“Bro makan dulu glukosa ni sebelum lari, tak pun Power Bar, nanti kejang perut tu kurang.”
“Jangan makan banyak sangat, nanti perut kejang waktu lari.”
Ini ialah dialog yang kerap kali aku dengar sewaktu pertandingan merentas desa di sekolah lama aku, Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor. Memang benar, petua daripada mereka ni berjaya kurangkan masalah perut kejang pada sisi perut, tapi kejangnya tetap ada. Ini mencetuskan persoalan kepada aku semasa zaman tersebut, kenapa perkara ini berlaku.
Setelah aku melanjutkan pelajaran dalam bidang Biologi, barulah aku tahu punca utama masalah ini. Menariknya, masalah kejang perut ni bukan macam masalah kejang otot lain yang melibatkan salah penarikan urat – ia sama seperti masalah otot lesu semasa bersukan, dan tindak balas biokimia sel otot pada waktu tersebut adalah sama seperti proses penapaian oleh mikrob.
Kita mulakan dengan sedikit ulang kaji akan perihal ini. Seperti yang sudah sedia maklum dalam artikel tapai aku sebelum ini, sel dan mikrob menggunakan oksigen untuk membebaskan tenaga daripada gula. Bahan buangan yang terhasil daripada proses ini ialah air dan karbon dioksida. Nama proses ini ialah respirasi aerobik. Apabila oksigen tak cukup, mereka akan melalui proses penapaian di mana tenaga itu dibebaskan daripada gula tanpa oksigen.
Walau bagaimanapun, tenaga yang dibebaskan adalah sangat sedikit berbanding dengan oksigen dan bahan buangannya juga lain. Bergantung kepada jenis mikrob, mereka boleh hasilkan sama ada alkohol atau asid laktik sebagai bahan buangan, manakala sel otot kita pula akan hasilkan asid laktik sahaja semasa proses penapaian atau terma saintifiknya, respirasi anaerobik.
Semasa kita sedang berlari, kadar oksigen yang dipam ke dalam badan adalah sekata dan mencukupi. Lama kelamaan, tuntutan oksigen oleh sel badan kita akan melebihi daripada jumlah oksigen yang dapat dipam kepada mereka. Contoh situasi ini ialah apabila kita lari dalam keadaan memecut. Ini secara tak langsung menyebabkan sel otot kita tak cukup oksigen dan memaksa mereka melalui respirasi anaerobik.
Bahan buangan proses ini, asid laktik inilah punca kenapa otot kita jadi lesu dan perut jadi kejang bila berlari laju untuk jangka masa yang lama. Asid laktik ini terkumpul dalam otot dan menyebabkan kelesuan. Selain itu, masalah kelesuan ini juga boleh berpunca daripada ketidakseimbangan elektrolit dalam sel tapi dalam kebanyakan kes, masalahnya ialah pengumpulan asid laktik.
Untuk menghilangkan asid laktik, apa yang perlu kita buat ialah tarik nafas dalam dalam. Ingat, masalah ni berlaku sebab tak cukup oksigen. Jadi, kita kena bagi bekalan oksigen yang cukup kepada seluruh sel dalam badan. Dengan ini, sel otot akan menukar balik respirasi anaerobik mereka kepada respirasi aerobik dan penghasilan asid laktik pun terbantut. Juga, kehadiran oksigen yang cukup akan bantu oksidakan asid laktik kepada gula ataupun pyruvate yang boleh digunakan untuk membebaskan tenaga.
Sebab itulah apabila kita mengalami masalah perut kejang ketika berlari, benda yang kita perlu buat ialah perlahankan larian (rendahkan tahap tuntutan oksigen) dan tarik nafas dalam dalam (untuk membekalkan oksigen yang banyak kepada sel otot). Lama kelamaan, masalah kejang dan lesu itu akan hilang.
Oh ya, semasa sedang berlari ketika merentas desa itu, aku ada cuba buat larian aerodinamik, konon kononnya nak kekalkan kelajuan dengan penggunaan tenaga yang kurang. Seara teorinya, apabila kita kurangkan rintangan angin, kelajuan kita akan meningkat tapi tenaga yang dipakai adalah rendah.
Tapi, itulah. Bila aku tengok balik gambar atas ni, dah serupa bangang pun ada. Nak kata laju pun tak.
RUJUKAN:
Goodwin ML, Harris JE, Hernández A, Gladden LB (July 2007). “Blood lactate measurements and analysis during exercise: a guide for clinicians”. Journal of Diabetes Science and Technology. 1 (4): 558–69. doi:10.1177/193229680700100414. PMC 2769631. PMID 19885119.
Roth SM. “Why does lactic acid build up in muscles? And why does it cause soreness?”. Retrieved 23 January 2006.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih