Pada hari Isnin yang lepas, kita semua dikejutkan kejadian pesawat Lion Air JT 610 terhempas di 15km dari pesisir pantai Kerawang, Jakarta Utara. Saya sempat membaca ringkas laporan akhbar sebelum berlepas ke Jakarta pada hari yang sama menggunakan anak Syarikat Lion Air iaitu Malindo Air.

Sebagai manusia biasa, sedikit sebanyak emosi saya dilanda ketakutan apatah lagi saya pernah melalui detik mendebarkan di udara. Saya fikir, saya lebih berani menggunakan kenderaan laut, mungkin saya rasa saya boleh bertahan dan berenang di laut. Kita mampu berikhtiyar berbeza di udara yang mana kita tidak mampu berbuat apa melainkan hanya menanti di kerusi.

Saya pernah menaiki feri selama 8 jam dari kota Zamboanga menuju Kepulauan Sulu (Selatan Filipina) dan bot pancung dari Nunukan ke Pulau Tarakan (Kalimantan Barat). Walaupun arus deras, tapi saya lebih yakin untuk selamat di laut. Wallahu a’lam. Ini hanya monoloq hati saya. Sesungguhnya ajal maut di dalam kekuasaan Allah Taala.

Hikmahnya, sepanjang di udara, saya banyak muhasabah diri dan merenung hakikat kehidupan ini. Saya merasakan bahawa cinta dunia masih kuat dalam jiwa saya sehingga saya rasa belum sedia jika dipanggil Rabbul Jalil. “Allah, betapa lemahnya hambaMu ini”. Ingatan kepada isteri dan anak-anak sangat kuat dirasakan.

Saya tidak lama di Kota Jakarta, hanya dua hari. Setelah selesai urusan perniagaan, saya mengambil keputusan pulang pada hari Rabu menaiki Air Asia. Pada mulanya, saya mencari jalan untuk pulang ke Kuala Lumpur tanpa gunakan pesawat. Saya nampak gambaran jalannya iaitu dari Jakarta ke Kota Lampung (Sumatera Selatan) menggunakan feri, kemudian jalan darat ke Jeti Dumai sebelum menaiki feri menyeberangi Selat Melaka. Namun, rindu pada anak-anak menghalang saya dari berlama-lama di Kota Seberang. Saya fikir, kalau sudah ajal, tetap tidak terlewat sesaat, sedang menulis artikel pun boleh dijemput ilahi. Firman Allah Taala yang bermaksud:

“Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang waktunya, tiak dapat mereka lewatkan walau sesaat dan tidak dapat pula mereka didahulukan.” (al-A’raaf : 34)

Penerbangan tetap masih pengangkutan paling selamat dan cepat. Akhirnya, saya selamat tiba di Kuala Lumpur pada hari Rabu.

Pesawat J610 dan Sony Setiawan

Penerbangan JT 610 Lion Air yang membawa 181 penumpang dan lapan anak kapal telah terhempas setelah berlepas dari Bandara Soekarno – Hatta pada jam 6.20 pagi Isnin. Pesawat jenis Boeing 737 MAX 8 itu dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Depati Amir Pangkal Pinang pada jam 7.10 pagi (Indonesia Barat) dilaporkan terputus hubungan sebelum terhempas. Walaupun tiada rakyat Malaysia terbabit dalam nahas itu, namun sebagai saudara seagama dan serumpun, cubit paha kanan, paha kiri terasa sakitnya.

Kita masih menunggu laporan penuh dari pihak berwajib. Walaupun begitu, dunia maya seolah tidak sabar untuk menunggu sehingga lahir pelbagai teori dan khabar angin. Sudah pasti, saya ‘follow’ rapat perkembangan nahas ini kerana saya sering berulang alik dari Kuala Lumpur ke pelbagai destinasi di Indonesia menggunakan Lion Air yang disifatkan lebih murah dari syarikat penerbangan lain.

Lion Air di tubuhkan pada 19 Oktober 1999 dan mula beroperasi pada 30 Jun 2000. Syarikat penerbangan ini berjaya menjadi saingan utama Garuda Air dalam sektor penerbangan domestik. Kalau di Malaysia, Garuda ibarat Malaysia Airlines (MAS) dan Lion Air seperti Air Asia. Lion Air pernah diharamkan memasuki ruang udara Eropah namun ditarik semula pada 2016.

Jika sebelum ini, kita dimaklumkan pihak berkuasa Indonesia masih gagal mengesan bangkai pesawat yang dipercayai terbenam di dasar laut di perairan Tanjung Kerawang, syukur alhamdulillah, perkembangan terbaru, bangkai pesawat sudah dapat dikesan dan yang paling penting kotak hitam pesawat Lion Air JT 610 telah dijumpai. Semoga ia dapat membongkarkan apa sebenarnya berlaku.

Lain cerita dengan Pak Sony, seorang pegawai di Kementerian Kewangan Indonesia yang menjadi satu-satunya ‘penumpang’ yang terselamat. Beliau sepatutnya berada dalam pesawat tersebut namun terlepas pesawat kerana tiba lewat di lapangan terbang akibat kesesakan lalu lintas dan pesawat berkenaan sudah berlepas.

Sememangnya mengikut apa yang diceritakan, Pak Sony yang tinggal di Bandung akan menaiki pesawat Lion Air pada setiap pagi Isnin selepas meluang masa bersama keluarga pada hujung minggu. Takdir Tuhan, beliau terlepas penerbangan pagi itu. Ya, belum ajal. Bayangkan apa perasaan jika kita berada di tempat Pak Sony.

Double Six Sabah

Membaca cerita Pak Sony membawa saya ke suatu tragedi 42 tahun yang lalu. Kali ini, bukan berlaku di Indoesia, tetapi di Kota Kinabalu, Sabah. Nahas ini disifatkan lebih malang kerana masih kekal misteri tanpa jawapan tuntas dan melibatkan barisan kepimpinan Negeri Sabah.

Mungkin ada yang kali pertama mendengar kisah ini terutama teman di Semenanjung dan mungkin ada yang tahu namun tertanya-tanya apakah kaitan dengan nahas di Indonesia kelmarin? Saya tidak mengaitkan apa teori konspirasi, cumanya ada sesuatu dan saya akan sampaikan kemudian.

Kembali ke 4 dekad yang lepas di daerah Sembulan jam 3.50 petang. 6 Jun 1976, tarikh yang telah mencatatkan nahas ngeri yang mana sebuah Kapal terbang dari Labuan yang dikendalikan Sabah Air sedang menuju Lapangan Kapal Terbang Kota Kinabalu. Malang sekali, pesawat jenis GAF Nomad tersebut tidak sempat mendarat dan telah terhempas di Sembulan ketika menghampiri Lapangan. Nahas itu telah mengorbankan semua penumpang termasuk

  • 1. Tun Fuad Stephens (Ketua Menteri Sabah),
  • 2. Datuk Salleh Sulong (Menteri Kewangan Negeri),
  • 3. Datuk Peter Mojuntin (Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri),
  • 4. Chong Thien Vun (Menteri Komunikasi dan Kerja Raya Sabah) dan
  • 5. Datuk Darius Binion (pembantu Menteri kepada Ketua Menteri),
  • 6. Datuk Wahid Peter Andau (Setiausaha kementerian Kewangan Sabah),
  • 7. Dr Syed Hussein Wafa (Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Sabah),
  • 8. Isak Atan (Setiausaha Sulit kepada YBM Tengku Razaleigh Hamzah – kini Tan Sri).

Turut terkorban Koperal Said Muhammad (pengawal peribadi Tun Fuad Stephens), Kapten Gandhi Nathan (Juruterbang pesawat) dan anak sulung Tun Fuad iaitu Johari Stephens.

Punca kemalangan masih tidak diketahui dan telah tersebar teori ia berpunca dari perbuatan khianat kerana keadaan politik yang tidak stabil ketika itu. Tidak kurang yang menyebut wujud campur tangan dari Kuala Lumpur. Kegagalan teknikal dan lebihan muatan dihebahkan sebagai punca namun ia tidak memuaskan sementara laporan asal kejadian telah diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi.

Kemalangan ini dikenali tragedi Double Six kerana telah meragut nyawa Ketua Menteri Sabah serta enam menteri lain. Walaupun sudah 4 dekad, sebahagian rakyat Sabah masih tertanya-tanya punca sebenar. Sesungguhnya teks sejarah Sabah tidak lengkap tanpa pengkisahan kemalangan ini. Mangsa pula bukan alang-alang terutama Ketua Menteri Sabah iaitu Tun Fuad Stephens.

Beliau adalah tulang belakang dan bapa penyatuan Sabah. Selepas pemergian beliau, Datuk Harris Mohd Salleh mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri menggantikan arwah. Setahun selepas kejadian tersebut, sebuah tugu peringatan didirikan di lokasi berkenaan bagi memperingati tragedi itu yang merupakan salah satu peristiwa penting negara.

Seperti yang saya sebutkan sebelum ini, peristiwa ini walaupun sudah 4 dekad berlalu, ia masih membekas, buktinya pada 6 Jun 2018, ya tahun ini, Kerajaan Negeri Sabah sekali lagi digesa mendedahkan cerita sebenar kepada masyarakat berhubung nahas Double Six. pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah, Jimmy Wong berkata, masyarakat ingin tahu kisah sebenar di sebalik kejadian malang tersebut. “Kebanyakan rakyat masih bercakap mengenai nahas pesawat tersebut serta perlu tahu kisah sebenarnya,” katanya kepada pemberita selepas majlis memperingati tragedi tersebut di Monumen Double Six di Sembulan, 6 Jun 2018.

Barisan kepimpinan negeri Sabah bergambar di hadapan Tugu Peringatan Double Six pada 6 Jun 2018. Sumber gambar : FMT

Belum jumpa lagi apa hubung kait dengan nahas Lion Air? Dari segi tarikh, peristiwa emangnya tidak sama tetapi sebagaimana ada satu-satunya orang terselamat dari nahas Lion kerana lewat walaupun sepatutnya beliau berada dalam penerbangan, demikian juga cerita Double Six Sabah. Siapa gerangannya?

Beliau ialah YM Tengku Razaleigh Hamzah. Ya, yang baru kalah pemilihan presiden UMNO baru-baru ini. Kerabat Raja Kelantan itu sepatutnya menaiki pesawat yang sama tetapi pada saat-saat akhir telah diajak turun dari pesawat oleh Datuk Harris untuk merasmikan suatu projek di Kudat. Kalau Pak Sony tertinggal pesawat kerana lewat namun berbeza dengan YM Tengku Razaleigh yang sudah berada di atas pesawat lalu diajak turun.

Saya tidak mahu mengajak para pembaca berterusan berteori bagai ke peristiwa Double Six. Ia sukar dijelaskan. Pelbagai cerita di sebalik cerita berada di dunia maya. Saya kembali ingin fokuskan bahawa selagi bukan ajal.

YM Tengku Razaleigh dan Pak Sony, berbeza 4 dekad tetapi membawa makna bahawa beberapa detik minit dan peristiwa telah menyelamatkan mereka dari korban. Mereka sepatutnya berada di sana, takdirnya ada berlaku hal lain menyebabkan mereka tidak berada dalam pesawat di saat akhir.

Sampai ke saat ini, saya sendiri sebenar bingung, mahu sampai kan mesej JT 610, ajal atau double six. Saya serahkan persoalan ini kepada pembaca menilai apa yang sepatutnya. Al fatihah kepada mangsa JT 610 dan Double Six yang beragama Islam. Semoga ditempatkan bersama para salihin.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

ANGAH SUNAN merupakan pendakwah bebas, penerbit dan penulis prolifik. Anak Jati Pulau Manis, Terengganu ini telah menghasilkan beberapa buah buku merangkumi bidang fiqh, tauhid - tasauf, travelog sejarah dan terjemahan (arab - melayu). Selain itu, pengajar bertauliah Majlis Agama Islam Selangor ini juga pernah terlibat dalam pembikinan Dokumentari Merah Laut Sulu di Jolo, Selatan Filipina pada tahun 2015. Link FB : www.facebook.com/angahsunan

Comments are closed.