer. Kerajaan Khmer gagal bertindak balas ke atas penentangan bangsa Tai ini. Hal ini berkemungkinan kerana mereka sedang menumpukan kekuatan atau tenaga pada projek-projek pembinaan monumen di ibu kota.

Setelah mengusir suku Khmer dari tanahnya, Pho Khun Bang Klang Hao menubuhkan Kerajaan Sukhothai dan mengambil nama baru, iaitu Sri Indraditya yang boleh diterjemahkan daripada bahasa Sanskrit sebagai, “Raja Matahari dengan Kuasa Indra.”

Tugu Sri Indraditya, pengasas Kerajaan Sukhothai

Kemasyhuran beliau dalam kalangan rakyatnya “dicerminkan menerusi gelaran yang diberikan ke atasnya, iaitu Phra Ruang yang membawa maksud Putera Gemilang”. Gelaran ini digunakan oleh kesemua raja Sukhothai di zaman terkemudian dan dijadikan sebagai nama dinasti. Dinasti Phra Ruang ini dianggap sebagai dinasti diraja pertama Thailand, sekaligus permulaan sejarah bangsa dan negara itu.

Sri Indraditya memerintah Kerajaan Sukhothai sehingga kemangkatannya pada tahun 1270 Masihi. Sepanjang 32 tahun pemerintahannya, Kerajaan Sukhothai wujud sebagai sebuah kuasa tempatan yang kecil. Kerajaan ini kekal dengan kedudukan sedemikian semasa era pengganti Sri Indraditya, iaitu Ban Mueang si putera kedua raja.

Berbanding ayahandanya, Ban Mueang memerintah untuk tempoh yang singkat. Beliau memimpin Kerajaan Sukhothai hanya selama sembilan tahun. Kedudukannya digantikan oleh Ramkhamhaeng, adiknya. Pada zaman pemerintahan Ramkhamhaeng yang berlangsung sehingga tahun 1298 inilah Kerajaan Sukhothai muncul sebagai kuasa serantau yang berpengaruh.

Tugu Raja Ramkhamhaeng, pemerintah ketiga Kerajaan Sukhothai

PRASASTI RAMKHAMHAENG DI KERAJAAN SUKHOTHAI

Walaupun pada hari ini kita mempunyai maklumat berkenaan Ramkhamhaeng, pada hakikatnya beliau dilupakan hampir sepenuhnya pada kurun-kurun sesudah kemangkatannya. Hanya pada tahun 1834 barulah kewujudan raja ini diingati kembali. Pada tahun itu, Raja Mongkut dari Siam (seorang sami Buddha pada masa itu) menemui prasasti Ramkhamhaeng (juga dikenali sebagai Prasasti Satu Sukhothai) yang dihasilkan pada tahun 1292.

Semenjak itu, Ramkhamhaeng dikenang sebagai perwira bangsa di Thailand. Kebanyakan maklumat yang kita miliki tentang raja ini diambil daripada prasasti tersebut. Pada hujung 1980an dan 1990an, sebahagian sejarahwan meragui kesahihan prasasti ini. Hal ini membibitkan suatu kontroversi yang masih belum diselesaikan untuk tempoh yang panjang.

Prasasti Ramkhamhaeng berbentuk tiang batu setinggi 3.76 kaki (114.5 cm) dan mempunyai empat sisi. Setiap satunya mempunyai ukuran lebar 1.16 kaki (35.5 cm). Sisi pertama dan kedua tiang ini masing-masing mempunyai 35 baris tulisan, manakala sisi ketiga dan keempat pula masing-masing 27 baris.

Prasasti Ramkhamhaeng mengandungi tulisan-tulisan berkenaan Kerajaan Sukhothai


Prasasti-prasasti ini dianggap sebagai contoh terawal tulisan Tai. Menurut prasasti itu, tulisan ini dicipta oleh Ramkhamhaeng sendiri,

Sebelum ini, huruf-huruf Tai sebegini tidak wujud. Pada tahun 1283 Masihi, yakni tahun kambing, Raja Ramkhamhaeng menumpukan seluruh jiwa dan raganya untuk mencipta huruf-huruf Tai ini. Maka, huruf-huruf Tai ini pun wujud kerana raja menciptanya.”

Selain maklumat berkenaan Ramkhamhaeng, prasasti ini juga memberikan beberapa maklumat sejarah terawal Kerajaan Sukhothai. Misalnya pada permulaan prasasti ini, Ramkhamhaeng menyatakan bahawa ayahandanya ialah Sri Indraditya, manakala ibundanya pula ialah seorang wanita yang bernama Nang Suang.

Ramkhamhaeng juga menyebutkan bahawa beliau mempunyai dua orang saudara lelaki dan dua orang saudara perempuan. Selain itu, kita turut mengetahui bahawa putera sulung Sri Indraditya mangkat semasa kecil.

Sudah tentu, matlamat utama Prasasti Ramkhamhaeng ini adalah untuk mengagung-agungkan raja dan segala pencapaiannya. Sebagai contoh, prasasti ini menyatakan bahawa Kerajaan Sukhothai meraih kepesatan pada era pemerintahan Ramkhamhaeng,

Terdapat ikan di air dan padi di ladang. Raja kerajaan ini tidak mengenakan cukai ke atas rakyatnya yang berlalu-lalang di jalanan. Mereka bebas membawa ternakan mereka, atau menunggang kuda-kuda mereka untuk berdagang. Sesiapa yang mahu mendagangkan gajah, maka dia lakukannya; sesiapa yang mahu mendagangkan kuda, maka dia lakukannya; sesiapa yang mahu mendagangkan perak atau emas, maka dia lakukannya.”

Prasasti ini juga menceritakan tentang keperibadian raja. Misalnya, raja digambarkan sebagai seorang putera yang taat,

Semasa hayat ayahandaku, aku menumpahkan khidmat kepada ayah dan bonda. Bilamana aku berjaya menangkap buruan atau ikan, maka aku akan bawakannya kepada ayah. Apabila aku memetik mana-mana buah yang masam atau manis yang sedap dan baik untuk dimakan, maka aku akan bawakannya kepada ayah. Apabila aku pergi memburu gajah dan menangkapnya, baik dengan tali mahupun kurungan, maka aku akan bawakannya kepada ayah.”

Selain itu, Ramkhamhaeng turut menggambarkan dirinya sebagai seorang pemerintah yang prihatin terhadap rakyat jelata sebagaimana yang dicatatkan,

Terdapat sebuah loceng yang digantung pada gerbang istana. Jika rakyat jelata di tanah ini mempunyai bantahan dan mahu berbicara kepada pemerintah dan rajanya, maka mudah sahaja; beliau akan pergi membunyikan loceng yang digantungkan oleh Raja di situ. Raja Ramkhamhaeng, si pemerintah kerajaan akan mendengar loceng itu; seterusnya beliau memanggil lelaki itu masuk dan mengajukan soalan kepadanya, menyelidiki aduannya dan memutuskan dengan adil untuknya.”

AGAMA DALAM KERAJAAN SUKHOTHAI

Selain itu, menerusi prasasti ini juga kita dapat mengetahui bahawa kepercayaan Buddhisme sangat penting dalam kerajaan. Misalnya,

Di dalam kota Sukhothai ini, terdapat wihan (dewan suci yang mengandungi imej Buddha), ada patung-patung emas Buddha, ada patung-patung setinggi sembilan meter, ada patung-patung Buddha yang besar dan sederhana, ada wihan-wihan yang besar dan sederhana; terdapat sami-sami yang baru, sami-sami yang sudah berkhidmat selama lima tahun, sami-sami yang sudah berkhidmat selama sepuluh tahun, dan sami-sami yang sudha menjadi tuan guru.”

Antara lain lagi,

Penduduk di kota Sukhothai ini gemar memelihara amalan dan berbuat kebajikan. Raja Ramkhamhaeng, pemerintah kota Sukhothai ini, juga para putera dan puteri, pemuda dan pemudi bangsawan, dan semua bangsawan tanpa berkecuali, baik lelaki mahupun perempuan, semuanya menganut kepercayaan Buddha dan mengamalkan ajarannya walau pada musim hujan.”

Sudah tentu, sami-sami dan biara-biara Buddha meraih manfaat yang besar dari kemurahan hati raja dan golongan bangsawan. Sebagai contoh, hadiah-hadiah yang diberikan untuk kegunaan para sami dalam upacara Kathin (diadakan secara tahunan pada penghujung musim hujan) berjumlah dua juta cowries (kulit-kulit siput gerus) setiap tahun.

Tugu Buddha di Taman Bersejarah Sukhothai, di lokasi ibu kota Kerajaan Sukhothai

Pada bahagian akhir Prasasti Ramkhamhaeng, beliau digambarkan sebagai seorang pen4kluk agung yang memperluaskan sempadan kerajaannya ke semua arah,

Beliau berupaya menundukkan sejumlah musuh yang memiliki kerajaan-kerajaan yang luas dan banyak gajah. Tempat-tempat yang ditaklukinya di timur termasuklah Phitsanulok, tebing Sungai Mekong, Vientiane, sebagai sempadan. Di selatan pula termasuklah Nakhon Sawan, Phraek Sriracha, Suphanburi, Ratchaburi, Phetchaburi, Nakhon Si Thammarat, dan pantai laut sebagai sempadan. Sementara di barat termasuklah Mae Sot, Mottama (Burma), Bago (Burma), dan laut sebagai sempadan. Di utara pula termasuklah Phrae, Nan dan melangkaui tebing Mekong, Luang Prabang sebagai sempadan.”

Sejarahwan memperkirakan bahawa tempat-tempat ini tidaklah diperintah secara langsung oleh Ramkhamhaeng. Sebaliknya, keadaan lebih cenderung memperlihatkan pemerintah-pemerintah tempatan memperakui kekuasaan Kerajaan Sukhothai.

Menerusi Prasasti Ramkhamhaeng, jelas bahawa Ramkhamhaeng adalah seorang pemerintah yang bukan calang-calang. Namun malang, para pengganti beliau tidak mewarisi kecekapannya dan kerajaan dengan pantas kehilangan kuasa dan pengaruh di rantau berkenaan. Tidak lama selepas kemangkatan Ramkhamhaeng, kuasa-kuasa bawahan termasuklah yang terletak jauh di sempadan, mula berpecah.

Apapun, memandangkan Ramkhamhaeng menyerap hampir seluruh Thailand moden ke bawah pemerintahannya, maka wilayah kekuasaannya ini memperoleh satu visi kesatuan dan identiti kebudayaan yang baru. Visi ini diterapkan oleh negara-negara pengganti Sukhothai, terutama Kerajaan Ayyuthaya. Kerajaan ini bermula sebagai sebuah negara di selatan Sukhothai, namun secara bertahap mengembangkan kuasanya ke utara.

Anggaran keluasan zon pengaruh Kerajaan Sukhothai, lewat kurun ke-13

Pada tahun 1349 Masihi, Sukhothai ditakluk oleh Kerajaan Ayyuthaya. Apapun, Sukhothai dan Ayyuthaya terus wujud secara bersama sebagai dua buah kuasa yang berbeza. Sukhothai hanya diserap oleh Ayyuthaya pada tahun 1438 Masihi, tahun yang menandakan berakhirnya Kerajaan Sukhothai.

Legasi Sukhothai kekal kuat di Thailand sehingga ke hari ini. Sejarah permulaan negara itu boleh dijejak kembali pada sejarah kerajaan ini, lantaran kerajaan tersebut diangkat sebagai kerajaan pertama suku Tai. Selain itu, Ramkhamhaeng juga sehingga kini dihormati sebagai perwira bangsa di negara tersebut lantaran sumbangannya yang besar terhadap Kerajaan Sukhothai, terutama sekali dalam membawakan identiti kebudayaan dan kesatuan dalam kalangan masyarakat Tai.

Sebagai penutup, ibu kota kerajaan, iaitu Sukhothai pada hari ini merupakan Tapak Warisan Dunia UNESCO di bawah nama ‘Bandar Bersejarah Sukhothai dan Bandar-Bandar Bersejarah Berkaitan’.

Dua buah tapak lain yang turut dimasukkan ke dalam kumpulan ini ialah Si Satchanalai dan Kamphaeng Phet, masing-masing terletak tidak jauh dari Sukhothai. Tapak ini paling menonjol dengan kehadiran monumen-monumen Buddha, yang juga berfungsi bagi memperingati kegemilangan yang pernah dikecapi oleh kota tersebut, termasuklah oleh Kerajaan Sukhothai.

TERJEMAHAN:

Wu Mingren. (17 April 2020). Kingdom of Sukhothai and the Birth of Thailand. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/sukhothai-kingdom-0013580


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.