BUJANG berani ini adalah antara nama besar yang membarisi senarai penerima Pingat Gagah Berani (PGB) iaitu antara anugerah kehormat yang tertinggi di Malaysia.  Bukan sembarangan penerimanya kerana hanya yang benar-benar berwibawa dan terbukti keberanian barulah akan mendapatkannya.  Mungkin ramai yang tidak mengetahui cerita disebalik perwira anak Sarawak yang tidak didendangkan ini  namun jasa beliau kepada Negara dilupa jangan.

Sigai Anak Endawan @ Nawan merupakan antara anak Iban yang menyahut seruan berkhidmat untuk negara suatu ketika dahulu.  Dilahirkan pada tanggal 6hb Julai 1944 di Rumah Kasau, Nanga Mujan, Batang Ai, Lubuk Antu, Sarawak.  Anak sulung daripada 11 adik beradik kepada pasangan suami isteri iaitu Encik Nawan Anak Kasau dan Puan Tau Anak Ngindang.  Sekitar tahun 1949 dikatakan keluarga beliau telah berpindah ke Rumah Bunjai di Lundu, Sarawak dan disanalah beliau membesar.  Memulakan alam persekolahannya di Christ Church School, Stunggang, Lundu sehingga beliau menamatkan persekolahannya sehingga ke Darjah 6.

Seperti anak teruna Iban yang lain, Sigai bukanlah jenis yang berpeluk tubuh sahaja sebaliknya walau masih di usia remaja telah meringankan tulang membantu keluarganya mencari rezeki.   Menjadi penoreh getah, buruh malah sehingga menjadi peniaga di sempadan Indonesia/Sarawak adalah antara pekerjaan yang pernah beliau lakukan.

Walaupun sebegitu jauh di dalam diri Sigai sentiasa berkobar-kobar untuk menjadi prajurit negara lebih-lebih lagi apabila melihat sendiri kehebatan ayah saudaranya iaitu Pegawai Warran 2, Ninkan Anak Kasau.  Beliaulah yang sentiasa menjadi pemberi aspirasi kepadanya untuk menjadikan bidang ketenteraan sebagai karier tetapnya

Pada tanggal 22 Jun 1964, Sigai menyahut seruan untuk berkhidmat sebagai anggota tentera Malaysia.  Beliau telah berjaya menempatkan diri untuk menjalani latihan ketenteraan di Kem Gurkha, Sungai Petani, Kedah.  Usai tamat latihan dan lulus dengan cemerlang, beliau telah ditugaskan di Batalion 1 di Ipoh, Perak.  Empat tahun lamanya beliau di Ipoh, Perak akhirnya sekali lagi beliau dipindahkan untuk menganggotai 5 Briged di Sabah.

Walau sudah menjadi anggota tentera namun jiwa Sigai sentiasa menginginkan sesuatu yang lebih mencabar.  Makanya pada tahun 1970, beliau telah memohon untuk menyertai unit Komando.  Ternyata permohonan beliau itu mendapat perhatian pegawai atasan lantas dihantar untuk menyertai latihan asas komando sehinggalah beliau berjaya dianugerahkan dengan “beret hijau”.  Selepas itu, beliau dihantar untuk menyertai X Skuadron.

Operasi hutan yang pertama beliau sebagai anggota komando adalah ketika dihantar untuk menyertai satu operasi di Hutan Simpan Ulu Kinta, Perak dibawah ketuanya Leftenan Yap Poh Meng.  Pada ketika itu, Sigai bersama 10 lagi anggota komando telah ditugaskan untuk membantu 4th Ranger yang sedang dalam kancah pertempuran dengan gerila komunis.

Dek kerana masih lagi di dalam kancah peperangan pada masa itu, helikopter yang membawa 10 anggota komando berlepas dari Kem Tambun, Perak telah tidak dapat mendarat di kawasan perang.  Jadi kesemua anggota komando telah bertindak keluar dari helikopter pada ketinggian yang membahayakan iaitu dengan hanya menggunakan tali.  Usai berpijak di tanah Ulu Kinta itulah, Sigai dan rakan-rakan komandonya telah memulakan operasi untuk mencari gerila komunis yang telah mampu meloloskan diri.  Sigai adalah antara unit komando yang bertanggungjawab menemui pegawai ATM yang gugur sebagai bunga bangsa ketika pertempuran di Hutan Simpan Ulu Kinta iaitu Kapten Mohana Chandran.

Usai operasi Hutan Hulu Kinta, Sigai bersama-sama 10 komando yang lain telah ditugaskan ke satu operasi di Bukit Condong pula.  Dari Lasah, mereka telah berjalan kaki untuk ke Sungai Siput.  Di Sungai Siput inilah pengalaman pertama bagi Sigai berhadapan dengan musuh secara empat mata.  Mereka telah bertempur berhabis-habisan dengan musuh sehingga menyaksikan seorang anak Sarawak iaitu Trooper Rasli bin Buang telah gugur sebagai bunga bangsa pada masa itu.  Sementara rakannya iaitu Trooper Sharif bin Hadis meninggal dunia sewaktu di dalam perjalanan ke hospital akibat kecederaan yang teruk.

Kedua-dua operasi ini menyaksikan Sigai menabur baktinya di bumi Semenanjung Malaysia dan 1972 pula, Sigai sebagai anggota komando yang diarahkan untuk membantu pasukan Renjer dan Askar Melayu di Kanowit pula.  Pada masa itu, Sigai sudahpun dihantar untuk menyertai Trup 5, Yankee Skuadron di Kem Pagar Ruyong, Sibu.

Ketika pertempuran yang berlaku di Ulu Dap, Kanowit pada Mei 1972, kebijaksanaan dan keperwiraannya banyak membantu anggota keselamatan Malaysia pada masa itu.  Beliau membarisi pasukan hadapan dan pada serangan pertama menyaksikan beliau bersama seorang lagi rakannya iaitu Trooper Kandasamy telah bertembung dengan musuh komunis.  Walau hanya berdua namun berpantang mereka berundur sebaliknya gerila komunis yang lebih ramai telah ditentang biar nyawa jadi taruhan.

Kemudian pertempuran kedua yang berlangsung hanya selang dua hari dari pertempuran yang pertama menyaksikan sekali lagi, Sigai menjadi harapan pada masa itu.  Nalurinya yang sentiasa peka pada sekeliling telah banyak menjadi panduan kepada pasukannya.  Malah pertempuran kali kedua di Ulu Dap, peluru dari senjata Sigai telah berjaya membunuh dua orang anggota komunis.  Walau buat kali kedua, gerila komunis berjaya meloloskan diri namun kejayaan dan pengorbanan anggota keselamatan kita pada masa itu cukup menyerlah.

Atas jasa dan keberanian Sigai di pertempuran di Ulu Dap, Kanowit inilah akhirnya beliau dianugerahkan Pingat Gagah Berani dari Yang Dipertuan Agong Malaysia, Sultan Badlishah pada tanggal 5hb Jun 1974.  Setelah 10 tahun berkhidmat menabur bakti kepada negara Malaysia, akhirnya Lans Koperal (B) Sigai anak Endawan @ Nawan bersara dari dunia ketenteraan.  Beliau masih lagi hidup dan dikhabarkan sedang menghabiskan sisa-sisa penghidupan bersama keluarganya di Machan, Kanowit sekarang.

-HB-

#KamekSayangSarawakBah!

Rujukan:  

1.  901370 Trooper Sigai Anak Nawan – Pingat Gagah Berani http://renjervalour.blogspot.my/2011/02/901370-trooper-sigai-anak-nawan-pingat.html?m=0

2. http://un2ukdia.blogspot.my/2013/12/sejarah-pingat-panglima-gagah-berani-pgb.html

3. Pertempuran Ulu Dap, Kanowit 1972 – Borneo Oracle  


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Memartabatkan sejarah Sarawak dan Borneo agar mampu diketahui sebaik mungkin oleh masyarakat Malaysia merupakan visi dan misi yang utama di dalam penulisannya. Seorang jurutera automatif yang terjun ke dunia penulisan bagi memvariasikan kebolehan dirinya.

Leave A Reply