Selalunya bila manusia ni ditimpa musibah atau kecelakaan, mereka ni akan jadi panjang akal dalam bab survival. Antara contoh benda ni ialah gambar Marilyn Monroe yang pakai baju guni ni, menggambarkan kecerdikan rakyat US dalam menghadapi masalah ekonomi.
Sekitar penghujung 1920-an, Zaman Kemelesetan telah berlaku di Amerika Syarikat dek kejatuhan Wall Street. Perkara ini mencetuskan kemelesetan ekonomi di mana perdagangan antarabangsa menjunam lebih 50% dan kadar pengangguran di AS naik lebih 25%, dengan anggaran sebanyak 15 juta rakyat AS menganggur.
Oleh itu, orang-orang US mula mencari jalan untuk berjimat. Sebagai contoh, ibu dan suri rumah di AS akan menanam kebun sayur dan mengitar semula makanan mereka untuk digunakan dalam sup dan sandwich. Mereka juga mula mengambil upah kerja untuk meringankan beban keluarga. Untuk pakaian, mereka akan menjahit pakaian baru daripada sumber buangan, seperti guni kentang.
Tak lama selepas itu, syarikat pengeluar bahan berguni dan badan berkait korporat mula mengetahui akan hal ini dan cuba membantu golongan ibu ibu ini dalam menjadikan pakaian guni sebagai pakaian kebiasaan. Dalam sebuah booklet oleh The Textile Bag Manufacturers Association, mereka menulis cara untuk membuang logo syarikat daripada guni berkenaan. Caranya adalah dengan merendam dalam bahan pelarut dakwat seperti kerosene. Sekitar tahun 1930-an, syarikat yang mengggunakan guni mula menggunakan dakwat dan pewarna logo yang lebih mudah dibuang.
Tak cukup dengan itu, syarikat syarikat berkenaan juga mula menghasilkan corak guni yang cantik dan menarik. Disebabkan hal ini, golongan ibu dan suri rumah mempunyai bahan tekstil guni yang lebih lawa. Pada zaman berkenaan, gandum dijual dalam bentuk guni berbanding peti kayu. Menurut sebuah temubual dengan rakyat AS yang hidup pada zaman tersebut, dikatakan seluruh guni tersebut digunakan sebagai pakaian seperti pengikat rambut, seluar dan juga pakaian perempuan.
Berdasarkan sebuah temubual lain, ibu bapa pada zaman tersebut selalunya akan mengambil guni daripada jenama yang sama. Jadi, ini membolehkan keluarga mereka mempunyai stok kain dengan corak yang sama. Kita boleh tahu siapa yang mempunyai pertalian darah antara satu sama lain hanya dengan melihat corak kain guni masing masing.
Walaupun Zaman Kemelesetan sudah lama berlalu, budaya pakaian kain guni ini tetap segar dalam memori rakyat AS. Bagi mereka, disebalik kesuraman yang melanda zaman tersebut, masih ada lagi corak warna warni yang mewarnai sejarah dan pop budaya mereka.
Sekarang, kita kembali ke cerita kelakar tentang gambar Marilyn Monroe ini. Sekurang kurangnya ada dua versi bagi kisah gambar ini. Pertamanya, dikatakan seorang kolumnis telah mengkritik Monroe sebagai ‘perempuan murahan’ yang lebih nampak segak sekiranya Monroe memakai baju guni. Dalam versi lain, terdapat satu kenyataan yang ditujukan kepada Monroe bahawa beliau lebih nampak seksi dalam baju guni.
Mendengarkan hal ini, syarikat Twentieth Century Fox mengambil kesempatan ini dengan menangkap gambar Monroe ini dengan baju guni untuk menaikkan publisiti, sekaligus menjadi gambar ikonik bukti hidup tentang apa yang dibuat oleh orang US sewaktu Zaman Kemelesetan Ekonomi untuk kekal hidup.




No comments yet