Jumaat, 23 Oktober 202623 Okt 2026
Mutiara Islam

Kaum Turki: Orang Nomad Yang Menubuhkan Empayar Turki Uthmaniyah

Kaum Turki atau Turks adalah salah satu etnik dari kumpulan besar orang Turkic yang tinggal di negara Turki dan pengamal bahasa Turkic terbesar di dunia. Kaum ini adalah rakyat majoriti di Turki tetapi terdapat juga kumpulan minority kaum ini bertebaran di negara bekas jajahan Empayar Turki Uthmaniyah. 

Dahulu,
negara Turki digelar sebagai Anatolia atau Asia Kecil kerana kawasannya paling
timur di Eropah dan terdekat dengan Asia Tengah. Anatolia pertama kali diduduki
oleh kumpulan pemburu pada zaman Paleolitik, kemudian ia menjadi tumpuan
kaum-kaum purba Anatolia. Selepas penaklukan Alexander The Great pada 334 SM,
kebudayaan Hellenistik diserap dalam kawasan perkampungan Anatolia, kemudian
pada abad pertama Masihi, akibat migrasi orang Indo-Eropah, kebudayaan dan
bahasa Anatolia telah pupus.

Di Asia Tengah, kaum Turki hidup secara nomad. Walaupun nomad, mereka melakukan aktiviti berdagang dengan mendagangkan kayu, bulu, karpet, dan kuda; serta memperoleh kayu, sutera, sayur-sayuran dan biji-bijiran. Kaum ini juga mahir menukang besi dengan memiliki kawasan pertukangan yang terletak di selatan Pergunungan Altai sekitar tahun 600. Kaum Turki ini mengamalkan agama Tengrism, menyembah tuhan langit iaitu Tengri, walaupun ada golongan minoriti mengamal agama lain seperti Manichaeism (ajaran nabi bernama Mani dari Iran), Kristian Nestorian (salah satu ajaran teologi Kristian), dan Buddhism.  

Anatolia atau Asia Kecil

Walau
bagaimanapun, semasa penaklukan tentera Arab Muslim, kaum Turki ini dijadikan
sebagai hamba serta harta rampasan jajahan tentera. Mereka kemudian
perlahan-lahan menganut agama Islam melalui usaha pendawah, para sufi, dan
pedagang. Walaupun  kaum Arab yang
melakukan dakwah keislaman, namun punca utama penghijrahan agama orang Turki
ini adalah pengaruh budaya Parsi yang menarik perhatian orang Turki menganut
Islam.

Di
bawah pemerintahan khalifah Umayyah, para hamba Turki ini dilatih menjadi
tentera dan pada abad ke-9 Masihi, kekuatan tentera Turki semakin meningkat
sehingga mampu menggugat keselamatan khalifah Abbasiyah. Apabila Abbasiyah
berada dalam zaman keruntuhan, dinasti Seljuk ditubuhkan oleh kaum Sunni Oghuz
Turk dengan pemerintahan ketenteraan dan merampas beberapa jajahan dari
Abbasiyah.

ZAMAN
DINASTI SELJUK

Empayar Seljuk

Pada
abad ke-11 Masihi, dinasti Seljuk merampas jajahan timur dari Abbasiyah. Pada
1055, Empayar Seljuk menakluk Baghdad dan memulakan serangan pertama di
Anatolia yang menjadi jajahan Empayar Byzantine. Pada 1071, tentera Seljuk
menang dalam Peperangan Manzikert melawan tentera Byzantine, menjadikan
Anatolia sebagai jajahan baru Seljuk. Seterusnya, Kesultanan Rum ditubuhkan
pada 1077 dengan menempatkan ibu kota di Iznik, Anatolia. Selain mengembangkan
empayar, dinasti Seljuk berperanan dalam mengembangkan budaya Parsi ke seluruh
empayar. Pengembangan budaya ini menjadikan kaum-kaum di Anatolia bertukar
agama dan bahasa dari Kristian-Yunani kepada Islam-Turki.

Pada
abad ke-12 Masihi, orang Eropah mula memanggil Anatolia sebagai ‘Turchia’ atau
‘Turkey’ yang bermaksud ‘tanah orang Turks’. Kelas sosial orang Turki Anatolia
terbahagi kepada tiga: urban, perkampungan, dan nomad. Etnik lain dari populasi
orang Turkic atau Turkoman juga tinggal di Anatolia namun mereka masih
mengamalkan kehidupan nomad. Kaum Turki nomad lebih ramai dari Turki Seljuk dan
mereka mengamalkan ajaran Islam yang bercampur dengan animism dan kebomohan
dari budaya asal. Populasi Turki Muslim semakin bertambah terutamanya di Anatolia
kerana perkahwinan campur dengan orang asal Anatolia.

Pada 1243, Anatolia dijajah oleh puak Mongol setelah menang bertempur dengan dinasti Seljuk dalam Pertempuran Köse Dağ. Anatolia yang gagal dinasti Seljuk pertahankan dijadikan sebagai kerajaan Ilkhan di bawah pengaruh empayar Mongol.  Selepas tahun 1277, dinasti Seljuk masuk dalam fasa keruntuhan kemudian menubuhkan ‘Beyliks’ iaitu fasa penubuhan kerajaan-kerajaan kecil Turki di kawasan barat dan selatan Anatolia.

ZAMAN BEYLIK

Beylik (kerajaan-kerajaan kecil) Turki pasca-Seljuk.

Pasca dinasti Seljuk memperlihatkan orang Turki menubuhkan banyak Beylik seperti kerajaan Karamanid dan Germiyanid yang menguasai tengah Anatolia. Pada 1300, orang Turki tiba di pinggir pantai Aegean kemudian menubuhkan Beylik seperti kerajaan Karasid, Sarukhanid, Aydinid, Mentese, dan Teke. Manakala kerajaan Jandarid menguasai kawasan Laut Hitam. Kerajaan Osmanoğlu yang kemudian menjadi dinasti dalam pemerintahan Turki Uthmaniyah juga adalah sebuah Beylik kecil yang menguasai kawasan Söğüt, barat laut Anatolia.

Masuk
pemerintahan Osmanoğlu iaitu Osman I, baginda
meluaskan kerajaannya ke selatan dan barat berdekatan dengan Laut Marmara pada
awal kurun ke-14 Masihi. Setelah menyerap masuk kerajaan Beylik Karasi dan
menakluk semenanjung Balkan pada 1354, Osmanoğlu menjadi kuasa besar bagi menentang
pesaing terkuat, Karamanid. Akhir abad ke-14, Osmanoğlu mara ke Anatolia bagi
perluasan jajahan melalui penaklukan, pemilikan kota dengan bayaran, dan
perkahwinan politik. Manakala Karamanid pula berusaha mengekang perluasan kuasa
Osmanoğlu dengan gabungan beylik lain serta kerajaan asing seperti Byzantine,
Hungary, dan Pontic.

Waalupun Karamanid mempunyai
ketenteraan besar, namun mereka semakin lemah akan kemaraan Osmanoğlu sehingga
sebahagian besar jajahan Karamanid dirampas. Pada 1402, melalui Perang Ankara
di mana Osmanoğlu berjaya menumpaskan Empayar Timurid di Asia Tengah, berakhirnya fasa Beylik dengan
memperlihatkan Anatolia seratus-peratus milik Empayar Osmanoğlu atau
Uthmaniyah.

ZAMAN TURKI
UTHMANIYAH

Empayar Turki Uthmaniyah di zaman pemerintahan Suleiman the Magnificient.

Sejarah
Turki Uthmaniyah atau Ottomans bermula dari pengasasnya iaitu Osman I. Bermula
pemerintahannya, baginda mengasaskan dinasti Uthmaniyah dan menggantikan nama
asal kerajaan Osmanoğlu kepada
nama dinastinya. Kerajaan ini kemudian berkembang di sekitar Sungai Sakarya dan
ke barat menuju Laut Marmara. Dari perluasan kuasa ini, populasi rakyat barat
Asia Kecil berubah budaya kehidupan dengan mengamalkan bahasa Turkish dan
menganut agama
Islam.

Masuk
pemerintahan putera Osman I iaitu Orhan I, pada 1326 baginda berjaya menakluk
kota terpenting iaitu Bursa kemudian menjadikannya sebagai ibu kota Uthmaniyah.
Pada 1354, tentera Uthmaniyah menuju ke Eropah, membina kubu di Semenanjung
Gallipoli, kemudian meluaskan kuasa demi merampas kota Ankara. Kemaraan tentera
Uthmaniyah merisaukan Empayar Byzantine yang semakin merosot kerana pada
pertengahan tahun 1330-an, Sultan Orhan menyerap masuk bekas jajahan kerajaan
Karasi. Masuk pemerintahan Murad I, empayar sekali lagi meluas sehingga 100,000
batu persegi meliputi Eropah dan Asia Kecil.

Setelah
Uthmaniyah merampas kota Edirne (Adrianople) dan menjadi ibu kota seterusnya
pada 1365, mereka berpeluang menjajah Bulgaria dan Macedonia dalam Perang
Maritsa. Dengan memiliki tanah-tanah Eropah seperti Thrace, Macedonia, dan
Bulgaria, para imigran Turki membuka penempatan di jajahan tersebut. Penempatan
kaum Turki Uthmaniyah ini adalah strategi efektif dalam memperkukuhkan kuasa
empayar di Balkans.

Pada
1453, tentera Uthmaniyah di bawah perintah Sultan Mehmed II telah menakluk kota
Konstantinopel, kemudian melakukan baikpulih dan memindahkan rakyat bagi
menjadikan Konstantinopel menjadi ibu kota baru. Selepas penaklukan kota
tersebut, Uthmaniyah meneruskan kempen penaklukannya jauh di Eropah, Timur
Tengah, dan Afrika Utara. Ini dibuktikan dalam pemerintahan Sultan Selim I di
mana baginda berjaya meluaskan jajahan melalui Perang Chaldiran, sekaligus
menjadi benteng kepada dua kota suci bagi para muslim: Mekah dan Madinah.

Perang Mohács pada 1526.

Pewarisnya
iaitu Sultan Suleiman the Magnificient meneruskan kempen penjajahan dengan
menakluk kota Belgrade pada 1521 dan dari penaklukan kota itu, ia menjadi
pangkalan untuk menjajah kerajaan Eropah lain di sekeliling terutamanya Hungary
dalam Perang Mohács pada 1526. Selepas kemangkatan Sultan Suleiman, kempen
menjajahan tanah Eropah masih rancak di mana pada 1571 Pulau Cyprus dijajah
sehingga Uthmaniyah dapat menguasai jalan maritim di timur Laut Mediterranean.
Walau bagaimanapun, Uthmaniyah tidak dapat menaham lama dalam pengawalan
jajahan yang terlalu luas.

Tahun
1683, Uthmaniyah kalah dalam Perang Vienna seterusnya mendapat ancaman
berterusan oleh kerajaan-kerajaan Eropah Timur melalui perang bersiri iaitu
Great Turkish War (1683 – 97). Tahun 1699, Perjanjian Karlowitz ditandatangani
oleh Utmaniyah dan Liga Suci iaitu gabungan kerajaan Holy Roman Empire,
Poland-Lithuania, Republik Venice, dan Dinasti Tsar Rusia. Perjanjian ini
memaksa Uthmaniyah menyerahkan Hungary dan Transylvania, kemudian kedua-dua
tanah ini menjadi milik Austria.

Pada
abad ke-19 Masihi, kehadiran para etnik-nasionalis melemahkan empayar yang
berkiblatkan monarki authoritarian kerana peranan Uthmaniyah sebagai sebahagian
kuasa besar di Eropah semakin melemah. Pada awal abad ke-20, seramai 7 – 9 juta
orang imigran non-Turki bermigrasi ke Anatolia dan peristiwa ini memaksa parti politik
liberal bernama Committee of Union and Progress melakukan program
‘Turkification’ iaitu program meng-Turki-kan bangsa non-Turki bermula 1913.
Tahun seterusnya, Perang Dunia Pertama berlaku dan Uthmaniyah memihak Kuasa
Tengah bagi menentang Kuasa Bersekutu yang merampas jajahan dahulu Uthmaniyah.

Kehilangan jajahan Turki Uthmaniyah sejak 1800.

Tahun
1918 iaitu selepas Perang Dunia I, Kuasa Tengah kalah teruk dan pemerintah Uthmaniyah
terakhir iaitu Sultan Mehmed
IV menandatangani
Perjanjian Sèvres pada 1920.
Empayar Uthmaniyah dibubar dengan tanah Levant (Palestine, Syria, Lubnan,
Jordan) dibahagi sesama negara kuasa Bersekutu dan Anatolia yang merupakan
pusatnya berubah kepada Republik Turki.

Walaupun perjanjian
ini ditandatangani oleh Sultan, namun organisasi nasionalis iaitu Turkish
National Movement tidak mengiktirafnya kerana perjanjian ini bersifat mengawal
kuasa Turki, kemudian mengadakan perang iaitu Turkish War of Independence.
Akibat perang itu, perjanjian asal diubah dan ditandatangani semula pada 1923.
Sistem khilafah Uthmaniyah juga dibubarkan akibat perang yang sama. Maka,
berakhirnya kegemilangan Empayar Uthmaniyah selama 623 tahun.

SUMBER:

Ágoston, Gábor (2010),
“Introduction”, in Ágoston, Gábor; Masters, Bruce Alan (eds.), Encyclopedia
of the Ottoman Empire, Infobase Publishing

Çaǧaptay, Soner (2006),
“Passage to Turkishness: immigration and religion in modern Turkey”,
in Gülalp, Haldun (ed.), Citizenship And Ethnic Conflict: Challenging the
Nation-state, Taylor & Francis

Findley, Carter V. (2005), The
Turks in World History, Oxford University Press

Köprülü, Mehmet Fuat (1992), The
Origins of the Ottoman Empire, SUNY Press

Kurbanov, Rafik Osman-Ogly;
Kurbanov, Erjan Rafik-Ogly (1995), “Religion and Politics in the Caucasus”,
in Bourdeaux, Michael (ed) (ed.), The Politics of Religion in Russia and the
New States of Eurasia, M.E. Sharpe

Stokes, Jamie; Gorman, Anthony
(2010), “Turkic Peoples”, Encyclopedia of the Peoples of Africa and
the Middle East, Infobase Publishing

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet