Dengan bilangan kes Covid-19 yang semakin sedikit di sesetengah negara Eropah, sudah ada yang mula melonggarkan perintah berkurung atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mereka bagi merangsang semula kegiatan ekonomi mereka. Tetapi ramai pakar kesihatan termasuk dari WHO memberi amaran kelonggaran perintah berkurung/PKP terlebih awal boleh mengakibatkan penularan semula Covid-19.
Kesan ini mula dilihat di Jerman tatkala Berlin secara perlahan-lahan melonggarkan perintah berkurung/PKP mereka. Berdasarkan pemerhatian Institut Robert Koch (RKI), angka jangkitan Covid-19 di negara itu kini berkisar sekitar 1.0. Bagi pakar kesihatan dan ahli politik, jika Jerman mahu bebas dari Covid-19, maka angka tersebut harus berlegar di bawah 1.0.
Di sebalik seruan Cancelor Angela Merkel yang menggesa negeri-negeri di Jerman memikirkan semula langkah melonggarkan perintah berkurung/PKP, ramai menyifatkan tindakannya itu seperti diktator oleh sesetengah media dan pembangkang.
Merkel memberi amaran sekiranya jangkitan berlegar sekitar 1.2 atau 1.3, ia boleh memberi tekanan besar kepada sistem kesihatan negara itu. Berita ini timbul tatkala pelbagai kelonggaran diberi seperti pembukaan semula kedai-kedai dan kanak-kanak dibenarkan kembali ke sekolah.
Sementara beberapa pengeluar kenderaan seperti Volkswagen pula baru saja membuka semula kilang-kilang mereka tetapi dengan kapasiti separuh daripada kapasiti normal. Manakala Bundesliga pula sedang merancang untuk memulakan semula liga yang dijangka bermula kembali pada 6 Mei ini.
Dengan kes sebegini, mungkin saja negara harus menyediakan satu panduan standard operasi yang lengkap bagi memastikan penularan Covid-19 dapat dikekang tatkala sektor-sektor ekonomi dibuka semula secara berperingkat-peringkat. Kita tidak mahu kerana melonggarkan perintah berkurung/PKP terlalu cepat, pisang berbuah dua kali dan PKP terpaksa diharungi lagi sehingga kes benar-benar tiada.
RUJUKAN:
Channel News Asia. (2020). German COVID-19 spread worsens as lockdown eases. https://www.channelnewsasia.com/news/world/germany-covid-19-spread-worsens-lockdown-eases-12683848




No comments yet