Malaysia mempunyai ramai personaliti masakan yang sudah dikenali umum seperti Datuk Chef Wan, Chef Ismail Ahmad dan Chef Sherson Lian. Di Amerika Syarikat sendiri, antara nama personaliti masakan yang dianggap legenda ialah Julia Child, individu bertanggungjawab memperkenalkan masakan Perancis kepada masyarakat sana melalui bukunya, Mastering the Art of French Cuisine (Menguasai Seni Masakan Perancis) dan rancangan televisyen The French Chef pada tahun 1963. Tetapi tahukah anda, Child juga sebenarnya pernah bekerja dengan Pejabat Perkhidmatan Strategik (OSS) iaitu pelopor kepada Agensi Perisikan Pusat (CIA)?
Tidak seperti perisik lain yang berkhidmat di lapangan, kebanyakan masanya dihabiskan di meja pejabat. Semasa menawarkan diri berkhidmat dengan OSS, Child sebenarnya masih terasa dengan penolakan Kor Tentera Wanita atau unit tentera simpanan Tentera Laut Amerika Syarikat kerana dianggap terlalu tinggi. Ini kerana ketinggian maksimum bagi kedua-dua unit ini ialah enam kaki sedangkan Child mempunyai ketinggian enam kaki dua inci. Bagi OSS, penolakan dua unit tersebut merupakan satu keuntungan pada mereka berdasarkan nota temubualnya, “Tanggapan yang baik, berbudi bahasa, berwaspada, berkebolehan dan tinggi.”
Seperti kebanyakan wanita yang bekerja di OSS ketika itu, beliau bermula sebagai pembantu pengkaji di bahagian Perisikan Rahsia. Kebanyakan masanya dihabiskan dengan menaip nama-nama dan alamat-alamat eksekutif kerajaan dalam fail-fail yang telah dinyahsulitkan. Child menggambarkan tugasnya dengan berkata, “Menaip 10,000 kad putih kecil dan diletakkan untuk pemindahan.” Sesiapa yang mendengarnya pasti merasakan ianya satu tugas yang membosankan tetapi pengalaman dan bakatnya mula disedari oleh pentadbiran OSS. Ini membolehkannya mendapat kenaikan pangkat dan bertukar dari satu jabatan ke satu jabatan yang lain serta diberi lebih banyak tanggungjawab.
Semasa di Bahagian Peralatan, Penyelamatan dan Kecemasan Laut inilah, nama Child semakin dikenali dan tidak mengejutkan ia turut menyumbang kepada pengenalan karier kulinarinya. Di sini, OSS diberi tugas membuat satu bahan penghalau jerung pada Julai 1942. Penghalau jerung dilihat dapat menghalau jerung dari terus mengaktifkan bom dasar laut secara tidak sengaja yang mensasarkan kapal selam Jerman kerana menyangka itu makanan percuma. Selain itu, penghalau jerung ini juga dilihat mengurangkan perasaan panik dan meningkatkan moral tentera yang sentiasa ditakut-takutkan oleh pihak media berkenaan serangan jerung di laut. Dua orang diberi amanah untuk menyelesaikan tugas ini ialah Kapten Harold J. Coolidge, seorang saintis dari Muzium Perbandingan Zoologi di Harvard dan Dr Henry Field, kurator Muzium Sejarah Semulajadi di Chicago.
Dan sepanjang tahun 1943, Child merupakan pembantu eksekutif Coolidge dan bekerjasama rapat dengan mereka berdua. Dalam satu temubual bersama rakan sekerja OSS yang juga penulis buku Sisterhood of Spies, Betty McIntosh, beliau berkata, “Saya katakan kita semua banyak berseronok. Kita mereka kit penyelamat dan kelengkapan perisik lain. Saya difahamkan penghalau jerung yang dibangunkan ini digunakan pada kelengkapan angkasa yang dijatuhkan dan ia diikat sekitarnya supaya jerung tidak menyerang bila berada dalam laut.” Sepanjang tahun itu, lebih 100 bahan dicuba dari daging bangkai jerung hingga campuran asid dan alkali. Resepi yang mendapat kelulusan OSS ialah campuran kuprum asetat dan pewarna hitam yang menghasilkan bau jerung mati. Walaupun kadar kejayaannya hanya pada kadar 60% tetapi itu sudah cukup menjauhkan jerung selama enam hingga tujuh jam.
Antara tahun 1944 hingga 1945, Child dihantar ke luar negara dan bekerja di Ceylon (Sri Lanka) dan Kunming, China. Semasa tempoh dua tahun itu, beliau merupakan Ketua Pendaftar OSS dan tahu aliran masuk dan keluar mesej yang melalui pejabatnya kerana unitnya berkhidmat kepada semua cawangan perisikan. Semasa di Ceylon ini juga, Child mempunyai akses kepada rancangan sulit menyerang Semenanjung Tanah Melayu. Apa yang dilakukannya itu menarik perhatiannya walaupun sedar ia datang dengan ancaman ke atas nyawanya. Child menceritakan pengalamannya semasa di Ceylon, “Ada pertunjukan filem dan tarian yang diadakan dua kali seminggu di kelab pegawai-pegawai Amerika dan berjalan disuluhi cahaya bulan. Pada hari Ahad pula, ada aktiviti berkelah, golf, tenis, berenang atau bersiar-siar di Colombo.” Di Kunming, beliau dipertemukan dengan suaminya, Paul Cushing Child yang juga seorang pekerja OSS dan berkahwin pada 1 September 1946 di Lumberville, Pennsylvania.
Suaminya, Paul merupakan orang bertanggungjawab memperkenalkan masakan Perancis kepadanya. Ini berlaku selepas beliau meninggalkan OSS dan Paul ditugaskan ke Paris selepas menyertai Perkhidmatan Luar Amerika Syarikat. Beliau ditugaskan sebagai pegawai pemamer Agensi Informasi Amerika Syarikat dan ketika itulah, Child mempelajari seni memasak di sekolah memasak berprestij, Le Cordon Bleu. Child berbuat demikian kerana mahu mengisi masanya dengan aktiviti bermanfaat tatkala suaminya tiada di rumah kerana bekerja. Dan apa yang berlaku selepas itu menjadi sejarah dan menjadi legasi terhebat Child kepada dunia masakan Amerika Syarikat.
SUMBER
1. Agensi Perisikan Pusat (CIA). (2007). A Look Back … Julia Child: Life Before French Cuisine. https://www.cia.gov/news-information/featured-story-archive/2007-featured-story-archive/julia-child.html
2. Frost, Natasha. (2018). History.com. Julia Child’s Spy Days Included Work on a Shark Repellent. https://www.history.com/news/julia-child-oss-spy-wwii-shark-repellent
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih