“Aku tidak mengetahui mana-mana wanita yang dituduh sebagai pendusta (dalam meriwayatkan hadith) dan tidak pula ditinggalkan periwayatan mereka”, kata al-Zahabi dalam memperihalkan wanita-wanita yang meriwayatkan hadith.
Pada kurun kelima Hijri (kira-kira 900- 1000 M), lahirlah seorang wanita yang bakal mencorakkan dunia periwayatan hadith pada zamannya. Digelar Umm al-Kiram, Karimah binti Ahmad bin Muhammad bin Hatim al-Marwaziyyah dilahirkan di Kampung Kushmaihan, daerah Marwa, Khurasan (kini dikenali sebagai Merv, Turkmenistan).
Ketika umurnya 20-an, beliau mempelajari hadith Sahih Bukhari secara talaqqi dengan guru kampungnya, Abu al-Haytham al-Kusymaihani, sebelum menyambung perjalanan ilmiahnya ke Sarkhas. Di situ beliau belajar dari al-Faqih Zahir bin Ahmad.
Kemudian beliau berhijrah pula ke Baghdad, sebelum ke Baitul Maqdis bersama bapanya dan akhirnya menetap di Mekah, berhampiran Masjid al-Haram. Kesibukan beliau memenuhi kehidupannya dengan menuntut ilmu dan mengajarnya membuatkannya tidak berkahwin.Setiap tahun beliau akan menunggu musim haji, ketika ramai ulama’ berkumpul di Mekah, bagi mengambil manfaat dari ilmu mereka.
Lalu beliau meneruskan pengajaran hadithnya di Masjid al-Haram dan Mina. Antara muridnya ialah al-Hussein bin Nizam al-Zainabi dikenali sebagai Nur al-Huda yang mempelajari hadith dari Karimah ketika umurnya 88 tahun sedangkan umur Karimah ketika itu 95 tahun.
Karimah dikatakan pemegang sanad tertinggi bagi Sahih Bukhari ketika itu, dan dikenali sebagai “pemegang sanad Tanah Haram”. Beliau juga guru hadith kepada al-Khatib al-Baghdadi, seorang ahli hadith yang masyhur pada zamannya dan banyak mengarang buku-buku, kebanyakannya diguna pakai dalam pengajian sehingga kini. Karimah wafat pada tahun 463 H ketika umurnya 100 tahun.
Menyelusuri kehidupan Karimah al-Marwaziyah, dapat dilihat betapa kesungguhannya mempelajari hadith Sahih Bukhari ketika usia mudanya (20-an) dari gurunya al-Kusymaihani. Lalu, setelah pengajiannya itu, beliau berterusan mengajar dan meriwayatkan hadith Sahih Bukhari yang dipelajarinya itu hingga umurnya menjangkau 100 tahun.
Konsistensinya dalam mengadakan kelas-kelas periwayatan hadith, di negerinya hingga ke negeri-negeri yang dilawatinya selepas itu diperakui oleh al-Zahabi dalam kitabnya bahawa Karimah berkali-kali meriwayatkan hadith Sahih Bukhari. Majlis hadithnya di Masjid al-Haram dihadiri penuntut-penuntut ilmu dari pelbagai negeri, Timur dan Barat, mengambil manfaat dari ilmunya.
Beliau juga dikenali sebagai seorang yang bersifat dhabit (menjaga hadithnya dengan baik), hingga ulama’ pada zamannya mengatakan: “Adakah kau melihat manusia (yang dhabitnya) seperti Karimah?”. Ulama’-ulama’ pada zamannya mewasiatkan supaya mempelajari hadith dari Karimah seperti kata Abu Zar al-Harwi ketika hampir kewafatannya: “Hendaklah kamu mempelajari hadith dari Karimah kerana sesungguhnya dia mempelajari Kitab Bukhari melalui jalan periwayatan Abu Haytham”.
Beliau juga antara pemegang sanad Sahih Bukhari yang tertinggi ketika itu. Kesungguhan dan kesabarannya dalam meriwayatkan hadith dengan penjagaan dan ketelitian pada usia tuanya begitu mengagumkan, sehingga Khatib al-Baghdadi mempelajari Sahih Bukhari keseluruhannya dari Karimah di Mekah dalam masa lima hari sahaja.
Kesibukannya dalam menuntut pelbagai ilmu dan menyebarkannya serta memberi ijazah periwayatan hadith kepada murid-muridnya, membuatkannya tidak berkahwin sepanjang hayatnya hingga umurnya 100 tahun, sepertimana yang dilakukan sebahagian ulama’ termasuk Imam al-Nawawi sendiri. Kesungguhan Karimah dalam menuntut ilmu sewajarnya dicontohi oleh wanita pada zaman ini hingga boleh menjadi tempat rujukan oleh ilmuwan-ilmuwan yang lain.
RUJUKAN:
1. al-Zahabi, Muhammad bin Ahmad (1982). Siyar A’lam an-Nubala’ (18 ̸ 233). Muassasah al-Risalah
2. Ibn Kathir, Ismail bin ‘Umar (1990). al-Bidayah wa al-Nihayah (12 ̸ 128). Beirut, Maktabah al-Ma’arif.
3. al-‘Akriy, ‘Abd al-Hayy (1986). Syazarat al-Zahab fi Akhbar min Zahab (3 ̸ 314). Dar Ibnu Kathir
4. Kahalah, ‘Umar Ridha (2008). A’lam al-Nisa’ fi ‘Alami ‘Arab wa al-Islam (4 ̸ 240). Muassasah al-Risalah
5. Muna Ahmad (n.d.) Karimah al-Marwaziyyah Dirasah Hadithiah. Majallah al-Jami’ah al-Islamiyyah ed. 183. Riyadh, Jami’ah al-Amirah Naurah.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih