Jumaat, 30 Oktober 202630 Okt 2026
Eksplorasi Karya

Kenapa Lee Cronin’s The Mummy Buat Peminat Mesir Purba Kecewa?

Bila dengar sahaja tajuk The Mummy, otak kita biasanya terus pergi kepada Mesir Purba.

Kita terbayang piramid, makam firaun yang terkunci beribu tahun dan mungkin CGI The Rock jadi kala jengking jadian yang tak jadi.

Itulah kuasa nama The Mummy. Tapi inilah masalah besar dengan Lee Cronin’s The Mummy.

Filem ini mungkin dark dan ganas. Ada adegan menjijikkan, disturbing dan seram. Malah, bagi peminat horror moden, filem ini mungkin masih boleh dianggap menghiburkan. Tetapi bagi peminat Mesir Purba, ramai yang keluar panggung dengan rasa tak puas hati.

“Ini filem mumia ke atau filem possession macam The Exorcist dan Evil Dead?”

Lee Cronin’s The Mummy memang cuba lari jauh daripada formula lama. Filem ini bukan tentang firaun bangkit dari makam. Bukan tentang ratu Mesir yang disumpah. Bukan tentang pemburu harta karun yang tersilap buka pintu dunia mati.

Filem ini bermula di Aswan, Mesir apabila sebuah keluarga menemui ruang bawah tanah yang rupa-rupanya dibina di atas sebuah piramid hitam yang tertimbus. Di dalamnya ada sarcophagus basalt hitam yang menyimpan mayat bermumia sebelum satu kuasa ghaib mula menyerang mereka.

Kemudian cerita bergerak kepada kisah Katie, seorang kanak-kanak yang diculik, hilang selama lapan tahun dan akhirnya ditemui semula dalam keadaan dibalut seperti mumia dengan tulisan purba pada tubuhnya.

Bunyinya memang menarik. Tapi apabila filem ini berjalan, kita mula sedar yang Mesir Purba dalam filem ini lebih banyak menjadi hiasan daripada asas cerita. Ia macam kain pembalut di luar sahaja. Bila dibuka satu demi satu, isi di dalamnya bukan benar-benar kisah mumia Mesir, tetapi cerita tentang demon, possession, trauma keluarga dan ritual memindahkan entiti jahat daripada satu tubuh ke tubuh lain.

Dalam filem ini, tulisan pada tubuh Katie dijelaskan sebagai sebahagian daripada ritual untuk menahan satu entiti kuno bernama Nasmaranian. Entiti ini dikatakan mampu memusnahkan keluarga dan komuniti. Ia dikurung melalui proses mumifikasi seolah-olah tubuh manusia dijadikan penjara untuk sesuatu yang jahat.

Apabila tulisan itu semakin hilang daripada kulit Katie, kuasa entiti tersebut semakin kuat. Akhirnya, cerita ini berkembang menjadi kisah kerasukan dan usaha memindahkan makhluk itu ke tubuh manusia lain.

Di sinilah ramai peminat Mesir Purba mula kecewa.

Macam orang pesan nasi kerabu, tapi yang sampai ialah nasi putih biasa yang diletak bunga telang sikit di tepi pinggan. Warna ada. Rasa asalnya hilang.

Dalam budaya popular Hollywood, mumia selalu dijadikan raksasa. Ia bangkit, mengejar manusia, menyumpah orang, membawa bala dan muncul sebagai mayat hidup.

Tetapi dalam kepercayaan Mesir Purba sebenar, mumia bukan dibuat untuk menjadi hantu. Ia dibuat kerana orang Mesir percaya kematian bukan penamat hidup.

Bagi orang Mesir Purba, tubuh manusia perlu dipelihara kerana ia mempunyai hubungan dengan roh. Mereka percaya manusia ada unsur spiritual seperti ka dan ba yang berkait dengan kehidupan selepas mati. Kalau jasad hancur, perjalanan roh juga terganggu.

Sebab itu proses mumifikasi dilakukan dengan teliti. Organ dalaman dikeluarkan. Tubuh dikeringkan. Mayat dibalut. Makam dipenuhi dengan barang keperluan. Semua ini kerana mereka mahu memastikan si mati mampu meneruskan kehidupan di alam selepas mati.

Inilah beza besar antara mumia Hollywood dengan mumia Mesir sebenar.

Perbezaan inilah yang membuatkan Lee Cronin’s The Mummy terasa mengecewakan kepada peminat Mesir Purba. Mesir Purba sendiri sudah cukup kaya dengan bahan seram dan misteri. Ada konsep penghakiman roh di hadapan Osiris. Ada penimbangan hati dengan bulu Ma’at. Ada Ammit, makhluk mengerikan yang akan memakan roh orang yang gagal dalam penghakiman. Ada Anubis yang dikaitkan dengan mumifikasi dan dunia kematian. Ada Book of the Dead yang penuh dengan mantera, doa dan panduan untuk perjalanan selepas mati. Ada makam yang dibina sebagai rumah abadi untuk si mati.

Di sinilah kita nampak satu lagi isu. Filem ini seolah-olah meminjam imej Mesir Purba, tetapi memakainya dengan kerangka seram Barat. Demon dalam filem ini lebih dekat dengan idea Kristian tentang roh jahat yang merasuk, melawan Tuhan dan menghancurkan keluarga dari dalam.

Sedangkan dalam kosmologi Mesir Purba, dunia spiritual mereka jauh lebih kompleks. Tidak semua entiti ghaib difahami sebagai “jahat mutlak” seperti demon dalam filem Barat. Banyak unsur spiritual dalam agama kuno berfungsi dalam sistem yang berbeza, berkait dengan ritual, keseimbangan, kematian, perlindungan dan hubungan antara manusia dengan alam ghaib.

Sebab itu apabila filem ini memasukkan elemen agama Kristian, keluarga Katolik, doa, salib dan kemudian menunjukkan semua itu tidak berkesan melawan entiti tersebut, filem ini terasa seperti filem horror Kristian moden, bukan filem mitologi Mesir Purba.

Mana Mesirnya?

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet