Apabila tibanya Tahun Baru Cina, mesti warga Cina membakar mercun pada malam sebelum tahun baru, di mana kita percaya begitulah cara mereka sambut tahun baru. Tapi, ada sejarah yang menarik kenapa meteka membakar mercun pada waktu malam!
Kisahnya bermula dari kekacauan seekor raksasa bernama Nian. Nian atau nián shòu (年獸) ialah raksasa yang tinggal di dalam lautan atau gunung-ganang. Maksud Nian sendiri ialah ‘tahun’ atau ‘tahun baru’.
Kisah Nian pertama kali dicatatkan pada awal abad ke-20 Masihi. Masih tidak jelas lagi sama ada raksasa Nian adalah sebahagian dari dunia mitologi dari China atau kisah dogeng direka masyarakat pada awal abad ke-20 Masihi.
Setiap kali masyarakat Cina sana menyambut tahun baru, Nian akan muncul dari tempat persembunyian untuk memakan manusia dan haiwan. Biasanya raksasa ini menyerang pada musim sejuk di mana sumber makanan sangat sukar diperoleh.
Maka, Nian menyerang kampung-kampung berdekatan, memakan stok makanan serta memakan manusia terutamanya kanan-kanak.
Terdapat beberapa sumber berkenaan rupa bentuk raksasa Nian ini. Sesetengah sumber menyatakan bahawa Nian mempunyai rupa singa dan berbadan seperti anjing. Saiz Nian dikatakan melebihi saiz gajah dan mempunyai gigi yang tajam.
Nian juga mempunyai kelemahannya iaitu sensitif kepada bunyi bising, takut dengan api dan warna merah. Untuk menghalau Nian dari mengganas, penduduk kampung memasang tanglung merah dan mengikat kain merah pada tingkap dan pintu.
Mereka juga tinggalkan makanan di luar pintu sebagai ‘habuan’ kepada Nian untuk tidak memakan manusia. Tambahan lagi, penduduk kampung membuat bising dengan membakar mercun dan mengetuk drum, pinggan, dan mangkuk.
Dikatakan apabila Nian ketakutan, sami Taoisme bernama Hongjun Laozu menangkapnya dan dijadikan sebagai haiwan peliharaannya.
Berbeza pula apabila kita merujuk kepada mana-mana manuskrip berkenaan Nian. Tidak ada satu catatan pun tentang raksasa ini. Dalam kamus tertua China bernama Erya, nama karakter nian (年) direkodkan dan maksudnya ialah tahun sejak zaman dinasti Zhou.
Tapi, manuskrip Shanhaijing yang mencatatkan makhluk-makhluk mitos China ada senaraikan satu makhluk beruk betnama Shanxiao (山魈) yang juga takutkan mercun, secara tak lansung berkaitan dengan raksasa Nian.
Walau bagaimanapun, kisah raksasa Nian menjadi sebati dalam masyarakat Cina, sehinggalah wujudnya budaya membakar mercun oada waktu malam, memasang tanglung merah, dan memakai pakaian berwarna merah semasa menyambut Tahun Baru Cina!




No comments yet