Jumaat, 30 Oktober 202630 Okt 2026
Falsafah Alamiah

Jangan Terkejut, Ada Makhluk Berkaki Lapan Sedang Berkhemah Di Dalam Pori Muka Kita!

Malam ini, sebelum tutup lampu dan letak kepala atas bantal, cuba renung cermin sekejap.

Tuan-puan nampak wajah itu bersih, kan? Sudah cuci dengan pencuci dan sudah lap sampai kering. Rasa segar dan yakin sangat bersih.

Tetapi hakikatnya, tekaan itu meleset sama sekali.

Di sebalik ketenangan wajah itu, sebenarnya wujud satu "kota metropolitan" mikroskopik yang sangat sibuk beroperasi.

Hampir seratus peratus manusia di atas planet ini tidak hidup keseorangan. Muka kita ini sudah lama menjadi tapak perumahan kepada ribuan makhluk yang hidup, makan, tidur dan membiak betul-betul di atas kulit.

Kenali makhluk ini yang diberi nama hama Demodex.

Dari segi biologi, mereka ada pertalian keturunan yang sangat rapat dengan keluarga labah-labah dan juga kutu sengkenit.

Bentuk fizikalnya didatangkan dengan lapan batang kaki yang kontot dan badan panjang meleret macam cacing.

Tak kisah pangkat raja atau orang biasa, kita semua adalah tuan rumah kepada mereka. Ia adalah sebahagian daripada ekosistem kulit manusia yang normal.

Apa yang buatkan ianya jadi mimpi ngeri adalah kerana gaya hidup makhluk tersebut.

Hama Demodex ini sangat takutkan cahaya. Waktu siang, masa kita tengah bekerja atau berjalan di bawah matahari, mereka akan menyorok jauh ke dalam liang roma dan akar bulu mata.

Mereka tidur nyenyak di situ sambil makan minyak muka atau sebum kita.

Akan tetapi, bila malam menjelma dan kita mula lelapkan mata, masa itulah "pesta liar" mereka bermula.

Sebaik sahaja kita tutup lampu, dalam kegelapan bilik, ribuan hama ini akan merangkak keluar dari lubang pori untuk berjalan-jalan di atas permukaan kulit.

Apa tujuan utama mereka keluar? Untuk cari pasangan.

Ya, muka kita adalah 'port dating' mereka. Hama-hama ini akan bebas mengawan di atas dahi, di tepi hidung dan di celah bulu mata semasa kita sedang bermimpi indah. Selepas selesai, si betina akan masuk balik ke dalam liang roma untuk bertelur.

Satu lagi perkara yang menarik adalah berkenaan sistem pencernaan mereka.

Selama bertahun-tahun, wujud satu mitos sains popular yang mendakwa makhluk ini sangat pengotor. Mereka didakwa tidak mempunyai lubang dubur dan akan "meletup" melepaskan najis pada akhir hayat mereka.

Sebenarnya, kajian genetik terbaharu dari luar negara pada tahun 2022 telah membetulkan salah faham ini!

Saintis telah merungkai DNA hama ini dan mendapati mereka hakikatnya mempunyai sistem anatomi yang serba ringkas termasuklah saluran pembuangan sisa yang normal.

Walau bagaimanapun, proses kematian hama ini tetap boleh mengundang masalah yang agak meloyakan.

Sepanjang hayat mereka yang pendek sekitar dua minggu itu, mereka akan asyik makan sebum kita. Apabila tibanya ajal, badan hama ini akan hancur dan terurai di atas muka kita. Masa itulah sisa badan serta pelbagai jenis bakteria yang hidup bersama hama ini akan meresap masuk ke dalam liang pori.

Secara kebiasaannya, kehadiran hama ini tidak mendatangkan bahaya kepada kesihatan, malah mereka cuma menumpang hidup secara aman damai di atas kulit kita yang sihat.

Tetapi lambakan bangkai mereka boleh mendatangkan masalah jika kita tidak jaga kebersihan atau sistem imun badan sedang teruk merudum. Populasi hama boleh meledak jadi terlalu 'ramai' sehingga mencetuskan reaksi radang kulit seperti penyakit Rosacea atau kelopak mata bengkak (Blepharitis).

Adakah Tuan-puan perlu panik dan mula sental muka dengan kertas pasir?

Tidak perlu sama sekali. Kita mustahil boleh hapuskan mereka seratus peratus. Kalau dibunuh semua pun, mereka akan datang balik melalui sentuhan dengan orang lain.

Cara paling logik adalah sekadar mengawal populasi mereka. Rajin-rajinlah cuci muka sebelum tidur supaya minyak berkurang, sentiasa tukar sarung bantal yang sudah berdaki, dan jangan sesekali kongsi tuala mandi.

Di sebalik kisah seram ini, apa yang paling luar biasa tentang kewujudan Demodex adalah nilai saintifiknya kepada susur galur sejarah manusia.

Saintis mendapati komuniti hama ini sentiasa diwariskan dari satu generasi ke satu generasi di dalam keturunan keluarga yang sama.

Melalui kajian variasi genetik hama ini, para pengkaji boleh menjejaki peta pergerakan awal manusia berhijrah merentasi pelbagai benua di seluruh dunia. Disebabkan itulah pakar genetik menggelar makhluk halus ini sebagai fosil hidup yang bernyawa.

Jadi malam ini, bila rasa gatal sikit-sikit dekat hidung masa hendak tidur tu, janganlah garu kasar sangat.

Mungkin ada pasangan Demodex tengah asyik 'dating' kat situ. Jangan kacau kebahagiaan mereka. Mereka berhak bahagia tau.

Tuan-puan sangka kita hidup sendirian, rupanya ada ribuan nyawa lain yang Allah rezekikan untuk menumpang teduh pada setiap inci kulit kita. Ia menjadi bukti bahawa setiap ciptaan Tuhan di alam ini, walau sehalus debu sekalipun, pasti membawa tanda kekuasaan-Nya buat mereka yang mahu berfikir.

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet