“Kairouan adalah Ibu segala kota dan ibu kota dunia, ia adalah bandar terhebat di dunia Barat Islam, paling ramai penduduknya, paling mewah, dan paling maju dengan bangunan-bangunan yang sempurna,” tulis al-Idrisi, salah seorang ahli geografi Muslim yang masyhur tentang pemerinciannya terhadap Kairouan di dalam bukunya, Nuzhah al-Musytaq fi Ishtiraq al-Afaq (Kenikmatan Pada Keinginan Untuk Menjelajah Negeri-Negeri Jauh).

Kairouan yang juga dikenali sebagai al-Qayrawan, adalah salah sebuah bandar Islam-Arab yang paling masyhur di dunia. Terletak di tengah-tengah Tunisia, Kairouan memainkan peranan yang penting dalam penyebaran Islam di Eropah dan Afrika.

Saya secara peribadi jatuh cinta dengan Kairouan semasa lawatan pertama saya di bandar berkenaan. Saya maih lagi ingat tanggapan pertama saya terhadap bandar bersejarah ini. Saya berasa kagum dengan sejarah lampaunya yang gemilang dan berasa sangat bersyukur kerana dapat merasai pengalaman berjalan di jalan-jalan bandar lamanya, melawat pasar-pasarnya, menghidup rempat-ratus dari timur, dan merasai manisan-manisan Tunisia.

Saya masih ingat betapa bersyukur dan leganya hati saya semasa merasakan ketenangan Islam-Arab dari masjid pertama yang dibina di Afrika Utara (dan salah sebuah masjid paling penting di dunia), iaitu Masjid Jamek Kairouan atau lebih dikenali sebagai Masjid Uqbah ibn Nafi.

SEJARAH BANDAR KAIROUAN

Kairouan ditubuhkan pada tahun 670 Masehi oleh Uqbah ibn Nafi, salah seorang komander tentera Muslim yang berkhidmat untuk Dinasti Umayyah semasa pemerintahan Khalifah Mu’awiyah ibn Abi Sufyan. Kairouan adalah bandar Islam-Arab pertama di Afrika Utara.

Nama bandar tersebut diambil daripada perkataan bahasa Arab iaitu kairuwan, yang datang daripada Karavan dalam bahasa Parsi yang membawa maksud ‘kem ketenteraan atau tempat beristirahat’. Pada asalnya, ia adalah sebuah kem ketentaraan dan sebuah pos kawalan tentera. Kelak, bandar ini bakal menjadi tempat penting dalam penaklukan bahagian barat Afrika Utara, negara-negara Sub-Sahara dan Eropah (Andalusia, Sicily dan Malta).

Untuk memastikan bahawa kota yang beliau tubuhkan ini tidak dirampas oleh Byzantine dan sekutu-sekutu Berber bukan-Islam mereka di samping untuk menubuhkan bandar ketenteraan Islam yang kuat, Uqbah dan pasukan tenteranya mendirikan tiga simbol penting bagi Kairouan. Hal ini bertujuan untuk mempamerkan kekuatan agama, politik dan ketenteraan Muslim kepada Byzantine dan sekutu mereka.

Perkara pertama yang dilakukan adalah mengubah Kairouan dari sebuah kem ketenteraan kepada bandar-berkubu. Perkara kedua pula adalah membina sebuah masjid, iaitu Masjid Uqbah ibn Nafi.

Terdapat dua matlamat di sebalik pembinaan masjid di wilayah yang baru dikuasai oleh Islam ini. Pertama adalah untuk menyebarkan mesej persaudaraan antara Arab-Muslim dan saudara-saudara Islam mereka yang baru, iaitu Berber-Mslim. Matlamat kedua pula adalah untuk mempamerkan kepada Byzantine dan Berber bukan-Islam bahawa agama Islam kini memiliki tapak yang kuat di rantau berkenaan.

Perkara selanjutnya yang dilakukan oleh Uqbah di Kairouan adalah membina sebuah pusat pentadbiran untuk menyelia pemerintahan Dinasti Umayyah di Kairouan di samping menjamin kuasa politiknya di Afrika Utara. Menyusuli jejak langkahnya, seorang panglima Muslim yang bernama Hassan ibn Nu’man menubuhkan kota Tunis, menewaskan putera-putera Berber bukan-Islam di Al-Kahina lalu menawan Carthage.

Afrika Utara secara rasmi menjadi wilayah Islam baharu dengan Kairouan berfungsi sebagai ibu kotanya di rantau berkenaan. Sejak detik itulah kaum Muslim mula memasang impian untuk menyebarkan Islam ke wilayah merentas laut di Eropah. Siapakah yang mencetuskan idea tersebut? Beliau adalah Musa ibn Nusayr, panglima Umayyah yang berkhidmat semasa pemerintahan Khalifah Al-Walid I, merangkap gabenor baru yang mentadbir Kairouan. Beliau memerintahkan Tariq ibn Ziyad agar menakluki Sepanyol dari Tangier. Kita pada hari ini mungkin tidak dapat menyebutkan tentang penaklukan Al-Andalus atau wilayah-wilayah lain di Afrika Utara tanpa menyebutkan peranan penting yang dimainkan oleh Kairouan.

Semasa Dinasti Abbasiyah memerintah di Baghdad, Ifriqiyah (Tunisia moden meliputi Algeria timur dan Libya barat) menjadi wilayah penampan. Ifriqiyyah melindungi Dinasti Abbasiyah daripada musuh-musuh dalaman seperti sejumlah bangsa Berber yang enggan menumpahkan kesetiaan kepada Abbasiyah, di samping musuh-musuh luar terutamanya Byzantine yang beberapa kali melakukan cubaan untuk mendominasi Laut Mediterranean.

Pada tahun 800 Masehi, Khalifah Abbasiyah Harun al-Rashid menyerahkan Ifriqiyyah kepada Ibrahim ibn al-Aghlab. Beliau ditugaskan untuk menangani Dinasti Umayyah di Al-Andalus dan Dinasti Idrisiyyah (sebuah dinasti Syiah) di Maghribi.

Ibrahim ibn al-Aghlab kemudiannya mengasaskan Dinasti Aghlabiyyah, dinasti Arab di Afrika Utara yang pertama yang bersifat semi-merdeka dari pemerintahan Abbasiyah. Dalam erti kata lain, Dinasti Aghlabiyyah mengambil sebarang keputusan berkenaan urusan dalam negara mahupun luar negara seperti hal politik dan komersial tanpa merujuk kepada pemerintahan pusat di Baghdad. Justeru itu, selama mana mereka membayar ufti tahunan kepada Khalifah Abbasiyah dan nama khalifah disebutkan semasa khutbah Jumaat, Kairouan terus menjadi ibu kota bagi Dinasti Aghlabiyyah.

TERJEMAHAN:

Afifa Thabet. (13 Jun 2016). Everyone Should Know Kairouan, a City of Peace, Knowledge and Power. Mvslim. https://mvslim.com/kairouan-city-peace-knowledge-power/


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.