Macam biasa Trump akan kemaskini media social dia. Kemaskini terbarunya berbunyi seperti arahan seorang tuan empayar kepada negara yang masih berdaulat.
“The Enriched Uranium (Nuclear Dust!) will either be immediately turned over to the United States to be brought home and destroyed or, preferably, in conjunction and coordination with the Islamic Republic of Iran, destroyed in place or, at another acceptable location, with the Atomic Energy Commission, or its equivalent, being witness to this process and event. Thank you for your attention to this matter! President DJT”
Dalam Bahasa Melayu, maksudnya lebih kurang begini.
“Uranium diperkaya itu atau ‘debu nuklear’, sama ada akan segera diserahkan kepada Amerika Syarikat untuk dibawa pulang dan dimusnahkan atau lebih baik lagi, dengan kerjasama dan penyelarasan bersama Republik Islam Iran, dimusnahkan di lokasi asal atau di tempat lain yang boleh diterima, dengan Suruhanjaya Tenaga Atom atau badan setarafnya menjadi saksi kepada proses dan peristiwa ini. Terima kasih atas perhatian anda terhadap perkara ini! Presiden DJT”
Sekali lalu, Trump cuba membungkus kenyataan ini sebagai isu keselamatan nuklear. Amerika mahu muncul sebagai penjaga dunia yang datang untuk memastikan bahan berbahaya tidak jatuh ke tangan pihak yang salah. Bunyi dia kemas, tegas dan kononnya bertanggungjawab.
Tapi dalam geopolitik, uranium diperkaya tidak boleh dibaca sebagai bahan teknikal semata-mata. Ia adalah cip rundingan, simbol kedaulatan teknologi dan juga alat psikologi yang menentukan sama ada sesebuah negara boleh ditekan sampai lunyai atau perlu dilayan dengan lebih berhati-hati.
Iran tahu nilai cip tawar menawar ini. Kalau stok uranium itu keluar dari tangan Tehran dan masuk ke tangan Amerika, Iran kehilangan satu-satunya alat tekanan yang membuat Washington dan Isbiol berfikir dua tiga kali. Dalam politik kuasa, negara yang tidak ada alat tekanan selalunya hanya tinggal satu pilihan iaitu menerima syarat orang kuat.
Amerika pun faham perkara yang sama. Selagi Iran masih memiliki kemampuan pengayaan uranium, Iran kekal sebagai negara yang susah ditundukkan secara mutlak. Tehran mungkin tidak memiliki senjata nuklear, tetapi kemampuan mendekati ambang teknologi nuklear sudah cukup untuk mengubah cara musuh membaca risiko.
Inilah perkara yang paling meresahkan Isbiol. Selama ini, kelebihan utama mereka di Timur Tengah ialah keupayaan membantai lawan tanpa menanggung kos yang setara. Mereka boleh menyerang, membunuh, memusnahkan infrastruktur, kemudiannya berlindung di belakang payung politik dan ketenteraan Amerika.
Apabila Iran memiliki cip yang boleh menaikkan kos serangan, permainan berubah. Musuh tidak lagi boleh bertindak sesuka hati tanpa memikirkan kesan balas. Dalam dunia yang keras, moral selalunya kalah kepada kiraan kos.
Sebab itu kenyataan Trump ini perlu dibaca sebagai mesej kuasa. Dia tidak sekadar bercakap tentang uranium. Dia sedang memberitahu dunia bahawa Amerika mahu menentukan siapa layak memiliki teknologi strategik dan siapa mesti menyerahkan kunci keselamatannya kepada Washington.
Di sinilah perangai lama empayar Amerika muncul semula. Mereka masuk ke rantau orang lain dengan bahasa keamanan, demokrasi dan keselamatan. Selepas itu mereka tentukan pemimpin mana yang sah, kerajaan mana yang patut disekat, tentera mana yang perlu dibekalkan senjata dan negara mana yang mesti dipaksa melutut.
Dalam isu Iran, kita juga tidak perlu romantikkan Tehran. Iran ada agenda sendiri. Mereka membina jaringan pengaruh, bermain proksi, menekan musuh serantau dan menggunakan isu keselamatan untuk mengukuhkan kedudukan dalaman.
Cuma kita juga tidak boleh pura-pura lupa sejarah. Timur Tengah hari ini bersepah dengan kesan campur tangan Barat. Rampasan politik, sekatan ekonomi, pembunuhan pemimpin, perang proksi dan sokongan terbuka kepada Isbiol telah menjadikan rantau itu seperti papan catur yang sentiasa digerakkan oleh tangan luar.
Amerika suka bercakap tentang undang-undang antarabangsa apabila musuh mereka melanggar peraturan. Apabila sekutu mereka sendiri menghancurkan G, membunuh rakyat P, meratakan hospital dan memijak keputusan dunia, bahasa yang keluar berubah menjadi “hak mempertahankan diri”.
Itu yang membuat ramai orang meluat. Bukan kerana kita anti-Barat secara membuta tuli. Kita meluat kerana mereka selalu menjual wajah baik sedangkan tangan mereka penuh dengan darah negara lain.
Trump pula membawa gaya yang lebih kasar. Dia tidak pandai menyembunyikan naluri empayar itu dengan bahasa diplomatik yang lembut. Dia tulis seolah-olah uranium Iran ialah barang rampasan yang boleh diminta, diangkut pulang, dimusnahkan, kemudian selesai.
Perkataan “Nuclear Dust” dalam kenyataan itu pun menarik. Ia menjadikan isu besar kelihatan seperti sesuatu yang kecil dan mudah dibereskan. Padahal uranium diperkaya ialah hasil kerja teknikal bertahun-tahun, melibatkan makmal, saintis, rantaian bekalan, centrifuge, kemahiran industri dan keputusan politik yang sangat mahal.
Kalau Iran menyerahkan uranium itu kepada Amerika, Tehran akan dilihat lemah di mata rakyatnya sendiri. Kalau Iran menolak sepenuhnya, Washington dan Isbiol akan menggunakan penolakan itu sebagai alasan untuk menekan lebih keras.
Kalau Iran memilih jalan memusnahkan sebahagian stok di lokasi sendiri dengan pengawasan antarabangsa, itu mungkin jalan tengah yang menyelamatkan sedikit maruah politik mereka.
Di situlah permainan sebenar sedang berlaku. Amerika mahu hasil yang boleh dijual kepada rakyatnya sebagai kemenangan. Iran mahu jalan keluar yang tidak membuat mereka nampak menyerah.
Isbiol mahu memastikan tiada kuasa serantau yang mampu mengganggu dominasinya. Negara-negara Teluk pula hanya mahu minyak, kapal dagang dan istana mereka selamat daripada perang besar.
Jadi jangan baca kenyataan Trump ini seperti arahan teknikal tentang bahan nuklear. Baca ia sebagai pertarungan tentang siapa yang berhak menentukan keselamatan dunia.
Dalam sistem sekarang, kuasa besar mahu hak itu kekal dalam tangan mereka, walaupun rekod mereka sendiri penuh dengan perang, sekatan dan jenayah yang tidak pernah dibayar.
Negara kecil selalu diajar supaya percaya kepada undang-undang. Negara berkuasa besar pula tahu undang-undang hanya kuat apabila ada tentera, duit, industri, teknologi dan pakatan di belakangnya.
Itulah pengajaran paling pahit daripada kenyataan Trump ini.
Selagi Dunia Islam hanya marah tanpa membina kekuatan, kita akan terus menjadi penonton yang pandai mengecam tetapi gagal memaksa perubahan.
Kuasa besar tidak akan berhenti menindas kerana mereka tersentuh dengan air mata kita. Mereka hanya akan berhenti apabila kos menindas menjadi terlalu mahal untuk ditanggung.
Trump mungkin fikir dia sedang menulis satu kenyataan media sosial.
Sebenarnya, dia sedang membuka semula wajah dunia yang sama sejak dahulu lagi.
Wajah dunia di mana penjarah memakai kot hakim, pembuli bercakap tentang keamanan dan empayar lama masih mahu menentukan siapa boleh berdiri sama tinggi dan siapa mesti hidup dengan lutut di lantai.




No comments yet