Follow penulis : https://instagram.com/khairiasyraf_17

Sebelum kita bahas mengapa mereka berdua ini tidak boleh diangkat menjadi Sultan, kita perlu tahu dulu kenapa dan bagaimana negeri Melaka pada hari ini kehilangan Sultan.

Sultan terakhir Melaka yang memerintah secara de jure ialah Sultan Mahmud Shah. Kuasa dan kedaulatan Sultan Mahmud di Melaka telah hilang apabila penjajah Portugis menakluk Melaka pada tahun 1511. Melaka dulu negerinya besar bukan seperti saiz Melaka kini. Hampir keseluruhan Semenanjung Tanah Melayu dan sebahagian Sumatera serta kepulauan Riau adalah kerajaan Melaka suatu ketika dahulu. Portugis hanya menguasai kawasan sekitar perlabuhan Melaka yang menjadi pusat pemerintahan Sultan Mahmud pada ketika itu sahaja. Kawasan yang dipanggil “Kota Melaka” itu bukanlah mewakili seluruh wilayah besar kerajaan Melaka.

Sultan Mahmud terpaksa membuat serangan balas sambil berundur hinggalah baginda sampai di Pagoh (kini sebahagian dari negeri Johor) untuk bersemayam di sana. Sultan Mahmud melantik puteranya Sultan Ahmad sebagai Sultan Melaka secara de facto untuk mengambil semula Melaka dari Portugis. Namun, Sultan Ahmad gagal menjalankan tugas tersebut lalu Sultan Mahmud membunuh puteranya ini pada tahun 1513.

Sultan Mahmud terus berundur ke selatan sehinggalah tiba ke Kampar, Riau, Sumatera(kini sebahagian dari negara Indonesia) pada tahun 1526. Pada tahun 1528, Sultan Mahmud mangkat di Kampar namun dua orang puteranya mewarisi pemerintahan di saki baki wilayah baginda. Sultan Alauddin Riayat Shah putera Sultan Mahmud mengasaskan kesultanan Johor manakala Sultan Muzaffar Shah putera Sultan Mahmud mengasaskan kesultanan Perak. Kini, zuriat Sultan Melaka yang masih wujud hanya dari jurai Kesultanan Perak. Kerana itulah Kesultanan Perak menjadi penyimpan kepada Keris Taming Sari dan Cura Si Manjakini. Manakala dari jurai Kesultanan Johor telah terhenti. Kesultanan Johor kini adalah keturunan Temenggung.

Memang ada cubaan mengambil semula Melaka dari tangan Portugis seperti yang dilakukan oleh Kesultanan Johor dan Acheh dalam Perang Tiga Segi. Namun mereka tidak berjaya menerobos kota A Famosa. Melaka tetap dikuasai oleh Portugis. Yang berjaya mengalahkan Portugis bagi mengambil Melaka adalah Belanda (VOC) iaitu pada tahun 1641. Johor yang nak memenangi Perang Tiga Segi ini meminta bantuan Belanda iaitu salah satu kuasa besar eropah untuk bekerjasama melawan Portugis. Tapi setelah menang, Belanda mungkir janji apabila Melaka tidak diserahkan kepada Johor sebaliknya Belanda yang kuasai.

Pada tahun 1824, Belanda dan British membuat perjanjian untuk membahagi kawasan pemerintahan dimana kawasan Malaysia kini dibawah taklukan British manakala kawasan Indonesia kini dibawah taklukan Belanda. Melaka dijadikan Negeri-Negeri Selat (NNS) yang diperintah British melalui SHTI mula pada tahun 1826. Kemudian pada tahun 1867, SHTI menyerahkan pemerintahan NNS terus kebawah Ratu England selaku Koloni Mahkota British. Melaka selaku NNS diperintah oleh seorang Gabenor iaitu pemerintah tertinggi di Melaka.

Pentadbiran Gabenor di Melaka berterusan sehinggalah ke zaman Malayan Union. NNS bersama Negeri Melayu Tidak Bersekutu (NMTB) dan Negeri Melayu Bersekutu (NMB) membentuk Persekutuan Tanah Melayu. NMTB dan NMB memiliki Sultan masing-masing. Namun NNS tidak memiliki Sultan sebaliknya Gabenor. Setelah Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, perlembagaan negara menyatakan Melaka selaku NNS ditadbir oleh wakil Persekutuan selaku ketua dan pemerintah bagi Negeri Melaka yang dikenali sebagai Yang Di-Pertua Negeri atau dahulunya disebut Gabenor.

Yang di-Pertua Negeri Melaka dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong setelah mendapat nasihat daripada Ketua Menteri Melaka sebagaimana Perlembagaan Negeri Melaka. Yang Di-Pertua Negeri merupakan ahli Majlis Raja-Raja. Yang Di-Pertua Negeri di NNS menjalankan fungsi yang sama dengan Sultan-Sultan di NMTB atau NMB. Bahkan, Yang Di-Pertua NNS boleh memberi pingat kebesaran sepertimana yang dilakukan oleh Sultan-Sultan negeri lain. Namun, Yang Di-Pertua Negeri tidak boleh mengundi untuk memilih Yang Di-Pertuan Agong dan tidak boleh mempengerusikan mesyuarat Majlis Raja-Raja. Ini kerana kedudukan Yang Di-Pertua NNS tidak sama dengan kedudukan para Sultan walaupun mereka semua ahli Majlis Raja-Raja.

Kerana itulah Ketua Negeri di NNS digelar Yang Di-PerTUA bukannya Yang Di-PerTUAN. Panggilan YDP NNS pula adalah Tuan Yang Terutama (TYT) bukannya Duli Yang Maha Mulia (DYMM) atau Duli Yang Teramat Mulia (DYTM). Mereka yang bertaraf Yang Di-PerTUAN adalah seperti Raja-Raja Negeri Melayu. Kebanyakkan Raja di negeri Melayu digelar Sultan kecuali Perlis digelar Raja dan Negeri Sembilan digelar Yang Di-PerTUAN Besar atau dahulunya Yamtuan Besar. Antara lain yang juga setaraf ialah Yang Di-PerTUAN Besar Negara Brunei iaitu Sultan Brunei yang merupakan satu-satunya sultan Melayu yang berdaulat tetapi tidak menyertai Persekutuan Malaysia.

Walaubagaimanapun, kedudukan Yang Di-Pertua Melaka ini lebih tinggi jika dibandingkan dengan kedudukan Raja-Raja Melayu di Indonesia kini yang hanya menjadi Ketua Adat Melayu tanpa sebarang daulat, kuasa politik mahupun pengaruh sehinggakan darjah kebesaran yang mereka kurniakan tidak terpakai atau diakui di Malaysia.

Sekarang baru boleh kita nilai sama ada dua orang dia atas boleh diangkat sebagai Sultan Melaka atau tidak.

Syarat nak jadi Sultan di Negeri Melayu selalunya mestilah Lelaki, Melayu, Islam, Berketurunan Raja Melayu, Tidak Gila dan mungkin ada beberapa syarat khusus lagi mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri masing-masing. Sebagai contoh Sultan Perak yang mempunyai Sistem Giliran dan Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang mempunyai sistem Undang Berempat.

Walaupun seseorang itu memang sah keturunan Sultan Melaka sekalipun, tetapi jika tidak memenuhi syarat dalam peruntukan Undang-Undang Tubuh Negeri, maka tetap orang itu tidak boleh ditabal. Apatah lagi ianya bercanggah dengan Perlembagaan Negara yang menyatakan bahawa Melaka adalah NNS bukan Negeri Melayu yang Beraja. Sebaliknya Melaka diketuai oleh wakil perseketuan yang digelar Yang Di-Pertua Negeri. Hal ini telah termaktub jelas. Walaupun seseorang itu ada sijil pengiktirafan dari Mahkamah Dunia sekalipun, orang itu tetap tidak boleh diangkat.

Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) tidak mempunyai hak untuk mengiktiraf mana-mana individu sebagai Sultan Melaka. Isu tuntutan takhta Sultan Melaka berada di bawah tatacara Perlembagaan dan undang-undang negara ini bukan melibatkan soal perebutan antarabangsa sehingga ia perlu dibicarakan di ICJ. Jika memang ada pengiktirafan Mahkamah dunia pun tetap tidak valid, apatah lagi jika sijil pengiktirafan itu palsu. Bahkan, apatah lagi jika ianya hanyalah sekadar pengakuan diri sendiri tanpa sebarang bukti. Setakat nak gebang di Facebook boleh lah.

Nak jadi Sultan Melayu ni hendaklah seseorang itu diper-Tuan-kan oleh rakyat Melayu. Ianya ada kaitan dengan Konsep Ikatan Daulat sepertimana yang dipersembahkan oleh Demang Lebar Daun dan Sang Sapurba. Seseorang itu jika benar merupakan seorang Raja yang sah, sudah pastu mempunyai tanda-tanda yang akan terzahir. Individu yang mengakui sebagai Sultan Melaka kini bukan sahaja tiada tanda-tanda tersebut, bahkan mereka tidak mewarisi atau memiliki sebarang regalia kerajaan Melayu silam pun sama ada Keris Kerajaan, Cokmar atau sebagainya.

Bahkan, Sultan-Sultan Berdaulat di Malaysia tidak mengurniakan mereka sebarang regalia bagi simbolik membolehkan mereka mengasaskan institusi Kesultanan Melaka Moden. Bahkan, mereka tidak memiliki apa-apa gelaran kekerabatan atau darjah kebesaran sebagai tanda pengakuan terhadap kedudukan orang yang mendakwa diri mereka Sultan Melaka ini. Oleh itu, mereka tidak boleh diangkat menjadi Sultan Melaka sama ada secara de jure mahupun de facto atau sebagai Ketua Adat.

Kedudukan Raja Melayu di Indonesia lebih terakui jika dibandingkan dengan individu yang mengakui sebagai Sultan Melaka. Ini kerana setidaknya Raja Melayu di Indonesia tetap diakui sebagai pewaris raja walaupun tanpa sebarang kuasa. Tetapi, individu yang mengakui sebagai Sultan Melaka ini susur galur mereka sendiri pun boleh dipertikai.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

IBN JAWI merupakan penuntut bidang Engineering di sebuah universiti. Beliau juga giat dalam pengajian Turath Islami secara Talaqqi Sanad bagi mengimbangi aspek duniawi dan ukhrawi. Beliau yang meminati topik Falsafah, Sejarah dan Politik merangka usaha kebangkitan ummah melalui Kalam & Qalam. Walaupun memiliki aliran pemikiran tersendiri, namun beliau terbuka untuk bertukar pandangan dengan mana-mana aliran pemikiran agar dapat memahami cara berfikir kelompok berlainan.

Comments are closed.