Kalau kita membesar dalam bandar, nama stesen minyak yang masuk kepala memang Petronas, Shell, Caltex, BHPetrol, Petron.
Mungkin bila raya ni lah baru korang nampak apa yang ada di luar bandar. Sejak bila pulak wujud stesen minyak bernama Buraqoil?
Kenapa stesen macam ni banyak dekat kampung-kampung je? Kenapa tak ada dekat bandar?
Dari awal lagi, itulah tempat dia.
Buraqoil bukan lahir untuk pergi berlawan kepala dengan jenama besar dalam bandar. Dari awal lagi, Buraqoil diwujudkan untuk isi satu lompang yang lama wujud dalam negara ini iaitu masalah bekalan minyak di luar bandar.
Bandar memang penuh dengan stesen minyak, tapi kampung tidak. Kawasan yang trafik tinggi memang syarikat besar suka masuk, tapi kawasan yang jualan dia tak besar, pelanggan dia tak ramai, lori minyak kena hantar jauh, pulangan dia tak semeriah bandar, tempat macam itu memang tak semua orang sanggup masuk.
Jadi lahirlah satu model yang berbeza iaitu stesen minyak mini luar bandar.
Di sinilah Buraqoil muncul.
Buraqoil dibawa oleh IPTB Sdn Bhd, sebuah syarikat di bawah Zaiyadal Keluarga Sdn Bhd. IPTB selama lebih kurang sedekad memang fokus membekalkan produk petroleum Buraqoil khususnya RON95 dan Diesel B7 kepada kawasan luar bandar dan sub-bandar di negeri-negeri utara serta Malaysia Timur.
Lebih 150 stesen mini berada dalam rangkaian mereka dan banyak tertumpu di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Pahang, Terengganu, Sabah dan Sarawak.
Tapi Buraqoil bukan satu-satunya nama dalam dunia ini. Selain Buraqoil, ada juga Smartstream dan Petro Teguh. Tiga-tiga ini muncul dalam ekosistem yang sama.
Ini adalah sebahagian daripada satu susunan yang lebih besar yang melibatkan kerajaan dan kementerian yang jaga hal barang kawalan, subsidi serta pengedaran bahan api.
Kalau nak faham kenapa stesen minyak macam Buraqoil banyak dekat kampung, kita tak boleh lari daripada cerita KPDN.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri ketika itu main peranan besar dalam menyusun semula macam mana stesen minyak mini luar bandar patut berfungsi.
Sebab minyak petrol dan diesel, lebih-lebih lagi yang bersubsidi tak boleh dibiarkan bergerak sesuka hati macam jual air kotak. Bila melibatkan subsidi kerajaan, setiap liter yang keluar ada implikasi pada duit negara. Kalau sistem longgar, yang untung bukan rakyat, tapi orang yang pandai seleweng.
Sebab itu pada satu ketika, kerajaan memang membekukan pembukaan stesen minyak luar bandar.
Pada 2007, lesen stesen minyak luar bandar dibekukan. Ramai orang tengok ayat itu dan fikir benda ini mesti sebab nak susahkan orang kampung. Padahal masalah dia lebih besar.
Ketika itu, isu utama yang menghantui sistem bekalan bahan api bersubsidi ialah ketirisan. Ada pengusaha yang tak jujur. Ada penjualan bahan api bersubsidi yang tak ikut sasaran. Ada kebimbangan bahawa minyak yang sepatutnya memudahkan rakyat luar bandar akhirnya bocor kepada pihak lain atau disalah guna.
Dalam tempoh itulah kerajaan dan KPDN mula susun semula model stesen minyak mini luar bandar. Ini termasuk usaha penjenamaan semula, naik taraf stesen yang sedia ada dan melantik syarikat-syarikat tertentu untuk membangunkan ekosistem yang lebih tersusun.
Dalam konteks inilah nama seperti IPTB, Smartstream dan Petro Teguh menjadi penting sebagai pemain yang bergerak dalam rangka dasar yang sudah dibentuk.
Matlamat dia ada beberapa. Pertama, memastikan bekalan minyak sampai ke kampung dengan harga dan kualiti yang sama macam bandar.
Kedua, kurangkan pergantungan kepada jualan minyak secara tidak formal termasuk minyak dalam botol yang dari segi keselamatan memang meragukan.
Ketiga, jaga aspek keselamatan premis. Keempat, buka peluang keusahawanan kepada orang tempatan khususnya usahawan Bumiputera luar bandar.
Pada 2014, lesen dibuka semula. Kementerian cakap terang-terang bahawa mereka mahu pengusaha yang jujur dan beretika. Mereka tak mahu lagi ada pihak yang langgar peraturan atau seleweng barang kawalan. Dalam erti kata lain, kerajaan masih nampak model stesen mini luar bandar ini penting, tapi kali ini mereka nak sistem itu lebih kemas, lebih profesional dan lebih terkawal.
Kewujudan stesen macam Buraqoil ini memang masuk akal.
Sebab pasaran dia bukan macam bandar.
Dekat bandar, stesen minyak hidup atas volume. Kereta banyak. Trafik tinggi. Orang lalu sentiasa. Dekat kampung, jumlah pelanggan tak besar. Kadang-kadang satu hari tak seramai stesen bandar dalam sejam.
Sebab itu model stesen minyak mini ini tak boleh main ikut logik bandar. Saiz dia kecil. Modal dia lebih rendah. Tapak dia tak besar.
Pam dia pun selalunya tak banyak. Ada yang dua, ada yang tiga.
Ini bukan sebab nak nampak daif. Ini memang sebab model dia dibina untuk pasaran volume rendah. Dia cater kawasan yang tak padat, tapi tetap perlukan bekalan.
Orang kampung tak perlukan stesen mega lapan pam dengan kedai serbaneka gergasi. Yang mereka perlukan ialah minyak ada, harga sama macam bandar, selamat, dekat dan tak perlu memandu berpuluh kilometer hanya untuk isi minyak.
Sebab itu juga wujud syarat-syarat tertentu dalam model stesen mini luar bandar.
Salah satu yang paling selalu disebut ialah soal jarak, lebih kurang 10 kilometer daripada stesen terdekat.
Kalau kawasan itu dah ada stesen minyak besar dekat sangat, tak masuk akal nak buka satu lagi stesen mini kecil yang volume dia pun bukan tinggi.
Lagi satu, sistem jarak ini juga berfungsi sebagai perlindungan. Kalau stesen mini dibuka di satu kawasan luar bandar, kemudian sekejap lagi ada stesen besar masuk betul-betul sebelah, habislah stesen mini itu mati sebelum sempat stabil.
Jadi dalam banyak keadaan, syarat jarak ini membantu memastikan stesen kecil ini ada ruang untuk hidup. Ini juga yang menyebabkan stesen seperti Buraqoil, Smartstream dan Petro Teguh lebih banyak muncul di tempat yang syarikat besar tak masuk.
Bukan sebab mereka tak nak bandar, tapi sebab struktur dia memang begitu. Mereka isi ruang kosong. Mereka masuk tempat yang orang lain tak nampak cukup besar untuk dijadikan duit.
Sebab itu kalau korang lalu kampung dan nampak stesen macam ini, jangan pandang rendah. Kadang-kadang rupa dia mungkin tak segah stesen bandar. Ada yang nampak macam kedai komuniti. Ada yang biasa-biasa. Tapi fungsi dia besar.
Dekat tempat yang pasar raya pun jauh, stesen minyak boleh jadi lebih daripada tempat isi tangki. Ia boleh jadi tempat orang berhenti beli barang. Tempat beli minyak enjin. Tempat beli bateri. Tempat beli jajan, air, roti, barang keperluan ringkas. Stesen kecil macam ini dalam banyak keadaan berubah jadi pusat mini komuniti.
Sebab itu Buraqoil sendiri tak berhenti pada minyak sahaja. Mereka keluarkan produk pelincir sendiri, BuraqLube. Bila margin jualan petrol dan diesel kecil, memang logik untuk mereka tolak produk-produk lain yang margin dia lebih baik. Itulah cara stesen mini macam ini terus hidup. Minyak bagi trafik, tapi barang lain bantu bagi untung.
Satu lagi sebab Buraqoil cepat berkembang ialah sistem dealer atau francais. Ini pun ramai tak nampak.
Mereka tak perlu bina dan pegang semua stesen sendiri dari pusat. Mereka bekerjasama dengan pengusaha tempatan. Orang kampung sendiri boleh jadi operator.
Ini buat dua benda berlaku serentak. Pertama, rangkaian boleh berkembang lebih cepat. Kedua, hubungan dengan komuniti jadi kuat. Bila pengusaha itu sendiri orang setempat, pelanggan pun lebih mudah percaya. Ia rasa macam bisnes tempatan yang dibantu dengan satu rangkaian dan sistem yang lebih tersusun.
Itulah sebabnya dalam tempoh beberapa tahun, Buraqoil boleh berkembang sampai ratusan stesen.
Dalam satu masa, angka yang disebut sekitar 200 stesen aktif.
Bila stesen pertama Buraqoil dibuka di Sarawak pada 2018, itu melengkapkan kehadiran mereka di sembilan negeri dan menunjukkan bahawa model stesen minyak mini luar bandar ini betul-betul sedang diperluaskan sampai ke Malaysia Timur.
Sebab hakikatnya, pasaran luar bandar memang selalu dipandang kecil. Tak glamour. Tak gah. Tak padat. Tapi keperluan dia tetap wujud. Orang kampung tetap kena bergerak. Bot tetap kena turun laut. Motor tetap kena isi minyak. Lori kebun tetap kena jalan.
Dan bila syarikat besar tak nampak kawasan itu sebagai pasaran utama, model stesen minyak mini inilah yang masuk sebagai penyelamat.
Dalam bandar, Buraqoil mungkin cuma satu lagi nama asing yang orang tak perasan. Tapi dalam banyak kampung, stesen macam inilah yang buat hidup orang terus bergerak macam biasa. Dekat situlah nilai sebenar dia. Dekat situlah peranan sebenar dia.
Dan sebab itu juga sampai sekarang, bila kau masuk kawasan luar bandar, nama seperti Buraqoil, Smartstream dan Petro Teguh masih lagi relevan. Sebab mereka bukan dibina untuk jadi simbol kemegahan bandar. Mereka dibina untuk jadi tulang belakang kecil ekonomi luar bandar.




No comments yet