30 Disember ialah hari perginya seorang pejuang bangsa di Filipina yang melawan penjajah Sepanyol. Sehari selepas hari tersebut, saya berjaya menyiapkan artikel ini. Oleh itu, di Filipina, 30 Disember dikenali sebagai Hari Rizal kerana mengenangkan kepahlawanan beliau. Artikel ini akan membincangkan mengapa nama Jose Rizal dipuja sehingga hari ini, bukan sahaja di Filipina sehingga dipanggil sebagai “kebanggaan bangsa Melayu” oleh Rafael Palma pada tahun 1949 dalam biografi Jose Rizal tulisannya, The Pride of the Malay Race: A Biography of José Rizal.
Pelbagai kisah yang bertaraf legenda menyelubungi nama Jose Rizal ini. Antaranya ialah dikatakan bahawa Jose Rizal ialah seorang genius yang konon mahir dalam 22 buah bahasa termasuklah Bahasa Melayu. Pendidikan awalnya ialah diajar secara tutor di rumah. Universiti dan bidang yang pernah dipelajari oleh tokoh bangsa Filipina ini ialah falsafah dan persuratan di Universiti Santo Tomas pada 1887, belajar Medik dan falsafah di Universiti Central de Madrid, Sepanyol. Kemudian, Jose Rizal ke Universiti Paris dan Universiti Heidelberg untuk menghabiskan pelajaran dalam bidang opthalmologi, sejenis bidang berkaitan dengan mata di bawah seorang doktor terkenal bernama Otto Becker.
Penulis-penulis Filipina selalu merujuk kepada beliau ialah ahli linguistik, pemuisi, novelis, pemuzik, ethologi, jurutera, doktor, sejarawan, ahli perniagaan, pakar ekonomi, ahli falsafah dan banyak lagi label yang sering diletakkan ke atas hero negara mereka ini. Dia juga dikatakan sangat cemerlang dalam bidang seni mempertahankan diri, main pedang, pengukir, pelukis, guru, antropologi, kewartawanan dan banyak lagi. Namun, perjuangan dan bagaimana Jose Rizal menanam idealogi nasionalisnya ialah melalui karya-karya puisi dan novel yang ditulisnya.
Usianya sangat pendek, hanya mencapai usia 35 tahun sahaja. Lahirnya pada 19 Jun, 1861 di Calamba, Filipina membolehkan Jose Rizal menyaksikan dengan mata kepalanya diskriminasi yang dilakukan oleh penjajah Sepanyol. Inilah yang membawa kepada penulisan demi penulisan yang dinukilkan oleh Jose Rizal yang ditakuti Sepanyol akan menjatuhkan mereka. Kebanyakan waktu di Eropah digunakan oleh Jose Rizal untuk menulis novel-novelnya.
Novelnya seperti Noli Me Tangere (Jangan Sentuh Aku) di dalam Bahasa Sepanyol diterbitkan pada 1887 di Berlin. Novel ini mendedahkan tentang korupnya gereja Katolik Filipina dan sisi gelap penjajahan Sepanyol di Filipina. Ini membuatkan ketika Jose Rizal pulang ke Filipina lalu dipanggil untuk menghadap gabenor menjelaskan isi novelnya.
Ketika itu, gabenor Sepanyol di Filipina menerima penjelasannya. Namun, Jose Rizal tidak berhenti menulis novel yang mengkritik kerajaan Sepanyol di Filipina. Sekuel kepada novel pertamanya ialah El Filibusterismo (Bermaharajalelanya Keserakahan). Dalam novel ini, ia mengisahkan dua watak utamanya bernama Elias dan Ibarra yang sanggup mengorbankan jiwa dan nyawa mereka demi memerdekan tanah air mereka dan mendedahkan betapa bangsatnya penjajah Sepanyol yang mampu bermaharajalela kerana dibantu oleh fatwa-fatwa korup golongan gereja.
Selepas itu, ketika menulis untuk La Solidaridad, sebuah akhbar yang menyebarkan propaganda menentang penjajah Sepanyol, Rizal menuntut supaya diberikan kebebasan bersuara dan berhimpun, hak yang sama rata untuk orang Filipina, dan penguatkuasaan undang dikenakan ke atas paderi-paderi Filipina yang korup. Selain itu, dia meminta agar Sepanyol meletakkan Filipina sebahagian daripada wilayah Sepanyol dan Filipina mempunyai wakil dalam parlimen Sepanyol ketika itu.
Ya, Jose Rizal tidak menyeru semangat kemerdekaan pada ketika dalam artikelnya itu, namun keteguhannya menentang penjajah Sepanyol yang menginspirasikan penentangan ke atas penjajah Sepanyol. Mungkin sebab itu Sepanyol ketika itu melihat Jose Rizal sebagai berbahaya dan menjatuhkan hukuman buang negeri ke wilayah Dapitan di Selatan Filipinan, Mindanao. Sempat juga Jose Rizal mengasaskan Liga Filipina yang menuntut perubahan kepada Filipina melalui cara bukan keganasan.
Semuanya pada 1895 Masihi apabila Jose Rizal meminta kebenaran untuk mengembara ke Cuba sebagai doktor di sana kerana wabak demam kuning sedang menyerang Cuba. Namun, Jose Rizal ditangkap oleh Penjajah Sepanyol dengan alasan La Liga yang ditubuhnya telah mempengaruhi Revolusi Filipina yang meletup menentang penjajah Sepanyol, meski Jose Rizal tidak ada kena mengena dengan organisasi dan nasionalis yang menggerakkan revolusi itu.
Pada 30 Disember 1896, dia dihukum mati tembak sampai mati. Pada 2 jam sebelum kematiannya, permintaan terakhir Jose Rizal adalah dibenarkan untuk berkahwin dengan buah hati pengarang jantungnya (Josephine) yang selama ini perkahwinan mereka ditolak oleh gereja tempatan kerana penentangan Jose Rizal ke atas korupsi gereja tempatan.
Permintaan terakhirnya juga ialah dia meminta agar dia dia dibenarkan berdiri menghadap para penembaknya, namun permintaan itu ditolak dan dia tetap disuruh berpaling ke belakang, menandakan bahawa kononnya dia ialah seorang pemberontak. Namun, ketika dia ditembak bertalu-talu, Jose Rizal sempat berpaling ke arah kanan, menghadap matahari yang sedang terbit ketika itu. Kata-kata terakhir sebelum dia rebah ialah…
“Consummatum Est!”
Yang boleh diterjemahkan sebagai…
“Ia sudah tamat…”
Kononnya, kata-kata ini pernah diungkapkan juga oleh Jesus Christ ketika dia disalibkan.
Selain daripada kisah terinspirasinya sebagai antara tokoh pertama yang menentang penjajah dalam sejarah Rumpun Melayu itu, Jose Rizal juga terkenal kerana meninggalkan legasi seperti semangat bangsa Melayu dan menjadikan jati diri kebangsaan sebagai rumpun Melayu itu sebagai kebangaan dan roh nasionalismnya menentang penjajah Sepanyol.
Dalam buku Leon Guerrero yang bertajuk The First Filipino: A Biography of Jose Rizal menyebut bahawa Jose Rizal ingin menjadikan bangsa Melayu Filipina boleh maju menjadi seperti bangsa-bangsa lain di dunia. Selain itu, ketika berada di Paris, Perancis, Jose Rizal pernah mewujudkan sebuah kumpulan rahsia, yang dimana kumpulan rahsia itu untuk menjawab tuduhan bahawa Melayu Filipina sebagai tidak bertamadun sebelum kedatangan Sepanyol dan juga mengumpulkan seluruh bangsa Melayu dari Alam Melayu termasuklah Tanah Melayu, Indonesia dan Borneo dan membebaskan mereka dari belenggu penjajah.
Idea-idea asal Jose Rizal ini telah menginspirasikan pemimpin-pemimpin Filipina yang terkemudiannya seperti Apolinario Mabini yang mencetuskan Revolusi Filipina menggulingkan penjajah Sepanyol. Mabini memandang revolusi yang digerakkannya sebagai bentuk pembebasan ke atas orang Melayu dan mengimpikan untuk membentuk sebuah federasi negara-negara Asia yang berkongsi bersama kebudayaan Melayu bersama mereka.
Ini juga membuatkan Wenceslao Quinto Vinzons seorang mahasiswa Filipina di Universiti Filipina dan membentuk Perhempoenan Orang Melayoe, sebuah kumpulan yang menggunakan bahasa Melayu dalam ritual rahsia mereka, mempromosikan pengajian Bangsa Melayu dan membentuk sentiment kesatuan dalam bangsa Melayu. Kumpulan ini bukan sahaja disertai oleh Melayu Filipina, bahkan dari Thailand, Semenanjung Tanah Melayu dan juga Polinesia.
Pada akhir-akhir usianya juga, Jose Rizal menulis sebuah puisi bertajuk Mi Ultimo Adios (Salam Terakhir) yang diabadikan kepada bangsanya. Semoga isi puisi ini mengakhiri artikel ini juga memberi inspirasi kepada kita. Isi puisi tersebut boleh dibaca seperti berikut:
Jika di atas pusaraku kelak nampak yang tumbuh di tengah rumput, bunga yang sederhana, dekatkan ke bibirmu dan ciumlah rohku.
Sentiasa ku rasa di alisku dalam pusara yang sejuk di bawah, sentuhan perasaan lembutmu, hembus nafasmu yang hangat.
Rujukan:
Md. Salleh Yaapar. (2014) Peri Nama, Asal Usul dan Identiti Melayu: Ke arah Pencerahan yang Dinantikan. Dewan Bahasa Dan Pustaka
Minako Sakai. (2003) Reviving Malay Connections in Southeast Asia. University of New South Wales
Shaharom TM Sulaiman. (2008) Riwayat Hidup Rizal. Kosmo
Norshahril Saat. (2011) Azam Rizal Dalam Rumpun Melayu. Berita Harian
Kallie Szczepanski. (2017) Jose Rizal: National Hero of the Philippines. Thought Co
Biography.com (2017) Jose Rizal. A&E Television Networks
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih