Tanggal 31 Ogos 2019 semakin hampir mendekati diri kita. Tanggal ini memberikan impak yang sangat besar buat setiap yang bergelar warganegara Malaysia. Tanggal ini menjadi lambang pembebasan buat rakyat di Tanah Melayu pada ketika itu. Tarikh keramat ini menjadi satu bukti kebangkitan bahawa rakyat di Tanah Melayu mampu untuk memerintah dan mencorakkan negara mereka sendiri. Bermula dari tarikh inilah kita mencapai sesuatu yang sudah lama kita impikan iaitu sebuah Kemerdekaan.

Kemerdekaan yang kita capai bukan lah dari sebuah peperangan dan pertumpahan darah seperti yang berlaku di negara jiran iaitu Indonesia. Kemerdekaan yang kita capai adalah hasil daripada kebijaksaan para pemimpin pada ketika itu melakukan rundingan dengan pihak penjajah. Rundingan adalah perkara yang perlu diutamakan kerana ia dapat menyelamatkan banyak nyawa yang tidak bersalah daripada terkorban.

Rundingan ini dilakukan setelah banyak episod pertumpahan darah yang berlaku di negara kita dan negara serantau. Jika diimbau kembali bagaimana wira-wira bangsa mempertaruhkan nyawa mereka untuk melihat negara ini diperintah oleh anak bangsanya sendiri.

Antara nama yang sinonim dengan perjuangan membebaskan negara daripada penjajah adalah seperti Mat Kilau, Tok Gajah, Abdul Rahman Limbong, Dato Bahaman, Rentap,Mat Salleh dan Dol Said. Perjuangan ini diteruskan ketika pendudukan Jepun serta komunis di Tanah Melayu oleh tokoh seperti Leftenan Adnan Saidi dan Sarjan Hassan.

Tidak ketinggalan juga, pejuang ketika zaman kemerdekaan dan pasca kemerdekaan. Mereka juga telah bertungkus lumus memerah keringat untuk melihat bendera kebangsaan negara berkibar megah di tanah air sendiri. Sungguh tidak patriotik jika ada segelintir pihak yang mempertikaikan perjuangan yang telah dilakukan oleh wira-wira bangsa ini. Tidak kira lah mereka memperjuangkan negara dengan menggunakan senjata mempertaruhkan nyawa mahupun menggunakan pena dan idea. Mereka tetap pejuang buat tanah air !

Setelah 62 tahun kemerdekaan yang kita capai, aura kemerdekaan itu dilihat semakin lama semakin pudar dari pengamatan mata kasar penulis. Kita tidak perlu pergi jauh dan mendalam, lihat sahaja di jalanan. Kibaran megah bendera Jalur Gemilang dilihat semakin tidak mendapat tempat di hati rakyat Malaysia sendiri. Hari ini, 10 hari sebelum tarikh kemerdekaan, premis-premis dilihat mengambil sikap acuh tak acuh akan tarikh bersejarah ini. Mereka dilihat seakan tidak ada semangat yang berkobar kobar untuk memasang bendera kebangsaan negara kita ini.

Selain itu, bilangan kenderaan yang melekatkan Jalur Gemilang di jalanan pula boleh dikira dengan jari akan jumlahnya. Berbeza sekali dengan situasi pada tarikh yang sama dalam jangka masa 10 tahun yang lalu. Pada ketika itu, kebanyakkan pemilik kereta dengan megahnya menghiasi kereta mereka dengan bendera kebanggaan rakyat Malaysia tersebut.

Di taman-taman perumahan juga, jika dahulu dari awal hingga ke hujung simpang ‘sarat’ dengan Jalur Gemilang tetapi kini jika bernasib baik adalah satu dua rumah yang memacaknya di halaman rumah. Nasib baik ada, dapatlah juga generasi baru melihat simbol kebanggaan rakyat Malaysia tersebut.

Lebih menyedihkan, terdapat pula pakatan baharu yang memasang bendera secara terbalik. Ia semakin merebak ke seluruh pelusuk negara dengan berselindungkan alasan kesilapan teknikal. Anda lebih bijak menilai adakah alasan ini masuk akal ataupun tidak. Lebih separuh abad Jalur Gemilang berkibar megah, masakan sejak akhir akhir ini boleh terbalik pula.

Jika kita imbau kembali bagaimana marahnya rakyat Republik Indonesia ketika Kejohanan Sukan SEA kerana pihak penganjur melakukan kesilapan teknikal terhadap bendera negara mereka. Sikap begini kita perlu pelajari dan contohi dari rakyat negara jiran. Pertahankan kedaulatan negara. Jangan biarkan ia dipijak dan dihina sebegitu kerana ia merupakan maruah negara yang kita cintai. Kalau bukan kita siapa lagi?

Generasi terdahulu amat menyayangi dan menghargai kemerdekaan kerana pernah melalui zaman susah di bawah penjajahan dan juga berhadapan ancaman komunis. Generasi sekarang juga perlu meneruskan sikap murni yang ditunjukkan oleh golongan terdahulu. Mereka telah mencorak dan membentuk ‘acuan’ yang terbaik untuk kita, tugas yang perlu kita sambung ialah menjadi sebuah ‘kuih’ yang berjaya dan harmoni

Tidak dinafikan, dengan kemodenan dunia pada hari ini golongan muda lebih selesa untuk menunjukkan sikap patriotik mereka di alam maya khususnya di media sosial. Ya, tidak salah teruskan usaha kamu wahai anak muda agar tindakan mu itu menjadi contoh kepada yang lain.

Tetapi alangkah bagusnya jika kita sebagai generasi baru ini dapat mengimplementasikan semangat yang berkobar-kobar di media sosial itu kepada kehidupan harian kita. Kita harus menerima hakikat bahawa kita bukannya hidup di alam maya atau virtual world dan perlu menunjukkan rasa cinta kita kepada negara di alam nyata. Anda merupakan pewaris kepada negara kebanggaan kita ini.

Kesimpulannya, marilah kita membawa dan memacu negara Malaysia yang kita cintai ini berdasarkan prinsip rukun negara yang kita pegang sejak sekian lama ini. Berbanggalah dengan negara yang harmoni ini dan jangan sesekali melakukan onar.

Marilah kita memulakan tanda palang #KibarkanJalurGemilang di media sosial bagi mengajak rakan rakan kita mengibarkan bendera di sekitar kawasan perumahan. Penuhkan jalan dengan bendera yang melambangkan maruah rakyat ini. Lekatkan Jalur Gemilang di kereta kereta kita.

Ajar rakyat yang keliru tentang kedudukan sebenar bendera Jalur Gemilang supaya tiada lagi kesilapan teknikal berlaku. Jika ketika PRU kita mampu memacakkan bendera parti, takkan ketika 31 Ogos kita gagal melaksanakannya. Tanpa parti negara tetap ada tetapi tanpa negara musnahlah segala galanya. Letak tepi segala ideologi dan fahaman yang berbeza dan bersama-sama menyambut ulangtahun Malaysia yang ke 62 secara harmoni. Akhir kata, “Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih”

RUJUKAN:

I- Semangat Kibarkan Jalur Gemilang.

https://www.utusan.com.my/rencana/utama/semangat-kibarkan-jalur-gemilang-1.725542

II- Kibarkan Jalur Gemilang, Raikan Hari Kebangsaan dengan Meriah. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/08/460300/kibarkan-jalur-gemilang-raikan-hari-kebangsaan-dengan-meriah


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Jangan hirau warna bendera, Kerana itu penyebab huru hara, Jangan kisah pengikut siapa, Asalkan dia pembela bangsa. Hairul Faizi bin Hairulnizam merupakan seorang anak muda yang berusia 19 tahun. Meminati bidang penulisan yang berkaitan dengan fakta dan sejarah. Berpegang teguh kepada semangat berilmu untuk berjasa digarapkan sekali dengan misi untuk mendidik bangsa. Bercita cita untuk membawa aura penulisan yang lebih menarik untuk menambat hati anak muda . Di barisan hadapan sebagai pembela, Ilmu di dada menabur jasa, Semakin memuncak cita-cita, Semakin tunduk pada yang Esa.

Comments are closed.