Jumaat, 23 Oktober 202623 Okt 2026
Jagten (2012) : GroupThink dan Mass Hysteria
Eksplorasi Karya

Jagten (2012) : GroupThink dan Mass Hysteria

Jagten ataupun ‘The Hunt’ merupakan sebuah filem ‘Danish’, salah satu bahasa Jerman
Utara, yang ditayangkan pada tahun 2012. Filem yang bergenre drama ini
dilakonkan oleh Mads Mikkelsen yang terkenal memainkan watak Hannibal Lecter dalam siri televisyen
‘Hannibal’. 2012 Cannes Film Festival menganugerahkan
beliau Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem ini. Selain itu, filem Jagten ini
juga telah dicalonkan dalam beberapa anugerah filem berprestij seperti Academy Awards mahupun Golden Globe Awards.

Jagten mengisarkan tentang seorang
lelaki bernama Lucas yang bekerja sebagai seorang guru pra-sekolah di sebuah
kawasan berkomuniti kecil, di mana penduduknya saling mengenali antara satu
sama lain. Lucas mempunyai rakan rapat yang dikenali sebagai Theo, yang
mempunyai seorang anak perempuan berusia 5 tahun iaitu, Klara. Klara merupakan
anak murid kepada Lucas di pra-sekolah. Oleh kerana sering diabaikan oleh ibu
bapanya yang seringkali bergaduh, Klara menyimpan perasaan terhadap Lucas yang
mengambil berat dan melayannya dengan baik.

Masalah mula timbul apabila perasaan Klara
‘ditolak’ dan dia mengeluarkan kata-kata berbaur lucah yang dipelajari daripada
abangnya. Malangnya, sebagai seorang guru pra-sekolah, Lucas menjadi mangsa
apabila dituduh sebagai seorang paedophile
yang menyasarkan anak-anak muridnya. Keadaan menjadi lebih tegang apabila
rata-rata anak muridnya mula memberi keterangan bahawa mereka juga dicabul dan
menjadi mangsa penderaan seksual. Hal ini menyebabkan Lucas kehilangan kerja
sekali gus mengakibatkan hubungannya dengan rakan baiknya serta masyarakat
menjadi buruk.

Jagten mendedahkan bagaimana kehidupan
seorang lelaki yang tidak bersalah boleh hancur dalam sekelip mata akibat
penipuan dan mass hysteria oleh
masyarakat. Filem ini berjaya mengetengahkan kepada penonton akan bahaya elemen
psikologi dan sosiologi yang ditonjolkan oleh kelompok masyarakat iaitu mass hysteria. Selain itu, filem ini
juga mampu menimbulkan persoalan kepada penonton, khususnya ibu bapa yang
mempunyai anak kecil, adakah kanak-kanak sememangnya tidak pandai berbohong?

I.
Groupthink dan Mass Hysteria

Terma ataupun teori ‘Groupthink’ ini mula dipelopori oleh seorang pakar Psikologi sosial pada tahun 1972 iaitu Irving Janis. Menurut beliau, groupthink adalah fenomena psikologi yang berlaku dalam kalangan sesebuah kelompok di mana keharmonian dan kata sepakat merupakan keutamaan sehingga rasionalisasi dan penilaian kritikal diabaikan sama sekali. Disebabkan fenomena Groupthink ini mengambil ringan kesan moral dan etikal, ia sering mencetuskan hasil akhir yang lebih buruk terutamanya dalam kerangka politik dan geo-politik.

Menurut Bartholomew (2001), Mass Hysteria yang juga dikenali sebagai
salah satu penyakit psikogenik, merupakan satu fenomena yang membabitkan
penyebaran ilusi ancaman secara kolektif kepada masyarakat atau komuniti, yang
berpunca daripada ketakutan dan juga khabar angin yang benar mahupun rekaan
semata.

Fenomena groupthink yang tidak dibendung mampu membawa kesan lebih ekstrem
iaitu mass hysteria dalam kalangan
masyarakat.  

Menerusi filem Jagten, masyarakat yang
majoriti berkeluarga dan mempunyai anak kecil melihat terma ‘pedofilia’ sebagai
ancaman yang amat membimbangkan. Justeru apabila Lucas dipercayai merupakan
seorang pedofil di samping pekerjaannya sebagai guru pra-sekolah yang berurusan
dengan kanak-kanak secara langsung, masyarakat sekeliling yang bimbangkan
keselamatan anak masing-masing mula mencemuh dan menjauhkan diri mereka.

Apabila keterangan anak-anak murid
Lucas didapati tidak benar, Lucas dibebaskan daripada tuduhan jenayah penderaan
seksual. Namun begitu, keganasan masyarakat terhadapnya tidak berkurangan sama
sekali malahan semakin menjadi-jadi. Lucas diserang secara fizikal sehingga dia
terpaksa mengurung diri di dalam rumahnya sendiri di samping anjing
peliharaannya juga turut dibunuh.

Penonton dapat melihat bagaimana
fenomena groupthink dan seterusnya mass hysteria berlaku dalam kalangan
masyarakat. Tiada seorang pun ahli masyarakat yang menilai situasi dan
bukti-bukti dengan rasional. Sebaliknya, mereka membiarkan kebimbangan dan
ketakutan menguasai minda dan perasaan sekali gus mencapai kata sepakat untuk
menghalau dan menyerang Lucas tanpa usul periksa dengan lebih terperinci.
Kesannya, kebenaran tidak dapat ditegakkan justeru menghukum Lucas yang
sememangnya tidak bersalah dan menjadi mangsa keadaan dan penipuan seorang
kanak-kanak. 

II.
Kanak-kanak dan Kebenaran

Rata-rata ibu bapa lebih selesa mempercayai anak mereka sendiri, terutamanya kanak-kanak yang dirasakan masih kecil dan belum pandai berfikir dengan baik apatah lagi untuk berbohong. Walau bagaimanapun, Kang Lee, seorang professor psikologi di University of Toronto mendapati kanak-kanak mampu berbohong seawal usia 2 tahun.

Kanak-kanak yang mampu berbohong pada usia awal juga merupakan kanak-kanak yang mempunyai kebolehan kognitif yang lebih baik daripada kanak-kanak lain. Hal ini kerana kanak-kanak ini mempunyai kebolehan ‘Theory of Mind’ iaitu mereka mampu fahami bagaimana orang lain berfikir dengan cara mengetahui apa yang orang lain tahu dan tidak tahu. Kebolehan memahami cara orang lain berfikir membantu mereka berbohong dengan lebih mudah.

Menurut Michael Brody, seorang pakar
psikiatri kanak-kanak di Maryland, kanak-kanak didapati berbohong kerana mereka
masih belum pandai menilai dan membezakan antara rekaan atau kebenaran.

Matthew Rouse seorang ahli psikologi
klinikal pula meyenaraikan sebab-sebab kanak-kanak berbohong dan antaranya adalah
untuk menguji karakter diri, meningkatkan keyakinan diri, mengelakkan atau
menarik tumpuan atau keprihatinan ke atas diri, bercakap tanpa berfikir mahupun
untuk menjaga hati orang lain.

Menerusi filem Jagten ini, Klara
merupakan punca Lucas disyaki sebagai seorang pedofil. Klara berbohong kerana
marahkan Lucas yang menolak perasaannya. Sebagai seorang kanak-kanak yang cuma
berumur 5 tahun, sudah tentu dia tidak berfikir panjang akan kesan pembohongan
tersebut. Apabila dia cuba memulihkan keadaan dengan mengatakan bahawa dia cuma
berbohong, ibu bapanya menganggap bahawa Klara cuba menyembunyikan memori
penderaan seksual tersebut.     

Kanak-kanak lain yang memberi
keterangan palsu juga dapat dilihat tidak pandai membezakan antara realiti dan
imaginasi. Hal ini kerana mereka mengaku didera secara seksual di bilik bawah
tanah sedangkan rumah Lucas tidak mempunyai bilik bawah tanah sekali gus
membebaskannya daripada tuduhan jenayah seksual tersebut.

Dalam hal ini, golongan dewasa juga memainkan
peranan penting. Ibu bapa Klara dan juga pengetua pra-sekolah beranggapan
bahawa kanak-kanak tidak pandai berbohong dan mempercayai apa yang diperkatakan
sepenuhnya tanpa usul periksa.

Realitinya, kanak-kanak mampu
berbohong dan golongan dewasa memainkan peranan penting dalam memastikan
kebenaran di sebalik keterangan dan kata-kata kanak-kanak.

III.
Kesimpulan     

Bagi penulis, Jagten merupakan salah
satu filem bergenre drama yang wajar ditonton oleh setiap ahli masyarakat.
Filem ini membuka mata penonton akan pentingnya memeriksa keadaan dan mendengar
cerita semua pihak secara terperinci sebelum menjatuhkan hukuman sekali gus
menggalakkan setiap ahli masyarakat untuk berani tampil ke hadapan dalam
mengemukakan pandangan. Hal ini kerana pendapat setiap ahli masyarakat itu
penting dalam mencapai kata sepakat yang berpaksikan pemikiran rasional,
bermoral dan adil buat semua. 

RUJUKAN:

  1. Bartholomew, Robert. Little Green Men,
    Meowing Nuns and Head-Hunting Panics.
     Jefferson, North Carolina:
    McFarland & Company, Inc. Publishers. 2001. Print.
  2. Janis, I. L. (1972). Victims of
    Groupthink: a Psychological Study of Foreign-Policy Decisions and Fiascoes
    .
    Boston: Houghton Mifflin. ISBN0-395-14002-1.
  3. Beth Arky.
    ‘Why Kids Lie and What Parents Can Do To Stop It’. Child Mind Institute. Retrieved from https://childmind.org/article/why-kids-lie/
  4. Kang
    Lee’s TED Talk. Retrieved from https://www.ted.com/talks/kang_lee_can_you_really_tell_if_a_kid_is_lying/discussion
  5. Jagten
    film trailer at https://www.youtube.com/watch?v=ieLIOBkMgAQ

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet