Balbo. Ramai tukang gunting professional akan menyangka perkataan “Balbo” adalah fesyen rambut. Sebenarnya perkataan “Balbo” berasal daripada Italo Balbo, seorang Fasis yang terkenal di Itali.
Prolog
Seniman Agung, P. Ramlee (kanan) mengenakan fesyen dan gaya Balbo (kiri), 1960-an.
Italo Balbo dilahirkan pada 6 Jun 1896 di Ferrara, Utara Itali. Balbo seorang yang aktif dalam bidang politik sejak kecil. Dia dipengaruhi oleh fahaman Monarkis dan Nasionalis seawal umur 14 tahun lagi. Pada tahun 1914, dia melanjutkan pelajaran ke Universiti Florence dalam bidang Sains Sosial. Namun, pengajian dia terpaksa dihentikan akibat Perang Dunia Pertama.
Pada tahun 1915, Itali menyertai Perang Dunia Pertama di pihak Berikat. Ketika itu, dia berumur 19 tahun. Dia begitu tertarik dengan peperangan ini dan berpendapat jika Itali menang, banyak tanah-tanah akan diberikan kepada Itali.
Dia menyertai tentera sebagai seorang Pegawai Kadet di dalam Tentera Infantri Pergunungan Alpini. Pada tahun 1917, dia pergi menyertai latihan penerbangan namun tidak sempat untuk menghabiskan kursus penerbangan apabila dia terpaksa pergi menyertai Pertempuran Carparetto pada Oktober 1917. Ketika pertempuran itu, dia merupakan seorang ketua platun dan berjaya menyerang kedudukan tentera Austria-Hungary. Kejayaannya itu membolehkan dia menerima beberapa pingat keberanian dan dinaikkan pangkat ke Kapten.
Selepas Perang Dunia Pertama tamat, Balbo menyambung semula pengajian dan berjaya memperloleh Ijazah Sains Sosial. Dalam thesis dia, Balbo menekankan mengenai sosial-ekonomi Itali setelah Itali mengalami krisis ekonomi yang teruk setelah Perang tamat.
Mengejar Karier Politik
Pada tahun 1920, Balbo kembali ke kampung halaman untuk bekerja sebagai kerani bank. Namun, sifat politik dia yang mendalam menyebabkan dia tidak lari daripada melakukan aktiviti politik.
Pada tahun 1921, Balbo menyertai satu parti politik baru; Parti Fasis Nasional (Partito Nazionale Fascista) yang diasaskan oleh Benito Mussolini. Balbo mula memainkan peranan sebagai ahli parti. Dia memimpin dan mengetuai beberapa siri tunjuk perasaan menentang pihak Komunis dan Sosialis di utara Itali.
Balbo mula dikenali di dalam Parti Fasis apabila dia seringkali berjaya mengekang kumpulan-kumpulan Komunis di utara Itali dan berjaya menawan hati rakyat tempatan dengan kebolehannya bersyarahan dan rupa yang tampan. Dia juga sangat agresif dan tidak akan memberi muka kepada mereka yang bersengkokol dengan pihak Komunis dan Sosialis.
Balbo kini diberi jawatan sebagai “Ras” di dalam Parti Fasis, suatu panggilan bagi bangsawan Ethiopia (seperti gelaran “Datuk” di Malaysia”). Jawatan Ras juga merupakan suatu gelaran yang kehormat di dalam Parti Fasis.
Pada tahun 1922, ketika dia baru sahaja berusia 26 tahun, Balbo merupakan salah seorang daripada 4 arkitek Kawad Ke Rome (March on Rome). Dia bersama-sama Cesare De Vecchi (38 tahun), Michele Bianchi (39) dan General Emilio De Bono (56) berarak dari Milan ke Rome bersama-sama beribu anggota Fasis untuk meminta Raja Emanuelle III (Raja Itali) untuk melantik Benito Mussolini sebagai Perdana Menteri Itali yang baru.
Disebabkan ramai yang menyokong Mussolini serta merasakan Mussolini merupakan orang yang mampu tendang Komunis keluar daripada Itali, baginda bersetuju melantik Mussolini (39 tahun) sebagai Perdana Menteri Itali termuda dalam sejarah.
Balbo kemudian merupakan salah seorang peneraju utama penubuhan Dewan Agung Fasis (Grand Council of Fascism). Badan ini berperanan dalam menggubal undang-undang dan hal ehwal Itali.
Bapa kepada Tentera Udara Itali Moden
Pada tahun 1924, Balbo dilantik sebagai Komander kepada Milita Fasis Itali, sebuah badan separa tentera politik bagi Parti Fasis. Dia juga dilantik sebagai Setiausaha bagi Ekonomi Nasional pada tahun 1925.
Pada 6 November 1926, Mussolini melantik Balbo sebagai Setiausaha Udara Negara. Walaupun tidak pernah menghabiskan pengajian dalam penerbangan, namun dia mempunyai semangat yang tinggi demi membangunkan Itali di mata dunia melalui penerbangan. Akhirnya, dia berjaya menghabiskan beberapa siri kelas penerbangan bersama Tentera Udara Diraja Itali pada tahun 1927.
Pada 19 Ogos 1928, Balbo dianugerahkan pangkat ke Generale d’Aria (General Udara) dan pada 12 September 1929, Balbo dilantik Mussolini sebagai Menteri dan Panglima Tentera Udara. Sebelum ini, Tentera Udara Itali merupakan sebahagian dari Tentera Darat Itali. Tapi setelah Mussolini mengambil alih, dia menjadikan Tentera Udara sebagai organisasi yang berasingan dan tersendiri.
Dibawah pentadbiran Italo Balbo, Tentera Udara Diraja Itali (Regia Aeronautica) berjaya dinaiktarafkan dan menjadi sangat popular. Banyak aset-aset dan tender-tender pesawat baru diberikan kepada Tentera Udara. Hal ini memberikan sedikit kecemburuan buat pihak Tentera Darat.
Pada ketika ini, Itali terkenal dengan beberapa siri penerbangan dan persembahan merentasi dunia yang dipimpin sendiri olehnya. Semua penerbangan ini mempamerkan beberapa jenis pesawat Itali yang terbang dengan formasi-formasi tersendiri. Oleh itu, perkataan “Balbo” juga sangat sinonim di dunia bagi pembentukan formasi udara lebih-lebih lagi di Amerika Syarikat.
Fenomena Balbo
Pada 1 Julai 1933, Italo Balbo memimpin sendiri penerbangan yang dipanggil “Century of Progress” ke Chicago, Amerika Syarikat. Sebanyak 24 buah pesawat menyeberang lautan Atlantik dari Rome ke Chicago. Selain daripada persembahan penerbangan, Balbo juga ingin menaikkan nama Itali di mata dunia.
Setibanya di New York, dia disambut oleh Datuk Bandar New York dan diraikan oleh berjuta-juta penduduk, lebih lebih lagi yang berketurunan Itali-Amerika. Mussolini juga menghadiahkan beberapa relik Rom purba untuk komuniti New York dan Chicago.
“Bergembiralah kamu semua! Mussolini telah mengembalikan maruah dan kehormatan kamu!” teriak Balbo ketika berucap di New York.
President Franklin Roosevelt menjemput Balbo ke White House untuk makan tengah hari bagi menyambut hubungan dua hala tersebut dan Balbo juga menerima pingat Distinguished Flying Cross daripada Presiden.
Gambar-gambar Balbo terpapar di surat khabar, majalah, dan setem di seluruh dunia. Pada 26 Jun 1933, gambar Balbo merupakan muka depan bagi majalah Time.
Betapa terkenalnya Balbo apabila sebuah nama jalan di Chicago ditukar kepada “Jalan Balbo”. Hal ini memberikan sedikit kecemburuan kepada Mussolini.
Kepulangan Balbo ke Itali disambut hebat oleh Mussolini dan rakyat Itali. Balbo kemudian dianugerahkan pangkat Marshal of Italy (Maresciallo d’ Italia) dan Marshal of Air Force (Maresciallo dell’Aria). Kepulangan Balbo membawa pelbagai idea baru untuk Angkatan Tentera Itali.
Dia berpendapat Itali hanya perlu ada 20 divisyen; 10 divisyen bermotor, 5 infantri pergunungan dan 5 divisyen armor. Semua divisyen ini hendaklah dilatih dan diberikan peralatan sepenuhnya. Manakala Tentera Laut pula perlu menyediakan 3 divisyen marine.
Dengan adanya semua divisyen ini, Balbo berharap tentera Itali akan menjadi mobile dan senang diaturgerakkan ke mana-mana sahaja. Namun, masalah kewangan dan ekonomi Itali membantutkan impian Balbo tersebut.
Gabenor-Jeneral Libya
Ramai yang berkata Balbo mungkin akan menggantikan Mussolini sebagai Duce (Ketua Kerajaan Itali). Disebabkan rasa cemburu, Mussolini menghantar Balbo jauh dari Rome. Pada 7 November 1933, Mussolini melantik Balbo sebagai Gabenor-Jeneral kepada Koloni Itali di Libya yang merangkumi Fezzan, Tripolitania dan Cyrenaica.
Antara sebab lain, dengan lantikan Balbo sebagai Gabenor-Jeneral, Mussolini dapat menggunakan populariti dia untuk mempengaruhi koloni Perancis dan Britain di Afrika. Pada 1 Januari 1934, Balbo menyatukan organisasi wilayah Fezzan, Tripolitania dan Cyrenaica menjadi sebuah entiti bernama “Libya”.
Cabaran Balbo di Afrika
Pada tahun 1935, Itali mengisytihar perang terhadap Ethiopia. Hal ini membuatkan British dan Perancis tidak senang duduk. Mereka berpendapat bahawa Itali telah melanggar undang-undang antarabangsa dan mengugut untuk menutup Terusan Suez.
Jika terusan Suez ditutup, maka lumpuhlah tentera Itali di Ethiopia. Balbo membuat satu pelan kontijensi. Dia berhasrat untuk menyerang Mesir (boneka British) dan menawan Terusan Suez.
Balbo ingin membaiki semula hubungannya dengan Mussolini jika pelan ini berjaya. Dia menambah satu kali divisyen penuh tentera dan 700 pesawat tentera bersiap sedia untuk menggempur Mesir. Pada 1 September 1935, Balbo menggerakkan tentera Itali (10th Army) ke sempadan Itali dan bersedia untuk menyerang.
Hasrat dia terbantut apabila Mussolini berjaya melobi British dan Perancis untuk terus membuka Terusan Suez ketika serangan Itali ke atas Ethiopia.
Hubungan Balbo dan Nazi Jerman.
Sebagai ahli politik paling berpengaruh di Itali dan juga berfahaman Fasis, Balbo seringkali dijemput oleh Fuhrer Adolf Hitler ke Jerman. Lawatan dua hal ini seringkali berbaur politik dan ketenteraan.
Balbo juga begitu rapat dengan orang nombor 2 Nazi iaitu Panglima Tentera Udara Jerman, Field Marshal Hermann Goering. Mereka berdua berkongsi idea yang sama. Namun Goering lebih tertumpu kepada kesenian dan pemburuan berbanding dengan Hitler.
Balbo dan Goering sering juga membincangkan mengenai peranan Tentera Udara negara masing-masing ketika Perang Saudara Sepanyol.
Namun begitu, Balbo amat tidak bersetuju apabila Mussolini menandatangani “Pakatan Besi” (Pact of Steel) pada 1938. Banyak pelan rasis Nazi Jerman dicedok dan diadaptasikan di Itali seperti penghambatan kaum Yahudi.
“Kamu semua akan kilatkan kasut orang Jerman suatu hari nanti!” marah Balbo. Kata-katanya menjadi kenyataan beberapa tahun kemudian apabila Itali menjadi boneka kepada Nazi Jerman.
Sebagai Gabenor, Balbo mengharamkan Undang-Undang Rasis di dibuat di Libya. Balbo juga mula memajukan Libya dengan membina jalan seperti Via Balbia dan infrastruktur untuk menarik rakyat Itali berpindah ke Libya. Masjid dan rumah ibadat mula dibina di Libya untuk memastikan kesetiaan orang Islam dan rakyat tempatan kepada Itali.
Perang Dunia Kedua
Pada 10 Jun 1940, Mussolini mengisytihar perang terhadap British dan Perancis serta menyokong Nazi Jerman. Balbo mula tidak senang duduk. Selain daripada menjawat jawatan sebagai Gabenor Libya, dia juga merupakan Panglima Turus Tentera Itali di Afrika Utara. Mussolini menghantar telegram kepadanya untuk merangka serangan keatas Mesir.
Dibawah Balbo, dia mempunyai dua ketumbukan tentera; 10th Army (timur Libya) dan 5th Army (barat Libya). Aset-aset yang ada padanya masih tidak mampu untuk menyerang Mesir.
Namun setelah Perancis menyerah kalah pada 28 Jun 1940, Balbo mengarahkan beberapa divisyen daripada 5th Army untuk di “top-up” kepada 10th Army. Balbo melantik Lt. General Mario Berti bagi memimpin serangan tersebut. Balbo yang pada ketika itu berada di Rome untuk berjumpa dengan Mussolini untuk menyaksikan Perancis menyerah kalah, memberitahu bahawa Itali akan menyerang Mesir pada 10 Julai 1940.
Kematian Balbo
Pada petang 28 Jun 1940, ketika Balbo dalam perjalanan pulang dari Rome ke Tobruk, Libya, pesawatnya ditembak oleh tentera Itali sendiri. Tembakan tersebut adalah tidak disengajakan (friendly fire).
Maka meletuplah pesawat Balbo diudara. Kesemua penumpang termasuk Balbo terkorban.
Berita ini memberi tamparan hebat buat rakyat Itali apabila mendapat tahu hero mereka terkorban. Ada yang berpendapat Mussolini sendiri merencana pembunuhan tersebut.
Namun begitu, tohmahan ini meleset apabila sebelum nahas berlaku, terdapat serangan Tentera Udara British (Royal Air Force) ke atas lapangan terbang Tobruk. Semua senjata anti-pesawat bertungkus lumus menangkis serangan tersebut.
Nasib Balbo tidak begitu baik apabila tentera Itali menyangka pesawat Balbo merupakan pesawat British.
Mendengar berita tersebut, Komander Turus Royal Air Force Timur Tengah, General Arthur Longmore menjatuhkan sejambak bunga di Lapangan Terbang Tobruk.
“Tentera Udara Diraja British menzahirkan rasa simpati terhadap kematian Marshal Balbo – seorang pemimpin dan juruterbang yang masyhur. Dia amat saya kenali dan semoga rohya ditempat dikalangan orang yang baik” – General Longmore.
Dia disemadikan di Tripoli, Libya sebelum dipindahkan ke Itali pada 1970 setelah pemimpin Libya, Muammar Gaddafi mengugut untuk menghancurkan segala ‘relik’ orang Itali di Tripoli.
Maka berakhirlah riwayat hidup Maresciallo dell’Aria, Italo Balbo. Nama dan perkataan Balbo masih lagi terkenal lebih-lebih lagi di Amerika seperti “Jalan Balbo” di Chicago. Potongan rambut “Balbo” dan juga formasi udara “Balbo”.
RUJUKAN:
1. Taylor, Blaine (1996). Fascist Eagle: Italy’s Air Marshal Italo Balbo. Montana: Pictorial Histories Publishing Company ISBN 1-57510-012-6
2. “TIME Magazine – U.S. Edition – June 26, 1933 Vol. XXI No. 26”.
3. Italian Air Armada Stirs New York Aka Balbo Arrives In New York (1933) – https://www.youtube.com/watch?v=3Y2g4fbnEh4
4. “Italo Balbo” – comandosupremo.com
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih