Bulan Shawwal sinonim dengan peristiwa yang paling menggembirakan umat Islam, iaitu Hari Raya Aidilfitri.
Namun, jangan kita lupa, di sebalik gembiranya umat Islam dengan kehadiran bulan ini, ada satu peristiwa yang berakhir dengan tamparan hebat buat umat Islam.
Peristiwa itu ialah Perang Uhud pada 7 Shawwal, yang berlaku setahun selepas kemenangan dalam Perang Badar.
Selepas kekalahan di Badar, kaum Quraisy di Mekah tidak duduk diam. Mereka bangkit dengan rasa dendam yang membara dan bersiap untuk membalas maruah yang tercalar.
Dipimpin oleh Abu Sufyan ibn Harb, tentera Quraisy membawa sekitar 3,000 orang menuju ke Madinah.
Mereka berniat dengan mahu menghapuskan pengaruh Islam yang semakin kuat, di sebalik hendak menang.
Di pihak Muslim pula, Nabi Muhammad bermesyuarat dengan para sahabat untuk menentukan strategi.
Ada yang mencadangkan bertahan dalam Madinah, tapi akhirnya dipilih untuk keluar menghadapi musuh di luar kota.
Tentera Islam seramai kira-kira 1,000 orang pada awalnya bergerak menuju ke kawasan Gunung Uhud. Namun di tengah perjalanan, sekitar 300 orang munafik berpatah balik sekaligus melemahkan kekuatan umat Islam.
Akhirnya, tinggal sekitar 700 orang yang benar-benar setia dan bersedia berjuang. Ini menjadikan pertempuran itu sebagai satu medan ujian iman yang sebenar.
Sampai di Uhud, Nabi menyusun strategi dengan sangat teliti.
Baginda meletakkan sekumpulan pemanah di satu bukit kecil untuk melindungi bahagian belakang tentera Islam.
Pesanan Nabi sangat jelas dan tegas. Jangan tinggalkan posisi walau apa pun yang berlaku, sama ada menang atau kalah.
Pada awal pertempuran, tentera Islam menunjukkan prestasi yang luar biasa. Mereka berjaya menekan dan memecahkan barisan Quraisy sehingga musuh mula berundur.
Saat itu, ramai menyangka kemenangan sudah dalam genggaman. Harta rampasan perang mula kelihatan.
Namun, di sinilah ujian tersebut bermula.
Sebahagian pemanah di bukit mula meninggalkan posisi mereka. Mereka menyangka pertempuran sudah selesai dan tidak mahu ketinggalan mengutip ghanimah.
Walaupun ketua mereka mengingatkan arahan Nabi, majoriti tetap turun. Bukit yang sepatutnya menjadi benteng pertahanan kini terdedah.
Kesempatan ini tidak disia-siakan oleh Khalid ibn al-Walid yang ketika itu masih di pihak Quraisy. Beliau memimpin serangan balas dari arah belakang dengan pasukan berkuda.
Serangan mengejut itu mengubah keseluruhan keadaan medan perang. Tentera Islam yang tadinya hampir menang kini menjadi kucar kacir.
Kekeliruan semakin memuncak apabila tersebar khabar bahawa Nabi Muhammad telah terbunuh. Ramai yang hilang semangat dan mula berundur.
Hakikatnya, Nabi masih hidup walaupun mengalami kecederaan. Baginda dikelilingi oleh sahabat-sahabat setia yang mempertahankan baginda habis-habisan.
Antara yang gugur dalam pertempuran ini ialah Hamzah ibn Abd al-Mutalib, salah seorang pejuang paling berani dalam Islam. Pemergiannya menjadi luka yang sangat mendalam bagi umat Islam.
Pertempuran akhirnya berakhir tanpa kemenangan mutlak di pihak Islam. Quraisy tidak menawan Madinah, tetapi umat Islam mengalami kerugian besar.
Bahkan, Al-Qur’an sendiri merakamkan peristiwa ini sebagai ibrah untuk generasi akan datang.
Ia menunjukkan bahawa kemenangan bukan hanya bergantung kepada jumlah atau kekuatan, tetapi kepada ketaatan kepada Allah dan Rasul.
Bulan Shawwal yang kita ingat sebelum ini sering dikaitkan dengan kegembiraan selepas Aidilfitri rupanya menyimpan sejarah yang penuh luka.
Ia mengingatkan bahawa iman akan sentiasa diuji, walaupun selepas kemenangan.




No comments yet