Rabu, 21 Oktober 202621 Okt 2026
Alam Melayu

Kalau Perjanjian Inggeris-Siam 1909 Tak Berlaku, Kita Akan Ada Lagi Banyak Negeri Melayu Utara?

Bila orang sebut pasal sempadan Malaysia hari ini, ramai anggap benda itu macam takdir yang memang dari dulu lagi begitu.

Kelantan di sini, Terengganu di situ, Perlis kecil di utara, Pattani pula nun di bawah Thailand. Seolah-olah semua itu memang “asal jadi” begitu.

Padahal sempadan yang kita nampak hari ini lahir daripada rundingan kuasa besar, bukannya hasil rakyat tempatan duduk semeja dan sepakat tentukan nasib sendiri.

Perjanjian Inggeris-Siam 1909, perjanjian yang menetapkan sempadan moden antara Siam dengan wilayah-wilayah Melayu di bawah pengaruh British termasuk menyerahkan Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis kepada British sambil mengiktiraf kedaulatan Siam ke atas Patani.

Tapi, apa jadi kalau Perjanjian Inggeris-Siam 1909 tak berlaku?

Kalau perjanjian itu tak berlaku, Malaysia hari ini mungkin bukan sahaja ada lebih banyak wilayah yang berakar daripada dunia Melayu Patani, malah bentuk politik Pantai Timur itu sendiri mungkin lain sama sekali.

Untuk faham benda ini, kita kena undur ke belakang dulu. Patani dahulunya pernah jadi pusat kerajaan Melayu yang besar, penting dan berpengaruh di rantau ini.

Tetapi pada tahun 1785, Patani jatuh ke tangan Siam selepas beberapa siri peperangan yang melemahkan kesultanan itu. Dari situ, masalah Patani makin parah. Pada tahun 1826, Perjanjian Burney mengukuhkan lagi pengiktirafan British terhadap pengaruh Siam di utara negeri-negeri Melayu.

Kemudian menjelang hujung abad ke-19 dan awal abad ke-20, Siam mula menyusun semula wilayah-wilayah Melayu utara melalui reformasi pentadbiran yang lebih tersusun dan bukan lagi hubungan longgar macam zaman ufti bunga mas semata-mata.

Ini ialah langkah untuk bawa negeri-negeri Melayu masuk ke dalam rangka pentadbiran pusat Bangkok.

Di sinilah datang satu benda yang ramai orang tak sedar betapa bahayanya kepada autonomi negeri-negeri Melayu utara iaitu sistem Monthon atau Thesaphiban.

Sistem ini digerakkan oleh Siam pada akhir abad ke-19 sebagai sebahagian daripada reformasi pentadbiran Raja Chulalongkorn. Dari sudut Siam, ia strategi untuk tunjuk kepada kuasa Barat bahawa Siam ialah sebuah negara moden yang ada pentadbiran pusat yang kemas supaya tak mudah dijadikan mangsa penjajahan seperti wilayah jiran.

Tetapi dari sudut negeri-negeri Melayu, sistem ini ialah permulaan kepada penghakisan kuasa tradisional sultan dan pembesar tempatan. Patani dimasukkan ke dalam rangka pentadbiran Siam yang semakin ketat dan kawasan-kawasan Melayu lain pula makin dilihat sebagai wilayah yang boleh disusun, dibelah atau dipindah mengikut keperluan geopolitik Bangkok dan kuasa Barat.

Jadi bila Perjanjian Inggeris-Siam 1909 ditandatangani pada 10 Mac 1909, ia datang selepas Siam sudah lama berusaha mengukuhkan kawalan ke atas wilayah Melayu utara dan British pula mahu penyelesaian yang jelas tentang siapa pegang kawasan mana.

Di bawah perjanjian itu, Siam menyerahkan “hak kedaulatan”, pentadbiran dan kawalan ke atas Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis kepada British. Sebagai balasan, British mengiktiraf kedaulatan Siam ke atas kawasan lain yang kekal di bawah Bangkok termasuk Patani. Perjanjian itulah yang akhirnya menjadi asas kepada sempadan Malaysia-Thailand hari ini.

Masalahnya, semua ini dibuat tanpa benar-benar tanya masyarakat Melayu tempatan sama ada mereka setuju atau tidak. Kajian tentang persempadanan Kelantan-Patani jelas menyebut bahawa penyusunan dua hala antara British dan Siam mengasingkan Patani daripada ranah peradaban politi Melayu Semenanjung dan menghasilkan akibat yang tidak diingini kerana faktor budaya dan peradaban tempatan tidak diambil kira.

Perjanjian 1909 telah mengubah sempadan lama dengan memasukkan tebing barat Sungai Golok ke dalam Thailand, manakala daerah Jeli dimasukkan ke dalam Kelantan. Tanpa perjanjian itu, susunan wilayah di utara Kelantan dan kawasan bersempadan dengan Pattani mungkin tidak jadi seperti sekarang. Jeli yang hari ini kita anggap memang sebahagian daripada Kelantan pun terikat dengan proses persempadanan tersebut.

Dan di sinilah nama-nama lama yang makin tenggelam itu sepatutnya wujud sehingga har ini. Contohnya, Legeh bukan nama yang asing dalam sejarah politik Melayu utara. Kawasan seperti Ayer Lanas, Jeli dan bahagian hulu Sungai Golok pernah berada dalam lingkungan kuasa Raja Legeh sebelum sempadan moden dimuktamadkan. Sebelum 1909, kawasan di sebelah hulu Sungai Golok dan hulu Sungai Pergau berada di bawah kekuasaan Raja Legeh. Bila sempadan baru datang, dunia politik lama macam ini pun pecah. Sebahagian masuk satu sisi, sebahagian lagi masuk sisi lain.

Begitu juga dengan Reman. Hari ini ramai orang tahu Gerik, Lenggong, Kroh atau Hulu Perak sebagai kawasan dalam Perak. Tetapi kerajaan Reman sebenarnya pernah wujud meliputi kawasan yang hari ini melibatkan Yala, Hulu Perak dan Ulu Kelantan. Selepas Siam menghapuskan pemerintahan beraja bawah Reman pada 1902 dan kemudian Perjanjian 1909 memisahkan wilayahnya, bahagian tertentu masuk ke Thailand sementara bahagian lain dimasukkan ke dalam orbit British.

Dalam erti kata lain, Perjanjian 1909 sememangnya memisahkan negeri-negeri besar seperti Kedah dan Kelantan daripada Siam. Tetapi ia juga mengunci mati nasib kerajaan-kerajaan kecil dan wilayah autonomi Melayu yang sudah lama terhimpit antara Bangkok dan British.

Kalau kita ikut logik geopolitik, hari ini, paling menarik sekali ialah kemungkinan wujud satu blok negeri-negeri Melayu utara yang lebih besar. Bayangkan kalau Patani, Legeh, Reman, Setul atau sekurang-kurangnya sebahagian daripada wilayah sejarah itu tidak kekal di bawah Siam selepas 1909. Maka Pantai Timur Semenanjung mungkin bukan hanya ada Kelantan dan Terengganu seperti hari ini.

Kita mungkin melihat satu dunia Melayu utara yang lebih rapat dari segi politik, kekeluargaan dinasti, budaya dan agama. Sempadan Malaysia-Thailand mungkin terletak lebih jauh ke utara dan negeri-negeri yang hari ini kita kenal sebagai wilayah selatan Thailand mungkin ada hubungan yang lebih langsung dengan pembentukan Tanah Melayu moden.

Kalau itu berlaku, Malaysia mungkin juga ada lebih banyak negeri berakar Patani, lebih banyak pusat sejarah Melayu-Islam di utara dan lebih banyak wilayah yang tidak perlu melalui proses pemaksaan identiti Thai seperti yang berlaku kemudian. Sejarah abad ke-20 di selatan Thailand sendiri menunjukkan bagaimana dasar nasionalisme Thai dan proses pemusatan kuasa menekan identiti Melayu-Muslim di kawasan itu, lalu menyumbang kepada ketegangan yang berpanjangan.

Maka kalau 1909 tidak memuktamadkan Patani di bawah Siam, sebahagian daripada konflik identiti itu mungkin mengambil bentuk yang sangat berbeza atau mungkin tidak meletup dengan cara yang sama.

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet