Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. Peribahasa Melayu yang sering sekali dikaitkan dengan kisah-kisah kejayaan wira negara dalam apa jua bidang sekalipun.

Seperti Azizulhasni Awang yang memulakan kerjayanya sebagai seorang atlet lumba basikal dengan sebuah basikal terpakai sahaja, sehinggalah beliau berjaya menjadi seorang juara dunia yang disegani kawan mahupun lawan.

Sama juga kisahnya dengan seorang pelumba basikal negara pertama yang berjaya melayakkan diri ke peringkat final acara berbasikal di temasya Sukan Olimpik.

Josiah Ng – Bermula Dengan Penuh Halangan

Josiah Ng atau nama penuhnya, Josiah Ng Onn Lam tidak dilahirkan di negara ini dan juga telah membesar jauh nun di perantauan di negara Amerika Syarikat. Seperti kebanyakan kanak-kanak kecil sebayanya, beliau amat meminati untuk menunggang basikal ke mana-mana sahaja kerana baginya itulah erti kebebasan pada ketika itu.

Josiah Ng yang yang nakal pada usia remajanya telah melari diri dari rumah orang tuanya di kawasan Pantai Barat Amerika Syarikat ke rumah neneknya di kawasan Pantai Timur Amerika Syarikat sewaktu beliau baru sahaja berusia 13 tahun.

Semenjak daripada itu, beliau telah menetap dengan neneknya. Di rumah neneknya di kawasan Pantai Timur Amerika Syarikat, beliau berjaya menjaga dirinya sendiri dengan baik serta berjaya menambat hati neneknya.

Bersama neneknyalah Josiah Ng mula belajar untuk membuat biskut. Beliau kemudian berjaya menjadi mahir dalam membuat biskut seterusnya mengambil keputusan untuk membuka perniagaan menjual biskut yang dibuatnya sendiri.

Hasil daripada penjualan biskutnya daripada rumah ke rumah di kawasan kejiranannya, beliau berjaya membeli basikal pertamanya yang berharga $250 ataupun kira-kira RM1000. Beliau pun kemudian mula melibatkan diri dalam perlumbaan basikal.

Perlumbaan pertama yang disertainya adalah pada usianya 15 tahun. Namun, malang sekali, beliau telah mendapat tempat terakhir dalam perlumbaan pertamanya itu. Sudah tentu, motivasinya telah sedikit sebanyak terganggu dengan kekalahan itu sehingga beliau ingin berhenti daripada berlumba basikal secara serius.

Daripada situ, Josiah Ng mula berlatih dengan lebih serius dan Keras dalam usahanya untuk meningkatkan prestasinya dalam perlumbaan basikal. Namun begitu, beliau kembali untuk menetap semula bersama dengan orang tuanya tidak lama kemudian.

Kedua orang tuanya kurang menggemari akan penglibatan beliau di dalam dunia perlumbaan basikal. Tambahan lagi, keluarganya adalah keluarga pemusik dan sudah tentu kedua orang tuanya mahu melihat dirinya memahirkan diri dalam bidang music berbanding bidang sukan lumba basikal yang bagi mereka pada ketika itu, tiada nilainya.

Namun begitu, semangat dan keyakinan Josiah Ng terhadap sukan lumba basikal ini begitu kukuh dan utuh membuatkan dirinya tidak menghiraukan langsung akan larangan kedua orang tuanya. Demi mengejar cita-citanya, beliau telah mengabaikan keluarga, pelajaran dan juga bidang musik seperti yang diharapkan kedua orang tuanya.

Hal ini telah membuatkannya dihalau oleh bapanya dari rumah pada usianya yang baru sahaja menginjak ke usia 18 tahun. Bagi menampung kehidupannya tanpa sokongan keluarga, beliau telah membuat kerja-kerja sampingan sambil dia menfokuskan diri dengan latihannya.

Beliau pernah dinasihatkan untuk beralih ke acara lumba basikal jarak jauh akibat fizikalnya yang kecil. Walaupun begitu, beliau masih cekal meneruskan minatnya dalam lumba basikal trek dan terus menerus bekerja keras bagi mengejar impiannya itu.

Pada tahun yang sama dirinya dihalau dari rumah, Josiah Ng telah menyertai Kejohanan Berbasikal Kebangsaan Remaja Amerika Syarikat. Dalam pertandingan tersebut, beliau berjaya menempatkan dirinya di tempat kedua. Namun hak itu belum cukup kuat untuk meyakinkan pasukan kebangsaan Amerika Syarikat untuk menyerapnya sebagai atlet mereka.

Josiah Ng yang sudah tentu sedikit kecewa dengan perkara itu mencuba nasib dengan menghubungi Majlis Sukan Negara di Malaysia memandangkan yang dia mempunyai pertalian darah dengan warga dari Malaysia walaupun beliau tidak dilahirkan dan dibesarkan di sini. Malang sekali, beliau tidak mendapat perhatian Majlis Sukan Negara.

Hal itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus mencuba nasib dengan Majlis Sukan Negara. Beliau kemudian telah menempah tiket penerbangan ke Kuala Lumpur untuk terus ke pejabat Majlis Sukan Negara.

Setibanya di pejabat Majlis Sukan Negara, Josiah Ng telah meyakinkan pihak Majlis Sukan Negara untuk menganjurkan sebuah pertandingan tempatan supaya beliau dapat membuktikan bakat dan kemampuannya supaya dipilih untuk diserap ke dalam pasukan kebangsaan.

Usahanya itu membuahkan hasil apabila beliau terpilih untuk mewakili pasukan kebangsaan dalam acara trek lumba berbasikal. Keyakinan dan kecekalannya semenjak di usia yang lebih muda jelas membuahkan hasil kepada dirinya.

Kebangkitan Daripada Kejatuhan

Beberapa tahun sudah berlalu, Josiah Ng sedang giat melakukan persiapan ke temasya Sukan Olimpik di Athens pada tahun 2004. Akan tetapi, malang tidak berbau apabila Josiah Ng terlibat dengan sebuah kemalangan yang terpaksa mengetepikan dirinya daripada latihan pusat selama 6 minggu lamanya.

Beliau hanya pulih sepenuhnya apabila waktu sudah cukup singkat untuknya berlatih. Beliau pada ketika itu hanya ada kira-kira 2 bulan setengah bagi melakukan persiapannya semula untuk bertanding di temasya Sukan Olimpik di Athens.

Walaupun hanya mempunyai masa latihan yang singkat, Josiah Ng berjaya mempamerkan aksi yang begitu menakjubkan pada temasya Sukan Olimpik tersebut. Manakan tidaknya, beliau berjaya melayakkan diri ke peringkat final sekaligus menjadi atlet kebangsaan pertama melakukan hal sedemikian rupa.

Temasya Sukan Olimpik di Beijing pada tahun 2008, Josiah Ng yang pada ketika itu sudah berumur 28 tahun membawa harapan rakyat Malaysia yang begitu tinggi bersamanya ke Beijing.

Harapan yang menggunung di mana rakyat di serata pelusuk negara mengharapkan yang dirinya dapat membawa pulang pingat emas pertama negara. Namun malang sekali apabila beliau tersungkur di peringkat Separuh Akhir apabila gagal melayakkan diri ke peringkat Final.

Beliau yang cukup terkenal dengan sifat kecekalannya yang utuh tidak berhenti berusaha keras untuk mengharumkan nama negara yang tercinta. Hasilnya, dua tahun kemudian beliau berjaya merangkul pingat emas dalam acara lumba trek berbasikal keirin di Sukan Komanwel di New Delhi, India.

Siri kejayaan Josiah Ng tidak pernah terhenti di Sukan Komanwel di New Delhi, India. Selepas itu, beliau terus menerus merangkul pingat demi pingat di peringkat antarabangsa. Beliau pada 2 tahun kemudian telah merangkul pingat emas dalam acara lumba trek berbasikal keirin di Kejohanan Berbasikal Asia.

Kejayaannya itu diiringi dengan kejayaan pada tahun berikutnya pula apabila beliau berjaya merangkul 2 kalung pingat emas dalam acara lumba trek berbasikal keirin dan pecut di Kejohanan Berbasikal Asia di New Delhi, India pula. Josiah Ng jelas merupakan seorang wira negara yang sering mengharumkan nama negara sepanjang kerjayanya sebagai atlet lumba berbasikal kebangsaan.

Josiah Ng bersara daripada pentas lumba berbasikal secara rasminya pada tahun 2015 di mana Kejohanan Berbasikal Dunia pada tahun 2015 adalah merupakan aksi terakhirnya sebagai seorang atlet kebangsaan.

RUJUKAN :

  1. The Korea Herald (4 Oktober 2014). [Asian Games] Josiah Ng’s fight for his cycling dream. http://www.koreaherald.com/view.php?ud=20141004000130
  2. Astro Awani (14 April 2016). Kisah Josiah Ng: Pernah ‘dihalau’ bapa, jual biskut untuk beli basikal. http://www.astroawani.com/berita-sukan/kisah-josiah-ng-pernah-dihalau-bapa-jual-biskut-untuk-beli-basikal-102457
  3. SAYS (15 April 2016). Malaysian Olympian Cyclist’s Story About How He Created His Own Opportunities Goes Viral. https://says.com/my/sports/top-malaysian-cyclist-josiah-says-it-s-too-easy-to-be-negative-these-days

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Sangat berminat menulis mengenai tokoh-tokoh negara/melayu dalam terutamanya bidang sukan dan keselamatan.

Comments are closed.