Sekarang ni disebabkan sekatan Selat Hormuz, satu dunia terpaksa hadap gangguan bekalan minyak.
Bila minyak takde, kesan dia menjalar ke makanan, pengangkutan, industri. Pendek kata, seluruh ekonomi dunia boleh goyang.
Tapi dalam keadaan macam ni, ada satu kenyataan yang agak mengejutkan keluar daripada JP Morgan.
Dalam kalangan negara Asia, hanya Malaysia dan China dilihat benar-benar mampu bertahan dengan kukuh dalam krisis minyak kali ini.
Persoalannya, kenapa dua negara ni?
Untuk Malaysia, kekuatan paling besar adalah status kita sebagai pengeksport tenaga.
Ramai orang tak sedar, Malaysia pembekal tenaga kepada dunia terutamanya dalam bentuk LNG (gas asli cecair). Ini bermaksud, walaupun harga minyak dunia naik atau bekalan terganggu, Malaysia masih ada “buffer” sendiri.
Dalam bahasa mudah, negara lain panik sebab tak cukup minyak. Malaysia pula masih ada sesuatu untuk dijual.
Dalam masa yang sama, dasar kewangan kerajaan juga memainkan peranan besar. JP Morgan sendiri tekankan bahawa defisit fiskal Malaysia masih terkawal. Inflasi pula tidak terlalu tinggi.
Ini penting.
Sebab bila krisis berlaku, negara yang kewangannya tak stabil akan cepat “pecah”. Sama ada terpaksa naikkan harga barang mendadak atau potong subsidi secara drastik.
Malaysia setakat ini masih mampu kawal keadaan.
Harga barang mungkin naik, tapi tak sampai tahap rakyat terus “tercekik”.
Dan bila ekonomi stabil, satu lagi benda yang ikut stabil adalah mata wang. Ringgit mungkin turun naik, tapi tidak jatuh bebas seperti yang berlaku di beberapa negara lain.
Itulah sebabnya pasaran ekuiti Malaysia masih dianggap menarik dalam keadaan krisis.
Sekarang kita pergi pula kepada China.
China sebenarnya berada dalam liga yang berbeza.
Negara ini tidak terlalu bergantung kepada minyak import untuk jana elektrik. Malah, hanya sebahagian kecil sahaja tenaga elektrik mereka datang daripada import.
Selebihnya?
Mereka jana sendiri.
Arang batu, tenaga boleh diperbaharui, hidro, solar. China ada semuanya.
Dan yang paling penting, mereka ada simpanan strategik yang sangat besar.
Maksudnya, kalau bekalan global terganggu sekalipun, China tak akan terus “lumpuh”. Mereka ada stok, ada alternatif dan ada kapasiti untuk tingkatkan pengeluaran tenaga dalam negara sendiri.
Ini kelebihan yang tak semua negara ada.
Banyak negara Asia sebenarnya bergantung hampir sepenuhnya kepada minyak import. Bila Selat Hormuz terganggu, mereka terus kena kesan.
Itulah sebabnya JP Morgan kata negara lain mungkin terpaksa buat pilihan yang susah.
Nak jaga pertumbuhan ekonomi atau nak jaga kestabilan kewangan.
Dua-dua sekali, mungkin tak mampu.
Dalam masa yang sama, situasi di Selat Hormuz sendiri menunjukkan betapa kritikalnya keadaan sekarang.
Malaysia pun tak terkecuali daripada tekanan ni.
Malah, Perdana Menteri Anwar Ibrahim sendiri mengesahkan bahawa kapal Malaysia diberikan pelepasan awal oleh Iran untuk meneruskan perjalanan.
Dalam keadaan ramai negara tersekat, Malaysia masih boleh lalu.
Beberapa kapal Malaysia milik Petronas dan Sapura Energy sebelum ini terpaksa tunggu “lampu hijau” daripada Iran untuk melalui laluan tersebut.
Tapi yang menariknya, kapal-kapal ini tidak ditahan.
Cuma menunggu laluan selamat.
Kenapa ini berlaku?
Jawapannya mungkin terletak pada hubungan diplomatik Malaysia yang agak neutral, konsisten dalam memperjuangkan hak Iran dan Palestin serta tidak berpihak kepada Israel dan Amerika Syarikat dalam konflik ini.
Walaupun begitu, Malaysia bukan kebal sepenuhnya.
Perdana Menteri sendiri mengakui bahawa bekalan makanan, baja dan tenaga tetap akan terkesan. Harga pasti naik.
Cuma bezanya, impak kepada Malaysia tidak seteruk negara lain.
Kita masih ada ruang untuk bernafas.




No comments yet