Sejarah Korea bermula dari gabungan zaman Mesolitik dan Neolitik yang digelar sebagai Zaman Jeulmun Pottery (8000 – 1500 SM) dek penemuan aktiviti pembuatan tembikar pada 8000 SM. Kemudian masuk ke Zaman Mumun Pottery (1500 – 300 SM) setelah berlaku pengembangan sosial masyarakat dengan perlantikan ketua, pengebumian, pengenalan penanaman padi, dan penghasilan produk gangsa.

Kemudian tertubuhnya kerajaan purba pertama Korea, Gojoseon (Go yang bermaksud purba) yang berkedudukan di bahagian utara semenanjung Korea dan Manchuria. Dalam manuskrip Samguk Yusa, dikatakan Gojoseon ditubuhkan oleh raja Dangun pada 2333 SM, kononnya berasal dari syurga namun tiada bukti kukuh lagi bagi menunjukkan tarikh sebenar penubuhan Gojoseon. Pada abad ke-12 SM, putera Gija dari dinasti Shang (China) menubuhkan zaman Gija Joseon. Namun seperti Gojoseon, zaman Gija Joseon masih diperdebatkan kewujudannya.

Pada abad ke-4 SM, perkembangan kerajaan Gojoseon menarik perhatian China dan menjadi bualan masyarakatnya. Pada abad ini juga Pyongyang (ibu kota Korea Utara) menjadi ibu kota Gojoseon. Pada 195 SM, raja Jun Gojoseon memberi perlingdungan kepada jeneral perang Wiman dari negara Yan. Tahun berikutnya, Wiman memberontak sehingga menubuhkan kerajaan setelah raja Jun berundur ke selatan semenanjung. Pada 108 SM, dinasti Han menumbangkan kerajaan Wiman dan meletakkan 4 buah koloni China yang diketuai para komandan untuk mengawal masyarakat pasca-Gojoseon. Beberapa abad kemudian hanya koloni Lelang yang kekal menjadi koloni berkembang maju selama 4 abad sehingga ditakluki oleh kerajaan Goguryeo pada tahun 313.

Illustrasi Raja Dangun, pengasas Gojoseon

Jika kerajaan Gojoseon wujud di utara semenanjung Korea, di selatan tertubuhnya negara Jin pada 300 SM. Tidak banyak informasi berkenaan negara ini namun ia memproleh hubungan perdagangan dengan dinasti Han dan mengeksport artifak kepada masyarakat Yayoi di Jepun. Pada 100 SM, negara Jin bertukar kepada kerajaan Samhan.

Banyak kerajaan kecil ditubuhkan setelah zaman Gojoseon seperti Buyeo, Okjeo, Dongye, Goguryeo, Silla, dan Baekje. Di sini masuk Zaman Proto Tiga Kerajaan.  Ketika ini kerajaan Buyeo adalah kerajaan berpengaruh yang berkedudukan di utara semenanjung dan selatan Manchuria. Pada tahun 494, Buyeo diserap masuk dalam kerajaan Goguryeo. Manakala kerajaan Okjeo, juga kerajaan pasca-Gojoseon yang berpusat di utara semenanjung sukar mengukuhkan kerajaan kerana tekanan dari kerajaan jiran sehingga meminta perlindungan dari Goguryeo. Pada abad ke-5 Masihi barulah Okjeo diserap masuk dalam Goguryeo. Kerajaan Dongye juga mengalami nasib yang sama dengan Okjeo.

Di selatan semenanjung yang terdirinya kerajaan Samhan, Samhan adalah gabungan kerajaan Mahan, Jinhan, dan Byeonhan. Samhan adalah kerajaan yang ketat dengan undang-undang dan penguatkuasaan agama. Mahan adalah yang terbesar dengan memiliki daerah sebanyak 54 buah, serta menjadi kerajaan yang menguasai politik, ekonomi, dan budaya Samhan. Pada abad ke-4 Masihi, Samhan akhirnya dibahagi setelah dijajah oleh Baekje, Silla, dan Gaya.

Hanya tiga buah kerajaan berpengaruh yang tinggal iaitu Goguryeo, Silla dan Baekje (termasuk kerajaan kecil Gaya), wujudnya Zaman Tiga Kerajaan Korea di mana Eropah ketika ini mengalami Zaman Gelap.

ZAMAN TIGA KERAJAAN KOREA

  1. Kerajaan Goguryeo

Goguryeo ditubuhkan pada tahun 37 SM oleh raja Jumong dan kerajaan ini adalah kerajaan Korea pertama mengamalkan ajaran Buddha pada tahun 372 di bawah pemerintahan raja Sosurim. Goguryeo juga dikenali sebagai Goryeo atau Koryo, kemudian menjadi nama asal kepada nama moden: Korea. Pada abad ke-5 Masihi, Goguryeo mencapai zaman kegemilangan dengan pemerintahan Gwanggaeto The Great dan puteranya, Jangsu. Goguryeo menakluk hampir seluruh tanah Manchuria, sebahagian Mongolia, sebahagian Rusia dan menakluk kota kini iaitu Seoul dari Baekje, menjadikan Goguryeo sebagai salah satu kuasa besar di Asia Timur terutamanya semenanjung Korea, mengalahkan Bakeja dan Silla.

Goguryeo juga adalah kerajaan yang kukuh dengan sektor ketenteraan, jadi tidak mustahil ia sentiasa berkonflik perang dengan China dalam beberapa dinasti, terutamanya Perang Goguryeo-Sui yang mana Goguryeo mengalami kekalahan teruk dengan kematian berjuta-juta anggota tentera dalam usaha menumbangkan dinasti Sui. Pada tahun 642, jeneral perang Yeon Gaesomun melakukan pemberontakan dan berjaya menakluk Goguryeo. China di zaman pemerintahan dinasti Tang khuatir akan kuasa Goguryeo di bawah kekuasaan jeneral perang. Jadi Maharaja Tang Taizong melakukan kempen penjarahan ke atas Goguryeo namun gagal. Kempen baginda diteruskan oleh puteranya, Maharaja Tang Gaozong tapi kali ini berganding bahu dengan kerajaan Silla di selatan semenanjung Korea. Penjarahan Tang-Silla masih gagal pada tahun 662 kerana Goguryeo kebal dengan taktik pertahanan ketenteraannya.

Pada tahun 666, kerajaan Goguryeo menuju ambang kemusnahan, selepas kemangkatan Yeon Gaesomun oleh faktor kesihatan yang melemah, kekuatan Goguryeo melemah kerana perebutan takhta antara para putera dan adik bongsu baginda. Pada tahun berikutnya, kesatuan perang Tang-Silla menjarah Goguryeo dan diakhiri dengan penaklukan keseluruhan tanah Goguryeo pada tahun 668. Tang dan Silla kemudian memutuskan kesatuan mereka kerana ketamakan Tang untuk memperoleh Goguryeo. Silla berjaya menghalau Tang dan menakluk keseluruhan semenanjung Korea. Tang hanya dapat menakluk utara Goguryeo saja. 30 tahun selepas penggulingan Goguryeo, Dae Joyeong, pengasas kerajaan Balhae berjaya menghalau Tang dari menduduki tanah Goguryeo.

  1. Kerajaan Baekje

Pada tahun 18 SM, Onjo, putera ketiga dari raja pertama Goguryeo mengasaskan kerajaan Baekje. Dalam manuskrip Records of The Three Kingdoms, Baekje adalah sebahagian dari persekutuan Mahan yang bertempat di kawasan Sungai Han (berdekatan Seoul). Jajahannya mengembang ke kawsan barat daya dan menjadi kerajaan yang kukuh dalam sektor ketenteraan dan politik.

Pada abad ke-4 Masihi di mana Baekje di bawah pemerintahan raja Geunchogo, Baekje menyerap masuk semua tahan persekutuan Mahan dan menakluk tanah-tanah bertempat di barat semenanjung dan bersatu sebagai kerajaan berpusat. Baekje juga membina hubungan maritime dengan kerajaan China Dinasti Selatan sehingga mengambil budaya dan teknologi China dalam fasa penjajahan.

Baekje adalah kerajaan maritim yang berpengaruh sehingga digelar sebagai Phoenicia di Timur Asia. Baekje juga adalah kerajaan yang memainkan peranan penting dalam penyebaran budaya seperti tulisan China, sebaran ajaran Buddha, penghasilan besi, pengembangan ilmu tembikar, dan ilmu ritual pengebumian dari Jepun. Walaupun Baekje satu-satunya kerajaan maritime berpengaruh, ia semakin lemah sejak kempen penjarahan dari raja Goguryeo, Gwanggaeto The Great. Penggulingan Baekje yang muktamad adalah pada tahun 660 oleh kesatuan perang Tang-Silla.

  1. Kerajaan Silla

Menurut lagenda, Silla diasaskan oleh penyatuan 6 orang ketua puak dari Persekutuan Jinhan oleh Bak Hyeokgeose pada tahun 57 SM, bertempat di tenggara semenanjung termasuklah kota Busan. Silla kemudian menjadi kerajaan maritime yang bertanggungjawab membanteras kegiatan lanun Jepun. Budaya Silla unik dari budaya negara jiran lain. Penemuan artifak berupa barangan tukangan dari emas yang mempunyai unsur dari budaya Parsi. Maka, Silla ada hubungan rapat dengan kaum nomad dari utara atau Parsi sehingga berkongsi budaya.

Pada abad ke-2 Masihi, Silla menjadi kerajaan berpengaruh dengan jajahan besar, menakluknya dengan kuasa pengaruhnya, seperti kerajaan Gaya yang kaya dengan eksport barangan besi, diserap masuk pada tahun 562. Silla sentiasa mendapat tekanan dari kerajaan jirannya yang lebih besar jajahannya seperti Goguryeo, Baekje, dan Jepun tetapi dalam masa yang sama bersekutu dengan kerajaan-kerajaan saingan ini.

Walaupun Silla adalah kerajaan terkecil dan paling lemah dalam zamannya, namun ia licik dalam survival tersebut dengan berhubung diplomatik dengan kerajaan Korea lebih berpengaruh. Yang paling utama adalah China di zaman dinasti Tang yang menjadikan Silla menjadi kerajaan yang tidak patut dipandang rendah.

Pada tahun 660, pemerintah Silla iaitu raja Muyeol memerintah para tenteranya menakluk Baekje. Rombongan tentera dipimpin jeneral Kim Yu-shin bersama rombongan tentera Tang berjaya menakluk Baekje. Pada tahu berikutnya, tentera Tang-Silla berangkat ke Goguryeo dengan misi yang sama namun gagal. Pada tahun 667, raja Munmu, putera raja Muyeol mengetuai kempen penaklukan Goguryeo dan berjaya pada tahun berikutnya.

Zaman Silla-Balhae

Pada tahun 676, Silla akhirnya menguasai seluruh semenanjung Korea setelah menghalau para tentera Tang yang musang berbulu kambing, ingin menakluk semenanjung secara diam atas kesatuan Tang-Silla. Kerajaan Silla pada waktu ini melalui zaman keemasan budaya. Silla juga pernah melakukan hubungan perdagangan dengan empayar Abbasiyyah melalui rekod Book ofRoads and Kingdoms yang ditulis oleh ahli geografi Parsi, Ibnu Khordadbeh. Pada zaman keemasan ini, banyak tokong-tokong Buddha dibina demi menghargai seni bina dan agama itu sendiri seperti Bulguksa, Seokguram Grotto, Hwangnyongsa, dan Bunhwangsa.

Pada abad ke-8 dan ke-9 Masihi, Silla menguasai seluruh lautan di Asia Timur dan menjalinkan hubungan maritime dengan China dan Jepun. Tambahan pula, Silla membina komuniti mereka di China yang bertempat di semenanjung Shandong dan delta Sungai Yangtze. Dari perkembangan Silla inilah ia menjadi sebuah negara yang kaya yang menjadikan ibu-kota Gyeongju sebagai kota keempat yang terbesar dunia. Agama Buddha juga berkembang maju dengan penyebaran dakyah dari para sami China sehingga putera Silla iaitu Kim Gyo-gak menjadikan Gunung Jiuhua sebagai antara Empat Gunung Suci Chinna Buddha.

Penghujung abad ke-8 Masihi, Silla mengalami konflik politik sehingga kerajaan melemah. Pemberontak dari rakyat yang setia dengan Baekje melawan dan menubuhkan kerajaan baru iaitu Hubaekje. Manakala di utara Silla, rakyat yang setia dengan Goguryeo turut memberontak, sehingga wujud Zaman Tiga Kerajaan Baru.

Kerajaan Balhae pula boleh dikatakan sebagai kerajaan ‘baru’ Goguryeo yang berpusat di Manchuria dan berkembang sehingga ke daerah Rusia jauh ke timur bernama Primorsky Krai. Ia diasaskan pada tahun 698 oleh jeneral Dae Joyeong, 30 tahun selepas kejatuhan Goguryeo. Dalam sistem geopolitik dan struktur kerajaan, Balhae mengambil kebudayaan dari dinasti Tang.

Dalam zaman pemerintahan raja Mun dan raja Seon, Balhae mencapai zaman keemasan dan keamanan sehingga kerajaan itu digelar sebagai “Prosperous Country in the East”. Pada tahun 926, Balhae melemah sehingga ditakluk oleh kaum Khitan yang menubuhkan empayar dinasti Liao. Pelarian Balhae yang dipimpin oleh putera terakhir bernama Dae Gwang-hyeon pergi ke kerajaan Goryeo dan mereka diterima baik oleh diraja Goryeo. Dari situ, beberapa buah tanah Balhae diserap masuk ke dalam Goryeo.

Masuk ke Zaman Tiga Kerajaan Baru, di mana wujud dua buah kerajaan yang telah lama ditawan Silla, iaitu Baekje Baru yang diasaskan oleh jeneralGyeon Hwon pada tahun 892 yang berpusat di Wansanju; Goguryeo Baru diasaskan oleh sami Buddha Gung Ye pada tahun 901 yang berpusat di Songak. Silla semakin melemah sejak kota Gyeongju diserang oleh Baekje Baru pada tahun 927. Manakala Goguryeo Baru pula setelah bertukar nama kepada Taebong, jeneral Wang Geon menggulingkannya dan mengasaskan kerajaan dinasti Goryeo pada tahun 918. Goryeo kemudian menyatukan seluruh Korea pada tahun 936, menamatkan Silla yang telah lama memerintah selama 267 tahun.

Zaman Kerajaan Dinasti

Goryeo (disebut sebagai Koryo sehingga menjadi sebutan Korea) adalah kerajaan yang diasaskan oleh raja Taejo pada tahun 918. Kerajaan ini menyatukan 3 buah kerajaan di Zaman Tiga Kerajaan Baru kemudian menyatukan seluruh semenanjung pada tahun 1374. Jeneral kerajaan Taebong, Wang Geon menggulingkan Taebong dengan membunuh sami Gung Ye dan ditabalkan sebagai raja pertama Goryeo dengan nama Taejo. Pada tahun 936, Goryeo menjadi kerajaan dinasti bersatu yang memerintah selama 474 tahun walaupun pada tahun 1170 hingga 1270 Goryeo diperintah oleh regim ketenteraan.

Pada tahun 1231, China di bawah perintah dinasti Yuan menceroboh Goryeo sehingga Goryeo bertahan selama 30 tahun dari dijajah puak Mongol itu. Pada tahun 1258, kerana penat melawan dinasti Yuan, Goryeo mengadakan perjanjian damai dengan pemerintah Kublai Khan. Yuan setuju dengan syarat Goryeo di bawah pengaruhnya. Raja Gongmin berusaha mengekalkan kerajaannya beserta budaya yang lama dipertahankan sejak di bawah pengaruh Mongol. Tahun 1392, jeneral Yi Seonggye dan menggulingkan raja terakhir Goryeo iaitu Gongyang, seterusnya mengasaskan dinasti Joseon atau Choson.

Pada zaman dinasti Joseon, ajaran Confusius diserap masuk dalam pengamalan agama masyarakat Korea bagi menggantikan ajaran Buddha yang lama bertapak. Joseon juga memartabatkan beberapa bidang utama seperti budaya klasik Korea, perdagangan, sains, kesusasteraan, dan teknologi ke peringkat tertinggi, contohnya penciptaan bahasa moden Korea. Pada abad ke-16 dan ke-17 Masihi, Joseon diuji dengan invasi Jepun pada tahun 1592 dan invasi Manchuria pada tahun 1636.

Walaupun Joseon melemah akibat invasi sebegini, namun ada kejayaan harus dibanggakan mereka terutamanya invasi armada Jepun yang terpaksa berundur setelah gagal berusaha mendarat di semenanjung Korea. Laksamana Yi Sunshin mengalahkan armada Jepun dengan inovasi kapal yang tidak pernah dilihat oleh pihak lawan, iaitu Kapal Penyu, kapal meriam berperisai dibina pertama dunia. Armada Jepun tidak tahu bagaimana menumbangkan kapal yang aneh dan kebal itu. Jadi ia berundur ke kerajaan asal.

Gambaran Kapal Penyu/Turtle Ship

Masuk abad ke-19, setelah 200 tahun lamanya Joseon memerintah, akhirnya runtuh kerana konflik dalaman seperti perang saudara dan perebutan takhta, serta pemberontakan rakyat. Tahun 1897, setelah tamat Perang Sino-Jepun dengan perjanjian damai mereka, Joseon diganti dengan Empayar Korea dengan diperintah oleh Maharaja Gojong. Empayar Korea berusaha mengukuhkan kerajaan kembali dengan mengukuhkan sistem ketenteraan dan memperkayakan ekonomi mereka dalam sektor perindustrian. Hubungan empayar rapat dengan Rusia membimbangkan Jepun kemudian pada tahun 1905 Jepun berjaya menghalau Rusia dalam Perang Russo-Jepun kemudian memaksa Empayar Korea menjadi lindungan Jepun. Dari peristiwa itulah tamatnya penguasaan Empayar Korea dengan bermulanya zaman kolonial Jepun selama 35 tahun.

Kini, semenanjung Korea terbahagi kepada dua negara iaitu negara Korea Utara yang berpusat di Pyongyang dan Korea Selatan yang berpusat di Seoul akibat impak Perang Dunia Kedua. Walau bagaimanapun, Korea menguasai dunia dengan alat yang paling ampuh iaitu hiburan yang membuatkan Korea mereka sebuah fenomena bernama K-Pop, mengalahkan J-Pop yang pernah menguasai dunia pada awal tahun 2000.

RUJUKAN:

  1. Sejarah ringkas dari video game Age of Empires II.
  2. Eckert, Carter J.; Lee, Ki-Baik (1990).Korea, old and new: a history. Korea Institute Series. Published for the Korea Institute, Harvard University by Ilchokak. p. 454.
  3. Hwang, Kyung-moon (2010).A History of Korea, An Episodic Narrative. Palgrave Macmillan. p. 328.
  4. Kim, Jinwung.A History of Korea: From “Land of the Morning Calm” to States in Conflict. Indiana University Press.
  5. Seth, Michael J. (2010).A History of Korea: From Antiquity to the Present. Lanham: Rowman & Littlefield. p. 520.

 

 

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang ulat buku dan pejuang alam sekitar. Penulis yang rajin tulis tentang flora dan fauna serta sejarah dunia. Dan tak terkecuali peminat Fate.

Comments are closed.