Ini adalah dakwaan paling merapu yang saya pernah nampak bulan ni. Ada ke patut dikatanya Jalan Raja Chulan tu diambil daripada Chola?

Haih, kenapa yang tak tahu, sini saya perkenalkan siapa sebenarnya Raja Chulan.

Tak ramai tahu sejarah pasal anggota kerabat diraja Perak ni yang memperjuangkan hak bangsa Melayu semasa zaman penjajahan British yang terpinggir akibat dasar pecah dan perintah.

DYAM Raja Chulan diputerakan di Tanjong Brambang pada 1 Julai 1869. Baginda merupakan putera kepada DYMM Sultan Abdullah Muhammad Shah, Sultan Perak yang kemudiannya dibuang negeri ke Pulau Seychelles bersama beberapa pembesar negeri lain pada tahun 1876.

Raja Chulan dan kekanda sulungnya, Raja Ngah Mansur mendapat pendidikan Barat di Raffles Institution, Singapura dan Sekolah Tinggi Inggeris, Melaka.

Selepas tamat pengajian, baginda mula bekerja dalam sektor perkhidmatan awam atau lebih tepat, Pejabat Setiausaha Negeri Perak pada tahun 1886.

Baginda menjadi orang Melayu pertama yang dilantik sebagai pegawai daerah. Pada tahun 1907, Raja Chulan dilantik sebagai anggota Majlis Mesyuarat Perak sebelum bersara daripada perkhidmatan kerajaan pada tahun 1911.

Baginda sememangnya dikenali sebagai seorang yang amat lantang memperjuangkan hak bangsa Melayu tanpa mengenal penat lelah.

Sehinggakan apabila Raja Chulan bersara dari Majlis Mesyuarat Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (MMNNMB) dan Majlis Mesyuarat Perak sehinggalah ke hari kemangkatan baginda pada tahun 1933. Dan baginda menjadi anak Melayu pertama dilantik sebagai anggota MMNNMB.

Semasa berkhidmat dalam majlis berkenaan, Raja Chulan desak pihak British menaiktaraf taraf hidup orang Melayu, beri keutamaan dan memudahkan peluang orang Melayu menjawat jawatan dalam perkhidmatan awam ketika itu.

Dalam mesyuarat seterusnya pada tahun 1931, Raja Chulan tegaskan kerajaan untuk kurangkan perbelanjaan dengan mengambil lebih ramai anak-anak Melayu mengisi jawatan kerajaan berbanding memanggil pegawai-pegawai dari Eropah.

Ini kerana baginda berpandangan, pegawai-pegawai Melayu pastinya akan berbelanja dalam negeri dan ini sekaligus dapat merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat.

Walaupun sedar bilangan pegawai Melayu yang berkelayakan untuk mengisi jawatan kerajaan, tetapi selepas 50 tahun, sudah pasti ada anak Melayu terlatih bekerja di jabatan-jabatan bersifat teknikal seperti Jabatan Kerja Raya dan Pejabat Pos.

Dalam mesyuarat sama juga, Raja Chulan mahukan anak-anak Melayu turut diberi peluang melanjutkan pengajian dalam bidang-bidang bersifat kritikal seperti perubatan dan pergigian.

Ini kerana selain dari memenuhi tuntutan fardu kifayah, baginda melihat ini dapat mengurangkan kebergantungan orang Melayu terhadap orang asing dalam bidang-bidang tertentu.

Raja Chulan cadangkan penubuhan biasiswa pendidikan untuk menggalakkan orang Melayu menceburi bidang-bidang ini dan menyeru kerajaan menyediakan tempat kepada mereka sebaik tamat pengajian.

Baginda juga lantang membantah beberapa polisi kerajaan ketika itu. Antara dasar yang mendapat penentangan Raja Chulan ialah mengenakan cukai terhadap minyak tanah dan minyak petrol.

Ketegasan baginda ini mendapat sanjungan ramai pihak termasuklah bekas Gabenor Negeri-Negeri Selat merangkap Pesuruhjaya Tinggi British, Sir Cecil Clementi. Clementi berkata,

“Tiada Melayu pada zaman moden yang menyumbang lebih banyak kepada negara dan warganya melainkan Raja Chulan.”

Mungkin atas sebab itulah, baginda dilantik sebagai Raja Di Hilir Perak oleh DYMM Almarhum Sultan Iskandar Shah pada tahun 1920. Semasa tempoh pemerintahan baginda, British bukan saja mengembalikan Pulau Pangkor dan Dinding kepada Perak.

Malah, British menarik balik sekatan yang melarang keturunan Sultan Abdullah dari sistem pewarisan takhta negeri berkenaan.

Tambah membanggakan, baginda juga merupakan anggota kerabat diraja Melayu pertama yang dikurniakan gelaran Knight of the British Empire (KBE) pada tahun 1930 oleh Raja George V.

Raja Chulan mangkat pada 10 April 1933 dan dimakamkan di Makam Diraja Al-Ghuffran, Bukit Chandan, Kuala Kangsar.

Legasi baginda yang masih bertahan sehingga hari ini ialah Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

Idea ini tercetus daripada beberapa raja dan anggota kerabat diraja Melayu seperti Raja Chulan dan DYMM Sultan Alang Iskandar Shah (Perak), Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan iaitu Tuanku Muhammad ibni Yamtuan Antah dan Undang Luak Rembau, Dato Abdullah Haji Dahan.

Hari ini, Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) menjadi pasukan unggul dalam Tentera Darat Malaysia (TDM) dan pernah terlibat dalam beberapa konflik seperti konflik era Darurat, operasi menyelamat tentera Amerika Syarikat di Mogadishu, Somalia (1993) dan krisis pencerobohan Lahad Datu (2013).

Saya pun tak tahu dari mana datangnya suara-suara sumbang yang kata Raja Chulan datang dari Chola.

Oleh: Azizul Farhan


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Penggemar sejarah dan budaya. Kini, mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pengajian Asia Tenggara Universiti Malaya dan graduan Diploma Sejarah dan Tamadun Islam UniSZA. Bercita-cita melanjutkan pelajaran dalam bidang Arkeologi kerana terpengaruh dengan filem Indiana Jones walaupun tahu arkeologi sebenar tak seperti itu.

Leave A Reply