Artikel kali ini akan bercerita banyak pasal alam lautan. Keindahan laut selalu dicerita dengan bait-bait puisi yang bukan main sedap.
Tetapi sedar atau tidak, bait-bait puisi ini bagaikan menekankan kepentingan alam laut pada semua kehidupan di darat. Tidak melampau untuk cakap dunia ini boleh kiamat jika tiada laut.
Silap-silap tanpa laut, tiadalah oksigen di Bumi dan suhu planet pun melambung tinggi (Fleming, 2019).
Jelas sekali laut adalah indah, kerana makhluk-makhluk yang mendiaminya. Cuba terjun dalam laut (secara ilmiah), boleh nampak 10 haiwan pelik (dan indah) yang tersembunyi di dasarnya.
- Obor-Obor Poralia
Tahun lalu saintis NOAA menjalankan aktiviti menyelam. Mereka ternampak seekor obor-obor yang lain dari lain. Tengok saiz saja sudah tahu, obor-obor ini serba unik.
Dan memang betul unik pun – kerana obor-obor ini tergolong dalam genus Poralia, yakni sebuah spesis baharu (Specktor, 2021).
Warna obor-obor ini adalah merah, kalau terkena cahaya. Tanpa cahaya, kulitnya bertukar hitam. Ini bukan loyar buruk tiada cahaya maksudnya hitam gelap. Warna kulitnya sendiri akan jadi hitam kalau ikut maklumat imbasan.
- Sotong Kurita Kaca
Juga tahun lalu, saintis SOI membuat penemuan di Kepulauan Phoenix yang terletak 5,000 kilometer dari Sydney. Selama 34 hari mereka menyelam, puas imbas-mengimbas dasar laut sampai ternampak sejenis sotong kurita lutsinar (vitreledonella richardi).
Kalau tengok sotong ini, semua boleh nampak sepasang mata, urat penglihatan dan salur makanan.
- Whalefish
Cakap pasal whalefish, mesti semua akan bayang ikan paus. Sebenarnya, ini whalefish lain (cetomimiformes).
Semasa menyelam 2,000 meter di dasar Teluk Monterey, saintis terjumpa seekor whalefish yang fitrahnya bertukar-tukar rupa bentuk. Dalam bahasa Inggeris, memang shapeshifting maksudnya.
Setiap kali kaji tentang fitrah whalefish, saintis akan garu kepala. Ikan jantan tiada mulut dengan usus yang tidak berfungsi.
Badan ikan jantan hanya ada alat kelamin dengan hati yang sangat besar (sumber tenaga).
Tujuan mereka hanya untuk membiak dengan ikan betina, yang berbadan lengkap.
- Maharaja Bangang?
Bukan semua penemuan dibuat Amerika Syarikat. Kapal penyelidikan Jerman pada tahun 2016 menemui seekor ikan seperti sotong kurita di Kepulauan Aleutia sekitar Laut Bering. Masalahnya, mereka menamakan haiwan ini “Emperor Dumbo”.
Tidak tahu apa nama terjemahan yang sesuai, selain Maharaja Bangang.
Daulat sotong!
- SpongeBob dan Patrick
NOAA demikian hari ada naikkan sekeping gambar digital yang nampak menarik.
Kelihatan di dasar laut, ada bunga karang (sponge) di tepi seekor tapak sulaiman (starfish). Memang bersebelahan betul-betul.
Penemuan ini untuk golongan marhaen nampak menghiburkan. Tetapi saintis ingin mengenal pasti hubungan simbiotik antara dua organisme berbeza jenis sebegini.
Hubungan ini boleh diketahui selepas saintis mengenal pasti spesis mereka. Buat masa sekarang, saintis masih terkandas di genus (kumpulan spesis) iaitu hertwigia dan chondraster.
Kenapa Haiwan Laut Dalam Kelihatan Pelik
Ada satu hukum jelas untuk mudah faham tentang ciri-ciri haiwan laut. Makin dalam lautnya, makin kurang tulangnya. Hukum ini menjadi penentu segala-galanya.
Misalnya, ada yang bertanya – mungkin megalodon masih hidup di laut dalam? Memang betul, ada asas juga. Laut terlalu luas. Tetapi kewujudan megalodon di dasar laut sememangnya tidak berpandukan hukum saintifik.
Pertama sekali, megalodon adalah haiwan berstruktur yang perlu makan senang cakap dua ekor lembu sehari. Kalau dulu, paus akan jadi mangsa.
Di dasar laut, barangkali sotong gergasi saja boleh menjadi habuan. Walau bagaimanapun, sotong gergasi mampu hidup di dasar laut kerana ia bukan haiwan berstruktur. Mereka takkan sesekali naik ke permukaan secara suka hati kerana faktor tekanan (pressure).
RUJUKAN:
Fleming, S. (2019, Ogos 29). Here are 5 reasons why the ocean is so important. World Economic Forum.
Specktor, B. (2021, Ogos 12). Mysterious blood-red jellyfish may be rare species unknown to science, researchers say. Live Science.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih